KES FIRDAUS DULLAH: TELADANILAH
‘BUJANG LAPUK’
Kisah sedih dan menyayat hati seorang remaja OKU
melanda setiap perasaan rakyat Malaysia.
Setiap anggota masyarakat di Malaysia patut rasa bersalah. Sekurang-kurangnya bersimpati
dengan nasib yang menimpa remaja malang berkenaan. Dan pastinya ada banyak lagi
kes-kes yang sebegini, yang tidak ‘dicungkil’ atau hanya didiamkan sahaja oleh
anggota masyarakat Malaysia yang kononnya bersikap ‘tidak boleh menjaga tepi
kain orang lain’. Ramai yang mengamalkan sikap ‘ada telinga dengar dan ada mata
tengok’.
Ibu bapa remaja OKU malang ini mesti
dipersalahkan. Namun banyak pihak lagi yang juga sepatutnya rasa bersalah
terutamanya pihak yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat. Jabatan
Kebajikan Masyarakat misalnya dan NGO-NGO lain yang sepatutnya merasakan diri
mereka bertanggungjawab. Banyak NGO di negara ini lebih mementingkan hal yang
bersangkut-paut dengan hal-hal yang remeh tetapi tidak merasa bertanggungjawab
atas hal-hal seperti yang menimpa Firdaus Dullah.
Dan diperhatikan bahawa pihak-pihak
bertanggungjawab hanya peka dan perihatin terhadap rakyat apabila menjelangnya
sesuatu pilihan raya di sesuatu tempat. Pada ketika itu akan berduyun-duyunlah
para pemimpin kita mengunjungi dan memberikan apa saja bantuan yang perlu
kepada anggota masyarakat yang memerlukan disamping masyarakat yang tidak
begitu mememerlukan sesuatu tetapi ‘dilayan’ juga sewajarnya. Lebih ‘hebat’
lagi ‘layanan’ yang diberikan apabila berada dihadapan kamera TV. Pada ketika itulah para pemimpin
kita akan ‘berlakon’ dan menunjukkan bakat lakonan yang istemewa yang boleh
mengalahkan laonon seniman agung P.Ramlee atau Saadiah.
Rancangan Berita Astro ( 23 Jun 214) telah
memaparkan satu ‘investigative reporting’ yang agak baik dihidangkan kepada
rakyat. Alangkah terperanjatnya, apabila didedahkan kisah bagaimana jiran-jiran
keluarga Firdaus Dullah tidak tahu menahu langsung tentang derita yang dialami
oleh keluarga malang berkenaan dan hanya dapat mengetahuinya apabila didedahkan
kisah sedih ini oleh media massa.
Lantas aku teringatkan filem ‘Bujang Lapuk’
arahan P.Ramlee. Walaupun P. Ramlee berjaya dengan sifat kejenakaan yang
memberikan hiburan yang cukup memuaskan penonton dari segenap lapisan
masyarakat, namun masyarakat tidak dapat menilai dan menghargai mesej yang
ingin disampaikan oleh P.Ramlee. Kisah kerukunan masyarakat yang dipaparkan
oleh P. Ramlee sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat Malaysia.
Filem ‘Bujang Lapuk’ telah memaparkan kisah
masyarakat sederhana yang tinggal dibandar yang kehidupan yang agak sederhana
pada tahun-tahun 60an. Mereka menyewa bilik-bilk dan berkongsi dapur dan dapat
hidup secara harmoni. Mereka ambil peduli tentang kebahagiaan dan juga
penderitaan yang dialami oleh jiran tetangga tanpa mengira bangsa dan agama.
Kisah sekeluarga India yang sentiasa bertengkar dipaparkan dalam filem
berkenaan dan bagaimana jiran tetangga berperanan untuk meredakan pertengkaran.
Dan cara penyelesaiannya juga membayangkan suasana harmoni dalam sesebuah
masyarakat.
Masyarakat Melayu lama sentiasa mementingkan
suasana kejiranan yang harmoni. Peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘berat sama
dipikul ringan sama dijinjing’, ‘ bukit sama didaki dan bukit sama dituruni’
memberikan erti bahawa sememangnya masyarakat Melayu lama sentiasa bersatu dan
tolong menolong antara satu sama lain – ‘ hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama-sama dicecah’.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa suasana
seperti yang dialami oleh masyarakat Melayu lama itu tidak mugkin akan berlaku
dalam Kurun ke21 disebabkan oleh beberapa faktor yang menghalang suasana
seperti itu berlaku. Masyarakat moden kini dengan berbagai dugaan ‘pancaroba’,
pastinya tidak dapat berfungsi sebagaimana masyarakat awal Kurun ke 20.
Namun begitu fikiran aku juga terlintas kepada
kisah bagaimana sebuah masyarakat Melayu di East London yang berfungsi
sebagaimana masyarakat Melayu dalam tahun-tahun 1950an. Kisah yang aku akan
paparkan adalah merupakan kisah benar dan setiap watak yang aku paparkan adalah
nama sebenar dan masih berada dan tinggal di East London.
Kisah berlaku dalam tahun 2012. Anak aku yang
sudah mendapat permastautin tetap di London mendapat kemalangan yang agak
serious. Beliau dimasukkan ke hospital. Selama seminggu beliau dibawah jagaan
pihak hospital dan juga dibawah jagaan ‘keluarga Melayu’ yang tinggal di East London
– Pak Mat, Tajuddin, Pak Ikhsan, Pak Hamzah ,Mak Cik Hasnah dan lain-lain.
Aku kagum dengan kerjasama dan pertolongan yang
diberikan oleh keluarga Melayu kepada anak aku yang tinggal di sini.
Pertolongan yang diberikan bukan sekadar menjenguk di hospital tetapi lebih
dari itu. Menghantar makanan, membersihkan rumah, membasuh dan mencuci pakaian
anak aku yang terlantar – uzur. Kekaguman aku melepasi batas normal. Aku kagum
tentang bagaimana suasana sedemikian boleh wujud di London, sebuah kota
metropolitan. Bagaimana suasana sedemikian boleh kekal diamalkan oleh orang
Melayu di sini.
Aku terhutang budi kepada keluarga Melayu ini.
Aku bertanya kepada salah seorang penghuni London ini. Pak Hamzah namanya. Aku
bertanya bagaimana suasana kerjasama dan harmoni sedemikian boleh terus wujud
di London dikalangan keluarga Melayu.
Beliau menyatakan kepada aku bahawa, ‘ kami
meninggalkan Malaya pada tahun 1951. Budaya Melayu ketika itu terus menerus
kami amalkan di London sehingga kini. Kami tidak tahu perubahan yang berlaku
dalam masyarakat Melayu selepas itu. Kami pulang ke Malaya hanya sekali sekala
sahaja’
Ketika aku berada berhampiran Sungai Thames, aku
merenung jauh mengenangkan keadaan masyarakat Melayu yang sudah jauh
menyimpangnya……
abuhassanadam
24 Jun 2014
No comments:
Post a Comment