DARJAH 1 – 1951
BAHAGIAN 2
(Aku tujukan rencana ini kepada kaum keluarga Cikgu
Mat Yassin ( Guru Besar ) yang telah mencurahkan jasa bakti yang bukan kepalang
terhadap kemajuan anak Melayu di sekitar Padang Rengas)
Kata kawan
aku ‘syarat’ nak masuk sekolah ( Darjah 1 ) ialah dengan cara memegang telinga kiri dengan
menggunakan tangan kanan melalui bahgian tengah kepala. Pegang ikut belakang
kepala ‘ tak aci ‘ ( tidak sah ). Maknanya jikalau sudah boleh berbuat demikian,
itu menandakan sudah ‘ dewasa’ untuk memulakan persekolahan Darjah 1.
Itulah ‘
cakap-cakap’ kami yang hendak memulakan persekolahan Darjah 1. Tetapi
sebenarnya tidak begitu. Namun demikian, pihak pentadbiran British pada ketika
itu agak longgar untuk menerima pelajar ke sekolah. Tidak seperti sekarang
dimana untuk memasukki Darjah 1 semestinya berumur enam tahun lebih.
Ramai yang
memasukki Darjah 1 pada ketika itu tidak mengikut umur. Ramai yang sudah
terlebih umur ketika memasukki Darjah 1, terutama kawan-kawan ku yang datang
dari Kampung Setor. Aku masih ingat namanya – Jama ( Jamaluddin ) dan Nazeri. Kawan-kawan aku yang
betul-betul ikut peraturan ( umur 6 tahun ) ialah Mat Ha ( Dato’ Khairuddin ),
Ngah ( Radzi Jawi ) Di Pak Leman (
Rashidi Sulaiman ) Busu ( Busu Piah ) Dollah ( Abdullah Zainun ), Man Pak Sam (
Rosli Shamsuddin – arwah ) Noor ( Muhammad bin Tahir – arwah ). Kebanyakan
mereka menjadi guru. Ada juga yang jadi akauntan.
Bapak menyandarkan basikal buruknya pada
pokok cherry yang berdekatan dengan kelas aku. Menunggu dan melihat gelagat
aku. Agaknya. Maklumlah baru masuk alam baru. Bimbang juga dia agaknya. Ramai
juga ibu bapa lain yang bersikap begitu. Antara yang masih aku ingat berbbuat
seperti bapak aku ialah Tokki Ketok ( Atuk Man ). Pak Sam ( bapak Man ) tak
datang. Tokki Ketok memang sayang sungguh kepada Man. Cucu lah katakan.!
Pada
ketika itu walaupun kami datang dari kawasan Padang Rengas tetapi dari kampung
yang berlainan. Mat Ha, Busu, Dollah dari Paya Panjang; Ngah ( dua pupu aku
dari Kampung Keroh Hilir), Noor ( arwah ) dan Di Pak Leman dari Kampung Pondok; Man Pak
Sam ( arwah )dari Kampung Pulau. Kami belum mengenali antara satu sama lain. Dan bermula
dari Darjah 1 inilah, hubungan kami mula terjalin sehingga kini. Erat dan
mantap.
( Untuk
pengetahuan anak-anak semua di luar sana, persahabatan yang terpahat antara
kami semenjak dibangku sekolah Darjah 1 inilah yang masih mantap dan jitu
sehingga sekarang, walaupun kadang-kadang begitu lama tidak berjumpa)
Nama cikgu
kami ialah Cikgu Rahman. Orang Sayong, Kuala Kangsar. Ada ‘tahi lalat’
disebelah atas bibirnya. ‘Handsome’ orangnya ( diukur pada zaman tahun 50an).
Pakaiannya ke sekolah serba putih. Tiap-tiap hari begitulah. Seluar dan bajunya
‘ berkanji’ dan bergosok rapi ( dengan seterika arang tentunya ). Hampir tidak
pernah aku lihat Cikgu Rahman dan Cikgu-Cikgu lain yang memakai pakaian selain
dari warna putih ketika ke sekolah.Rambut nya setiap hari disikat rapi, ala
remos P. Ramlee. Bujang pulak.
Cikgu
Rahman datang ke sekolah menaiki masikal ‘ Raleigh’. Berkilat ( sentiasa
dicuci) basikalnya. Ada mengeluarkan sejenis bunyi dari rodanya apabila
bergerak. Tik….tik….tik. Cikgu-cikgu lain juga datang ke sekolah dengan
basikal. Tidak seorang pun antara cikgu yang pakai kereta atau motor. Tak
mampu. Lagipun kereta tidak banyak pada ketika itu. Yang ada pun adalah brand
“Ford’ dan “ Austin’. ‘ Made in England’ la.
Guru Besar kami Cikgu Mat Yassin namanya. Putih kulitnya. Bersongkok selalu. Cikgu Mat Yassin juga tidak mempunyai kereta. Hanya berbasikal apabil hendak bergerak ke sana- kemari. Orang kampung disekitar Padang Rengas amat menghormatinya sehinggakan nama sekolah “ Malay Boys School Padang Rengas ‘ itu dipanggil oleh orang Kampung sebagai ‘ Sekolah Cikgu Mat Yassin ‘.
Di sekitar
Padang Rengas, Cikgu Mat Yassin adalah semacam ‘ Gabenor daerah’ atau ‘ District
Officer’ ataupun sebagai ‘ Penghulu’ atau apa saja yang berperwatakan baik dan hebat. Kedudukan Cikgu Mat Yassin dimata orang Padang Rengas hanya dibawah sedikit saja daripada kedudukan DYMM Sultan Perak. Pendek kata Cikgu Mat Yassin
sangat-sangat dihormati. Begitu juga dengan Cikgu-cikgu lain sangat dihormati
oleh orang kampung.
Ibu bapa
kami amat berbangga kalau dapat bertemu dan bercakap dengan Cikgu Mat Yassin. Kata-kata
Cikgu Mat Yassin akan sentiasa diingati dan dirujuk. Pesan Cikgu Mat Yassin
akan didengar dengan teliti. Tidak akan ada yang membangkang. Jikalau ada
diantara kami yang dirotan atau didenda oleh Cikgu Mat Yassin ( kerana kenakalan kami tentunya ), janganlah ‘
mengada-ngada’ nak beri tahu emak bapak. Nanti kesannya, ibu bapa kami akan
membawa kami kepada Cikgu Mat Yassin sekali lagi dengan disediakan rotan yang
lebih besar dan lebih segar supaya Cikgu Mat Yassin terus merotan kami yang
nakal.
Itulah
hebatnya Cikgu Mat Yassin dan guru-guru yang sezaman dengan beliau. Sekarang ada lagi ke keadaan sedemikian?. Orang
muda-muda fikirkanlah……..
Abuhassanadam
6 Januari
2013
Jikalau
ada permintaan ( dari orang muda-muda tentunya ) supaya cerita sebegini diteruskan maka akan aku sambung ke Bahagian 3. Boring juga membaca cerita-cerita begini !!
Salam Pak Abu..Ringkas tetapi BEST betul la crita Pak Abu...Sehingga boleh membuatkan saya terbayang-bayang kemanisan zaman dulu yg tiada lagi pada zaman ini..Klu boleh teruskanlah crita mcm ni Pak Abu..x tertabas nilai kemanusiaannya...Keep it up !!!
ReplyDeletesaya nak baca lagi... pak abu.. tolong cerita lagi..
ReplyDelete