Friday, January 11, 2013

Bertongkat Paruh Ku Pergi Jua


BERTONGKAT PARUH  KU PERGI JUA

Besok hari Sabtu, 21 Januari 2013, aku akan ke Stadium Merdeka. Ke Perhimpunan Rakyat. “ Bertongkat Paruh’. Bukan kerana hasrat ku untuk menentang kerajaan tetapi hanya untuk bersama-sama rakyat terbanyak ( yang miskin dan yang kaya) untuk menyedarkan pihak tertentu bahawa ada perkara-perkara yang tidak berapa kena yang telah berlaku dalam pentadbiran negara. Justeru perlu disedarkan.

Aku tidak mudah percaya kepada berita-berita angin melalui internet yang banyak memperkatakan mengenai keburuhkan seseorang. Tak mudah aku percaya. Aku lebih banyak bergantung kepada RTM dan TV3 atau pun akhbar Utusan, Berita Harian. Bagi orang tua-tua seperti aku, itulah merupakan sumber berita yang telah banyak menyumbang semenjak dari kecil lagi. Namun disebabkan terlampau banyak persoalan yang tidak berjawab telah menyebabkan aku mula berfikir dan mempersoalkan tentang kesahihannya.

Dan aku mula berfikir, mengapa begitu ramai yang akan hadhir di Stadium Merdeka pada besok hari. Satu juta!. Itu bilangan yang cukup ramai. Seingat aku tak pernah lagi berlaku satu perhimpunan yang boleh mengumpulkan satu juta orang. Dari seluruh Malaysia pulak.

Sebelum ini sudah ada perhimpunan yang pada mulanya dijadualkan  diadakan di Dataran Merdeka. Tahun 2012. Tapi penggunaannya tidak dibenarkan. Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai. Polis kata peserta perhimpunan yang salah. Dan aku tengok memang ramai yang hadhir melalui gambar-gambar yang disiarkan melalui internet. Dan nampak semacam rakyat tidak puas hati dengan sesuatu keadaan.

Aku mula terfikir. Takkanlah yang datang begitu ramai ni bodoh-bodoh belaka. Tentulah ada betulnya tindakan mereka itu. Dan tidak pula ada termaktub yang tujuan mereka berhimpun itu untuk menumbangkan kerajaan. Takda. Mereka berhimpun bertujun untuk memberitahu Suruhanjaya Pilihanraya supaya membetulkan segala kesilapan yang telah berlaku dalam daftar pemilih SPR. Kesilapan!!. Mereka ada bukti yang menunjukkan telah berlaku kesilapan. Oleh itu betulkanlah…….

Aku pergi ke Stadium Merdeka esok kerana persitiwa esok hari banyak mengandungi nostalgia. Dah lama benar aku tak ke Stadium Merdeka. Dah lupa aku jalan ke Stadium.

Dulu di Stadium Merdeka lah kami bertempik sorak apabila menyaksikan perlawanan bola pada Pesta Merdeka. Jikalau perlawanan bermula pukul 8.00 malam, pukul 3.00 petang kami dah ‘ terpacak’ di Stadium Merdeka. Jikalau lewat tak dapat tempat duduk. Solat Asar entah ke mana. Solat Maghrib entah ke mana. Bola punya pasal. Dan yang menyebabkan kami begitu bersemangat pada waktu itu, pemain-pemain kita memang hebat-hebat. Mokhtar Dahari, So Chin Aun, Armugham, Santokh Singh, Sharuddin Abdullah dan mamat Abdullah ( adik beradik dari Pulau Pinang ) dan lain-lain. Mereka bermain betul-betul kerana negara.Apatah lagi di bawah bimbingan Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor yang terkenal tu.

Sekarang nampak tidak sehebat dulu. Nampak macam begitulah. Dulu mereka bermain bersungguh-sungguh untuk negara. Malaysia pernah mengalahkan Korea Selatan. Kalau lawan dengan Jepun tu ‘ kacang’ je la. Yang kita sedikit bimbang ialah dengan Burma “          Myanmar’. Perlawanan akhir biasanya dengan Burma. Selalunya Malaysia menang.

Malaysia pernah bermain di Olimpik di Munich. ( aku lupa tahun berapa ). Walaupun kita tewas, tapi sekurang-kurangnya mewakili Asia ke Olimpik.

Besok aku akan ke Stadium Merdeka. ‘ Bertongkat Paruh’. Maknanya aku akan bertongkat ke sana. Berjalan laju dah tak lalu. Namun begitu disebabkan ada Saudara Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais, aku teruskan juga. Nostalgia. Bagi aku mereka berdua ni betul-betul pejuang rakyat. Tak pernah luntur semangat mereka memperjuangkan rakyat semenjak zaman University lagi.

Aku mengenali istilah demonstrasi bermula dari zaman University Malaya dulu. Tahun 1971. Itulah permulaanya. Hari kedua dalam Minggu Orientasi telah ‘didedahkan’ dengan demonstrasi pertama ( bagi aku ) menentang kedatangan  PM Thailand, Thanom Kittikacharorn ( Maaf, sekiranya ejaan tersalah ) ke Malaysia.  Puncanya mahasiswa menentang ketika itu adalah disebabkan penindasan Kerajaan Thailand terhadap penduduk Islam Pattani di Selatan Thailand. Aku rasa ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang kebanyakannya dah pencen sekarang ini menyertai tunjuk perasaan ini, yang lintang pukang dikejar FRU berhampirann dengan Masjid Arrahmaniah, Univeristy Malaya, berhampiran dengan warung Pak Amjal.

Selepas itu banyaklah demonstrasi yang diadakan. Tapi bukan untuk menentang atau menjatuhkan kerajaan. Hanya menyedarkan pihak tertentu yang tindakan mereka ada yang tidak kena.

Mengapa pulak para mahsiswa yang sibuk mengadakan tunjuk perasaan sedangkan ada pihak pembangkang yang boleh menyuarakan pandangan rakyat di Parlimen. Betul ada. Tetapi tidak begitu efektif. Ada Zulkifly Muhammad ( PAS ), ada Dato’ Asri, Tan Chee Khoon,  dll. Namun disebabkan golongan pembangkang yang begitu kecil di parlimen menyebabkan suara mereka tidak begitu didengari. Bukan tidak didengar langsung oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak misalnya.

Para mahsiswa memang aktif terlibat dalam tunjuk perasaan di bawah pimpinan  Saudara Anwar Ibrahim, Nordin Razak ( bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya), Omar Jaafar, Hishamuddin Rais dan ramai lagi. Dan kebanyakan para pesara kerajaan Bahagian 1 kini adalah dilahirkan oleh University Malaya ( khususnya ) dan yang pernah mengikuti demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh mahasiswa.

Para Naib Chanselor university-university tempatan kini harus belajar dari Pak Engku ( Royal Prof. Ungku Abdul Aziz) tentang bagaimana menangani kerenah para mahasiswa yang aktif yang sentiasa ingin ‘ bersepak terajang ‘ dalam demonstrasi jalanan.

Akhir sekali saya angkat topi kepada Dato’ Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi yang bersikap begitu bertamadun terhadap pelajar yang ingin menyertai perhimpunan jalanan esok di stadium Merdeka.

Abuhassanadam
11 Januari 2013


No comments:

Post a Comment