Friday, March 22, 2013

PAS DITAHAP KEYAKINAN YANG AMAT TINGGI


PAS DITAHAP KEYAKINAN YANG AMAT TINGGI

Ucapan dan kenyataan YM Raja Dr. Nazri Shah  mengenai PAS disuatu majlis tempoh hari sangat menarik perhatian aku. Aku yakin dia membuat ucapan demikian bukan kerana dia menyokong kuat parti PAS.  Mana boleh dia menyebelahi mana-mana parti politik. Tetapi sebagai seorang intelek ( dari Harvard pulak tu ) dia bebas melahirkan pandangan dan fikirannya mengenai sesuatu perkara.

Aku ‘respect’. Bukan disebabkan baginda Raja Muda dari negeri Perak ( negeri kesayanganku ) tetapi kerana pandangan dan fikirannya berkaitan dengan PAS yang disampaikan secara jujur dan ikhlas. Aku ikuti ucapannya beberapa kali dalam You Tube. Ikhlas buah fikiran yang disampaikannya. Ada pulak puak-puak tertentu yang mengatakan  agar ucapan baginda itu jangan dipolitikkkan. Takkanlah semua isu mesti ditutup dengan ayat ‘ jangan dipolitikkan”

YM Raja Dr. Nazrin bercakap perkara yang berkait dengan fakta. Itu hakikat yang sebenarnya. Bukan direka-rekanya. Itu bukan isu politik walaupun yang diperkatakannya adalah mengenai parti politik. Dia bercakap mengenai parti PAS, tetapi bukan bermakna dia menyokong parti PAS. Begitu jugalah jikalau dia memperkatakan tentang UMNO tidak semestinya dia menyokong parti UMNO.

Aku nak tumpang ‘semangkuk’ memperkatakan mengenai perjuangan PAS. Jikalau Raja Dr. Nazrin memperkatakan PAS melalui kajian dan research yang dijalankannya tetapi aku akan memperkatakan PAS dari segi pengalaman. YM Raja Dr. Nazrin mungkin belum lahir semasa PAS ditubuhkan tetapi aku dah berada di sekolah rendah. Darjah 1.

PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di negeri Perak.  Presiden yang pertama ialah Tuan Haji Ahmad Fuad ( 1951-1953). Beliau kemudiannya meletakkan jawatan pada 26 September 1953 untuk bersama-sama dengan Dato’ Onn Jaafar ( UMNO). Dan antara tokoh yang mengasaskan parti PAS dan sememangnya aku kenal dan tahu ialah Ustaz Abdul Samad Noh  ( Pengetua Sekolah Al-Yahyawiyah Padang Rengas), Ustazah Datin Sakinah  ( rakan sekolah emak aku di Sekolah Arab Kampung Lalang, Padang Rengas ) isteri Dato Isteri Haji Muda ( pernah jadi Presiden Pas), Ustaz Hassan Shukri ( pernah belajar di Al Yahyawiyah dan pemimpin pelajar di bawah bimbingan Ustaz Abdul Samad Noh) dan lain-lain.

Jadi kebanyakan tokoh-tokoh awal PAS aku tahu dan kenal. Takklah rapat kerana perbezaan usia. Jadi apa yang dikatakan oleh YM Raja Dr. Narin itu adalah tepat. Betul belaka. Aku tengok dengan ‘ mata kepala ‘ aku zaman kesusahan yang dilalui oleh PAS dan zaman ‘ keyakinan yang begitu tinggi’ yang dialami oleh PAS kini. Pernah aku lihat sambutan yang diberikan oleh masyarakat  pada tahun-tahun 50an, 60an , 70an dan 80an dalam majlis penerangan yang mereka adakan sememangnya amat daif sekali. Hanya beberapa orang saja yang mahu mendengar penerangan dari mereka. Tidak terdapat walau seorang pun kaum asing ( bukan Melayu ) yang mahu mendengar penerangan dari tokoh-tokoh PAS pada ketika itu.

Ustaz Abdul Samad Noh pernah bertanding dalam beberapa pilihanraya umum. Beliau  pernah bertanding di Selama Perak menentang  Dato Haji Hussein bin Haji Yaakub dan tewas dalam perebutan kerusi berkenaan. Pernah bertanding juga di tempat sendiri ia itu di Padang Rengas dan tewas juga. Sehinggalah akhir hayatnya, beliau tidak pernah memenangi sebarang kerusi samada peringkat negeri atau Parlimen.

Yang aku kagum ialah semangat kental perjuangan mereka. Walaupun tewas dalam satu PRU, mereka tidak putus asa dan meneruskan perjuangan. Sepatutnya mereka boleh bersikap ‘ merjauk’ kerana sedih melihatkan perjuangan mereka tidak diendahkan oleh orang Melayu Islam pada ketika itu. Yang paling menyedihkan mereka agaknya  ialah orang Melayu pada ketika itu rela memilih calon bukan Melayu yang bertanding diatas tiket Perikatan atau Barisan Nasional.

Penumpuna PAS pada PRU 1955 hanyalah untuk menawan hati orang Melayu di kawasan Luar bandar. Pada ketika itu Peraklah yang menjadi kubu kuat PAS disamping Kelantan dan Terengganu. PAS berjaya memenangi satu kerusi di Perak dan itulah sahaja merupakan  satu-satunya kerusi yyang bukan dimenangi oleh parti Periktana pada ketika itu. Perikatan mendapat 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Berikutan dengan itu pada tahun 1956 Dr. Burhanuddin dipilih sebagai Presiden PAS menggantikan Haji Abbas. !965, Dr. Burhanuddin dan rakan-rakan dalam PAS pernah ditangkap berkaitan dengan tuduhan beliau bercita-cita menubuhkan satu kerajaan buangan di Karachi.

Dalam PRU 1959, PAS memenangi 13 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan yang mana bahan kempen mereka ketiak itu adalah negara Islam. Sedangkan Perikatan disokong oleh orang Melayu di kampung dan golongan guru-guru yang mengukuhka kedudukan UMNO ketika itu. Parti PAS pada ketika itu memang mendapat sambutan di kawasan Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu. Tapi kini telah merbak dan berjaya mempengaruhi juga  penduduk pantai Barat seperti Perak, Johor. Bukan itu saja kalau dulu PAS hanya diminati orang Melayu sahaja tapi kini berjaya mempengaruhi bukan Melayu juga.

Kini PAS ‘ditahap keyakinan yang amat tinggi ‘ ( meminjam kata-kata YM Raja Dr. Nazrin ). Memang PAS dalam keadaan sedemikian. Tidak pernah lagi aku tengok PAS sebegitu hebat seperti sekarang ini. Yang mengkagumkan dan yang menghairankan orang macam aku ( yang mengiktui perkembangan PAS semenjak dari awal ) ialah kecenderungan masyarakat bukan Melayu kepada Parti PAS. Bukan bermuka-muka ataupun sengaja nak mengambil hati.

Kekaguman orang bukan Melayu terhadap kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan adalah suatu perkara yang bukan dibuat-buat. Dan kemungkinan yang terjadi perubahan sedemikian ialah kerana dulu mereka kurang dijelaskan tentang perjuangan PAS yang sebenar, disamping diputarbelitkan kearah sesuatu yang negatif. Dengan demikian mereka menjauhkan diri. Tetapi kini setelah diberikan penerangan dan penjelasan yang disokong oleh pengaruh media baru, kefahaman orang bukan Melayu terhadap perjuangan PAS semakin jelas. Bukan faktor itu saja.  Tentulah banyak faktor-faktor lain lagi yang membuahkan keadaan sepertimana yang ada sekarang.

Kesimpulannya ialah, tepat kalau dikatakan bahawa PAS kini berada disuatu tahap keyakinan yang amat tinggi.


Abuhassanadam
22 Mac 2013

Thursday, March 21, 2013

APABILA DIUMUMKAN KEPUTUSAN SPM


APABILA DIUMUKAN KEPUTUSAN SPM

Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan. Seluruh negara sibuk memperkatakannya. Apa tidaknya. Radio sibuk memperkatakannya. TV pun begitu.  Apatah lagi ibu bapa yang anaknya terlibat dengan peperiksaan SPM, lagi sibuk. Runsing. Bimbang kalau-kalau anaknya tak dapat 9 A. Apa lagi kalau anaknya tak lulus. Lagi runsing. Bimbang kalau-kalau  keputusannya nanti diketahui oleh Atuk dikampung yang cucunya tidak lulus SPM. Bimbang kalau-kalau jiran sebelah rumah tahu yang anaknya tak lulus SPM. Malu!

Nampaknya runsing yang dialami oleh si emak melebihi kebimbangan yang dialami oleh si anak yang  menunggu keputusan.  Sejek semalam emak dah tak tidur. Tapi ada anak yang bukan sahaja nyenyak tidur, malah semalaman dia tak bilik ke rumah. Di pusat hiburan. Lepak dengan kawan-kawan sambil makan-makan.

Cikgu juga risau kalaukalau prestasi muridnya dalam peperiksaan SPM nanati tidak membarangsangkan. Pasti ibu bapak akan menyalahkan guru sekiranya anaknya gagal dalam peperiksaan tetapi sekiranya anaknya berjaya dengan cemerlang sumbangan guru adalah terakhir disebut.

·      Anaknya sememangnya rajin mengulang pelajaran
·      Anaknya rajin sembahayang dan berdoa kepada Tuhan
·      Anaknya semenjak kecil lagi sememangnya rajin membaca.
·      Anaknya selalu bertanya tentang sebarang kemusykilan yang ditemuinya.

Akhirnya barulah ibu bapak akan ‘memuji’ tentang sumbangan Cikgu disekolah. Kadang-kadang terus melupakan langsung sumbangan guru-guru.

Semua ibu bapa mahukan anaknya berjaya dalam pelajaran. Tidak kira ibu bapa Melayu ke, Cina ke. Semua bersikap demikian. Bezanya ialah ibu bapa Melayu dari kampung terlalu mengharapkan kejayaan anak-anak kerana kecemerlangan anak-anak dalam pelajaranlah yang boleh diharapkan mengangkat taraf hidupnya. Jikalau sekarang dia seorang petani, maka diharapkan dengan kejayaan anaknya itu tidaklah si anak akan mewarisi apa yang  dialaminya kini.

Dan si bapak akan sentiasa mengharapkan kepada kerajaan untuk ‘menyambung hayat’ anaknya ke pusat pengajian tinggi. Mendapatkan pinjaman dari pihak kerajaan. Tidak ada cara lain.  Dengan demikian si anak perlu mendapatkan keputusan yang membolehkannya mendapat biasiswa atau pinjaman dari kerjaan untuk memasuki pusat pengajian tinggi.

Ini bezanya dengan ibu bapa yang berkemampuan di bandar-bandar. Mereka berkemampuan untuk menyambung persekolahan anak mereka di sekolah-sekolah persendirian disebabkan mereka mampu membiayai persekolahan anaknya, walaupun keputusan yang diperolehi tidak seberapa. Mereka tidak memerlukan pinjaman dari kerajaan.  Dengan demikian ‘ stress’ yang dihadapi oleh ibu bapa bandar tidaklah sebagaimana ‘stress’ yang dialami oleh ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Mengenangkan semula hari keputusan peperiksaan SPM  diumumkan amat seronok dan ‘menggelikan hati’. Pada tahun-tahun 50an dan 60an keputusan peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysia Cerificate of Education (MCE) dikeluarkan melalui surat akhbar orang putih. The Straits Times. Hebat. Nama-nama pelajar yang lulus akan dapat diketahui melalui akhbar berkenaan. Nama dan gred lulus sahaja yang disiarkan. Keputusan secara terperinci kena perolehi dari sekolah juga. Jadi pada hari keputusan peperiksaan diumumkan ramai ibu bapa Melayu ( dari kampung ) ‘baca’ suratkhabar Straits Times. Maksudnya mereka membeli suratkhabar berkenaan hanya untuk mengetahui keputusan anak mereka.

Zaman dulu sekiranya dapat Gred 2 sudah cukup hebat. Sudah boleh jadi Cikgu atau jadi kerani di pejabat-pejabat. Apatah lagi jika dapat Gred 1. Satu daerah Kuala kangsar akan bercakap. Gred 1 bukan bermakna semua A. Ada satu A dan beberapa B sudah boleh dapat Gred 1. Sudah boleh terjun di Sungai Perak ( dekat Kuala Kangsar ) dan menjerit sekuat hati berteriak mengatakan “ Aku dapat Gred 1”. Mengapa boleh terjadi demikian? Sebab pada ketika itu amat sukar untuk mendapat Gred 1. Kebanyakannya hanya sangkut Gred 3. Ataupun Gred 2.

Berbeza sungguh dengan keadaan sekarang. Orang tak pandang pun sekiranya mendapat 1 A. Setiap pelajar mengejar untuk mendapat sekuurang-kurangnya 8 A. Dan  yang menghairankan pula ialah begitu ramai calon yang mendapat 8 A, 9A, 10A . Dan ada juga yang pernah dapat 14 A. Orang tua-tua seperti aku hairan benar mengenangkan hal sedemikian jika dibandingkan dengan zaman kami dulu.

Nak dapat 1 A pun ‘ berair biji mata’. Maknanya terlalu sukar untuk mendapatkan  walaupun 1 A. Bagi anak-anak Melayu pula terlalu sukar untuk mendapatkan markah baik dalam matapelajaran Matematik ( Ilmu Hisab). Dengan sebab itulah ramai guru yang memberikan ‘ trade mark’ mengatakan orang Melayu sememangnya lemah dalam matapelajaran Matematik. Orang Melayu percaya. Dan ramai orang Melayu yang tidak bernani memasukki bidang sains. Maka bidang sains dan matematik terus menerus dimonopoli oleh kaum lain.

Yang peliknya kini sudah ramai pula anak Melayu yang cemerlang dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Setaraf dengan anak bangsa-bangsa lain di Malaysia. Mengapa pula agaknya boleh berubah keadaannya. Anak Melayu juga sudah boleh mendapat 14 A. Boleh melakukan apa saja yang boleh dilakukan oleh kaum lain di Malaysia dan di dunia. Inikah yang dinamakan anak Merdeka?

Abuhassanadam
21 Mac 2013




Wednesday, March 20, 2013

JANGAN DIUNGKIT LAGI TUNTUTAN FILIPINA KE ATAS SABAH


JANGAN DIUNGKIT LAGI
TUNTUTAN FILIPINA KE ATAS SABAH

Jikalau masih ada lagi tuntutan ke atas Sabah oleh rakyat Filipina bermakna bahawa ‘gesture’ yang sedemikian sememangnya ‘ nak cari gaduh’ . Semacam tak faham peraturan perjanjian antarabangsa. Bukankah telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dulu bahawa Sabah dimasukkan ke dalam Malaysia setelah dijalankan pungutan suara. Setelah ditanya rakyat Sabah. ‘Nak masuk ke idak?’

Rakyat Sabah dan Sarawak pada ketika dijalankan pungutan suara itu bersetuju menyertai Malaysia. Suruhanjaya Cobbold yang menjalankan peninjauan berkenaan. Dan diadakan pula pungutan suara. Keputusannya rakyat Sabah bersetuju menyertai Malaysia. Memanglah bukan semua rakyat ditanya. Adalah mustahil pula untuk bertanya kepaDa setiap rakyat Sarawak dan Sabah. Tentulah kumpulan-kumpulan tertentu sahaja yang ditanya dan ditinjau.

Perlu ditegaskan juga bahawa tujuan Tunku Abdul Rahman memasukkan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 adalah untuk memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Jikalau Sabah tidak berada dalam Malaysia, maka jelas mereka tidak akan memperolehi kemerdekaan dari British. Ngudet le ( kata orang perak ). Dengan sebab itulah Singapura, Sarawak, Sabah  bersetuju menyertainya. Untuk mendapat kemerdekaan.

Sukarno dan Macapagal pernah menuduh Tunku Abdul Rahman sebagai ‘ New Colonialist” kerana menubuhkan Malaysia. Penjajah Bentuk Baru. Maknanya Sukarno menududh Tunku Abdul Rahman sebagai penjajah menggantikan British. Dengan sebab itulah Sukarno melancarkan dasar Konfantasinya terhadap Tunku ( Malaysia), walaupun ada agenda lain yang menyebabkan Sukarno berbuat demikian. Begitu juga Macapagal ( presiden Filipina ) yang bersekongkol dengan Sularno menentang penubuhan Malaysia. Alasan Macapagal ialah Sabah adalah kepunyaan kesultanan Sulu. Tetapi akhirnya telah diselesaikan tuntutan itu apabila ketiga-tiga pemimpin itu berunding di Manila anntara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno. Penubuhan MAPHILINDO. Malaysia, Philippines dan Indonesia.

Jikalau rakyat Sulu masih mengungkit-ungkit tentang ‘ siapa memiliki Sabah’ maka seluruh rakyat di Kepulauan Melayu ini akan sentiasa tidak puas hati dan memendam rasa terhadap kuasa Eropah, kerana kuasa Eropahlah yang bertanggungjawab memporak-perandakan bangsa kita yang menyebabkan kita berkeadaan begini, pada hari ini.

Sejarah menunjukkan bahawa nasib bangsa Melayu ditentukan oleh bangsa Eropah terutamanya Inggeris dan Belanda. Misalnya Perjanjian Inggeris Belanda 1824 merupakan salah satu perjanjian yang membahagikan rumpun Melayu kepada dua kelompok ia itu Melayu Malaya dan Melayu Indonesia. Inggeris dan Belanda yang bertanggungjawab membahagikan kawasan rumpun Melayu itu. Merekalah yang mencipta ‘garisan’ menggunakan Selat Melaka sebagai dividing line, tidak melibatkan langsung raja-raja Melayu yang merupakan tuan punya tanah air ini. Tanah Melayu diserahkan kepada  British dan tanah  Jawa, Sumtaera dan kepulauan-kepulauan lain diserahkan kepada Belanda.

Perjanjian Inggeris Belanda tidak memasukkan Sabah dan Sarawak dalam perjanjian mereka. Namun begitu seorang peneroka Inggeris James Brooke (1803-1868) telah berjaya memujuk Sultan Brunei untuk menyerahkan Sarawak kepadanya pada tahun 1841. Dan bermulalah pemerintahan ‘Raja Putih’ di sarawak yang memerintah Sarawak sehingga lah Sarawak diselamatkan dengan memasukkan Sarawak ke dalam Malaysia.

Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 dan berakhirnya pemerintahan Kesultanan Melaka ( pemerintahan orang Melayu ) Melaka seolah-olah  seperti ‘di tendang’ dan ‘disepak terajang’ oleh kuasa Eropah – Inggeris dan Belanda. Memang sedih mengenangkan hal sedemikian. Namun itulah hakikatnya bagaimana bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh kuasa asing, bangsa Eropah.

·      Melaka berada di bawah Inggeris  ketika berlaku Napoleonic Wars ( 1803-1815 ). Seolah-olah Inggeris yang menjadi penjaga negeri Melaka ketika Belanda mengahadapi peperangan di Eropah. Oleh itu apabila tamat saja perang di  Eropah Melaka diserahkan semula kepada Belanda pada tahun 1816.
·      Anglo-Dutch treaty 1824 juga membolehkan Melaka menyerahkan Melaka kepada British. Sebagai tukarannya British menyerahkan Bangka Hulu kepada Belanda.
·      Burney Treaty 1826, Inggeris pula mengiktiraf Siam yang berkuasa ke atas negeri utara Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Begitu juga bagi bangsa Melayu yang berada di utara ia itu di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sentiasa diperkotak-katikan juga oleh bangsa-bangsa Eropah khususnya Inggeris.

Perjanjian Bangkok ditandatangani pada 1909 kerana
·      British takut pengaruh nya di utara Tanah Melayu merosot apabila mendengar rancangan Siam untuk membina jalan keretapi dari Bangkok ke Kedah. Dan yang tambah membimbangkan British lagi ialah Siam menggunakan tenaga kerja jurutera Jerman.
·      Siam bersetuju menyerahkan kuasanya ke atas Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu
·      Britain juga menarik balik sebarang penentangannya terhadap hasrat Perancis untuk menguasai kawasan disebelah timur Siam. Di Eropah pulak Perancis dan Britain terpaksa berbaik-baik diseb-abkan mereka bersekutu unytuk menentang ancaman dari Jerman.

Kesimpulannya sekiranya tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah mesti dilayan, sebagai precedent misalnya, maka banyak lagi tuntutan-tuntutan yang boleh dikemukakan oleh bangsa Melayu ke atas kuasa –kuasa lain. Misalnya yang paling ketara ialah Sultan Johor akan menuntut Singapura dipulangkan kepada Kesultanan Johor. Tetapi ini tentu tidak akan berlaku kerana kita menghormati perjanjian yang telah termetrai.

Kita sentiasa berpegang pada janji.


Abuhassanadam
20 Mac 2013

















Tuesday, March 19, 2013

JANGAN SAMAKAN ANWAR DENGAN CLINTON, KENNEDY DAN JOHN PROFUMO


JANGAN SAMAKAN ANWAR DENGAN CLINTON,
KENNEDY  DAN PRUFUMO

Kini sudah muncul siri terbaru adegan seks yang dikatakan membabitkan DS Anwar Ibrahim.  Tak habis, habis usaha ‘puak-puak ‘ ini untuk memalu dan mengaibkan DS Anwar Ibtrahim. Yang peliknya segala usaha yang dilakukan oleh mereka itu tidak dapat mempengaruhi pemikiran  rakyat tentang beliau. Tak sedikitpun terjejas. Yang benar-benar ‘terpengaruh’ dengan tayangan video yang sedemikian ialah ‘puak-puak’ yang seangkatan dengannya. Bersungguh-sungguh benar mereka cuba meyakinkan saiapa sahaja yang menonton video berkenaan supaya ‘ percaya’ sebenarnya manusia dalam video itu ialah DS Anwar Ibrahim.

Takut betul mereka kepada DS Anwar Ibrahim. Lepas satu, satu isu yang mereka tiimbulkan dengan harapan isu yang mereka timbulkan itu ‘menyangkut’ dan dapat memudarkan kecemerlangan DS Anwar Ibrahim. Sehingga kini usaha sedemikian langsung tidak menampakkan kejayaan. Buktinya ialah bertambahnya bilangan orang yang datang untuk mendengar ucapan beliau. Disana sini dia pergi puluhan ribu yang datang mendengar penjelasan darinya. Dan kini ucapannya sudah boleh dipancarkan secara ‘live’ kepada penonton di seluruh negara.Mungkin seluruh dunia yang mengiktutinya.

Semakin dekat dengan PRU 13, usaha ‘puak-puak’ ini semakin rancak dengan kegiatan memfitnahnya. Dikatakan memfitnah ialah kerana mereka tidak memberikan bukti-bukti sahih menyokong tuduhan yang dilemparkan oleh mereka itu. Dengan demikian dikatakan ‘fitnah’. Sekiranya mereka membuat tuduhan dan disertakan dengan bukti-bukti jelas, aku percaya rakyat tidak sebodoh itu untuk mengiktui Anwar Ibrahim secara membabi buta. Rakyat bukannya bodoh. Maksud aku sebilangan besar rakyat Malaysia tidak bodoh!!.

Kini ada tiga isu seiring muncul mengenai Anwar Ibrahim.

·      Beliau dituduh bersekongkol dengan Sultan Sulu menyerang Malaysia di Lahad Datu. Beliau dengan rakan-rakan pembangkang lain dituduh bekerjasama dengan pengganas dari Sulu menyerang Malaysia. Tidak ada pula bukti yang menunjukkan sedemikian.
·      Dituduh juga bahawa ‘manusia’ yang ada dalam Video terbaru adegan seks adalah wajah Anwar Ibrahim.
·      Ada juga ‘puak-puak’ tertentu yang sanggup membayar sejumlah wang yang besar untuk membayar ‘ penulis upahan’ di Amerikat Syarikat semata-mata untuk menulis artikel yang memburuk-burukan Saudara Anwar Ibrahim di mata dunia.

Isu-isu ini sedang rancak didedahkan melalui media massa, radio dan TV. Namun perbuatan itu adalah sia-sia. Seperti mencurahkan air di daun keladi. Rakyat semakin tidak mahu menonton TV berkenaan. Meluat kata mereka. Yang sedihnya penyampai berita yang menyampaikan berita berkenaan turut diherdik oleh orang ramai sedangkan penyamoai itu hanya diarah untuk menyampaikan berita berkenaan. Mereka hanya makan gaji, mencari sesuap pagi sesuap petang. Kesian….

Usaha puak-puak ini untuk memburuk-burukkan imej DS Anwar Ibrahim mungkin mengikut contoh sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh negara-negara lain yang telah berjaya memerangkap pemimpin yang gila seks dan seterusnya menghancurkan kerjaya mereka.  Tapi ‘puak-puak’ ini lupa bahawa apa yang berlaku di negara luar itu adalah peristiwa yang betul-betul berlaku. Bukan fitnah. Ada bukti-bukti jelas yang boleh menyokong tuduhan mereka. Lantas mereka mengundurkan diri.

Itulah agaknya harapan ‘puak-puak’ ini agar DS Anwar Ibrahim ‘ fed-up’ dan akhirnya ‘ give-up’. Rupa-rupanya keadaan itu adalah sebaliknya. DS Anwar semakin rancak. Semakin bersemangat. Kemana dia pergi disambut dengan ribuan rakyat. Tak payah bayar. Tak payah bagi nasi bungkus.Tak payah bagi tambang.  Tak payah bagi duit poket. Semuanya tak perlu. Rakyat bangun dan sedar bahawa kesemua itu adalah fitnah nak memburuk-burukan dia. Memberi malu dia kepada rakyat. Dan yang palin membuat kita marah ialah perbuatan ‘puak-puak ‘ itu untuk memalukan dia kepada anak cucunya.

Mungkin ‘puak-puak’ itu merasakan inilah saja caranya untuk menjatuhkan Anwar. Mereka mungkin ‘belajar’ dari peristiwa bagaimana Presiden Clinton ‘tercemar’ disebabkan skandalnya dengan Monicka Lewinsky, seorang pekerja sementara di White House.  Pada mulanya hanya merupakan tuduhan ( bukan fitnah ). Dinafikan oleh Clinton. Tetapi disebabkan perkara itu betul-betul berlaku dan dilakukan oleh Clinton maka tentunya tidak dapat disekat dan dibendung lagi.

Di United Kingdom, berlaku juga skandal yang menghura-harakan parliman British pada tahun 1963. Ia membabitkan seorang berpangkat menteri, John Profumo yang pada ketika itu berjawatan War Minister of Britain. Beliau dituduh terlibat dalam skandal seks melibatkan  dirinya dengan Christine Keeler yang merupakan ‘gundik’ seorang perisik Russia. Dikatakan John Profumo menjadi mangsa Stephen Ward yang dikatakan sebagai ‘ broker’ menghubungkan orang yang berpengaruh dengan wanita-wanita cantik. Ekoran daripada peristiwa itu John Profumo terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Perang.

Itu peristiwa betul bukan fitnah. Dan Menteri berkenaan sanggup melepaskan jawatannya. Tetapi jikalau kita lihat dan bandingkan dengan keadaan di Malaysia, perkara perletakan jawatan ekoran daripada kes skandal dan salah laku tidak akan berlaku di sini. Sebaliknya seseorang berjawatan tinggi bukan sahaja akan terus mempertahankan jawatannya tetapi akan  terus menerus menyalahkan orang lain!!...

Pada 28  Jun 1963, New York Journal American ada melaporkan, “ One of the biggest names in American politics – a man who holds ‘ avery high’ elective office – has been injected into Britain’s vice security scandal. John Kennedy was involved with a two call girls in Stephen Ward’s coterie, Suzy Chang and Maria Novothy”

Mungkinlah ‘puak-puak’ yang memfitnahkan DS Anwar Ibrahim itu sedikit sebanak ‘belajar’ daripada peristiwa yang berlaku kepada pemimpin dunia yang dahagakan seks. Mereka lupa bahawa DS Anwar Ibrahim bukan daripada ‘species’ yang sedemikian. Dan mereka sepatutnya merenung semula kepada diri mereka sendiri dan menyoal diri mereka.

Apakah mereka yang sebenarnya   datang daripada ‘species’ sedemikian.


Abuhassanadam
19 Mac 2013