Sunday, January 27, 2013

ORANG CINA TIDAK PERNAH BERSUNGUT TENTANG AZAN DI MASJID/SURAU





ORANG CINA TIDAK PERNAH BERSUNGUT TENTANG AZAN DI MASJID/SURAU

Nak bercakap mengenai agama  seperti orang lain memang aku tak pandai. Takde ( tiada ) belajar dengan mendalam. Hanya setakat ‘ sekolah Quran’. Itu pun pada waktu malam. Bukan ‘ full time ‘ pulak tu. Tahulah sedikit sebanyak mengenai Rukun Islam, Rukun Iman, Sifat 20. Tapi membaca Quraan memang tiga kali tamat. Tiga kali emak ( arwah ) bawa pulut kuning ke rumah Pak Haji Sulaiman, menandakan aku dah ‘ graduate’. Apabila aku ‘ Masuk Jawi ‘ ( berkhatan ) emak adakan khenduri “Khatam Quraan’. Pakai jubah  macam anak Arab Badwi.

Ini hanya mukaddimah. Yang aku nak ceritakan ialah tentang kebimbangan aku tentang keadaan yang wujud dalam masyarakat Malaysia sekarang. Masalah kalimah ‘Allah’. Seingat aku isu in tak pernah wujud pun dalam masyarakt. Mengapa sekarang baru timbul. Aku fahamlah bahawa kewujudan isu ini ada kaitannya dengan politik. Itu aku faham. Tetapi soalnya mengapa diseretkan masyarakat dalam kancah perbincangan ini. Apabila isu ini berlarutan, aku takut ramai orang muda akan keliru. Dan kesan sampingannya tentulah tidak berapa molek bagi masyarakat kita di negara yang tercinta.

Orang muda dari berbagai bangsa dan agama sudah amat selesa dengan kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini. Buktinya. Tak pernah pun timbul rasa tak puas hati mana-mana golongan terhadap anutan agama masing-masing. Orang  bukan Islam tak pernah bersungut terhadap laungan Azan lima kali sehari yang dilaungkan melalui corong-corong pembesar suara di surau-surau dan masjid. Mereka tak pernah complain. Complain dalam hati mungkin ada. Tetapi secara terbuka takde.

Orang Islam pulak tak pernah bersungut tentang orang Cina ( yang beragama Buddha ) mengadakan upacara perarakan mayat dengan diiringi pukulan gendang yang membisingkan. Orang Islam tak bersungut.  Dan kini sudah bertambah berkurangan upacara yang sebegini. Dan pada musim Tahun Baru Cina, perayaan Tarian Naga tak kurang bising dan riuhnya. Namun orang Melayu boleh menerima kenyataan itu. Malah kini sudah ada pemuda Melayu yang menyertai Tarian Naga.

Orang Melayu dan Cina tidak pernah bersungut juga tentang perarakan yang dilakukan oleh penganut Hindu dalam perayaan Thaipusam. Nak cucuk hidung cucuklah. Nak pecah kelapa berapa lorry pun pecahlah. Penganut agam lain tak kisah. Kadang-kadang orang Melayu ‘enjoy’ sama melihat penganut Hindu yang dicucuk hidung dan badan. Tidak pula ada kata-kata menghina yang mempersoalkan mengapa penganut Hindu sanggup menyucuk badan dan hidung mereka. Itu adalah kepercayaan masing-masing.

Jadi suasana harmony dalam hal beragama memang wujud.

Keadaan sebeginilah yang sepatutnya dipelihara. Bukan menimbulkan huru hara. Dan aku rasa timbulnya keadaan sedemikian sedikit sebanyak adalah sumbangan dari guru-guru sekolah, terutamanya guru sejarah yang telah banyak memberikan input mengenai masyarakat yang hidup secara muhibbah.

Buku teks Sejarah Tingkatan Empat  bagi ku banyak sekali menyumbang kepada keadaan keharmonian beragama di Malaysia pada hari ini berpandukan kepada masyarakat madani yang telah diwujudkan oleh Nabi Muhammad dengan termetrainya Perjanjian Madinah.

‘ Masyarakat Madinah bebas memilih agama masing-masing. Setiap individu mestilah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain. Sikap buruk sangka dari segi agama seperti yang diamalkan sebelumnya dilarang sama sekali. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah memaksa mereka yang  bukan Islam supaya memeluk Islam, misalnya orang Yahudi bebas mengamalkan ajaran agama mereka’ Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat – muka surat  127.

Buku teks sejarah ini mula diperkenalkan pada tahun 2002. Maknanya pelajar Malaysia yang mula-mula menggunakan buku teks sejarah ini, kini sudah berumur 27 tahun. Dan sehingga tahun 2013 buku teks sejarah ini masih digunakan disekolah-sekolah. Bayangkan mesej yang disampaikannya kepada pelajar-pelajar’

·      Perlembagaan Madinah yang dirangka oleh Nabi Muhammad memberi kebebasan kepada masyarakat Madinah memilih agama masing-masing.
·      Setiap individu mestilah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain.
·      Sikap buruk sangka dari segi agama dilarang sama sekali.
·      Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah memaksa mereka yang bukan Islam supaya memeluk Islam
·      Orang Yahudi bebas mengamalkan ajaran agama mereka.

Penjelasan di atas adalah antara perkara-perkara yang tercatat yang dirangka Oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada siapa yang berani mengkeritik Perlembagaan Madinah dari segi keadilan yang cuba diketengahkannya. Cukup adil dan saksama. Dengan sebab itulah ramai penganut lain yang tertarikk dengan ajaran Islam bukan kerana paksaan tetapi dengan kerelaan hati mereka sendiri.

Dan amat sesuai pulak Perlembagaan Madinah dipraktikkan di negara kita Malaysia. Dengan sebab itulah semangat dan prinsip Perlembagaan Madinah itu dapat diterima dengan senang hati oleh masyarakat Malaysia sehingga hari ini.

Aku amat bimbang dengan keadaan yang wujud kini yang pada pandangan  aku kewujudan isu itu hanyalah berunsurkan politik. Aku bimbang dan takut kalau-kalau anak muda ( dari semua fahaman agama) keliru dan salah faham tentang perkara itu. Mereka amat selesa dengan keadaan yang telah wujud sekian lama.

Kita amat mengharapkan sebarang isu yang timbul yang boleh mengaharu-birukan pemikiran orang muda khususnya diselesaikan dengan segera. Kita takut kalau-kalau anak muda nanti akan keliru. Dan kesan daripada keadaan itu nanti amat parah dan amat sukar untuk diselesaikan.

Sudahlah………..





Abuhassanadam
27 Januari 2013

No comments:

Post a Comment