Sunday, June 8, 2014

KESULTANAN JOHOR HARUS DIPELIHARA

Secara kebetulan aku berada di London ketika Baginda Queen Elizabeth of England menyambut ulang tahun pemerintahannya yang ke 50 -  Golden Jubilee. Bukanlah tujuan aku ke London semata-mata untuk melihat sambutan perayaan berkenaan. Hanya secara kebetulan.Yang aku nak kongsikan dalam rencana ini ialah tentang bagaimana rakyat Britain menghormati Queen (Raja) mereka. Mereka hormat dan sayang sungguh dengan Raja mereka. Aku kagum melihat majoriti rakyat Britain suka dan sayang pada Raja mereka. Aku dapat lihat dengan mata kepala aku sendiri.

Sebagai contoh. Telah ditetapkan bahawa pada hari-hari tertentu Baginda Queen akan berkereta (kadang–kadang naik kereta kuda) melalui jalan-jalan tertentu di kota London. Persiapan rapi telah disusun pada jalan-jalan yang akan dilalui oleh perarakan Queen itu. Dan yang menghairankan aku juga ialah tiga atau empat hari sebelum perarakan Queen itu berlangsung, sudah ramai rakyat Britain berkampung (berkhemah) di sepanjang jalan. Tujuan mereka berkampung lebih awal ialah untuk mendapatkan tempat yang ‘strategik’ untuk melihat Queeen secara dekat. Secara ‘live’.

Aku teringat pula pada tahun 1952, apabila Queen Elizabeth 11,  ditabalkan menjadi Queen of England menggantikan ayahnya. Pada ketika itu aku dalam Darjah Dua. Aku masih ingat pada hari pertabalannya  (Coronation), murid-murid sekolah (zaman penjajahan British) dipaksa mengadakan perayaan juga. Berbaris dan berkawad. Yang masih tidak dapat aku lupakan ialah bapak aku terpaksa membelikan aku kasut baru – kasut Bata berwarna putih – untuk menyertai perarakan itu. Walaupun pertabalan Queen berlaku di London, namun setiap kampung dan dusun tahu dan peka tentang pertabalan itu. Orang kampung tahu menyebut perkataan ‘Coronation’. Begitu hebat sekali peranan penjajah menjajah pemikiran orang Melayu….

Tradisi menghormati Raja dan Sultan terus sambung menyambung sehingga ke hari ini di negara kita Malaysia. YDP Agung telah diletakkan di tempat yang begitu tinggi dan disanjung oleh sekalian rakyat Malaysia – Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Tidak pula ada pihak-pihak yang cuba ‘menderhaka’ kepada YDP Agung semenjak dari dahulu lagi. Semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, kedudukan Raja-Raja Melayu memang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Hanya Perlembagaan Malaysia yang boleh mengatasi YDP Agung, Parlimen, Jemaah Menteri dan mahkamah.

Begitu juga dengan Sultan-Sultan di setiap negeri adalah dalam kelas mereka yang tersendiri seperti juga dengan kedudukan Queen of England sebagaimana yang aku jelaskan serba sedikit tadi. Walaupun mereka bukan berkuasa mutlak namun Perlembagaan Malaysia telah meletakkan mereka di suatu tahap sebagai pelindung kepada rakyat Malaysia. Raja Berperlembagaan. Mereka adalah merupakan tempat untuk melakukan ‘rujukan terakhir’ apabila negara menghadapi sesuatu kebuntuan yang tidak dapat diselesaikan. Selagi ada ruang dan jalan yang boleh menyelesaikan sesatu masalah maka tidak sepatutnya YDP Agung atau Sultan-Sultan diheret sama dalam  kemelut yang berlaku dikalangan rakyat.

Amat sesuailah pandangan banyak pihak bahawa Kesultanan Johor dipelihara dengan secermat-cermatnya agar tidak dinodai walau dari sesiapa dan dari pihak mana pun. Hal ini ada kaitannya dengan ura-ura Dewan Undangan Negeri Johor yang mahu membentangkan rang undang-undang berkaitan soal perumahan yang membabitkan secara langsung Sultan Johor. Rakyat Johor tentunya begitu gembira mendapat berita tentang keperihatinan baginda, namun rakyat merasa bimbang juga tentang implikasi negatifnya. Sekiranya timbul kemudian hari. Justeru rakyat Johor amat bimbang dengan keadaan tersebut.

Lagi pun Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa,

“Keluhuran perlembagaan merupakan prinsip Rukun Negara yang ketiga. Keluhuran Perlembagaan bermaksud keagungan dan ketertinggian undang-undang atau perlembagaan itu sendiri.. Keluhuran Perlembagaan Malaysa mengatasi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah. Dengan itu semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia adalah tidak sah. Selain itu undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya”

Tentulah aku tidak mahu membincangkan mengenai isu perlembagaan ini. Aku pun tidak arif tentang hal undang-undang negara. Cuma yang diharapkan ialah bahawa amat sesuailah agaknya pandangan-pandangan dari Tun Dr. Mahathir dan DS Mohd Najib dirujuk dan diambil kira oleh Menteri Besar Johor agar kedudukan Sultan terpelihara buat selama-lamanya.

abuhassanadam
8 Jun 2014



No comments:

Post a Comment