Monday, January 21, 2013

Tun M, Jangan Dirungkai Sejarah Lama


Tun M, Jangan Dirungkai Sejarah Lama

Walau ditinjau dari sudut mana sekalipun saya tak layak memberikan komen mengenai pendapat Tun Mahathir. Dari segi pendidikan, Tun M jauh lebih pandai dari saya. Doktor perubatan pula. Dari segi pengalaman, Tun M adalah dianggap sebagai tokoh politik bertaraf dunia. Dari segi sumbangannya kepada negara Malaysia, Tun M amat banyak memberi sumbangan kepada negara.

Namun begitu tak salah rasanya kalau saya  berbeza  pendapat dengan Tun M dalam perkara tertentu. Tak salah kalau saya merasakan ada sesuatu yang tak berapa kena dengan pendapat yang dikemukakan oleh Tun M terutama apabila baru-baru ini Tun M ada mengatakan

            “One should also look back and remember that Tunku Abdul Rahman was worse than me, he gave one million to citizenships to people who are not qualified and not  even tested. Why is it when he does it, it is not wrong, and when I do it, it’s wrong?”

Saya tak begitu pandai berhujah tentang perkara sebegini. Cuma ada beberapa perkara yang terlintas di benak saya yang menyebabkan saya memberanikan diri berhujah tentang perkara ini.

·      Mengapa sekarang baru timbul isu Tunku Abdul Rahman memberikan kerakyatan ini setelah muncul isu RCI mengenai pemberian kerakyatan di Sabah.
·      Mengapa diungkit perkara yang sudah lama selesai – dan diselesaikan dalam suasana yang penuh persefahaman. ( mengikut pendapat saya)
·      Tentulah timbul juga rasa kecil hati pihak yang ada kena mengena dengan isu ini terutamanya kaum-kaum bukan Melayu.
·      Dengan timbulnya isu ini seolah-olah menoreh luka yang telah lama sembuh ( yang mana parutnya masih ada). Dan boleh juga menyebabkan orang muda mula mempersoalkan kesahihan fakta sejarah yang dipelajari mereka di sekolah melalui buku teks sejarah mereka.

Buku Teks Sejarah Tingkatan Lima untuk sekolah-sekolah menengah di Malaysia ada menyatakan  pada muka surat 126
perenggan akhir,

            “ Satu isu hangat ialah kerakyatan jus soli. Kerakyatan ini yang menjadi tuntutan orang dagang tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Ini adalah kerana prinsip  kerakyatan jus soli memberikan hak sama rata kepada  semua kaum dan ini dianggap boleh melemahkan lagi  kedudukan orang Melayu. Namun selepas beberapa rundingan dibuat, Raja-Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu  mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan tolak ansur ini satu pakatan murni antara kaum telah terbina di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Perkara             lain yang telah dipersetujui termasuklah agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan’

Semenjak 2003 ( ketika Tun M masih menjadi Perdana Menteri) buku teks sejarah ini telah dibaca oleh ratusan ribu pelajar-pelajar kita dari semua keturunan yang mengambil peperiksaan SPM. Dan sehingga kini masih dibaca lagi oleh anak-anak kita. Saya hanya mampu merujuk buku-buku yang agak setaraf dengan pemikiran saya.

Persoalan yang ingin saya kemukakan ( dengan izin ) ialah

·      Apakah Tun rela melihat sejarah yang terpahat padat ini dirungkai semula?
·      Apakah Tun tidak memikirkan hati dan perasaan Raja-Raja Melayu yang telah bersetuju  dengan kerakyatan jus soli itu. Kerakyatan jus soli telah diterima oleh Raja-Raja Melayu setelah beberapa rundingan dibuat. Dan ‘tukaran’nya ialah orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan  istemewa orang Melayu.

Semenjak 2003, perenggan yang saya sentuh di atas telah dibaca oleh ratusan ribu pelajar - Melayu dan bukan Melayu.Dan tidak timubul sebarang rungutan daripada pihak bukan Melayu tentang perkara yang diputuskan oleh Raja-Raja Melayu itu. Mereka akur dengan kedudukan istemewa orang Melayu. Mereka setuju agama Islam dijadikan agama Persekutuan. Mereka tidak menentang bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan.

Persetujuan ini dibuat secara bermuafakat. Berunding. Berbincang antara kaum-kaum terbesar di negara ini – Melayu, Cina dan India ( pada ketika Malaysia belum tertubuh). Itu sebab dinamakan Pakatan Murni.

Manusia yang kerdil ini amat merayu kepada Tun agar perkara ini tidak diperbesarkan. Dan sekiranya ada pihak-pihak lain yang ‘berkepentingan’ saya sarankan utamakan kepentingan negara dan bangsa Malaysia dari perkara-perkara lain.


Abuhassanadam

21 Januari 2013



Sunday, January 20, 2013

Undilah Tuan Dan Puan, Dua Puluh Tujuh Haribulan...


UNDILAH TUAN DAN PUAN
DUA PULUH TUJUH HARIBULAN…….


Tak lama lagi kita pasti akan mengundi. Yang tua dan muda mesti mengundi. Itu hak kita menentukan arah tuju pemerintahan negara. Kalau tak mengundi maknanya tidak lengkap syarat sebagai warganegara sesebuah negara. Siapa yang kita akan undi ‘ itu lain kira’. Yang pasti mesti mengundi.

Aku tak mahu campur hal politik kepartian. Yang nak aku ceritakan kali ini, yang ada kaitannya dengan mengundi ialah tentang pilihanraya pertama yang pernah diadakan di Tanah Melayu semasa di bawah penjajahan British. Ada orang bijak pandai kata, Tanah Melayu ni tak pernah dijajah !. Tak tahulah aku. Aku bukan ahli sejarah.

Tapi setahu aku dah tiga bangsa Eropah menjajah kita. Portugis, Belanda dan Inggeris. Itu tak masuk lagi Siam. ( Bila kita menghantar ufti atau Bunga Mas kepada Siam tu maknanya kita dah kena jajahlah tu…) Tapi masih ada yang mengatakan kita tak pernah dijajah. Aku tak faham !

Tak apalah. Itu hal merekalah. Yang aku nak ceritakan ialah mengenai Pilihan Raya pertama di Tanah Melayu. Aku masih ingat tarikhnya. Dua puluh tujuh haribulan Julai tahun 1955. Aku yakin betul tarikh itu. Sebab ada sepupu aku yang lahir pada tarikh itu. Mak Cik aku beri dia nama Abdul Rahman ( mengambil sempena nama Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan kita ) tapi Opah ( arwah ) aku panggil dia ‘ Ngundi’. Sampai hari ini kami panggil dia ‘ Ngundi’.

Ada lagu yang dicipta khas mengenai pilihan raya pertama.

Undilah tuan dan puan
Dua puluh tujuh haribulan
Pilihan raya yang pertama
Undilah…pergilah….bersma-sama

Penyanyi yang menyanyikan lagu ini ialah Zainal Alam ( kalau aku tak silap). Sampai hari ini aku boleh menyanyikannya. Melodinya sedap didengar. Tak aku tahu pula siapa yang menciptanya. Tiap-tiap hari dan setiap ketika lagu ini akan berkumandang di corong Radio Malaya ( RTM pada ketika  itu). Dan oleh kerana sedap melodinya, maka disiulkan juga oleh anak-anak muda disamping lagu-lagu ‘ Kau Laksana Bulan ‘ oleh P. Ramlee.

Calon pilihan raya di tempat aku ialah Ghazali Jawi (Tan Sri) bekas Menteri Besar Perak, ayahanda kepada Tan Sri Tajol Rosli ( bekas Menteri Besar Perak juga) mewakili parti Perikatan ( sebelum terbentuknya Barisan Nasional ). Lambang parti Perikatan pada ketika itu ialah Kapal Layar. Seorang lagi ialah calon Parti Sosialis. Aku lupa namanya. Tapi lambangnya ialah Gunting.

Kempen pilihan raya pada ketika itu tidak sehebat keadaan sekarang. Dulu Radio Malaya tidak menyebelahi mana-mana parti. Tak boleh. Orang zaman dulu betul-betul mengikut lunas demokrasi. Malah setiap parti politik dibenarkan berkempen melalui Radio Malaya. Diberikan ‘ air time’ yang bersesuaian. Aku pernah dengar melalui Radio Malaya, tapi aku tak fahamlah apa mereka kata. Masih kecil. Baru masuk SMC 1.

Aku tak tahu pun mengapa gambar Tunku Abdul Rahman diletakkan merata-rata tempat di kedai-kedai  di pekan Padang Rengas. Gambar hitam putih. Tunku Abdul Rahman bersongkok dan berbaju Melayu. Pada ketika itu semua calon Melayu dalam piliharaya mesti menampakkan imej ‘ Melayu’. Mesti pakai songkok. Kalau tak pakai songkok, orang Melayu tak akan mengundi dia.

Selalu orang kata pada ketika itu, ‘ kalau letak tunggul untuk jadi calon Perikatan pun orang akan undi. Memang betul. Pada ketika itu rata-rata masyarakat Melayu memang ‘ buta’ mengenai proses pilihan raya ini. Mereka tidak dapat mengaitkan hubungan antara pilihan raya dengan kemerdekaan Tanah Melayu. Malah ada yang mengatakan mereka tidak mahu kemerdekaan. Mereka lebih selesa tinggal di bawah naungan British.

Itulah rupa masyarakat Melayu yang cuba dihadapi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita pada ketika itu. Tunku Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak Hussein ( bapa Dato’ Seri Najib ) Dato Ismail Abdul Rahman, Encik Tan Siew Sin, Encik Sambanthan dll. Memang ‘solid’. Pejuang-pejuang kemerdekaan pada ketika itu memang ‘ solid’. Tak ada rasuah. Matlamat mereka berjuang semata-mata untuk mendapat kemerdekaan tanah air. Memajukan bangsa Melayu, disamping bangsa-bangsa lain. Tidak ada kepentingan diri. Tidak pula berperangai seperti lembu. Sambil menarik kereta lembu, ‘ meragut’ rumput disepanjang jalan.

Tidak pula kedengaran mereka terlibat dengan rasuah ketika memegang tampuk pentadbiran negara. Tunku Abdul Rahman terpaksa menjual beberapa buah rumahnya demi untuk mengumpul dana memperjuangkan kemerdekaan. Dan apabila dia meninggal tidak banyak harta yang dikumpulkannya. Begitu jugalah dengan pemimpin-pemimpin lain. Tun Abdul Razak misalnya. Tun Dr. Ismail begitu juga. Semoga roh mereka diletakkan di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Aku pasti tidak banyak wang yang dicurahkan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya. Itu aku pasti. Pada ketika itu parti-parti yang bertanding tidak semewah sekarang. Pekerja-pekerja parti hanya didorong oleh semangat yang berlkobar-kobar demi kemerdekaan negara. Sanggup menampal poster Tunku Abdul Rahman secara sukarela. Sanggup menyebarka risalah-risalah manifesto parti dengan cara sukarela. Berbanding dengan sekarang jauh panggang dari api.

Dipendekkan cerita, keputusan pilihan raya pertama itu memihak kepada parti Perikatan. Tak silap aku Perikatan menang 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi itu dimenangi oleh Dato Onn Jaafar yang mewakili Parti Kebangsaan Malaya. Dengan kemenangan itulah Tunku Abdul Rahman begitu yakin berjumpa dan berunding dengan kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Akhirnya kemerdekaan tercapai pada 31 Ogos 1957 hasil perjuangan gigih bapak kemerdekaan kita TUNKU ABDUL RAHMAN PUTERA AL HAJ..

abuhassanadam
20 Januari 2013




Thursday, January 17, 2013

Disebabkan Seekor Kerbau Yang Membawa Lumpur.....


DISEBABKAN SEEKOR KERBAU YANG MEMBAWA LUMPUR

Menonton video ‘Miss Listen’ membuat kita terkejut dan terpegun. Berbagai persoalan menerpa benak kita.
  • Apa dah jadi dengan golongan yang diangggap intelek  ini apabila melihatkan gelagat mereka ketika berhabas dan berdebat.
  • Cara ‘dia ‘ berdebat betul-betul menunjukkan ia tidak begitu terdidik dengan adab-adab sopan yang sepatutnya diamalkan oleh golongan yang dipanggil intelek.
  • Lebih jauh lagi kita juga mahu mempersoalkan ‘ siapakah gurunya/” ataupun yang paling menyedihkan lagi ialah apabila kita mula pula mempersoalkan ‘ siapa emak bapaknya’.
  • Dari university mana ‘ miss Listen’ ini menuntut ilmu. Dan kita terus mempersoalkan pula ‘ apakah itu budaya dan cara university ( guru-guru nya ) mendidik anak buahnya ketika berdebat.
  • Orang tua-tua pernah berkata, ‘ jikalau guru kencing berdiri, maka muridnya kencing berlari. Ini bukan cerita buang air kecil. Tetapi ini cerita murid ‘ yang kencing berlari’. Maknanya tentu ada guru yang kencing berdiri.
  • Atapun mungkin ‘ Miss Listen’ melihat sendiri contoh-contoh yang ditunjukkan oleh keadaan sekeliling dimana kita dapat melihat perbuatan yang tidak senonoh yang dilakukan oleh segelintir masyarakat kita yang menunjukkan perbuatan yang menjolok mata ( pada pandangan kebanyakan orang ) seperti memperagakan punggung kepada khalayak ramai, mengganggu gugat majlis ilmu, mengganggu gugat kuliah di masjid dsb
  • Apa dah jadi dengan anak-anak muda kita? Namun begitu ramai juga anak muda yang masih bersopan santun, menghormati orang tua, guru. Cuma ada segelintir sahaja yang berkelakuan demikian. Orang tua-tua juga pernah berkata. “ Disebabkan seekor kerbau habis semuanya terpalit’

Terus terang saya katakan, tak pernah lagi saya bertemu ada manusia yang dianggap sebagai bijak pandai bersikap seperti yang ditunjukkan oleh ‘ Miss Listen’. Tak pernah. Sudah jauh juga perjalanan saya, sudah banyak forum atau debat di dalam negara atau antarabangsa yang pernah saya terlibat dan saksikan, saya tak pernah lihat manusia sebegini.

Mengapa beliau bersikap sedemikian rupa. Apakah bersikap sedemikian sudah mendapat ‘anggukan’ daripada  masyarakat sekarang khususnya masyarakat mahsiswa. Saya berkata demikian kerana ada juga ‘ gesture’ dari peserta yang ‘mengiakan’ kata-katanya dengan cara memberikan tepukan. Saya kurang faham keadaan sebegini. Mungkinlah ‘ stage managed ‘. Namun sekiranya tepukan yang diberikan kepada ‘Miss Listen’ itu tulin dan ikhlas, saya merasa amat dukacita dan amat malang. Bagi saya sekiranya begitulah keadanya malapetaka yang begitu besar sedang melanda negara dari segi perkembangan intelek.

Presidential Debate yang disertai oleh Obama dan Nick Romney adalah satu contoh yang amat baik. Mereka telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik untuk diikuti oleh masyarakat dunia. Walaupun perbezaan pendapat, mereka menyampaikan secara beradab dan terdidik. Tidak ada langsung kenyataan yang menyentuh peribadi atau merendahkan pihak lawan. Perbahasan hanya tertumpu kepada isu dan dasar yang hendak diperjuangkan. Bukan pertembungan peribadi.

Di Hyde Park London hampir setiap hari Ahad diadakan Speakers Corner. Perdebatan. Bukan sahaja orang tempatan yang mengambil bahagian, tetapi disertai oleh masyarakat lain juga yang berkesempatan berada di London untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka. Cuba bayangkan apabila ada pendebat dari Palestin dan ada juga pendebat dari Israel yang akan berhujah di pentas yang sama. Setakat yang pernah saya lihat dan saksikan, tidak pernah berlaku sebagaimana yang dilakukan oleh ‘ Miss Listen’.

Melalui beberapa ‘feedback’ yang saya terima, ramai juga yang tertanya-tanya apakah “ miss Listen’ ini seorang intelek tulin, kerana seorang yang terpelajar yang pernah melalui pendidikan di university pastinya tidak bersikap demikian. Kerana di university bukan sahaja sebagai tempat untuk meneuntut ilmu  ( akademik ) tetapi membentuk peribadi dan sahsiah.

Begitu banyak komen negatif mengenai tindakan Miss Listen ini menyebabkan ramai orang juga tertanya-tanya apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi agar perkara sedemikian tidak berulang. Sekiranyalah Miss Listen ini mengambil bahagian dalam perdebatan antarabangsa maka akan malu besarlah negara kita. Nasib baiklah keadaan sedemikian hanya berlaku di Univeristy Utara Malaysia. Apakah Miss Listen ini juga lahir dan merupakan graduan dari University yang sama?

Pihak pentadbiran university khususnya dan pihak kerajaan umumnya harus memikirkan ‘ pengajaran’ yang kita perolehi hasil daripada menonton video ‘ Miss Listen’ ini. Harus difikirkan langkah-langkah yang sesuai agar perkara sebegini tidak berulang. Pastikan harus ada kebebasan berfikir di pusat-pusat pengajian tinggi. Para mahasiswa harus diberikan kebebasan untuk menyuarakan fikiran dan pandangan mereka, walaupun kadangkala pandangan yang dikemukakan itu bertentangan dengan hasrat pihak kerajaan.

Berikan mereka kebebasan bersuara. Dan adakan selalu perdebatan secara sihat. Dengan cara itulah sahaja akan dapat kita lahirkan para graduan yang kritis pemikirannya yang akhirnya dapat ‘bersepak-terajang’ di arena antarabangsa. Itulah saja caranya mereka menembusi Kurun 21 dengan penuh keyakinan dan berjaya.


Abuhassanadam
17 Januari 2013

Monday, January 14, 2013

SPEAKERS CORNER - Permata Yang Hilang


SPEAKERS CORNER
Permata yang hilang

Kesan daripada perhimpunan HKR 112 baru-baru ini yang menyaksikan penglibatan ramai orang muda menyebabkan saya terpanggil untuk menulis satu rencana berkaitan dengan Speakers Corner yang pernah wujud di University Malaya pada suatu ketika dahulu. Para mahasiswa University Malaya kini mungkin hanya mendengar tentang Speakers Corner tapi tidak tahu apa dia Speakers Corner tu dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Speakers Corner dah tidak ada lagi. Hanya yang tinggal ialah kesan-kesanya sahaja.

Speakers Corner di University Malaya itu bagi aku sama pentingnya dengan institusi University Malaya itu sendiri. Apa tidaknya. Kebanyakan pemimpin negara kini hampir semuanya mengasah bakat berpidato mereka di Speakers Corner itu lah.  Sebut saja. Pasti mereka tidak akan melupakan ‘ jasa’ Speakers Corner.

Di situlah mereka berdebat, berbahas tentang isu-isu semasa. Merka belajar melalui pengalaman tentang berhujah dan berdebat dengan menggunakan akal dan fikiran. Tidak pernah ada perbalahan yang menghasilkan pertarungan fizikal. Dalam erti kata ‘ berlengan’. Tidak ada. Sihat. Mereka ‘bergaduh’ hanya dengan menggunakan akal dan fikiran Kini dah tidak ada lagi. Pasti juga para mahasiswa kini ‘ meratapi’ tentang ketiadaan Speakers Corner. Namun sekiranya meratapi dengan mengeluarkan air mata darah sekalipun, Speakers Corner memang dah tidak ada lagi.

Speakers Corner terletak berhadapan dengan Perpustakaan University Malaya. Merupakan tangga batu yang bertingkat yang dibuat khas sebagai pentas untuk para mahsiswa berpidato. Di perkarangan Speakers Corner itu ditanam pokok-pokok yang boleh memberikan perlindungan kepada para ‘ pendengar’ yang ingin mendengar ucapan pemidato-pemidato.. Amat sesuai untuk bersantai setelah berpenat lelah mentelaah di dalam perpustakaan. Amat selesa. Seorang demi seorang akan menaiki pentas ceramah mendebatkan isu-isu semasa. Sekiranya bernas hujah seseorang mengenai sesuatu isu, beliau akan mendapat tepukan. Sekira sebaliknya akan mendapat ‘boooo….’ Seronok betul mengenangkan peristiwa-peristiwa demikian.

Kini Speakers Corner dah tidak ada lagi. “ Hilang’ selepas tahun 1975. Sudah hilanglah suatu tempat yang amat berharga bagi para mahasiswa muda, ‘ the angry young men ‘ untuk mengasah bakat mereka berpidato. Banyak tokoh yang dihasilkan oleh Speakers Corner. Tetapi yang paling menyerlah dan yang tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa pun ialah Saudara Anwar Ibrahim.

Aku pun hairan mengapalah pihak berwajib pada ketika itu  ‘dengki’ benar dengan Speakers Corner. Bagi aku itulah saluran yang amat penting bagi para mahasiswa untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu. Di Speakers Corner lah mereka dapat melepaskan segala kemarahan mereka samada terhadap kerajaan ataupun terhadap pentadbiran university  atau pun terhadap mana-mana pihak yang mereka tidak puas hati. Mereka lahirkan dengan cara yang beradab.

Apabila aku menceritakan tentang kegemilangan University Malaya terutama mengenai Speakers Cornernya kepada anak-anak muda mahasiswa sekarang, ternampak perasaan kehampaan di wajah mereka.

‘ Kami tak merasa semua tu’ merupakan jawapan yang sentiasa diberikan. Mereka mengharapkan sangat agar suasana university sebagaimana yang aku ceritakan itu muncul semula. Aku ceritakan kepada mereka bahawa mahasiswa pada zaman itu sebenarnya ‘ mengkaji’ di university bukan ‘ belajar’.

Mahasiswa sebelum pengenalan Akta University sentiasa belajar menerusi berbagai sudut dan lapangan. Yang pentingnya mereka mencuba dan terlibat dalam hal-hal kemasyarakatan. Mahasiswa dulu belajar melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para bijak pandai yang sentiasa dijemput untuk menyampaikan ceramah-ceramah di University Malaya.

The Great Economic Debate misalnya diadakan hampir setiap tahun. Di situlah para mahasiswa dapat mendengar pandangan-panadangan dari tokoh-tokoh ekonomi dan politik membicarakan keadaan ekonomi semasa. Mereka boleh membicarakan semua perkara dan sebarang isu negara dan antarabangsa tanpa ada sekatan dan larangan. Dengan demikian dapat membuka mata para mahasiswa, supaya menjadi seorang mahasiswa yang peka dengan keadaan sekelilingnya.

Pada ketika itu tidak ada larangan bagi sesiapa pun untuk datang ke University Malaya untuk menyampaikan ceramah mereka. Malah seingat aku kebanyakan majlis-majlis ceramah dianjrkan oleh persatuan mahsiswa sendiri. Persatuan mahasiswa lah yang merancang dan yang menentukan penceramah mana yang hendak dijemput. Terlalu sedikit penglibatan dari pihak pentadbiran university.

Budaya Speakers Corner di University Malaya, mungkin mengikuti budaya yang dijalankan di Hyde Park di London. Tentu ramai yang pernah berada di Hyde Park London dan pernah melihat sendiri tentang aktiviti hari Ahad yang dijalankan di sana. Demokrasi dalam erti kata sebenar-benarnya. Setiap individu bebas menyuarakan pandangan masing-masing dalam apa isu sekalipun.

Kadang-kadang aku termenung mengenangkan sesuatu. Kadang-kadang aku terfikir, sekiranyalah Speakers Corner yang ada di University Malaya  itu masih wujud sampai ke hari ini dan berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, aku tidak dapat bayangkan kualiti mahasiswa yang dapat kita lahirkan di negara ini.

Aku tidak menafikan tentang peranan  university hari ini yang telah melahirkan ramai graduan yang hebat-hebat dari segi pencapaian akademiknya. Namun demikian sekiranyalah mereka diberikan kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan ( secara sihat tentunya ) melalui saluran-saluran tertentu seperti di Speakers Corner, aku tidak dapat bayangkan kualiti para mahsiswa yang dapat dilahirkan. Aku tidak dapat bayangkan……….



Abuhassanadam
14 Januari 2013

Video ini diambil dari laman web facebook. Boleh dibandingkan dengan keadaan zaman dulu dimana Speakers Corner memainkan peranan mendewasakan mahasiswa.

Sunday, January 13, 2013

Anak Muda Pulang Bertandang


ORANG MUDA PULANG BERTANDANG

Kembalinya anak muda dari menghadhiri perhimpunan HKR 112 di Stadium Merdeka saya ibaratkan seperti anak muda pulang bertandang. Ada yang pulang ke kampung dan ada juga yang kembali pulang ke pusat pengajian tinggi masing-masing. Masing-masing dengan seribu kenangan sarat dengan pengalaman-pengalaman yang tidak akan mudah dilupakan. Akan terpahatlah buat selama-lamanya dalam benak masing-masing tentang pengalaman manis yang dilalui. Dan yang paling manisnya ialah, anak muda ini dapat melafazkan ayat yang menyatakan bahawa ‘ aku berada di situ ketika itu’ pada anak cucunya pada suatu masa nanti. Mungkin tiga puluh tahun akan datang.

Kehadhiran anda di peristiwa HKR 112 itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Amat berharga. Serupalah dengan pengalaman datuk neenk anda yang sentiasa menceritakan tentang  ‘ aku berada di situ ‘ ketika menceritakan pengalamannya berada bersama Dato’ Onn Jaafar dalam satu demonstrasi menentang Malayan Union pada tahun 1946 dulu.

HKR 112 bukan demonstrasi menentang kerajaan. Hanya menyedarkan pihak tertentu  dalam pentadbiran kerajaan tentang wujudnya  perkara yang tidak berapa kena berlaku. Misalnya adalah dirasakan bahawa  kegiatan rasuah dan penyelewengan sudah menjalar dan meliar. Dan perlu dihentikan demi menjamin kehormatan dan keutuhan negara.

Aku benar-benar kagum dengan penglibatan orang muda. Dari semua bangsa dan kaum. Tidak kira kaya dan miskin. Semacam semuanya mengarah kepada suatu matlamat. Kesejahteraan Malaysia. Pertama  kali dalam sejarah Malaysia (mungkin!) keadaan sedemikian wujud muhibbah dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

DS Anwar Ibrahim, DS Haji Hadi Awang dan Saudara Lim Guan Eng berucap dihadapan para hadhirin yang terdiri berbagai bangsa dan kaum tidak perlu berselindung-selindung. Bercakap dengan penuh ikhlas tentang arah tuju Malaysia yang hendak dicapai. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dirahsiakan. Dan yang paling pentingnya pula para hadhirin menerima kenyataan mereka dengan hati terbuka. Samada Melayu, Cina, India  dll menerima mereka dengan hati terbuka. Sudah betul-betul wujud bangsa Malaysia yang merdeka.

Orang muda yang hadhir memerhatikan gelagat para pemimpin mereka. Gelagat dan tindakan ‘orang tua-tua’. Itu penting. Pasti mereka akan mengingati dan mencontohi apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka. Pasti mereka mencontohi. Seolah-olah tidak ada ‘ barrier’ antara Melayu, Cina, India dll. Betul-betul satu bangsa. Malaysia.

Inilah yang dibawa balik oleh ‘ anak muda pulang bertandang’ – satu kenangan yang amat manis, yang akan diingati oleh mereka sampai bila-bila. Mereka pasti tidak akan lupa bahawa

·      Mereka pulang dari satu ‘pesta’ kebangsaan yang julung-julung kali diadakan di negara ini di Stadium Merdeka di mana Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman pernah suatu masa dahulu melafazkan kata ‘ Kemerdekaan’.
·      Mereka mendukung satu azam menjadikan bangsa Malaysia satu bangsa yang kuat pada masa akan datang. Di atas bahu merekalah terletaknya tanggungjawab untuk membina negara dan bangsa ini tanpa rasuah dan penyelewengan.
·      Melayu, Cina dan India mesti terus bersatu dan menjadikan bangsa Malaysia satu bangsa yang boleh dicontohi dunia dari segi keharmonian antara kaum-kaum – dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Banyak lagi perkara yang mereka bawa pulang. Tetapi bagi saya yang paling saya bangga ialah berubahnyanya persepsi saya tentang orang muda. Mengapa?. Orang muda selalu sangat dikaitkan dengan gejala yang tidak sihat – Mat Rempeit, dadah dan sebagainya. Tetapi dengan kehadhiran begitu ramai orang muda di perhimpunan HKR 112 telah mengubah persepsi saya. Rupa-rupanya orang muda yang terlibat dengan gejala negatif hanya segelintir sahaja dan orang muda terbanyak  tidak akan melupakan tanggungjawab mereka kepada negara dan bangsa.

Orang mudalah yang memenuhi ruang stadium Merdeka semalam. Ini bermakna orang muda sedar akan tanggungjawab mereka kepada negara. Mereka sedar bahawa orang tua seperti DS Anwar Ibrahim, DS Haji Hadi Awang, Sdr. Lim Kit Siang lambat laut pasti akan meninggalkan mereka. Dan akan menyerahkan kepimpinan ini kepada mereka. Saya yakin dan pasti mereka akan mampu memikul tanggung jawab ini berdasarkan kepada tindakan dan penglibatan mereka. Tahniah orang muda!!

Tidak berlakunya sebarang kekecohan dalam perhimpunan yang begini besar menunjukkan kehebatan pesertanya. Orang muda.Mereka dapat mengawal keadaan agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini walau sekecil mana sekalipun. Bagi saya sudah ada pertemuan dan jalinan perasaan yang tulus ikhlas antara peserta ( orang muda kebanyakannya) denga pihak PDRM.

Saya pernah menyatakan dalam artikel sebelumnya ( dalam blog ini ) bahawa saya yakin yang polis tidak akan bertindak sewenang-wenangnya sekiranya tidak menerima arahan yang melulu kerana mereka juga adalah manusia yang berhati dan perasaan. Pihak polis juga sayangkan negara dan bangsa mereka. Sekiranya mereka melakukan kekasaran, seolah-olah mereka mengkasari adik-adik dan abang-abang mereka juga.

Akhir sekali bagi ‘anak muda yang pulang bertandang’ ini, sibarkanlah kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang hadhir di majlis yang bersejarah ini tentang mesej yang disampaikan oleh perhimpunan bersejarah ini. Ajak mereka berganding bahu untuk menuju ke satu era yang penuh bermakna. Katakan kepada mereka yang tidak sempat hadhir bahawa sememangnya ‘ pemuda harapan bangsa’ dan ‘ pemudi tiang negara’

Sukarno kata, ‘ berikan saya 10 pemuda, akan ku bebaskannya sebelum ayam berkokok’. Tetapi di Malaysia sudah tersedia 100,000 untuk 'berpencak dan bersilat 'selepas ‘anak muda pulang bertandang’

Abuhassanadam
13 Januari 2013



Friday, January 11, 2013

Bertongkat Paruh Ku Pergi Jua


BERTONGKAT PARUH  KU PERGI JUA

Besok hari Sabtu, 21 Januari 2013, aku akan ke Stadium Merdeka. Ke Perhimpunan Rakyat. “ Bertongkat Paruh’. Bukan kerana hasrat ku untuk menentang kerajaan tetapi hanya untuk bersama-sama rakyat terbanyak ( yang miskin dan yang kaya) untuk menyedarkan pihak tertentu bahawa ada perkara-perkara yang tidak berapa kena yang telah berlaku dalam pentadbiran negara. Justeru perlu disedarkan.

Aku tidak mudah percaya kepada berita-berita angin melalui internet yang banyak memperkatakan mengenai keburuhkan seseorang. Tak mudah aku percaya. Aku lebih banyak bergantung kepada RTM dan TV3 atau pun akhbar Utusan, Berita Harian. Bagi orang tua-tua seperti aku, itulah merupakan sumber berita yang telah banyak menyumbang semenjak dari kecil lagi. Namun disebabkan terlampau banyak persoalan yang tidak berjawab telah menyebabkan aku mula berfikir dan mempersoalkan tentang kesahihannya.

Dan aku mula berfikir, mengapa begitu ramai yang akan hadhir di Stadium Merdeka pada besok hari. Satu juta!. Itu bilangan yang cukup ramai. Seingat aku tak pernah lagi berlaku satu perhimpunan yang boleh mengumpulkan satu juta orang. Dari seluruh Malaysia pulak.

Sebelum ini sudah ada perhimpunan yang pada mulanya dijadualkan  diadakan di Dataran Merdeka. Tahun 2012. Tapi penggunaannya tidak dibenarkan. Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai. Polis kata peserta perhimpunan yang salah. Dan aku tengok memang ramai yang hadhir melalui gambar-gambar yang disiarkan melalui internet. Dan nampak semacam rakyat tidak puas hati dengan sesuatu keadaan.

Aku mula terfikir. Takkanlah yang datang begitu ramai ni bodoh-bodoh belaka. Tentulah ada betulnya tindakan mereka itu. Dan tidak pula ada termaktub yang tujuan mereka berhimpun itu untuk menumbangkan kerajaan. Takda. Mereka berhimpun bertujun untuk memberitahu Suruhanjaya Pilihanraya supaya membetulkan segala kesilapan yang telah berlaku dalam daftar pemilih SPR. Kesilapan!!. Mereka ada bukti yang menunjukkan telah berlaku kesilapan. Oleh itu betulkanlah…….

Aku pergi ke Stadium Merdeka esok kerana persitiwa esok hari banyak mengandungi nostalgia. Dah lama benar aku tak ke Stadium Merdeka. Dah lupa aku jalan ke Stadium.

Dulu di Stadium Merdeka lah kami bertempik sorak apabila menyaksikan perlawanan bola pada Pesta Merdeka. Jikalau perlawanan bermula pukul 8.00 malam, pukul 3.00 petang kami dah ‘ terpacak’ di Stadium Merdeka. Jikalau lewat tak dapat tempat duduk. Solat Asar entah ke mana. Solat Maghrib entah ke mana. Bola punya pasal. Dan yang menyebabkan kami begitu bersemangat pada waktu itu, pemain-pemain kita memang hebat-hebat. Mokhtar Dahari, So Chin Aun, Armugham, Santokh Singh, Sharuddin Abdullah dan mamat Abdullah ( adik beradik dari Pulau Pinang ) dan lain-lain. Mereka bermain betul-betul kerana negara.Apatah lagi di bawah bimbingan Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor yang terkenal tu.

Sekarang nampak tidak sehebat dulu. Nampak macam begitulah. Dulu mereka bermain bersungguh-sungguh untuk negara. Malaysia pernah mengalahkan Korea Selatan. Kalau lawan dengan Jepun tu ‘ kacang’ je la. Yang kita sedikit bimbang ialah dengan Burma “          Myanmar’. Perlawanan akhir biasanya dengan Burma. Selalunya Malaysia menang.

Malaysia pernah bermain di Olimpik di Munich. ( aku lupa tahun berapa ). Walaupun kita tewas, tapi sekurang-kurangnya mewakili Asia ke Olimpik.

Besok aku akan ke Stadium Merdeka. ‘ Bertongkat Paruh’. Maknanya aku akan bertongkat ke sana. Berjalan laju dah tak lalu. Namun begitu disebabkan ada Saudara Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais, aku teruskan juga. Nostalgia. Bagi aku mereka berdua ni betul-betul pejuang rakyat. Tak pernah luntur semangat mereka memperjuangkan rakyat semenjak zaman University lagi.

Aku mengenali istilah demonstrasi bermula dari zaman University Malaya dulu. Tahun 1971. Itulah permulaanya. Hari kedua dalam Minggu Orientasi telah ‘didedahkan’ dengan demonstrasi pertama ( bagi aku ) menentang kedatangan  PM Thailand, Thanom Kittikacharorn ( Maaf, sekiranya ejaan tersalah ) ke Malaysia.  Puncanya mahasiswa menentang ketika itu adalah disebabkan penindasan Kerajaan Thailand terhadap penduduk Islam Pattani di Selatan Thailand. Aku rasa ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang kebanyakannya dah pencen sekarang ini menyertai tunjuk perasaan ini, yang lintang pukang dikejar FRU berhampirann dengan Masjid Arrahmaniah, Univeristy Malaya, berhampiran dengan warung Pak Amjal.

Selepas itu banyaklah demonstrasi yang diadakan. Tapi bukan untuk menentang atau menjatuhkan kerajaan. Hanya menyedarkan pihak tertentu yang tindakan mereka ada yang tidak kena.

Mengapa pulak para mahsiswa yang sibuk mengadakan tunjuk perasaan sedangkan ada pihak pembangkang yang boleh menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen. Betul ada. Tetapi tidak begitu efektif. Ada Zulkifly Muhammad ( PAS ), ada Dato’ Asri, Tan Chee Khoon,  dll. Namun disebabkan golongan pembangkang yang begitu kecil di parlimen menyebabkan suara mereka tidak begitu didengari. Bukan tidak didengar langsung oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak misalnya.

Para mahsiswa memang aktif terlibat dalam tunjuk perasaan di bawah pimpinan  Saudara Anwar Ibrahim, Nordin Razak ( bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya), Omar Jaafar, Hishamuddin Rais dan ramai lagi. Dan kebanyakan para pesara kerajaan Bahagian 1 kini adalah dilahirkan oleh University Malaya ( khususnya ) dan yang pernah mengikuti demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh mahasiswa.

Para Naib Chanselor university-university tempatan kini harus belajar dari Pak Engku ( Royal Prof. Ungku Abdul Aziz) tentang bagaimana menangani kerenah para mahasiswa yang aktif yang sentiasa ingin ‘ bersepak terajang ‘ dalam demonstrasi jalanan.

Akhir sekali saya angkat topi kepada Dato’ Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi yang bersikap begitu bertamadun terhadap pelajar yang ingin menyertai perhimpunan jalanan esok di stadium Merdeka.

Abuhassanadam
11 Januari 2013


Tuesday, January 8, 2013

Apakah akan terjadi sekiranya negara luar memberhentikan penghantaran 'Maid' ke negara kita?


Apa akan terjadi sekiranya negara luar memberhentikan penghantaran ' maid'


Akhbar The Star ( 5 Januari 2013 ) ada memuatkan berita ini.
The Malaysian Association of Foreign Maid Agencies (Papa) has been given the green light by the Government to increase the fee structure for Indonesian domestic workers to RM6,700.
This is a RM2,189 increase from the RM4,511.

RM 6,700 bagi aku  banyak. Banyak barang boleh dibeli dan boleh dibelanjakan. Bagi
orang miskin seperti aku, memang sentiasa memikirkan tentang berjimat. Apatah lagi aku tak pernah merasa ada ‘ maid’ di rumah utnuk menolong kerja rumah. Semenjak datuk nenek moyang aku lagi tak pernah ada ‘ orang gaji'.

Dalam dunia modern kini, terutamanya di Malaysia menggaji seorang ‘ maid’ untuk mengendalikan kerja rumah sudah merupakan satu kemestian. Terutama bagi keluarga yang suami isteri bekerja.  Tapi ramai juga yang isteri tidak bekerja, pakai ‘ maid’ di rumahnya. Orang kaya-kaya. Tapi ramai juga orang yang tidak begitu kaya memiliki orang gaji.

Apa akan jadi sekiranya Indonesia atau Filipina memberhentikan penghantaran buruh khususnya ‘ maid’  ke negara ini?

“ Mampuslah…..” kata seorang kawan aku yang sememangnya hidup dia bergantung kepada orang gaji. Pernah berlaku seketika orang gajinya ‘ lari’. Porak peranda hidupnya. Memang kelam-kabut. Anak-anaknya tidak terurus dengan betul. Pagi makan di kedai. Tengah hari makan di kedai. Malam juga makan di kedai. Pendek kata rumahnya tak berasap.

Tetapi kalau dibandingkan dengan keadaan di luar negara. tidaklah pula ramai penduduknya yang porak peranda hidupnya disebabkan ketiadaan ‘ maid ‘ untuk menguruskan rumahnya.Aku pernah tinggal di luar negara. Di Amerika  ( San Francisco ) dan di London. Lama juga. Dapatlah aku perhatikan kehidupan dan cara hidup orang-orang di sana. Yang aku nak sentuh ialah mereka jarang-jarang sangat ada orang gaji di rumah. Hanya orang-orang tertentu saja yang mempunyai orang gaji. Keluarga yang betul-betul berada. Dan kebetulan pula harga menyewa ‘ maid’ sememangnya terlalu mahal. Keluarga yang berpendapatan sederhana semamngnya tidak mampu berbuat demikian.

Berbanding dengan kita di Malaysia, mempunyai orang gaji adalah perkara biasa dan kadangkala sebagai satu kemestian bagi sesebuah keluarga yang merasakan dia mampu menggaji ‘ maid ‘.

Mengapa?

Jawabnya tentulah untuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Disamping itu dapatlah si suami atau si isteri menumpukan sepenuh perahtian kepada tugas di pejabat.

Yang aku hairan dan masih lagi belum berjawab soalan aku ialah apakah orang putih di Amerika dan di England  itu tidak bekerja. Mereka berkerja juga. Mereka ke pejabat juga. Ada anak juga. Tapi tidak ramai yang pakai orang gaji. Pendapatan tinggi juga. Tetapi mungkin disebabkan menggaji seorang  ‘ maid ‘ itu terlalu mahal maka mereka tidak mampu. Mungkin .

Yang aku dapat perhatikan ialah:

·      Sikap mereka. Mungkin disebabkan mereka tahu yang mereka tidak mampu untuk mengadakan orang gaji yang menyebabkan mereka mengamalkan sikap DIY ( Do it Yourself) . Cuba buat sendiri. Mereka melatih diri mereka sendiri untuk cuba buat sendiri.
·      Suami, isteri dan anak-anak dilatih untuk berdikari. Suami mesti tolong isteri di dapur. Anak-anak dilatih untuk menjaga kebersihan di rumah. Mesti sedia untuk membersihkan bilik air bersendirian tanpa pertolongan orang lain.
·      Oleh kerana semua anggota keluarga mempunyai tugas dan peranan maka tugas menyelenggarakan rumah menjadi ringan.
·      Si suami tidak menganggap isteri yang mesti ‘ bertugas di dapur’ sepertimana anggapan kebanyakan kelarga di Malaysia terutama dikalangan keluarga Melayu.

Berbanding dengan keadaan kebanyakan masyarakat di Malaysia,
Si suami dan isteri ingin menjadi ‘tuan’ dan ‘ cik puan’ .Si anak tidak mahu membuat tugas-tugas rumah kerana tidak dilatih oleh ibu bapa untuk membuat kerja sedemikian. Sehinggakan untuk melipat kain selimut pun mengharapkan orang gaji. Apatah lagi utnuk menyediakan makanan dan mencuci kain baju.

Mungkin ada juga yang mempunyai sikap berbangga bahawasanya ‘ aku ada orang gaji ‘Kadang-kadang sesebuah rumah tangga itu tidak mempunyai pendapatan yang membolehkan mereka menggaji orang, namun disebabkan oleh ‘ malu ‘ dengan rakan-rakan sekeliling atau merasa ‘ terhina’ sekiranya tidak memiliki orang gaji, maka mahu tak mahu terpaksa jugalah mengambil orang gaji walaupun terpaksa mengikat perut.

Pada pendapat aku masyarakat Malaysia harus melakukan anjakan paradigma yang drastik berkaitan dengan sikap yang terlalu bergantung kepada tenaga orang gajian ini. Mesti lakukan perubahan sikap. Tak salah. Malah lebih elok dan sempurna sekiranya nilai-nilai lama yang murni, yang telah diajar oleh ibu bapa dan orang tua kita diamalkan semula dalam Susana zaman modern yang mencabar ini.

Misalnya si suami atau isteri perlulah melakukan sedikit ‘pengorbanan’ untuk menjaga dan memelihara rumah tangga. Perlulah kembali semula kepada keadaan bagaimana ibu bapa kita pada zaman dahulu menjaga rumah tangga dan memelihara ketenteraman keluarga walaupun mempunyai sepuluh orang anak.

Si anak pula perlu diajar dan dilatih  untuk berdikari. Cuba Buat Sendiri (CBS). Apakah terlalu sukar untuk melipat sehelai kain selimut selepas bangun dari tidur? Apakah susah benar membersihkan bilik mandi kepunyaan sendiri? Apakah susah benar bagi seorang anak gadis belasan tahun untuk menyediakan sarapan ringkas ( kopi, roti bakar dengan jam, telur separuh masak misalnya ) bagi ibu dan bapa. Apakah terlalu sukar bagi seorang anak lelaki untuk mengelap lantai rumah ( dua minggu sekali misalnya)

Ini semuanya bergantung kepada kemahuan dan latihan yang diberikan oleh ketua sesebuah keluarga. Ringkasnya ibu bapa  perlu mengadakan perubahan sikap dengan segera. Perlu Cuba Buat Sendiri. ( CBS )

Abuhasanadam
5 Januari 2013