Friday, June 27, 2014

DARJAH 1 -1951 ( Bahagian 3)
CARA ORANG ‘DULU-DULU’ MENGHORMATI GURUNYA

(Disebabkan ada permintaan supaya aku menyambung ‘sembang’ aku tentang kisah aku ( dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya) mula bersekolah ( Darjah 1-1951), maka di sini aku cuba tunaikan permintaan dan harapan mereka. Setakat yang termampu untuk ‘menghiburkan’ mereka yang sentiasa mengharap)

“Loceng’ sekolah dibunyikan. ‘Loceng’ yang aku maksudkan itu adalah mata cangkul yang digantung di dahan pokok cherry berhadapan dengan sekolah. Agak kuat juga bunyinya apabila dipukul dengan sebatang besi, yang menandakan sekolah akan bermula. Dan ‘loceng’ ini akan ‘berbunyi’ lagi empat jam selepas ini, menandakan sekolah akan berakhir. Pelajar boleh balik. Tidak seperti loceng sekolah kini yang akan berbunyi setiap 45 minit apabila berlaku pertukaran waktu tiap-tiap mata pelajaran.

Zaman dulu, tidak ada pertukaran guru. Maksud aku setiap orang guru itu akan terus berada dalam kelas dari pagi sehinggalah waktu pulang. Guru yang sama. ‘General purpose teacher’.katanya. Misalnya guru Darjah 1 ialah Cikgu Yunus Shamsuddin. Maka Cikgu Yunus akan terus menerus mengajar dalam kelas Darjah 1 sehinggalah waktu pulang. Guru Darjah 3, Cikgu Samad. Maka Cikgu Samad akan terus berada dalam kelas berkenaan sampai tengah hari. 12.30 tengah hari. ‘Free period’ untuk mereka tidak ada. Pandai-pandai merekalah untuk ‘mencari’ waktu rehat.

Sekolah Melayu Padang Rengas masih ada lagi. Namun sudah banyak berubah. Bangunan lama sudah tidak ada lagi. Kesemuanya sudah digantikan dengan bangunan baru. Cantik. Bukan lagi seperti bangunan tahun-tahun 1950an. Waktu itu terdapat dua buah bangunan. Bangunan induk berdindingkan papan dan bercat putih. Sebuah bangunan lagi lebih merupakan bangunan ‘open air’. Separuh sahaja dindingnya. Separuh lagi terbuka. Beratap zinc. Lantainya tanah keras, tidak bersimin. Macam kandang lembu. Mungkin juga agaknya kandang lembu ( projek pemimpin UMNO) lebih cantik daripada sekolah tempat aku mula-mula belajar dulu. Mungkin.

Darjah 1 sehingga Darjah 3 di tempatkan di ‘kandang lembu’ itulah. Mungkin agaknya ‘pelajar baru’ diletakkan di ‘kandang lembu’ untuk membolehkan kami menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Maklumlah pada ketika itu antara ‘alam persekolahan’ dengan ‘alam lain’ sangat jauh bezanya. Pada ketika itu ramai kawan-kawan yang sebaya dengan aku tidak pergi sekolah. Bukan sahaja disebabkan kemiskinan keluarga tetapi kurang kesedaran di pihak ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Mereka menganggap persekolahan dan pendidikan tidak penting. Mereka tidak dapat menghargai nilai pelajaran dan persekolahan. Aku amat besryukur kerana kedua-dua ibu bapa aku amat mementingkan pelajaran. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Kanak-kanak dari kampung aku yang pergi sekolah pada ketika itu tidak ramai.  Boleh dibilang dengan jari. Maknanya masa mereka akan dipenuhi dengan bermain dari pagi hingga ke petang. Dari pagi hingga ke petang mereka akan bermain dan ‘melastik’ burung. Jenis permainan adalah bermusim. Ada musim bermain gasing, ada musim bermain guli. Permainan layang-layang hanya dapat dilakukan selepas musim menuai padi apabila sawah padi boleh digunakan sebagai kawasan lapang untuk bermain layang-layang. Kawan-kawan aku yang tidak bersekolah akan bermain sepanjang hari. Dan yang peliknya ibu bapa mereka tidak pula peduli samada anak mereka ke sekolah ataupun tidak.

Dalam kelas darjah 1 tidak ramai. Sudah aku jelaskan ( dalam artikel ku sebelum ini) nama-nama kawan aku yang sama sedarjah dengan aku. Dan telah aku jelaskan juga bahawa ada di antara mereka yang sudah agak ‘berumur’ dan berada dalam Darjah 1. Agaknya ketika sudah ‘berumur’ dan ‘dewasa’ barulah agaknya timbul ‘kesedaran’ dari ibu bapa mereka untuk menghantarkan mereka ke sekolah. Ramai yang begitu.Antaranya yang masih aku ingat ialah yang bernama Jamal dari Kampung Setor dan Bidi dari Kampung Repuh. Kedua-dua mereka ini jauh lebih tua dari kanak-kanak yang berada dalam kelas Darjah 1.

Guru kelas Darjah 1 ialah (Allahyarham) Cikgu Yunus Shamsuddin namanya. Yang aku ingat mengenai Cikgu Yunus ialah seorang yang agak kacak. Rambutnya bersisr ala P.Ramlee. Berjambul di depan. Giginya bersumbi emas dibahagian hadapan. Apabila dia tersenyum akan terserlah giginya yang bersumbikan emas. Seingat aku Jamal dari kampung Setor juga bersumbi emas.

Hubungan aku dan rakan-rakan lain dengan Allahyarham Cikgu Yunus amat rapat sekali. Sehingga saat-saat pemergiannya, kami sentiasa berhubung dan aku sentiasa menziarahinya di Padang Assam. Malah anak-anak dan keluargaku juga amat rapat dengan Cikgu Yunus Shamsuddin.

Begitulah eratnya hubungan anak murid dengan guru yang ‘mencelikkan’. Itulah cara ‘orang dulu-dulu’. Cara ‘orang dulu-dulu’ menghormati gurunya.


abuhassanadam

27 JUN 2014

1 comment:

  1. Tn Abu Hassan,
    Selamat Berbuka Puasa. Mesej yang ringkas kali ini. Komen-komen terhadap penulisan tuan akan menyusul. Harapan saya, rakyat akan dapat menyaksikan keadaan negara (sosial dan politk) yang lebih memberangsangkan buat bulan yang mulia ini. (Sedih terbaca kepala lembu versi 2.0 dalam berita semalam!)
    Saya pasti akan ke bazar Ramadan untuk mencari ikan terubuk. Haha!

    ReplyDelete