Sunday, September 23, 2018

ANTARA AZMIN DAN RAFIZI

Kedua-duanya aku kenal rapat. Personal. Azmin ( Dato Seri Azmin Ali) pernah duduk bersebelahan  bilik dalam satu pejabat pada suatu ketika dahulu sedangkan Rafizi pula pernah berada ‘dibawah dagu’ ketika beliau masih pelajar di United Kingdom dan juga sebagai pemimpin UKEC ( United Kingdom Executive Council) mengambil alih kepimpinan daripada Arwah Adlan Benan bin Omar.  Tentulah banyak boleh diperkatakan tentang kedua-dua tokoh ini. Dan kini mereka ‘berentap’ untuk ‘menakluki’ jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-duanya hebat. Noktah.

Ramai juga ‘di luar’ sana dan terutama yang berada ‘dipinggiran’ dan yang sentiasa memainkan peranan untuk ‘mengadu-domba’ antara pemimpin merasakan bahawa pertembungan antara kedua-dua tokoh muda ini akan membawa kepada perpecahan PKR. Dengan tegas aku katakan ‘TIDAK”. Malah aku yakin bahawa ‘pertempuran’ sebegini akan membawa kepada keutuhan yang benar-benar kepada parti PKR.

Sekiranya pertembungan kedua tokoh muda ini boleh memcetuskan perpecahan dalam PKR, pastinya DS Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan pertembungan sebegini berlaku. Tentunya beliau akan memujuk antara keduanya supaya jangan ada pertembungan dan tentunya juga beliau tidak mahu salah seorang ‘terlepas’ dari kepimpinan PKR. DS Anwar seolah-olah menggalakan pertandingan ini. Dengan jelas menunjukkan bahawa PKR mengamalkan sistem demokrasi sebenar dan bukan hanya sebagai ‘cakap-cakap’ seperti mana yang diamalkan oleh parti lain.

Lagipun sekiranyalah pemilihan yang diamalkan oleh PKR ini berjaya, maka PKR telah menempa sejarah yang merupakan parti pertama yang betul-betul mengamalkan prinsip demokrasi dalam pemilihan pemimpinnya. Disamping itu untuk menjayakan pemilihan yang begitu rumit ini semua pihak dalam PKR harus bekerjasama menentukan perjalanan pemilihan ini berjalan di atas landasan yang betul, samada pihak pemimpin atasan mahupun juga  di peringkat akar umbi.

Sebarang penyelwengan yang boleh mencacatkan prinsip pemilihan harus ditentang habis-habisan. Misalnya hal yang berkaitan dengan politik wang harus dibenteras habis-habisan. Hampir runtuhnya parti UMNO adalah berpunca daripada politik wang. ‘Cash is king’. Dengan demikian sekiranya ada kelihatan benih-benih politik wang yang cuba bercambah dalam PKR, maka para ahli harus membenteras dan melenyapkannya dengan segera.

Dan sekiranya ada pula para calon-calon yang bertanding ( disemua peringkat) cuba mengamalkan politik wang, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk mendedahkan dengan segera perbuatan yang terkutuk itu demi kelangsungan PKR. Dan perlu disedari juga oleh semua ahli bahawa PKR kini adalah dalam peringkat menyemaikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan kepimpinannya. Rakyat sedang memerhatikan dengan teliti terutama dalam pemilihan yang sedang diadakan kini.

Ahli PKR seharusnya sudah matang dalam soal pemilihan. Dalam hal menentukan antara Azmin dan Rafizi sudah barang tentu sekali pihak perwakilan tahu memilih antara intan dan intan yang bergemerlapan. Kedua-duanya adalah intan. Pastinya para perwakilan agak sukar untuk membuat pemilihan. Tentulah banyak kriteria yang akan digunakan bagi penentuan syarat untuk memilih sesuatu tokoh itu. Kedua-duanya telah menunjukkan kebolehan dan kekuatan masing-masing.

Pastinya DS Anwar Ibrahim tidak mahu kehilangan walau seorang pun. Dan diatas keyakinan inilah maka rakyat juga yakin bahawa tidak akan ada perpecahan dalam PKR. Jika salah seorang tewas dalam pertembungan ini pastinya tidak akan ‘dilepaskan’ oleh DS Anwar dan membiarkan terus ‘berkelana’. Malah akan terus ‘digembelingkan’ demi untuk keutuhan PKR. Ini bukannya ‘Zero-sum game’ di mana yang kalah akan kehilangan kesemuanya. Bukan. Tidak akan timbul ‘yang kalah’ akan ‘melompat’ kepada parti lain.

Ahli PKR diseluruh negara harus faham tentang hakikat ini. Yang menang tidak semestinya disanjung ‘melambung’ dan yang kalah tidak akan diketepikan dan ‘dibiarkan’. Terpulanglah kepada ahli untuk membuat penentuan antara Azmin dan Rafizi. Bagi mereka yang faham erti pertandingan sebenar (mengikut lunas demokrasi) pastinya akan tersenyum lebar melihat pertandingan ini. Cuma yang perlu diingat oleh setiap ahli yang menjalankan undian ialah jangan ada calon yang cuba mengamalkan rasuah dan politik wang. Hakikat ini amat ditentang oleh kepimpinan baru kepimpinan Harapan dan oleh bakal Perdana Menteri kelapan yang cuba diperjuangkan.

Selamat ‘bertarung’ antara Azmin dan Rafizi.

abuhassanadam
23 September 2018



Saturday, September 22, 2018

APA NAK JADINYA DENGAN SEGELINTIR MELAYU?

Mungkin betul juga agaknya apabila DS Mohd Najib, bekas Perdana Menteri mengatakan bahawa ‘Cash is king’. Keadaan sedemikian diperkukuhkan dengan melihat suasana masyarakat sekarang (terutamanya segelintir orang Melayu) yang masih yakin dan percaya apa yang dikatakan oleh Ds Najib berkaitan dengan IMDB. Tentulah ada sesuatu sebab yang menyebabkan segelintir orang Melayu sedemikian terus menerus semacam tidak mahu mempercayai bahawa sebenarnya beliau telah melakukan ‘malapetaka’ kepada negara dan rakyat Malaysia.

Mungkin jugalah falsafah ‘cash is king’ ini telah menular dengan begitu meluas dikalangan segelintir masyarakat Melayu yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian ataupun mungkinkah segelintir orang Melayu sedemikian masih bodoh, tongong, tengin, pandir atau ‘bahlul’(meminjam kata-kata P. Ramlee dalam salah sebuah filem yang dilakonkannya). Kini sudah ramai yang hairan mengapa masih ada segelintir orang Melayu yang masih boleh ‘diperbodoh-bodohkan. Kemungkinan juga DS Najib sendiri ketawa sendirian mengenangkan tentang kebodohan orang Melayu ini yang boleh ‘digula-gula’ dan ‘ditpu hidup-hidup’.

Betulah bahawa mengikut perundangan, DS Najib belum lagi dikatakan bersalah sehingga ditetapkan bersalah oleh mahkamah. Namun seluruh dunia merasakan yang beliau telah melakukan satu kesalahan yang amat berat kepada negara berasaskan maklumat yang diperolehi oleh mereka. Rakyat Malaysia sudah cukup malu dengan tindakan DS Najib dan beberapa pengkhianat negara yalg lain yang telah mencemarkan nama negara Malaysia yang sebelumnya begitu harum di mata dunia. Dan kini menjadi bahan jenaka dan bahan tertawa oleh penduduk dunia sehinggakan kita merasa malu untuk berjumpa dengan rakan-rakan  dari negara lain – takut kalau-kalau mereka bertanyakan tentang Malaysia!

Tentulah aku merasa begitu sedih melihat segelintir orang Melayu (suku-sakat aku juga!) yang terpekik dan terlolong di kawasan mahkamah memperjuangkan isu yang boleh menyebabkan mereka ditertawakan. Mereka meneriakkan nama Allah yang maha besar sedangkan yang berada dihadapan mata mereka adalah kehendak Allah. Apakah mereka tidak sedar bahawa sekiranya tidak berlakulah perubahan pemerintahan negara Malaysia pada PRU 14 yang lalu maka kemungkinan besar negara kita akan menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Apakah ‘puak-puak’ ini tidak sedar apakah yang mungkin berlaku? Ataupun mungkin ada lagi saki baki ‘dedak’ yang mengisi ‘tembolok’ mereka. Mungkin!

Semalam, 22 September 2018, dalam temuramah dengan stesen TV Al-Jaseera, DS Anwar Ibrahim mengatakan, “This is one of the worst financial scandals involving any government. It is therefore imperative that stiff action be taken. But this new government has said and ecsured that investigations will be professional. Preosecution must not be malicious and the judiciary must be independent’.

Itu kenyataan terakhir yang aku ikuti dari seorang pemimpin. Sebelum ini semenjak beberapa tahun kebelakangan ini hampir seluruh dunia memperkatakan tentang penyelewengan yang terdapat dalam IMDB. Tapi malangnya pihak pemerintah sebelum ini (BN) dan para pegawai ‘yang sewaktu dengannya’ hanya memekakkan telinga dan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dan menuduh pula apa yang disuarakan oleh pihak luar tentang IMDB semacam sengaja mahu memburuk-burukkan pemerintah yang ada. Tentulah agak memalukan juga apabila pihak Peguam Negara mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang tidak kena mengenai IMDB. Lantas tidak perlu diadakan penyiasatan rapi dan terperinci.

Yang anihnya juga ialah pernah pada suatu ketika para pemimpin tertinggi PAS telah begitu berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan oleh pegawai eksekutif IMDB tentang perjalanan IMDB sehingga seolah-olah mereka pula menjadi jurucakap untuk menjelaskan kepada rakyat bahwa seolah-olah tidak ada cacat celanya IMDB itu. Seolah-olah tuduhan buruk terhadap IMDB dan kerajaan itu sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang.

Rakyat Malaysia ‘memaksa’ diri agar percaya apa yang dikatakan oleh pihak Peguam Negara dan pihak-pihak lain yang berwibawa di Malaysia pada ketika itu. Namun tekanan dan gesaan terhadap IMDB semakin kuat di seluruh dunia. Departmen of Justice (DOJ) Amerika bersungguh-sungguh benar untuk menyelamatkan wang IMDB. Begitu juga tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Switzerland, Singapura yang bersungguh-sungguh benar bertindak terhadap penyelewengan IMDB itu. Difahamkan terdapat usaha yang bersungguh-sungguh dari Switzerland untuk mengadakan rundingan dengan pihak peguam negara di Malaysia, namun tidak diendahkan oleh pentadbiran negara sebelum ini.

Tak usahlah dipanjangkan lagi tentang kisah IMDB dan DS Najib. Terlalu banyak telah diperkatakan. Cuma yang menghairankan  ialah segelintir manusia yang bergelar ‘Melayu’ yang masih merasakan bahawa  DS Najib tidak langsung bersalah dalam hal ini. Mereka masih mahu mempertahankan sedangkan seolah-olah sudah ‘diputuskan’ oleh sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa DS Najib ‘bersalah’ dan sudah tidak dapat diterima sebagai pemimpin negara ini melalui PRU 14 yang baru lalu. Dan kini DS Najib menghadapi berbagai-bagai tuduhan di mahkamah.

Bagi golongan yang mahu berfikir secara rasional, tentulah ada asasnya mengapa pihak pendakwa sanggup mendakwa beliau sedemikian rupa. Dari puluhan tuduhan yang dilemparkan, takkanlah tidak ada satu pun tuduhan yang boleh disabitkan? Dan jangan lupa juga peribahasa datuk nenek kita,’ jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang’ dan kata datuk nenek kita juga, ‘ sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Peribahasa Melayu ini memang segar di sepanjang zaman.

abuhassanadam
22 September 2018




Thursday, September 20, 2018

‘PEJUANG’ UMNO  - PEJUANG ATAU PETUALANG?

Semacam terngiang-ngiang di telinga  ucapan para ‘pejuang’ UMNO yang berapi-api ketika membahaskan sesuatu perkara di Persidangan Agung UMNO, khususnya apabila memperkatkan tentang tanggungjawab yang dipukul oleh mereka menyelamatkan bangsa Melayu dan negara. Konon! Dan tentulah setiap ucapan mereka yang ‘berapi-api’ itu akan diikuti dengan  tepukan yang bergemuruh dari para perwakilan dan juga pemerhati UMNO yang juga merupakan ‘pejuang’ bangsa dan negara. Pendek kata setiap kali menjelangnya Persidangan Agung UMNO pastinya PWTC dipenuhi oleh para ‘pejuang’ dan ‘patriot’ memperjuangkan nasib orang Melayu. Dan selepas PRU 14 sudah jelas kelihatan tentang  siapa mereka sebenarnya samada ‘pejuang’ atau ‘petualang’.Tambahan pula sudah kedengaran khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa ramai lagi para ‘pejuang’ akan meninggalkan parti keramat mereka.

Belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia keadaan yang sebegini sepertimana yang berlaku di Malaysia kini. Para pemimpin UMNO (para ‘pejuang’) semacam ‘berlumba-lumba’ untuk meninggalkan ‘kapal’ yang akan tenggelam. Belum pernah juga kelihatan peristiwa dimana parti UMNO dengan senang hati  bersedia untuk bergabung dengan PAS, dengan langsung tidak perlu mendapatkan pandangan menyeluruh dari ahli-ahli UMNO keseluruhannya. Seolah-olah para pemimpin UMNO peringkat tertinggi sudah mendapat mandat penuh dari para ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk melakukan sebarang perubahan dasar.

Dan tidak pula berlaku sebelum ini dimana para pemimpin PAS seolah-olah ‘menggadaikan’ perjuangan mereka dan mengenepikan perasaan ahli akar umbi apabila berhasrat mengadakan kerjasama dengan UMNO. Menampakkan bahawa seolah-olah kedua-dua parti ini mengenepikan langsung prinsip perjuangan parti masing-masing. Mungkinkah asas dan falsafah kerjasama kedua-dua parti ini bersendikan ‘falsafah’ ‘cash is king’? Mungkin?

Samada pemimpin UMNO atau pemimpin PAS, isu yang cuba dipopularkan ialah berkaitan isu kaum dan agama. Setiap kali diadakan pilihan raya samada PRU atau PRK inilah isu yang diketengahkan untuk mempengaruhi pengundi, tanpa memikirkan kesan buruk dan baiknya mengenengahkan isu yang amat sensitif itu kepada masyarkat Malaysia yang berbilang kaum itu. PRU 14 dengan jelas menunjukkan bahawa isu berkenaan tidak berjaya mempengaruhi pengundi yang menyebabkan ramai pemimpin UMNO yang kecundang walaupun pengundi di  negeri Pantai Timur masih berminat dengan isu-isu berkenaan.

Rakyat kini mula merenung dan mempersoalkan tentang betul tidaknya kenyataan para ‘pejuang’ UMNO yang sentiasa mendendangkan yang mereka berjuang untuk memajukan orang Melayu dan agama Islam. Isu ini sudah dipersoalkan sekian lama namun disebabkan pemerintahan sebelum ini (dibawah pentadbiran Barisan Nasional) telah menyebabkan perbincangan tentang isu-isu berkenaan dipendamkan saja, tetapi tetap ‘membara’ di hati dan perasaan.

Ramai yang seakan-akan memulaukan ‘Utusan Malaysia’, RTM, TV3 pada zaman pemerintahan terdahulu disebabkan terlampau ‘meluat’ dengan berita dan propaganda yang dihidangkan oleh saluran media ini. Ucapan yang berapi-api dari pemimpin UMNO hanya sebagai, ‘cakap tak serupa bikin’. Mungkin mereka merasakan bahawa mereka telah berjaya memperbodohkan rakyat pada ketika itu, tetapi pada hakikatnya rakyat hanya menunggu masa untuk ‘mengajar’ mereka.

Dari segi realiti kehidupan yang dilalui oleh para ‘pejuang’ UMNO samada di peringkat kepimpinan tertinggi atau pun di peringkat Bahagian dan Cawangan UMNO menampakkan satu trend kehidupan yang cukup luar biasa. Mereka menikmati kehidupan yang amat tidak diduga oleh golongan ini (yang diistilahkan sebagai kroni) yang sentiasa mendapat habuan dan ‘nikmat’ dari para pemimpin mereka.

Sebahgaian besar golongan ‘kroni’ sedemikian tidak mempedulikan kehidupan rakyat bawahan. Mereka hanya berpura-ura untuk memberikan sebarang bantuan dan pertolongan kepada golongan marhaen di kampung-kampung, apatah lagi kepada golongan yang menentang Barisan Nasional sedangkan dari segi realitinya mereka hanya mementingkan keselesaan diri dan keluarga mereka.

Keadaan yang wujud dalam zaman pemerintahan ‘cash is king’ adalah suatu keadaan yang luar biasa yang tidk pernah dilalui oleh masyarakat Malaysia sebelum ini. Seolah-olah telah wujud satu bentuk budaya baru dikalangan orang Melayu yang boleh dinamakan ‘Budaya UMNO’. Hampir setiap solongan masyarakat telah ditembusi oleh ‘budaya UMNO’ ini. Bukan sahaja dikalangan orang politik UMNO tetapi juga telah meresap dan mempengaruhi sektor pentadbiran negara, sektor swasta, pusat-pusat pengajian tinggi dan lain-lain.

Para ‘pejuang’ yang tergolong dalam ‘kroni UMNO’ ini sememangnya ‘ranggi’ (istilah yang sentiasa diguna pakai oleh orang negeri Perak yang bermaksud sombong, bongkak)kerana mereka sedar bahawa mereka adalah tergolongan dalam golongan yang tidak boleh ‘disentuh’. Mereka sentiasa ‘dilindungi’. Mereka boleh melakukan apa saja. ‘Beraja dimata dan bersultan di hati’.

Perisai yang sentiasa digunakan untuk ‘melindungi’ diri mereka ialah bahawa mereka memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam. Sehingga kini masih terdengar suara-suara sedemikian ‘didendangkan’ oleh ‘pejuang-pejuang’ bangsa walaupun dengan jelas menggambarkan bahawa sebenarnya mereka tidaklah sebenarnya memperjuangkan orang Melayu menepati ertikata sebenarnya. Mungkin hanya sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’ sahaja.


abuhassanadam
20 September 2018



Wednesday, September 19, 2018

MENANTI ‘TENGGELAM’NYA UMNO

            Tindakan Dato Mustafa Mohamed meninggalkan UMNO merupakan ‘rangsangan’ kepada ahli UMNO lain  untuk mengikuti jejak langkah Tok Pa itu. Boleh juga dikatakan sebagai ‘pemangkin’ untuk mempercepatkan lagi proses ‘exodus’ meninggalkan UMNO.

UMNO kini merupakan ibarat ‘kapal Titanic’ yang hampir tenggelam setelah dilanda taufan PRU 14. Bukan salah ‘kapal’nya yang menyebabkan UMNO mengalami keadaan sebegitu tetapi terpaksa dipersalahkan nakhodanya yangmenyebabkan ‘kapal’ yang amat kukuh ini seakan-akan akan tenggelam. Jangan disalahkan UMNO (yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu). Jangan diperkecilkan juga sumbangan UMNO ( yang terdahulu) yang telah banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan umat Islam tetapi salahkan pemimpin-pemimpin terkini ( hampir kesemuanya) yang telah merosak dan menjahanamkan UMNO.

Jangan dipersalahkan DS Najib seorang yang menyebabkan UMNO jadi sebegini walaupun beliaulah yang memikul tanggungjawab untuk ‘menjahanamkan’ UMNO. Para pemimpin lain dalam UMNO tidak harus lepas tangan. Mereka juga bertanggungjawab di atas keruntuhan UMNO. Sekiranya mereka betul-betul bertanggungjawab untuk membela bangsa Melayu dan agama Islam, mereka seharusnya memainkan peranan ‘menegur’ dan membetulkan segala kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Ini tidak. Mereka sama-sama ‘bergembira’ dan ‘mengiakan’ sahaja apa yang dilakukan oleh pemimpin yang mereka ‘sayangi’.

UMNO tidak akan dapat diselamatkan disebabkan oleh longgarnya tali yang menghubungkan antara ahli UMNO itu sendiri. Perjuangan UMNO sudah tidak lagi berasaskan perjuangan untuk membela orang Melayu dan agama Islam tetapi ikatan perhubungannnya adalah berasaskan ‘cash is king’. Ini dinyatakan oleh DS Najib sendiri. Dan beliau amat yakin seolah-olah ‘cash’ adalah segala-galanya. Mungkin beliau telah berjaya tetapi hanya sampai kepada suatu tahap dimana ‘cash’ sudah tidak dapat menguasai rakyat yang sudah cuup derita.

UMNO diasaskan atas desakan semangat untuk menyatukan orang Melayu untuk menentang penindasan British yang dibuat melalui ‘Malayan Union’. Orang Melayu sanggup berkorban demi untuk menyelamatkan orang Melayu dan raja-raja Melayu. Tunku Abdul Rahman sanggup menggadaikan rumahnya untuk mendapatkan kewangan untuk membiayai perjuangannya. Kaum ibu UMNO sanggup menanggalkan barang kemasnya untuk membantu kewangan rombongan kemerdekaan untuk pergi ke London merundingkan tentang kemerdekaan negara.

Bandingkanlah perjuangan sedemikian dengan ‘perjuangan’ pemimpin dan isteri kini yang sanggup merompak wang negara demi untuk mengkayakan diri dan keluarga. Pernahkah kita mendengar perjuangan pemimpin UMNO yang berkorban seperti mana pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin dan isteri pemimpin yang terdahulu. Jauh panggang dari api. Para pemimpin UMNO kini ( sebahagian besarnya begitu ) hanya pandai megungkapkan kata-kata ‘demi untuk bangsa dan agama’ tetapi tidak sanggup mengkotakannya. Dapat dilihat sepanjang mereka menjalankan pentadbiran di negara ini, mereka ‘bermaharajalela’ menggunakan wang negara untuk diri dan keluarga mereka dan semacam melupai tanggungjawab mereka kepada bangsa dan negara. Mereka semacam sudah melupai rakyat luar bandar yang masih ‘meminta-minta’ dan menghrapkan bantuan mereka.

Kapal UMNO akan ‘tenggelam’dan rakyat akan menyaksikan lebih ramai lagi para pemimpin yang akan meninggalkan parti yang dahulunya dipanggil parti keramat. UMNO semacam sudah tidak ada hala tuju. Ahli UMNO akan tetap mempersoalkan ke manakah UMNO hendak dibawa apabila sanggup bekerjasama dengan PAS yang juga sudah semacam hilang haluan. Kedua-dua parti ini pastinya akan ‘tenggelam’ dalam ‘gelombang’ yang melanda Kurun ke 21 ini. Tentulah ramai pemerhati politik merasa kehairanan melihatkan ‘sepak terajang’ dan ‘rentak tari’ kedua-dua parti ini (UMNO dan PAS yang dahulunya dianggap parti keramat).

Apa lagi yang diharapkan oleh ahli UMNO?

Jikalau pada awal penubuhannya dahulu, mereka berjuang diatas landasan nasionalisme menyelamatkan negara dari terus dijajah oleh British, maka ‘perjuangan’ ahli UMNO kini adalah ibarat ‘layang-layang putus tali’. Sekiranya pada zaman pentadbiran DS Najib, perjuangan ahli UMNO adalah berasaskan ‘cash is king’ maka tentulah tidak ada ‘cash’ yang boleh diharapkan dari perjuangan sedemikian pada masa kini. Agaknya.

UMNO betul-betul teruji. Rakyat sedang memerhatikan ke manakah arah perjuangan UMNO. Orang Melayu sedang meneliti juga apakah UMNO masih berpegang teguh kepada perjuangan yang terdahulu ataupun hanya menunggu masa dan ketika untuk meninggalkan UMNO.

Rakyat sedang memerhatikan dengan penuh minat.

abuhassanadam

19 September 2018