USTAZ KAZIM BOLEH LAKUKAN……
Antara banyak isu yang disentuh oleh Ustaz Kazim
melalui ceramah-ceramahnya melalui TV, yang paling menarik perhatian aku ialah
apabila beliau menceritakan tentang disiplin sekolah yang ditadbirnya. Aku
kagum apabila beliau mengatakan bahawa kesemua meja tulis pelajar-pelajar di
sekolahnya tidak terdapat walau sedikit pun contengan-contengan dan beliau juga
mengatakan bahawa tidak ada sebarang ‘lukisan’ yang terdapat didinding-dinding
tandas di sekolahnya. Dar lubuk hati aku yang amat ikhlas ini, izinkan aku
mengucapkan syabas kepada Ustaz Kazim yang bukan sahaja boleh berceramah dan
memberi nasihat kepada masyarakat dengan berkesan tetapi juga ‘mengota apa yang
dikatakannya’.
Lantas aku terfikir dan menyoal diriku. Mengapa
kebanyakan sekolah-sekolah kerajaan tidak dapat melakukan apa yang boleh
dilakukan oleh Ustaz Kazim sedangkan peruntukan kewangan bagi sesebuah sekolah
menengah atau rendah kerajaan jauh lebih tinggi daripada peruntukan sekolah
Ustaz Kazim.
Aku tidak menafikan bahawa ada di antara sekolah
kerajaan yang mempunyai disiplin yang cukup baik. Mungkin banyak. Namun
disebabkan oleh beberapa sekolah yang mengalami keadaan disiplin yang amat
teruk, telah menyebabkan masyarakat menganggap kebanyakan sekolah-sekolah kerajaan
berkeadaan demikian.
Aku masih teringat bagaimana Sekolah Menengah
Sains Selangor di bawah pimpinan pengetuanya, Tuan Haji Ariffin bin Abdul
Rahman pada suatu ketika dahulu. Bagi aku merupakan sekolah contoh. Bukan
sahaja dari segi kebersihan tetapi dari segi disiplin pelajar dan juga
penumpuan yang diberikan oleh Pengetuanya dari segi didikan agama Islam. Pernah
diceritakan kepada aku bahawa beliau tidak pernah gagal walau sekalipun untuk
berjemaah solat subuh bersama pelajarnya (sekiranya beliau tidak diarah
bertugas diluar sekolah). Dan beliau memastikan kehadiran di solat subuh adalah
100%.
Aku masih ingat juga tentang sebuah sekolah
rendah di daerah Macang Kelantan yang mempunyai tandas yang cukup bersih.
Ketika berada dalam tandas berkenaan seolah-olah aku berada dalam tandas di
sebuah hotel bertaraf lima bintang sedangkan tandas yang aku masuki itu hanya
merupakan tandas sebuah sekolah rendah di kawasan kampung.
Aku pernah juga berkesempatan melawat sebuah
sekolah di daerah Temerloh Pahang di sekitar awal tahun 1990an. (Malangnya aku
sudah tidak dapat mengingati nama sekolah berkenaan. Yang aku ingat ialah
Pengetuanya bernama Saudara Osman. Secara kebetulan rakan baik aku ketika di
University dulu) Aku amat kagum melihatkan tentang sifat amanah yang dipamerkan
oleh pelajar-pelajar di sekolah berkenaan. Yang menyebabkan aku kagum ialah
tentang kantin yang tidak ada penjaga. Pelajar-pelajar hanya ‘membeli’ makanan
dengan cara meletakkan wang mereka di suatu tempat dan mengambil makanan
mengikut harga yang ditetapkan.
Persoalannya mengapa keadaan sebegini boleh
berlaku dan tidak boleh dilakukan di tempat-tempat lain.
Ini bergantung kepada sikap pelajar, guru-guru
dan yang terpenting sekali ialah sikap pengetuanya. Sekiranya kesemuanya
berperanan untuk bergerak sederap memajukan sekolah, maka tidak ada sebab
mengapa perkara sedemikian tidak boleh dilakukan. Dan berkemungkinan juga
disebabkan penumpuan pengetua sekolah dan guru-guru adalah kepada pencapaian
dari segi akademik telah menyebabkan
hal-hal yang berkaitan dengan disiplin dan kebersihan telah diabaikan.
Mungkin….
Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya
menggalakkan warga kementerian untuk melawat sekolah Ustaz Kazim di Ipoh dan
mempelajari apa yang telah dilakukan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar di sana.
Tidak perlulah pihak Kementerian Pendidikan menghantar pegawai-pegawai ke luar
negara ( ke Jepun misalnya) untuk mengkaji cara-cara perjalanan sekolah di
sana. Tidak perlu. Kita boleh lihat dan dapati bahawa di negara kita juga ada ‘tokoh’tokoh’
pendidik kita yang mampu melakukannya.
‘Unsung heroes’ yang sebegini amat patut
diketengahkan, dan bukan guru-guru yang
hanya pandai mengampu tokoh-tokoh politik……
abuhassanadam
16 Jun 2014
No comments:
Post a Comment