Tuesday, January 29, 2013

BARU KETUA CAWANGAN....DAH JADI ' MALIANA.




BARU JADI KETUA CAWANGAN 
DAH JADI ' MALIANA' ( MILLIONAIRE)


Entah macam mana teringat pulak aku nak menulis tentang pemimpin  zaman dulu-dulu. Lain. Banyak lainnya. Banyak bezanya. Dari segi perwatakan, kepemimpinannya, tindakannya. Pendek kata berbeza betul dengan pemimpin sekarang. Dari segi lagaknya. Gayanya. Perwataknaya.Tindakannya.  Memang banyak lainnya.

Dulu lain sekarang lain. Betul. Tapi sekiranya cara yang dulu itu baik dan betul caranya, apa salah ditiru. Dan jikalau ada cacat celanya cara yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, maka dibetulkanlah. Diubah dan digantikan dengan cara baru yang lebih baik supaya tindakannya berkesan kepada kumpulan yang dipimpinnya.

Bila aku sebut tentang pemimpin, bukan bererti terhad kepada pemimpin politik semata-mata. Yang aku nak kongsikan bersama ialah pemimpin dalam segala aspek. Pemimpin masyarakat. Ini termasuklah pemimpin peringkat kampung, pemimpin dalam hal keagamaan, pemimpin peringkat negeri dan pusat.

Nak mencari pemimpin pada zaman dahulu memang payah. Nak mencari pemimpin peringkat kampung memang susah. Nak mencari individu untuk menjadi pengerusi masjid lagi susah. Nak menjadi pemimpin untuk menjadi ketua cawangan UMNO juga susah. Masing-masing tak mahu. Berbagai sebab dan alasan diberikan.

Bagi mereka ( orang Melayu ) pada ketika itu, menjadi pemimpin adalah satu tanggungjawab yang mesti disempurnakan dengan betul dan berkesan. Mesti jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Tidak ada kepentingan diri. Tidak harus ada berlaku pilih kasih. Mesti betul-betul amanah bersandarkan lunas-lunas dan prinsip agama Islam. Dan jikalau terlibat dengam urusan kewangan mesti telus supaya tidak disalah anggap.

Oleh yang demikian, mereka sentiasa merasakan diri mereka ‘ tak layak’ memikul tugas yang diamanahkan. Seorang calon pengerusi Masjid misalnya merasakan yang dia tidak layak memikul tanggungjawab itu kerana dia merasakan ilmu agamanya cetek dan tidak layak memegang jawatan demikian walaupun dia boleh dianggap ‘ berilmu’ berbanding dengan aanggota masyarakat yang lain dalam kampungnya. Dia akan menolak dan terus menolak pencalonannya sehinggakan ‘terpaksa’ dipujuk dan dirayu agar dapat menerima pencalonan ahli kariah masjid berkenaan.

Berbeza dengan keadaan sekarang dimana orang ‘ berlumba-lumba’ untuk mendapatkan sesuatu jawatan. Sebagai pengerusi masjid ke atau sebagai ketua kampung ke atau sebagai pengerusi JKK di sesebuah kampung. Berlumba-lumba. “ Tikam-menikam ‘. Masing-masing merasakan diri layak untuk memegang jawatan demikian, walaupun masyarakat menganggap mereka tidak layak. Masyarakat menentang perlantikan mereka, tetapi disebabkan pandai ‘ mengampu’  dan ‘melobi’ (istilah yang biasa dipakai sekarang ) mereka dilantik oleh tangan-tangan ghaib yang berperanan melantik seseorang pemimpin di peringkat kampung.

Alangkah jauh bezanya dengan keadaan dulu-dulu. Mengapa terjadi demikian?

Tak susah nak menjawab soalan demikian. Sebab ada habuan yang menunggu. Duit akan masuk. Oleh itu matlamat seorang pemimpin kini adalah duit. Bukanlah semua. Tetapi kebanyakannya begitulah. Tanggungjawab dan peranan dikesampingkan. Mungkin pandangan aku tak betul. Mungkin. Tetapi itulah persepi dan pandangan aku. Dan aku yakin ramai juga yang berpandangan sebegini.

Tak lengkap rencana ini kalau aku tak sentuh sedikti sebanyak kepimpinan dalam pertubuhan politik dahulu dan sekarang. Kepimpinan dalam UMNO misalnya. Sebab UMNO yang sudah lama bertapak di kampung-kampung. Semenjak tahun-tahun 1950an algi. Parti lain takda. Jadi yang dapat aku bezakan ialah kepimpinan dalam UMNO.

Jadi sesuai pulak aku ceritakan keadaan ini, dalam suasana pihak parti nak memilih siapa yang menjadi bakal wakil dalam pilihan raya yang akan diadakan tak lama lagi. Dulu bukan main suasah nak memilih wakil calon. Sebab? . Masing-masing takut nak memikul tanggungjawab sekiranya dipilih oleh rakyat menjadi wakil rakyat mereka nanti. Tak mahu dituduh tak bertanggungjawab. Takut tidak dapat menepati harapan dan hasrat orang kampung. Banyak lagilah alasannya.

Sekarang………

Masing-masing ‘ berlumba ‘ dan ‘ berpencak dan bertikam ‘ dan ‘ berbomoh-bomoh ‘ untuk dapat dipilih menjadi calon. Semua merasakan diri mereka  ‘ layak ‘. Semua mersakan diri mereka ‘ bertanggungjawab ‘. Semua merasakan diri mereka ‘ amanah ‘ dan tidak akan menyeleweng dalam menjalankan tugas yang diamanahkan nanti. Semua berani bersumpah yang mereka akan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan setia. Dan yang akhirnya semuanya merasakan yang mereka boleh berkhidmat secara jujur, bersih, cekap dan amanah.  Berkhidmat kerana Allah…..

Ada yang menepati apa yang dikata.

Tetapi ramai yang tidak. Mungkin. Aku tak mahu menuduh. Berdosa. Melalui pemerhatian, ramai yang telah menjadi wakil rakyat hidup mereka senang dan mewah. Bukan setakat menjadi wakil rakyat, aku nampak menjadi ketua cawangan pun  boleh hidup senang lenang.
 ‘ Meliana’ kata Opah aku dulu. Maksudnya ‘ millionaire’. Orang banyak duit le. Itu baru ketua cawangan, apatah lagi kalau jadi ketua bahagian. Ini yang aku nampak dan lihat.

Bila dah jadi wakil rakyat lagi hebat. Jikalau sebelum jadi wakil rakyat, kereta hanyalah kereta Proton  tetapi setelah menjadi wakil rakyat, semacam tak sah kalau tak pakai Mercedes atau kereta-kereta yang setaraf dengannya. Taka pa. Pakailah. Tapi yang dipersoalkan oleh rakyat ialah dari mana dapat wang yang begitu banyak untuk membiayai segala-galanya. Itu saja. Aku rasa rakyat tak marah sekiranya seorang wakil rakyat itu kaya. Tetapi mestilah dengan cara yang betul. Tidak menyeleweng wang rakyat. Tidak rasuah dan sebagainya.

Rakyat tahu dan jangan pula dianggap rakyat tidak cerdik. Rakyat kini sudah boleh berfikir dengan matang. Lebih matang daripada pemikiran seorang wakil rakyat. Kebanyakan rakyat berkelulusan tinggi. Jauh lebih tinggai dariapada kelulusan setengah wakil rakyat. Oleh itu janganlah diperbodohkan pemikiran dan pemerhatian rakyat.

Mereka tahu…


Abuhassanadam
29 Januari 2013

No comments:

Post a Comment