Monday, January 14, 2013

SPEAKERS CORNER - Permata Yang Hilang


SPEAKERS CORNER
Permata yang hilang

Kesan daripada perhimpunan HKR 112 baru-baru ini yang menyaksikan penglibatan ramai orang muda menyebabkan saya terpanggil untuk menulis satu rencana berkaitan dengan Speakers Corner yang pernah wujud di University Malaya pada suatu ketika dahulu. Para mahasiswa University Malaya kini mungkin hanya mendengar tentang Speakers Corner tapi tidak tahu apa dia Speakers Corner tu dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Speakers Corner dah tidak ada lagi. Hanya yang tinggal ialah kesan-kesanya sahaja.

Speakers Corner di University Malaya itu bagi aku sama pentingnya dengan institusi University Malaya itu sendiri. Apa tidaknya. Kebanyakan pemimpin negara kini hampir semuanya mengasah bakat berpidato mereka di Speakers Corner itu lah.  Sebut saja. Pasti mereka tidak akan melupakan ‘ jasa’ Speakers Corner.

Di situlah mereka berdebat, berbahas tentang isu-isu semasa. Merka belajar melalui pengalaman tentang berhujah dan berdebat dengan menggunakan akal dan fikiran. Tidak pernah ada perbalahan yang menghasilkan pertarungan fizikal. Dalam erti kata ‘ berlengan’. Tidak ada. Sihat. Mereka ‘bergaduh’ hanya dengan menggunakan akal dan fikiran Kini dah tidak ada lagi. Pasti juga para mahasiswa kini ‘ meratapi’ tentang ketiadaan Speakers Corner. Namun sekiranya meratapi dengan mengeluarkan air mata darah sekalipun, Speakers Corner memang dah tidak ada lagi.

Speakers Corner terletak berhadapan dengan Perpustakaan University Malaya. Merupakan tangga batu yang bertingkat yang dibuat khas sebagai pentas untuk para mahsiswa berpidato. Di perkarangan Speakers Corner itu ditanam pokok-pokok yang boleh memberikan perlindungan kepada para ‘ pendengar’ yang ingin mendengar ucapan pemidato-pemidato.. Amat sesuai untuk bersantai setelah berpenat lelah mentelaah di dalam perpustakaan. Amat selesa. Seorang demi seorang akan menaiki pentas ceramah mendebatkan isu-isu semasa. Sekiranya bernas hujah seseorang mengenai sesuatu isu, beliau akan mendapat tepukan. Sekira sebaliknya akan mendapat ‘boooo….’ Seronok betul mengenangkan peristiwa-peristiwa demikian.

Kini Speakers Corner dah tidak ada lagi. “ Hilang’ selepas tahun 1975. Sudah hilanglah suatu tempat yang amat berharga bagi para mahasiswa muda, ‘ the angry young men ‘ untuk mengasah bakat mereka berpidato. Banyak tokoh yang dihasilkan oleh Speakers Corner. Tetapi yang paling menyerlah dan yang tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa pun ialah Saudara Anwar Ibrahim.

Aku pun hairan mengapalah pihak berwajib pada ketika itu  ‘dengki’ benar dengan Speakers Corner. Bagi aku itulah saluran yang amat penting bagi para mahasiswa untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu. Di Speakers Corner lah mereka dapat melepaskan segala kemarahan mereka samada terhadap kerajaan ataupun terhadap pentadbiran university  atau pun terhadap mana-mana pihak yang mereka tidak puas hati. Mereka lahirkan dengan cara yang beradab.

Apabila aku menceritakan tentang kegemilangan University Malaya terutama mengenai Speakers Cornernya kepada anak-anak muda mahasiswa sekarang, ternampak perasaan kehampaan di wajah mereka.

‘ Kami tak merasa semua tu’ merupakan jawapan yang sentiasa diberikan. Mereka mengharapkan sangat agar suasana university sebagaimana yang aku ceritakan itu muncul semula. Aku ceritakan kepada mereka bahawa mahasiswa pada zaman itu sebenarnya ‘ mengkaji’ di university bukan ‘ belajar’.

Mahasiswa sebelum pengenalan Akta University sentiasa belajar menerusi berbagai sudut dan lapangan. Yang pentingnya mereka mencuba dan terlibat dalam hal-hal kemasyarakatan. Mahasiswa dulu belajar melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para bijak pandai yang sentiasa dijemput untuk menyampaikan ceramah-ceramah di University Malaya.

The Great Economic Debate misalnya diadakan hampir setiap tahun. Di situlah para mahasiswa dapat mendengar pandangan-panadangan dari tokoh-tokoh ekonomi dan politik membicarakan keadaan ekonomi semasa. Mereka boleh membicarakan semua perkara dan sebarang isu negara dan antarabangsa tanpa ada sekatan dan larangan. Dengan demikian dapat membuka mata para mahasiswa, supaya menjadi seorang mahasiswa yang peka dengan keadaan sekelilingnya.

Pada ketika itu tidak ada larangan bagi sesiapa pun untuk datang ke University Malaya untuk menyampaikan ceramah mereka. Malah seingat aku kebanyakan majlis-majlis ceramah dianjrkan oleh persatuan mahsiswa sendiri. Persatuan mahasiswa lah yang merancang dan yang menentukan penceramah mana yang hendak dijemput. Terlalu sedikit penglibatan dari pihak pentadbiran university.

Budaya Speakers Corner di University Malaya, mungkin mengikuti budaya yang dijalankan di Hyde Park di London. Tentu ramai yang pernah berada di Hyde Park London dan pernah melihat sendiri tentang aktiviti hari Ahad yang dijalankan di sana. Demokrasi dalam erti kata sebenar-benarnya. Setiap individu bebas menyuarakan pandangan masing-masing dalam apa isu sekalipun.

Kadang-kadang aku termenung mengenangkan sesuatu. Kadang-kadang aku terfikir, sekiranyalah Speakers Corner yang ada di University Malaya  itu masih wujud sampai ke hari ini dan berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, aku tidak dapat bayangkan kualiti mahasiswa yang dapat kita lahirkan di negara ini.

Aku tidak menafikan tentang peranan  university hari ini yang telah melahirkan ramai graduan yang hebat-hebat dari segi pencapaian akademiknya. Namun demikian sekiranyalah mereka diberikan kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan ( secara sihat tentunya ) melalui saluran-saluran tertentu seperti di Speakers Corner, aku tidak dapat bayangkan kualiti para mahsiswa yang dapat dilahirkan. Aku tidak dapat bayangkan……….



Abuhassanadam
14 Januari 2013

Video ini diambil dari laman web facebook. Boleh dibandingkan dengan keadaan zaman dulu dimana Speakers Corner memainkan peranan mendewasakan mahasiswa.

1 comment:

  1. boleh saya tahu tajuk tajuk yang sesuai untuk speaker corner?

    ReplyDelete