Thursday, January 24, 2013

ELAKKAN MEMILIH CALON JAHILIAH


ELAKKAN MEMILIH CALON JAHILIAH

Besok hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Maulidul Rasu. Hari cuti umum. Orang Islam nak merayakan hari kelahiran Nabi besar kita. Bukan macam menyambut ‘ Birthday’ yang selalu dibuat di Malaysia tu. Ada cake. Ada tiup lilin. Para jemputan  datang bawa hadiah. Dan kalau dari golongan berada pula, diadakan pula majlis tari menari. Minum arak sampai mabuk. Yang aku gambarkan ni  ialah tentang sudah ada orang Islam yang buat perkara seperti ini.

Menyambut kelahiran Nabi Muhammad bukan begitu.

Tulisan aku bukan untuk mengajar cara mana menyambut kelahiran itu. Hal itu serah pada ustaz dan guru agama. Yang aku hendak tuliskan ialah mengenai bagaimana aku mengenal Nabi Muhammad melalui guru agamaku ketika kecil-kecil dulu. Haji Sulaiman namanya. Kami di kampung panggil dia “Pak Haji’.  Nama Sulaiman tak payah sebut. Semua orang tahu. Sebab. Pada ketika itu dia seorang sahaja dalam kampung kami tu yang ber ‘title’ Pak Haji.

( Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman diletakkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Amin….)

Aku masih ingat  pada suatu malam ( masa mengaji)  di rumah Pak Haji. Siang-siang pergi sekolah Melayu. Sebelah malam mengaji Quraan. Suatu malam Pak Haji kata, “ Nabi Muhammad memiliki empat sifat terpuji yang utama, ia itu siddiq, amanah, tabliq dan fatanah”. Ingat, kata Pak Haji. Aku ingat sampai sekarang. Tetapi pada waktu itu aku tak tahu apa  ‘ biji buahnya’ makna dan maksudnya. Tapi aku boleh hafal. Ketika itu baru berumur tujuh tahun. Darjah Dua. Manalah nak tahu semua tu. Aku dapat hafal semua tu, supaya cepat pulang ke rumah. Pada ketika itu sebagai satu syarat, ‘kuliah’ mengaji di rumah Pak Haji diakhiri dengan ‘quiz’. Siapa dapat jawab, dia pulang awal.

Hari ini seluruh dunia merayakan kelahiran junjungan besar kita. Di Malaysia ada perarakan besar. Secara ‘live’. Yang menyerang benak aku ialah berapa orangkah diantara yang beribu-ribu tu yang betul-betul mengikuti sifat terpuji Nabi Muhammad seperti mana yang disarankan oleh Pak Haji.

Misalnya sifat siddiq. Maknanya berkata benar. Maksudnya Nabi Muhammad tidak pernah berbohong. Apakah kita dapat menepati sifat ‘tidak berbohong’ ini. Berdasarkan pemerhatian aku, sifat suka berbohong sudah menjadi amalan para pemimpin kita di Malaysia.  Tak kiralah pemimpin apa pun, asalkan pemimpin. Pemimpin politik ke, pegawai kerajaan ke, CEO bank ke. Tak kiralah. Bukanlah semua. Tetapi kebanyakannya tidak segan silu untuk tidak bercakap benar. Kadang-kadang dengan wajah ‘selamba’ sahaja setengah pemimpin itu berbohong dikhalayk ramai. Apakah ini cara yang diajar oleh Nabi Muhammad?

Selangkah lagi ialah  bukan setakat berbohong tetapi memfitnah, mengaibkan orang lain. Perakara yang tidak ada diada-adakan. Direka-reka cerita semata-mata untuk mengaibkan orang lain. Nabi Muhammad tidak mengajar begitu. Dan yang anihnya ialah  inilah golongan yang ramai berarak menyertai perarakan menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pak Haji kata, sifat terpuji Nabi Muhammad lagi ialah ‘ amanah’. Maksudnya dipercayai. Sebab itulah Nabi Muhammad semasa kecilnya digelar ‘ Al Amin’. Orang yang boleh dipercayai. Dalam hal ini tentulah ramai juga yang mepersoalkan berapa ramaikah anatara pemimpin kita yang boleh dipercayai. Ramai. Tetapi ramai juga yang tidak boleh dipercayai. Walaupun ada yang menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh jujur ikhlas, tetapi ramai juga yang tidak amanah. Menerima rasuah. Tidak menjalankan tugas dengan betul. Pecah amanah.

Seolah-olah sudah menjadi lumrah di Malaysia sekiranya seseorang yang memegang kuasa itu tidak mengumpul harta ketika berkuasa, tidak memakmurkan kaum keluarga semasa memegang kuasa dianggap sebagai seseorang yang tidak berapa cerdik. Walaupun anggapan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam, namun disebabkan perasaan tamak dan haloba ini segala larangan ini dilanggar tanpa segan silu. “ kalau orang lain boleh buat mengapa aku tak boleh buat’ pegangan dan falsafahnya. Falsafah ‘ menelungkup’ namanya

Lihat sahajalah kes-kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku dilakalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Bermaharajalela. Olehkerana ‘ si perompak’ tahu cara melepaskan diri , maka tidak ramailah yang tertangkap. Tetapi kita tidak boleh ukur dari segi itu. Rakyat umum tahu bahawa kes-kes rasuah dan pecah amanah berleluasa. Rakyat tahu kerana rakyat ‘melihat’ dengan mata kepala kegiatan rasuah dan pecah amanah itu berlaku.

Oleh itu apakah kita tidak merasa ‘ malu’ dan ‘segan silu’ kepada Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun kita sambut kelahiranya. Eloklah. Baguslah. Tetapi apakah kita tidak segan silu yang kita tidak langsung mengikuti sifat terpujinya dan  apa yang disarankannya. Apakah perarakan yang kita sertai itu hanya satu pesta-pestaan seperti mana kita menyambut Hari kemerdekaan negara atau pesta ‘Tahun menyambut Malaysia’ atau pesta-pesta yang dianjurkan oleh anak muda di Dataran Merdeka.

Pilihan raya umum yang ke 13 akan diadakan tidak lama lagi. Sesuailah agaknya sekiranya  keperibadian Nabi Muhammad dijadikan asas bagi kita memilih pemimpin yang akan menjadi wakil rakyat kita samada di peringkat negeri atau di peringkat parlimen disamping memilih parti mana yang kita kehendaki.  Mengasaskan pemilihan kepada sifat terpuji Nabi Muhammad sebagai criteria memilih calon bukan terhad kepada calon beragama Islam sahaja. Untuk calon bukan Islam juga kita gunakan kayu ukur keperibadian terpuji Nabi Muhammad juga.

Aku fikir golongan bukan Islam juga bersetuju. Apakah sifat baik dan terpuji itu akan ditentang? Semua agama dunia menganjurkan agar penganutnya bersikap mulia dan terpuji. Tidak pernah aku dengar lagi ada agama lain di dunia ini yang menganjurkan penganutnya agar sentiasa bercakap bohong dan memfitnah orang. Tidak pernah aku dengar ada agama dunia yang menyarankan agar penganutnya mencuri dan membunuh orang dan sentiasa melakukan zina. Tidak ada. Melainkan manusia pada zaman Jahiliah. Dengan demikian tidak salahlah sifat terpuji Nabi Muhammad itu dijadikan asas kita untuk memilih calon dalam Pilihan Raya ke 13.

Elakkan memilih calon ‘ Jahiliah’


Abuhassanadam
23 Januari 2013

No comments:

Post a Comment