Wednesday, January 23, 2013

JUS SOLI


JUS SOLI

Saya terpanggil lagi untuk memberikan pandangan mengenai isu kerakyatan yang sedang hangat diperbincangkan sekarang. Membincangkan mengenai kerakyatan, pastinya kita tidak dapat lari dari membincangkan mengenai kerakyatan Jus Soli.

“ Satu isu hangat ialah kerakyatan jus soli. Kerakyatan ini yang menjadi tuntutan orang dagang tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Ini adalah kerana prinsip kerakyatan jus soli memberikan hak sama rata kepada semua kaum dan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Namun selepas beberapa rundingan dibuat, Raja-Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan tolak ansur ini satu pakatan murni antara kaum telah terbina di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Perkara lain yang telah dipersetujui termasuklah agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan’ Buku Teks Sejarah Tingkatan Lima untuk sekolah-sekolah menengah di Malaysia ada menyatakan  pada muka surat 126 perenggan akhir,

Memang sudah begitu cantik dan kemas susun ayat yang terkandung dalam ‘sosial kontrak’ yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu dengan pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India. Akhirnya semua setuju untuk menyelesaikan masalah yang paling rumit ketika itu – kerakyatan Jus Soli.

Isu kerakyatan Jus Soli merupakan isu ‘ duri dalam daging’ yang perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin kaum sekiranya kemerdekaan negara hendak dicapai. British masih bertegas bahawa sekiranya ketiga-tiga kaum tidak bersatu hati dan tidak sepakat mereka tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dan kemungkinan British meletakkan syarat berkenaan dengan harapan isu kerakyatan ini tidak akan dapat diselesaikan oleh kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu ketika itu. Mungkin British juga  merasakan bahawa isu perpaduan kaum terbesar ini tidak akan dapat tercapai memandangkan British telah pun berjaya menjalankan dasar ‘ pecah dan perintahnya’.

Orang Melayu ‘ bermati-matian ‘ mempertahankan agar kerakyatan Jus Soli tidak diterima. Orang Melayu tentunya tidak dengan senang menyerahkan kerakyatan kepada orang asing, kaum pendatang ia itu orang Cina dan India. Mereka merasakan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan negara ini kerana Tanah Melayu adalah negara mereka. Takkanlah negara yang mereka punya hendak diserahkan kepada orang asing. Apatah lagi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand tidak memberikan kerakyatan kepada orang lain – orang Cina misalnya.

Pemimpin ketiga-tiga kaum ketika itu betul-betul dalam dilemma. Hendak ditelan mati emak dan jika diluah mati bapak. Apakah cara mereka hendak menyelesaikan isu yang rumit ini.

Keadaan episode sejarah inilah yang perlu betul-betul difahami oleh anak cucu kita kemudian hari. Samada Melayu, Cina atau India. Mereka kena betul-betul faham dan dapat menggambarkan suasana keadaan itu yang amat memerlukan pemimpin kita membuat keputusan yang tepat dan jitu.

·      Negara perlu dimerdekakan.
·      British meletakkan syarat yang ketiga-tiga kaum mesti bersatu dan bersetuju sebelum diberikan kemerdekaan.
·      Orang Melayu membangkang keras pemberian kerakyatan kepada  orang bukan Melayu.
·      Orang asing – Cina dan India mengharapkan mereka diberikan kerakyatan dengan beberapa alasan yang kukuh

Di sinilah letaknya perasaan keikhlasan para pemimpin kita  yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah kemerdekaan negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan adalah tokoh-tokoh negara yang tidak harus dilupakan jasa mereka oleh anak cucu kita terhadap perjuangan memerdekakan negara.

Diatas semangat keikhlasan juga mereka dapat menyelesaikan masalah yang begitu rumit untuk diselesaikan. Masing-masing mungkin memikirkan tentang kesejahteraan bangsa mengatasi segala-galanya dalam menyampaikan kata sepakat mereka. Lantas terhasllah kontrak sosial yang amat penting yang kita patuhi sampai hari ini.

·      Raja-Raja Melayu menerima kerakyatan Jus Soli.
·      orang bukan Melayu pula mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
·      Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan
·      Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Semenjak zaman awal menuntut kemerdekaan negara, syarat-syarat ini telah dipersetujui oleh ketiga-tiga kaum yang terbesar di negara ini. Tidak pernah dipersoalkan secara terbuka. Walaupun pada mulanya ada sungutan dan perasaan ketidakpuasan hati tentang persetujuan  itu namun setelah beberapa lama setiap kaum saling memahami tentang kepentingan kontrek sosial itu. Setiap kaum akur dan memahami mengapa syarat-syarat itu perlu dipatuhi.

Oleh itu tidak harus ada sesiapa pun yang cuba mempersoal dan menggugat kontrek sosial yang telah termetrai itu. Dengan sebab itulah apabila ada suara-suara sumbang yang meminta dikaji semula kerakyatan yang telah dipersetujui, maka rakyat dari semua kaum dan yang berlainan fahaman politik turut menentangnya. Inilah semangat bangsa Malaysia yang tulin.

Abuhassanadam
23 Januari 2013

1 comment:

  1. Polemik ras yang timbul kini adalah akibat kurang pemahaman kpd faktor sejarah. Sayugia, amat penting menerapkan pengetahuan & pembelajaran sejarah, terutamanya aspek 'kontrak sosial' di bangku sekolah
    lagi.
    Jangan ada pihak yang mimpikan perlunya Perlembagaan Negara ini perlu atau boleh di pindakan, walaupun dgn dua pertiga undi di Parlimen - ie, non-negotiable, at all or any costs!

    ReplyDelete