DARJAH 1 –
1951
Bahagian 1
Lampu
trafik di hadapan bertukar merah. Semua kereta berhenti. Keadaan trafik di
Kuala Lumpur hari ini luar biasa sedikit. Sibuk. Hari persekolahan bermula.
Tahun baru. Budak-budak mula masuk Darjah 1.
Ada sebuah
kereta disebelah kereta aku. Sederhana besarnya. Aku pandang ke arahnya. Yang
menarik perhatianku ialah tentang anak kecil yang duduk di belakang kereta.
Sedang bermain Ipad. Confident. “ Baru nak masuk Darjah 1 agaknya’ kata hati
kecilku.
Aku
terbayang ketika aku baru nak masuk sekolah Darjah 1 pada tahun 1951. Tanah
Melayu ( Malaysia sekarang ) masih di bawah penjajahan pentadbiran British.
Orang Putih, kata Opah ( nenek ) aku.
Deraian
kokok ayam yang ke berapa aku dah lupa. Tapi waktu itu lebih kurang pukul 5.00
pagi. Masa itu mana ada jam. Pakai agak-agak je. Namun begitu aku tak pernah
lewat ke sekolah. Sentiasa ‘punctual’. Hari itu merupakan hari pertama aku ke
sekolah. Baru mula bersekolah. Seronok ada, tak seronok pun ada.
Seronok
kerana dapat pergi ke pekan. Sekolah aku ( Malay Boys School Padang Rengas )
terletak berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Aku memang jarang-jarang pergi
ke Padang Rengas, walaupun jaraknya hanya dua kilometer dari kampung aku. Jadi
bila bersekolah dapatlah aku ke pekan Padang Rengas setiap hari, kecuali hari
cuti. Dapatlah juga aku beli ais kepal dari kedai keling Majid ( dibawah pokok
sena ). Dapatlah aku beli kundas ( sejenis kuih yang hanya terdapat di kedai
mamak di Padang Rengas ! )
Aku ke
telaga ditemani Opah. Mandi. Ketika itu masih gelap lagi. Telaga tu pulak lebih
kurang 50 ela dari rumah. Mana ada lampu letrik. Opah pakai lampu minyak gas
untuk menyuluh jalan. Air telaga pada ketika itu bukan main sejuk. Terpaksa
mandi juga. ‘Gosok gigi dulu ‘ kata Opah memberikan arang yang sudah bertumbuk
untuk gosok gigi. Pada ketika itu mana ada berus dan ubat gigi. Arang dapur
itulah ubat giginya dan jari telunjuklah berus giginya !
Baju dan seluar
aku telah siap digosok oleh emak dengan sterika yang ada patung ayam jantan di
atasnya. Di dalam sterika dibubuh bara api untuk menghangatkan sterika. Mana
ada ‘iron’ seperti sekarang. Aku rasa sangat ‘hebat’ apabila dikenakan baju dan
seluar. Tak pakai seluar dalam. Zaman itu mana ada trend pakai seluar dalam.
Tapi sekolah kami semuanya murid laki-laki. Tak hairan jikalau tak pakai seluar
dalam.
‘Breakfast’
sudah tersedia. Emak yang sediakan. Pisang Emas muda yang direbus, dicicah
dengan kelapa. Kopi O. Itu saja. Itulah sebagai pengalas perut ke sekolah.
Berbanding dengan ‘ breakfast’ yang dinikmati oleh anak-anak aku dan cucuku ada
lah seperti ‘ jauh panggang dari api ‘. Jauh benar bezanya.
Bapak beri
aku duit belanja ( pocket money ) sebanyak 20 sen. Duit koin 20 sen itu
disimpulkannya di penjuru sapu tangan, supaya tak mudah hilang. Mana ada wallet
! . Dengan wang sebanyak 20 sen dapatlah aku beli nasi lemak atau meehun yang
harganya 10 sen. 5 sen untuk beli kuih. 5 sen simpan untuk beli ais kepal ( ice
ball ) ketika dalam perjalanan pulang nanti. Bagaimana dengan air minuman?
Jawabnya ialah air perigi Pak Mansur yang berdekatan dengan sekolah. Disitulah
sumber ‘air mineral’ yang baik. Percuma.
Hari
pertama persekolahan bapak hantar aku menaiki basikal tua.Mungkin dalam masa
seminggu aku ke sekolah dihantar oleh bapak dengan menaiki basikal. ‘ Leps tu
berjalan kaki bersama kawan-kawan ‘ kata bapak. Aku tak membantah. Seronok juga
begitu. Dapatlah juga aku singgah-menyinggah dan menangguk ikan Sepilai ( ikan
lawan ) ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Dalam
suasana kedinginan pagi yang hening itulah bapak mengayuh basikal tuanya menghantar
aku ke sekolah. Antara nampak dan tidak kami membelah kabus pagi – babak pertama
aku dalam usaha mengejar ilmu.
Abuhassanadam
2 Januari
2013
Bahagian Kedua akan menyusul
Wah...x sabar nak tunggu CERITA yg Seterusnya...
ReplyDelete