Friday, January 25, 2013

Januari - Bulan Kerat Kepala


JANUARI – BULAN KERAT KEPALA

Ketika aku masih kecil-kecil dulu, bulan yang paling aku takut ialah bulan Januari.  Bukan aku seorang yang takut, malah seluruh ‘antero’ Padang Rengas dalam ketakutan. Dikatakan pada bulan inilah ‘ Ngah Laoh’ ( nama orang ) mengamuk kerat kepala kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan enam atau tujuh tahun. ‘ Kerat ‘ dalam loghat Perak ialah ‘ potong’.

Maknanya pada bulan Januari inilah ‘ Ngah Laoh’ akan mengambil kesempatan untuk memotong kepala budak-budak di kawasan ini. Mengapa pada bulan Januari?. Mengapa tidak bulan Februari atau Mac atau April. Jawapannya ialah hanya pada bulan Januari adalah musim padi menguning dan hanya menunggu untuk dituai. Pada ketika inilah kononnya ‘ Ngah Laoh ‘ mengambil kesempatan untuk berselindung disebalik pokok-pokok padi yang menguning, mengintai ‘mangsa-mangsa’ bertujuan untuk dipotong kepalanya.

Bukan sahaja kanak-kanak yang takut, ibu bapa juga bimbang kalau anak-anak mereka menjadi mangsa ‘ Ngah Laoh ‘. Aku tahu mereka bimbang kerana arwah emak aku pernah menasihatkan aku supaya pulang dari sekolah sentiasa dalam kumpulan. “ Jangan jalan sorang-sorang…” pesannya.

Memanglah mereka risau dan bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka. Jarak antara rumah kami ( Kampung Keroh Hilir ) dengan Malay Boys School, Padang Rengas adalah lebih kurang dua kilometer. Kami ke sekolah berjalan kaki, merentas desa  ( Kampung Lalang, Kampung Pondok ) dan dua kawasan sawah padi. Pada ketika itu tidak ramai  penduduk-penduduk di kampung-kampung ni. Memang sunyi dan
menakutkan apabila melalui kampung-kampung itu. Apatah lagi jikalau berjalan keseorangan. Memang jarang-jarang benar aku berjalan keseorangan ketika berada dalam Darjah Satu dan Dua dulu.

Mengikut yang empunya cerita, ‘ Ngah Laoh ‘memotong kepala budak-budak kerana kepala kanak-kanak ini diperlukan untuk menjadi ‘ pasak ‘ pembinaan sebuah jambatan merentang Sungai Perak. Mengikut ceritanya sekiranya sesebuah jambatan itu tidak dipasak dengan kepala kanak-kanak, jambatan demikian mudah roboh dihanyutkan oleh air. Dengan demikian sesebuah jambatan yang sedang dibina itu sekurang-kurangnya memerluka sekurang-kurangnya sebiji kepala kanak-kanak.

Bulan Januari adalah musim menuai. Berlarutan sampai ke bulan Februari. Dan pada bulan ini jugalah suasana di kampung kami menjadi begitu ceria dan riang, terutama pada waktu petang dengan hembusan bayu yang sungguh menyamankan. Apatah lagi apabila dalam saat-saat matahari ‘ mahu menyembunyikan dirinya ‘ ( aku pinjam kata-kata Pak Samad Said )

Malangnya pada bulan ini jugalah merupakan bulan kanak-kanak dalam ketakutan. Kini apabila mengenangkan peristiwa-peristiwa ini menyebabkan aku termenung dan ketawa bersendirian. Geli betul hati aku mengenangkan cerita ‘ Ngah Laoh ‘ yang tugasnya  ‘ kerat kepala’ kanak-kanak untuk menjadi ‘ pasak pembinaan sebuah jambatan’.

Sehingga kini ( 2013) tidak pernah terdapat lagi walaupun satu insiden dimana kanak-kanak di kampung aku khususnya dan di seluruh kawasan Padang Rengas yang kehilangan kepala. Tak pernah. Tetapi soalnya mengapa cerita-cerita demikian terus disebarkan dan terus dipercayai oleh penduduk kampung. Ini aku tak faham. Mujurlah cerita sebegini sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin masyarakat sudah mula berfikiran kritis, ekoran daripada pengenanalan pelajaran dan pembelajaran moden.

Apakah tujuan cerita seperti itu disebarkan?

Aku tak tahu nak jawab. Mungkin…mungkin ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka main berkeliaran di kawasan bendang ketika musim menuai. Mereka mahu anak mereka cepat sampai ke rumah setelah pulang dari sekolah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka ‘ singgah-menyinggah’ di kawasan sawah padi ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Tetapi apabila aku kenangkan ‘ rasional’ “ Ngah Laoh ‘ memotong kepala kanak-kanak untuk dijadikan pasak buat jambatan, menyebabkan aku tergelak besar. Memang tak lojik langsung. Tapi seluruh penduduk kampung aku yakin dan percaya. Tak pernah pula mereka menyoal lojik tidaknya kenyataan itu. Memanglah masyarakat Melayu pada ketika itu terlalu simple dan mudah saja menerima apa saja yang dikatakan oleh orang, terutama sekiranya seseorang itu agak berpengaruh dalam masyarakatnya.

Tidak pula mereka mempersoalkan apakah pembinaan jambatan di luar negara itu perlu dipasak dengan kepala kanak-kanak juga. Baru-baru ini ketika aku melalui The Golden Gate Bridge dan The Bay Bridge di California, USA aku masih tersenyum bersendirian, mengenangkan kisah ‘Ngah Laoh’ memotong kepala kanak-kanak bertujuan untuk dijadikan pasak pembinaan sesebuah jambatan. Mungkinkah ada juga  ‘sumbangan’ ‘ Ngah Laoh’ dalam pembinaan ‘ The Golden Gate Bridge’ itu !!!......



Abuhasaanadam
25 Januari 2013

2 comments:

  1. Abu, memang aku pun pernah mengalami apa yang di alami saudara...memang betul, mak ayah kita tak nak kita berayau lepas sekolah, balik rumah terus...secara logiknya, secara tidak langsung ia telah menghindar kita semua daripada menyertai kawan2 nakal dan melibatkan diri dalam hal yang bahaya seperti geng dan jadi kaki botol/dadah...bandingkan budak2 sekarang...ramai yang dalam aktiviti sosial yang tak sihat...mungkin kisah2 cam 'Ngah Laoh' kurang..

    Subra

    ReplyDelete
  2. I wish Malaysiakini, Malaysia Chronicle, Malaysia Today and other independent news blogs provide you a link to help disseminate your rational views to the wider Malay populace.

    Thomas

    ReplyDelete