Sunday, January 20, 2013

Undilah Tuan Dan Puan, Dua Puluh Tujuh Haribulan...


UNDILAH TUAN DAN PUAN
DUA PULUH TUJUH HARIBULAN…….


Tak lama lagi kita pasti akan mengundi. Yang tua dan muda mesti mengundi. Itu hak kita menentukan arah tuju pemerintahan negara. Kalau tak mengundi maknanya tidak lengkap syarat sebagai warganegara sesebuah negara. Siapa yang kita akan undi ‘ itu lain kira’. Yang pasti mesti mengundi.

Aku tak mahu campur hal politik kepartian. Yang nak aku ceritakan kali ini, yang ada kaitannya dengan mengundi ialah tentang pilihanraya pertama yang pernah diadakan di Tanah Melayu semasa di bawah penjajahan British. Ada orang bijak pandai kata, Tanah Melayu ni tak pernah dijajah !. Tak tahulah aku. Aku bukan ahli sejarah.

Tapi setahu aku dah tiga bangsa Eropah menjajah kita. Portugis, Belanda dan Inggeris. Itu tak masuk lagi Siam. ( Bila kita menghantar ufti atau Bunga Mas kepada Siam tu maknanya kita dah kena jajahlah tu…) Tapi masih ada yang mengatakan kita tak pernah dijajah. Aku tak faham !

Tak apalah. Itu hal merekalah. Yang aku nak ceritakan ialah mengenai Pilihan Raya pertama di Tanah Melayu. Aku masih ingat tarikhnya. Dua puluh tujuh haribulan Julai tahun 1955. Aku yakin betul tarikh itu. Sebab ada sepupu aku yang lahir pada tarikh itu. Mak Cik aku beri dia nama Abdul Rahman ( mengambil sempena nama Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan kita ) tapi Opah ( arwah ) aku panggil dia ‘ Ngundi’. Sampai hari ini kami panggil dia ‘ Ngundi’.

Ada lagu yang dicipta khas mengenai pilihan raya pertama.

Undilah tuan dan puan
Dua puluh tujuh haribulan
Pilihan raya yang pertama
Undilah…pergilah….bersma-sama

Penyanyi yang menyanyikan lagu ini ialah Zainal Alam ( kalau aku tak silap). Sampai hari ini aku boleh menyanyikannya. Melodinya sedap didengar. Tak aku tahu pula siapa yang menciptanya. Tiap-tiap hari dan setiap ketika lagu ini akan berkumandang di corong Radio Malaya ( RTM pada ketika  itu). Dan oleh kerana sedap melodinya, maka disiulkan juga oleh anak-anak muda disamping lagu-lagu ‘ Kau Laksana Bulan ‘ oleh P. Ramlee.

Calon pilihan raya di tempat aku ialah Ghazali Jawi (Tan Sri) bekas Menteri Besar Perak, ayahanda kepada Tan Sri Tajol Rosli ( bekas Menteri Besar Perak juga) mewakili parti Perikatan ( sebelum terbentuknya Barisan Nasional ). Lambang parti Perikatan pada ketika itu ialah Kapal Layar. Seorang lagi ialah calon Parti Sosialis. Aku lupa namanya. Tapi lambangnya ialah Gunting.

Kempen pilihan raya pada ketika itu tidak sehebat keadaan sekarang. Dulu Radio Malaya tidak menyebelahi mana-mana parti. Tak boleh. Orang zaman dulu betul-betul mengikut lunas demokrasi. Malah setiap parti politik dibenarkan berkempen melalui Radio Malaya. Diberikan ‘ air time’ yang bersesuaian. Aku pernah dengar melalui Radio Malaya, tapi aku tak fahamlah apa mereka kata. Masih kecil. Baru masuk SMC 1.

Aku tak tahu pun mengapa gambar Tunku Abdul Rahman diletakkan merata-rata tempat di kedai-kedai  di pekan Padang Rengas. Gambar hitam putih. Tunku Abdul Rahman bersongkok dan berbaju Melayu. Pada ketika itu semua calon Melayu dalam piliharaya mesti menampakkan imej ‘ Melayu’. Mesti pakai songkok. Kalau tak pakai songkok, orang Melayu tak akan mengundi dia.

Selalu orang kata pada ketika itu, ‘ kalau letak tunggul untuk jadi calon Perikatan pun orang akan undi. Memang betul. Pada ketika itu rata-rata masyarakat Melayu memang ‘ buta’ mengenai proses pilihan raya ini. Mereka tidak dapat mengaitkan hubungan antara pilihan raya dengan kemerdekaan Tanah Melayu. Malah ada yang mengatakan mereka tidak mahu kemerdekaan. Mereka lebih selesa tinggal di bawah naungan British.

Itulah rupa masyarakat Melayu yang cuba dihadapi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita pada ketika itu. Tunku Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak Hussein ( bapa Dato’ Seri Najib ) Dato Ismail Abdul Rahman, Encik Tan Siew Sin, Encik Sambanthan dll. Memang ‘solid’. Pejuang-pejuang kemerdekaan pada ketika itu memang ‘ solid’. Tak ada rasuah. Matlamat mereka berjuang semata-mata untuk mendapat kemerdekaan tanah air. Memajukan bangsa Melayu, disamping bangsa-bangsa lain. Tidak ada kepentingan diri. Tidak pula berperangai seperti lembu. Sambil menarik kereta lembu, ‘ meragut’ rumput disepanjang jalan.

Tidak pula kedengaran mereka terlibat dengan rasuah ketika memegang tampuk pentadbiran negara. Tunku Abdul Rahman terpaksa menjual beberapa buah rumahnya demi untuk mengumpul dana memperjuangkan kemerdekaan. Dan apabila dia meninggal tidak banyak harta yang dikumpulkannya. Begitu jugalah dengan pemimpin-pemimpin lain. Tun Abdul Razak misalnya. Tun Dr. Ismail begitu juga. Semoga roh mereka diletakkan di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Aku pasti tidak banyak wang yang dicurahkan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya. Itu aku pasti. Pada ketika itu parti-parti yang bertanding tidak semewah sekarang. Pekerja-pekerja parti hanya didorong oleh semangat yang berlkobar-kobar demi kemerdekaan negara. Sanggup menampal poster Tunku Abdul Rahman secara sukarela. Sanggup menyebarka risalah-risalah manifesto parti dengan cara sukarela. Berbanding dengan sekarang jauh panggang dari api.

Dipendekkan cerita, keputusan pilihan raya pertama itu memihak kepada parti Perikatan. Tak silap aku Perikatan menang 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi itu dimenangi oleh Dato Onn Jaafar yang mewakili Parti Kebangsaan Malaya. Dengan kemenangan itulah Tunku Abdul Rahman begitu yakin berjumpa dan berunding dengan kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Akhirnya kemerdekaan tercapai pada 31 Ogos 1957 hasil perjuangan gigih bapak kemerdekaan kita TUNKU ABDUL RAHMAN PUTERA AL HAJ..

abuhassanadam
20 Januari 2013




1 comment: