Thursday, June 19, 2014

 YANG MENYEBABKAN MELAYU LEMAH:
“KAYU JUGA MENUMBANGKAN KAYU”

Walaupun apa yang telah dilakukan oleh kerajaan selama setengah abad ini dikira berjaya membantu orang Melayu namun masih ada lagi ‘tompok-tompok’ kegagalan kerajaan di sana sini. Mahu tak mahu orang Melayu mesti dibantu. Dan tidak pula bermakna bahawa orang bukan Melayu mesti diketepikan. Kaum-kaum yang memerlukan samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan mesti dibantu seiring dengan hasrat kerajaan yang menganggap bahawa mereka juga adalah rakyat Malaysia.

Namun aku kurang bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa golongan bukan Melayu tidak harus diberikan keutamaan. Maknanya segala bantuan dan tumpuan mesti diuatamakan kepada orang Melayu. Alasannya ialah bahawa orang Melayu terutama di kawasan luar bandar yang telah memberikan kemenangan besar kepada kerajaan BN dalam PRU ke 13 yang lalu. Apakah ini merupakan rasional yang betul dan tepat? Adalah dirasakan ramai orang Melayu yang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Aku terpaksa bersandar kepada fakta sejarah untuk meneruskan hujah bahawa orang Melayu (yang miskin) mesti terus dibantu, walapun golongan bukan Melayu (yang memerlukan) tidak harus diabaikan. Aku teringat kepada detik sejarah negara dimana pemimpin negara yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum amat sukar untuk menyelesaikan isu kerakyatan Jus Soli. Kaum bukan Melayu pada ketika itu terus menerus mendesak agar kerakyatan diberikan kepada bukan Melayu yang telah buat beberapa lama tinggal dan telah sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada  negara ini.

Orang Melayu melalui UMNO pula terus menerus menentang cadangan pemberian kerakyatan kepada golongan imigran itu, dengan alasan bahawa negara ini adalah sah dimiliki oleh orang Melayu. Dan mereka juga memberikan contoh negara jiran seperti Indonesia dan negara Thai yang tidak langsung ‘memberi muka’ kepada golongan imigran di negara mereka. Di negara Thai misalnya Pibhul Songgram bertindak ganas terhadap sekolah Cina dan akhbar Cina. Orang Melayu sentiasa menjadikan keadaan di Thailand dan Indonesia sebagai contoh bagi mereka untuk menolak kerakyatan Jus Soli yang diperjuangkan oleh golongan bukan Melayu.

Atas semangat pakatan murni dan rundingan yang diadakan antara kaum, maka akhirnya Raja-Raja Melayu telah bersetuju memberikan kerakyatan ‘jus soli’ kepada golongan imigran, khususnya orang Cina dan India  yang telah sekian lama tinggal di negara ini dengan syarat golongan bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa yang diberikan kepada orang Melayu. Itu merupakan satu ‘ikatan kekeluargaan’ yang sungguh mantap dikalangan penduduk di negara ini.

Dirasakan bahawa tidak ada negara di dunia yang telah membuat satu pakatan dan rundingan ‘sehebat’ itu yang telah menyebabkan pihak penjajah British ‘kagum’ dengan pakatan yang telah ditunjukkan oleh ketiga kaum terbesar di negara ini. Dan pakatan inilah yang telah berjaya mencipta dan membangunkan negara ini seperti mana yang dapat dilihat kini. Tentulah terdapat kelebihan dan kekurangannya.

Semangat menolong orang Melayu juga seharusnya kembali kepada semangat yang dicetuskan oleh Dato Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock ketika mereka menerajui Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum ( Consultative Liason Committee) pada tahun 1949 dahulu. Keikhlasan mereka untuk betul-betul menolong Melayu terpancar dalam hasrat mereka menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Desa atau RIDA (Rural Industrial Development Authority) yang bermatlamat untuk memajukan orang Melayu di kampung-kampung dalam lapangan ekonomi.


Golongan Melayu masih lemah dalam semua lapangan walaupun diberikan bantuan dan pertolongan oleh pihak kerajaan. Ini tidak pula bermakna bahawa orang Melayu tidak berusaha untuk menempa kejayaan dan membaiki diri. Tidak pula bermakna bahawa orang Melayu itu malas sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan oleh pihak British pada suatu ketikaa dahulu.
Hakikatnya orang Melayu masih lemah. Tentulah banyak sebab-sebabnya.

Tidak perlulah kita menuding jari ke arah mana untuk kita meletakkan kesalahan itu.

Yang jelasnya, bahawa kaum bukan Melayu telah berusaha untuk memahami kedudukan orang Melayu yang lemah dalam berbagai lapangan itu. Kaum bukan Melayu simpati dengan keadaan itu. Golongan bukan Melayu tidak pernah mempersoalkan mengenai ‘hak keistemewaan yang diberikan kepada orang Melayu’ seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Dan golongan bukan Melayu juga telah bekerjasama dengan kerajaan memberikan makna sebenar kepada dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal tahun 1970an. Golongan bukan Melayu faham bahawa orang Melayu perlu dibantu dalam usaha untuk menjadikan sebuah negara aman untuk dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. Walaupun wujud perasaan ketidakpuasan dikalangan segelintir golongan bukan Melayu berkaitan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, namun pada dasarnya DEB dipersetujui oleh semua kaum di negara ini.

Tetapi soalnya ialah sampai bila orang Melayu perlu dibantu? Dan yang menyedihkan ialah majoriti orang Melayu ( terutama yang berada di luar bandar) masih dalam keadaan yang memerlukan. Seolah-olah DEB telah disalahertikan. Disalahgunakan. Dan konsep ‘kedudukan istemewa orang Melayu’ telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memberikan kekayaan kepada kaum keluarga dan sahabat handai mereka sedangkan majority Melayu di luar bandar masih dalam keadaan miskin papa kedana, mengaharapkan bantuan BRIM dan kain batik dan beras sekampit lima tahun sekali.

Yang menikmati kemewahan dan kekayaan negara adalah golongan Bumiputera yang ‘bertuah’ sepertimana yang telah didedahkan oleh YB Rafizi Ramli dalam Malaysiakini bertarikh 18 Jun 2014. “PKR mendakwa seorang usahawan berkait rapat dengan Umno dan pernah penjadi pemimpin kanan parti itu di sebuah negeri mendapat kontrak pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam melalui syarikat yang dikuasai beliau dan ahli keluarganya” Itu satu contoh dari puluhan contoh menunjukkan hanya segelintir orang Melayu yang betul-betul mendapat nikmat daripada DEB yang diperkenalkan.

Perlembagaan Malaysia juga telah melahirkan ramai orang Melayu. Bukan semua orang Melayu mesti dibatu. Bukan semua yang pandai berbahasa Melayu dan beragama Islam mesti dibantu. Sudah begitu ramai golongan bukan Melayu yang memeluk agama Islam dan menggunakan nama Melayu ‘ bin atau binti Abdullah’. Jikalau dahulu mereka menggunakan ‘s/o’  maka kini mereka telah menggunakan ‘bin’ dan ‘binti’. Terlalu ramai yang berkeadaan demikian. Sekiranya kumpulan ini mahu dikategorikan sebagai Melayu, maka tentulah semakain ramai yang memeluk Islam nanti untuk mendapatkan ‘status’ sebagai Melayu.

Kelemahan orang Melayu kini tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kepada orang lain, kaum bukan Melayu misalnya. Mungkin yang harus dipersalahkan juga ialah pemimpin Melayu itu sendiri yang bertanggungjawab diatas kegagalan dan kelemahan orang Melayu walaupun setelah setengah abad mencapai kemerdekaan.

abuhassanadam
19 Jun 2014



1 comment:

  1. Tn Abu Hassan, Semua rakyat harus dibantu kerana terpinggir. Tetapi apabila konsep "hak" (birthright) atau slogan terkini ia itu "Ketuanan Melayu" dimain berulangkali, saya berasa agak sukar bagi pemimpin politik dan kakitangan kerajaan(yang hampir kesemuanya drpd satu kaum) melaksanakan program/dasar dengan adilnya. Bukankah"Charity starts at home?" Adakah cadangan formula 4:1 (post- kemerdekaan) dalam perjawatan awam masih dipakai?

    Ingatkah tindakan terdesak orang India suatu ketika dahulu melalui Hindraf? Mereka merasakan mereka sudah sampai ke penghujung jalan; tiada lagi pilihan bagi mereka melainkan turun untuk berdemo. Tujuannya bagi kerajaan mengetahui masalah mereka. Adakah mereka dibantu dengan adil setakat ini? Dan pada saya, tindakan "kurang masuk akal" iaitu menuntut kerugian yang jumlahnya berbilion-bilion drpd kerajaan British hanya satu helah bagi dunia tahu bahawa mereka terpinggir di negara sendiri. Sejurus berlakunya kejadian Hindraf, saya dengar komen drpd seorang Melayu : "Bukan orang Hindu sahaja yang susah, ramai lagi orang Melayu yang susah". Dalam hal ini pemimpin-pemimpin politik harus memikir : "Adakah orang India dibantu dengan adilnya setakat ini?" Kaum India sering bersungut bahawa mereka mendapati sukar untuk memasuki universiti. Mereka minta diberi kelonggaran. Apakah peminggiran kaum India memaksa remaja mereka melibatkan diri dalam gengsterisme? Dan betulkah kaum India tidak terpinggir sehingga seorang bekas PM mengatakan bahawa kebanyakan orang India ialah peguam? Saya masih ingat orang India pernah diberi peluang menyertai rancangan Felda perintis suatu ketika dahulu. Betul atau tidak? Tetapi kini setahu rakyat, Felda sinonim dengan satu kaum sahaja.

    Adakah orang Cina berasa terpinggir? Sudah lebih 40 tahun terlaksananya DEB. Kerajaan bergerak dengan begitu ghairah dan pantasnya untuk membantu kaum majoriti yang terpinggir dalam negara sendiri. Pelbagai agensi (spt. Pernas)wujud untuk melaksanakan program-program. Dan perkataan "untuk Bumiputra sahaja" merupakan motto baharu. Jika kita kaji betul-betul semangat dan objektif DEB, ia bukan satu dasar yang hanya membantu satu kaum sahaja! Tetapi bagi kebanyakan rakyat ,DEB sinonim dengan Melayu/Bumiputra. Keghairahan membantu satu kaumlah yang membuat kaum lain merasakan diri mereka terpinggir. Itulah perasaan orang Cina sampai hari ini. Tanyalah orang Cina. Tetapi apa boleh buat. Terus hidup; haruslah bekerja lebih kuat. Survival kan? Orang Cina bacul, rata-ratanya penakut; mereka tidaklah seberani macam orang India dengan Hindraf mereka. Itulah saya terkilan melihat ADUN PKR drp Machang Bubok (seorang Cina) yang berani sangat menghina PM dengan tindakan "kurang ajar" ekoran komen PM tentang harga kangkung. Itulah minda/psyche orang Cina di Malaysia. Kerana survival mereka terpaksa "pulun" dalam segala bidang yang mereka ceburi. Lihatlah betapa "hebat"nya mereka dalam bidang akademik. Siapa dapat menandingi budak-budak CIna dalam pelajaran? Lihat sahaja pada keputusan peperiksaan awam (SPM, dsbnya), kaum mana yang sentiasa menyerlah? Dan tidakkah mereka merasakan mereka terpinggir (kerajaan tidak adil) apabila mereka tidak mendapat kursus yang mereka memohon ke universiti? Adakah kepala budak Cina lebih besar drpd kepala kaum lain di Malaysia sehinggakan mereka menyerlah dalam peperiksaan? Tidak, saiz kepala semua kaum sama sahaja. Tetapi kerana mereka tahu mereka tidak akan dibantu oleh kerajaan. terpaksalah mereka bekerja keras. Melibatkan diri dalam kegiatan haram (pelacuran, perjudian, VCD haram, "along" dsnya): juga menggambarkan kejayaan orang Cina di negara ini.

    ReplyDelete