PERTAMBAHAN MENTERI KABINET:
KE MANA NEGARA HENDAK DIBAWA
Perdana Menteri telah pun mengumumkan penambahan
jumlah menteri dalam kabinetnya. Kini jumlah menteri dan timbalan menteri yang
menganggotai kabinet DS Najib berjumlah 35 menteri penuh dan 27 Timbalan
Menteri. Kata golongan bijak pandai dan penganalisis politik, jumlah itu agak
besar bagi Malaysia yang merupakan sebuah negara yang kecil berbanding dengan
negara-negara seperti India, United Kingdom, Amerika Syarikat dll. Jika
ditinjau dari segi jumlah menteri dan timbalan menteri maka tidak syak lagi
bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ‘hebat’- dari segi kuantiti.
Malaysia sentiasa ‘hebat’ dalam hal-hal sebegini.
Kita ada bangunan tinggi yang merupakan antara yang tertinggi di dunia. Kita
boleh cipta berbagai jenis kuih yang boleh dianggap terbesar, terpanjang di
dunia. Kita boleh adakan perayaan secara besar-besaran untuk meraikan
‘kehebatan’ hasil karya kita yang dianggap antara yang ‘terhebat’ di dunia.
Cuma kita agak ‘tewas’ dalam pertandingan yang membabitkan hal-hal berhubung
dengan hal pendidikan. ‘Bab’ ini kita kalah.
PISA (Program for International Student
Assessment )adalah ujian untuk
menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun
dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and
Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Yang ini kita
kalah.
Berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara lain kita kalah. Jelas
menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore,
Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata
pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa
pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun
terkehadapan berbanding dengan Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang
lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20
teratas.
Apakah Menteri pelajaran di negara kita tidak bimbang dengan
pencapaian negara kita? Apakah Menteri Pelajaran tidak runsing dengan kedudukan
university kita yang berkedudukan hampir tercorot berbanding dengan
university-university di negara jira seperti singapura? Mungkinkah dengan sebab
sedemikian telah menyebabkan ada ura-ura yang mengatakan bahawa Menteri
Pelajaran kita berhasrat untuk mengundur diri? Persepsi rakyat mengenai
perjalanan kementerian Pelajaran Malaysia kini amat negatif dan perlu
dipulihkan segera.
Aku tidak dapat menjangkau apakah yang ada dalam fikiran para
menteri samada yang baru dilantik ataupun yang sudah lama ‘menghangatkan’
kerusi menteri. Aku amat yakin bahawa rakyat Malaysia kurun ke21 memerlukan
seorang Menteri yang juga seorang pemimpin bukan seorang menteri yang hanya
boleh mentadbir. Rakyat perlukan seorang menteri bukan sahaja hadir di parlimen
dan membaca apa saja yang telah ditulis oleh para pegawai di kementeriannya
tanpa mengerti dan faham sebenar-benar apa yang ditulis. Bagi aku tugas
mentadbir sesebuah kementerian boleh saja diserahkan kepada Ketua Setiausaha
Kemnterian yang sememangnya terlatih untuk menjadi pentadbir sebuah kementerian
yang diselenggarakannya. Tidak syak lagi bahawa sememangnya mereka layak
menjalankan tugas itu.
Yang diharapkan dari seorang Menteri kabinet ialah idea bagaimana
memajukan kementerian dan negara. Menteri sepatutnya memberikan sumbangan idea
yang mengarahkan kepada kepimpinan yang berkesan. Untuk mencari dan menimba
idea, seseorang menteri seharusnya membaca banyak buku-buku yang boleh membantu
memperkayakan idea untuk digembelingkan. Berapa orang agaknya antara menteri
kita yang mendampingkan diri mereka dengan buku-buku yang memaparkan tentang
idea-idea baru yang boleh dipraktikan di Malaysia kini.
Kita memerlukan menteri dan timbalan menteri yang ‘competent’ dan
bukan bertaraf ‘mediocre’ yang hanya pandai ‘berborak’,
‘bersembang’,’mengelentong’ dan hanya layak mendapat gelaran sebagai ‘loyar
buruk’ sebagaimana yang dipamerkan oleh setengah menteri negara kita kini. Kita
memerlukan menteri yang bukan bertaraf menteri ‘kedai kopi’ yang lebih mirip
kepada ‘tin kosong’ yang hanya pandai menghasilkan ‘bunyi’ yang nyaring tanpa
‘isi’.
Menteri yang kita perlukan adalah yang boleh ‘bersepak terajang’
di arena antarabangsa. Kita memerlukan menteri yang boleh menguasai sesuatu persidangan antarabangsa
di mana fikiranya sentiasa dirujuk mengenai sesuatu perkara. Rakyat tidak
berbangga sekiranya seseorang menteri dapat ditemuramah oleh media antarabangsa
disebabkan lobi dan ‘public relations’ yang diusahakan oleh sesebuah syarikat
PR yang digaji. Itu tidak langsung membanggakan rakyat. Dan menteri sedemikian
dikira belum layak untuk dikira sebagai pemimpin negara dalam ertikata yang
sebenarnya.
Sudah lebih setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan. Aku
tidak menafikan yang kita telah membuat perubahan dan telah dipandang agak
tinggi oleh negara luar beberapa ketika dulu. Tetapi kini aku merasakan kita
sedang berundur ke belakang. Aku sedar bahawa negara pernah begitu laju
‘meluru’ kehadapan dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an, sehingga negara
Malaysia mendapat jolokan sebagai antara ‘harimau’ Asia yang sedang muncul.
Sampai begitu sekali anggapan setengah masyarakat dunia kepada negara ini
melihatkan kerancakan ekonomi Malaysia pada ketika itu.
Anak-anak Malaysia yang berada di luar negara pada tahun-tahun
1990an merasa begitu bangga sekali menjadi putera-puteri Malaysia. Di mana saja
kita pergi nama Malaysia begitu harum dan sentiasa disanjung, dipuja dan di
puji. Tetapi kini aku merasa sangsi dengan keadaan sedemikian. Apabila membaca
akhbar-akhbar dan majalah luar negara, terlalu ‘terkebelakang’ rasanya keadaan
negara kita berbanding dengan negara-negara lain di Asia.
Bilakah agaknya keadaan sebegitu dapat dipulihkan supaya anak
Malaysia yang sentiasa pergi keluar negara merasa bangga menjadi rakyat
Malaysia.
abuhassanadam
26 Jun 2014
No comments:
Post a Comment