Tuesday, June 3, 2014

MORRIS MINOR BAHSIN

‘Morris Minor’ adalah jenama kereta buatan British. Entah ada lagi ke atau tidak kini kereta yang berjenama sedemikian aku tidak berapa tahu. Di Malaysia kini sudah tidak lagi kelihatan kereta berjenama sedemikian. Namun waktu dulu-dulu, dalam tahun-tahun 50an dan 60an, jenama ‘Morris Minor’ sangat terkenal di Malaya, terutama zaman sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Bahsin pula nama orang. Aku panggil Pak Bahsin. Pelik juga nama itu. Orang kampung aku sememangnya suka memanggil nama yang pelik-pelik, walaupun dalam daftar kelahiran seseorang itu memiliki nama yang mirip nama-nama yang berunusr keislaman. Maka terdapatlah nama-nama seperti Kun ( atuk aku sebelah bapa), Putih (atuk aku sebelah emak) Pandak Kunut, Uda Dasar, Yeop Kentin, Pandak Iring, Tek Putik, Kontak, Pandak U, Ngah Saja dan banyak lagi. Jadi Bahsin adalah nama gelarannya di kampung. Dan aku tidak tahu pula nama sebenarnya.

Pada awal 1950an, yang ada memiliki kereta di kampung aku (sebenarnya bukan kampung aku pun) ialah Pak Bahsin. Dia memiliki Morris Minor. Yang aku dapat bayangkan sehingga kini ialah keretanya beratapkan kain dan dindingnya hanya separuh sahaja. Roda keretanya seperti roda basikal. Maksud aku berjejari. Bukan seperti kereta sekarang ini. Bayangkanlah…..

Aku tidak pernah menaiki kereta Pak Bahsin. Mendekatinya pun aku ‘takut’ kerana Opah melarang aku berbuat demikian, takut tercalar ataupun rosak keretanya nanti. ‘Kita bukan ada duit nak ganti’ kata Opah. Dan Pak Bahsin boleh dikatakan orang berada di kampung Sungai Ati. Berniaga. Dia ada sebuah kedai runcit dan di situlah orang kampung mendapatkan barang keperluan. Ini termasuklah para penduduk dari kampung aku yang bersebelahan dengan Kampun Sungai Ati.

Tidak seorang pun penduduk kampung aku yang memiliki kereta, walaupun seperti kereta Pak Bahsin. Miskin belaka. Mungkin ada juga agaknya yang mampu membeli kereta tetapi disebabkan ketiadaan jalan merentasi kampung aku, maka tentulah tidak ada penduduk kampung aku yang menggunakan kereta. Jalan yang ada pada ketika itu hanyalah jalan untuk pejalan kaki ataupun boleh digunakan oleh basikal. Dan secara kebetulan pada ketika itu, basikal pun belum banyak digunakan di kampung aku. Kebanyakan orang kampung berjalan kaki sekiranya untuk pergi ke bandar yang berhampiran, Padang Rengas. Di Perak ler tu..

Seingat aku jalan yang berturap tar, hanya sampai ke stesyen keretapi Padang Rengas ( kini sudah tiada lagi). Tidak ada jalan bertar untuk pergi ke kampung-kampung seperti kampung Lalang, Sungai Ati, Keroh Hilir, Keroh Hulu, Paya Lintah, Laneh, Labu Kubung. Pak Bahsin menggunakan jalan tanah merah untuk membawa keretanya ke kampungnya. Jikalau musim hujan mungkin keretanya akan terpaksa ‘berteduh’ di rumah buat beberapa lama.

Aku dan kawan-kawan merasa begitu seronok dan gembira sekiranya dapat menaiki kereta lembu kepunyaan seorang Benggali di pekan padang Rengas. Kebiasaanya kami merasa begitu lega apabila dapat menaiki kereta lembu berkenaan ( cara curi) ketika pulang dari sekolah. Biasanya ‘pemandu’ kereta lembu berkenaan akan melarang kami menaiki keretanya. Maklumlah tentu akan menyusahkan lembunya untuk menarik kereta yang dipenuhi dengan ‘penumpang’ seperti kami. Walau bagaimana pun kami tahu tektik dan teknik untuk jadi ‘penumpang’ kereta lembu berkenaan. Itu semua ‘rahsia’ yang masih tersimpan.

Aku akan tersenyum bersendirian mengenangkan peristiwa berkenaan.

Kenderaan berenjin yang pernah memasuki kampung aku pada awal tahun 1950an adalah motosikal Cikgu Mansor yang berjenama ‘Norton’. Gemuk orangnya. Berasal dari Kampung Lalang. Beliau selalu datang ke kampung kami untuk menziarahi bapak saudaranya, Tokki Anjang Dahaman. Akan merupakan satu pesta pula menyambut kehadiran Cikgu Mansor dengan motorsikal ‘Norton’nya. Apa tidaknya.

Sekumpulan budak-budak kampung ( termasuk aku ler tu) akan berlari mengekori motorsikal Cikgu Mansor melalui jalan kampung kami. Tentulah tidak boleh dibawa dengan laju. Jalan sempit yang hanya digunakan pejalan kaki atau pun basikal sahaja. Oleh itu motorsikal Cikgu Mansor tidak boleh dipandu laju. Dengan demikian dapatlah kami mengekorinya. Seronok betul rasanya berbuat demikian.

Dan apabila motorsikal Cikgu Mansor di ‘park’ berhampiran dengan rumah Tokki Anjang Dahaman, maka kami akan berkumpul disekeliling motorsikal berkenaan, ‘memerhatikan’ motorsikal berkenaan. Kagum!!..Ada di antara kami yang menyentuh motorsikal berkenaan. Ramai juga yang tidak berani berbuat demikian. Takut rosak!!....Aku ingat sentiasa pesan Opah,’kita tidak ada duit nak bayar …”

Begitulah ‘rendah dirinya’ orang Melayu di kampung-kampung pada ketika itu disebabkan himpitan kemiskinan. Sentiasa dalam ‘ketakutan’ walaupun tidak ada alasan untuk berkeadaan demikian. Apakah masih begitu keadaan orang Melayu di kampung-kampung kini? Apakah orang Melayu kampung awal Kurun ke 21 masih bersikap ‘tolol’ dan ‘tongong’ seperti orang Melayu tahun-tahun 1950an? Apakah orang Melayu masih boleh dibeli dengan harga yang begitu murah sehingga sanggup menggadaikan hak dan perjuangan diri.

Dan yang lebih penting ialah orang Melayu seharusnya tahu menilai yang mana baik dan buruk dan seharusnya jangan tertipu dengan kata-kata manis. Berfikirlah sebelum bertindak.

abuhassanadam
3 Jun 2014


No comments:

Post a Comment