Thursday, March 21, 2013

APABILA DIUMUMKAN KEPUTUSAN SPM


APABILA DIUMUKAN KEPUTUSAN SPM

Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan. Seluruh negara sibuk memperkatakannya. Apa tidaknya. Radio sibuk memperkatakannya. TV pun begitu.  Apatah lagi ibu bapa yang anaknya terlibat dengan peperiksaan SPM, lagi sibuk. Runsing. Bimbang kalau-kalau anaknya tak dapat 9 A. Apa lagi kalau anaknya tak lulus. Lagi runsing. Bimbang kalau-kalau  keputusannya nanti diketahui oleh Atuk dikampung yang cucunya tidak lulus SPM. Bimbang kalau-kalau jiran sebelah rumah tahu yang anaknya tak lulus SPM. Malu!

Nampaknya runsing yang dialami oleh si emak melebihi kebimbangan yang dialami oleh si anak yang  menunggu keputusan.  Sejek semalam emak dah tak tidur. Tapi ada anak yang bukan sahaja nyenyak tidur, malah semalaman dia tak bilik ke rumah. Di pusat hiburan. Lepak dengan kawan-kawan sambil makan-makan.

Cikgu juga risau kalaukalau prestasi muridnya dalam peperiksaan SPM nanati tidak membarangsangkan. Pasti ibu bapak akan menyalahkan guru sekiranya anaknya gagal dalam peperiksaan tetapi sekiranya anaknya berjaya dengan cemerlang sumbangan guru adalah terakhir disebut.

·      Anaknya sememangnya rajin mengulang pelajaran
·      Anaknya rajin sembahayang dan berdoa kepada Tuhan
·      Anaknya semenjak kecil lagi sememangnya rajin membaca.
·      Anaknya selalu bertanya tentang sebarang kemusykilan yang ditemuinya.

Akhirnya barulah ibu bapak akan ‘memuji’ tentang sumbangan Cikgu disekolah. Kadang-kadang terus melupakan langsung sumbangan guru-guru.

Semua ibu bapa mahukan anaknya berjaya dalam pelajaran. Tidak kira ibu bapa Melayu ke, Cina ke. Semua bersikap demikian. Bezanya ialah ibu bapa Melayu dari kampung terlalu mengharapkan kejayaan anak-anak kerana kecemerlangan anak-anak dalam pelajaranlah yang boleh diharapkan mengangkat taraf hidupnya. Jikalau sekarang dia seorang petani, maka diharapkan dengan kejayaan anaknya itu tidaklah si anak akan mewarisi apa yang  dialaminya kini.

Dan si bapak akan sentiasa mengharapkan kepada kerajaan untuk ‘menyambung hayat’ anaknya ke pusat pengajian tinggi. Mendapatkan pinjaman dari pihak kerajaan. Tidak ada cara lain.  Dengan demikian si anak perlu mendapatkan keputusan yang membolehkannya mendapat biasiswa atau pinjaman dari kerjaan untuk memasuki pusat pengajian tinggi.

Ini bezanya dengan ibu bapa yang berkemampuan di bandar-bandar. Mereka berkemampuan untuk menyambung persekolahan anak mereka di sekolah-sekolah persendirian disebabkan mereka mampu membiayai persekolahan anaknya, walaupun keputusan yang diperolehi tidak seberapa. Mereka tidak memerlukan pinjaman dari kerajaan.  Dengan demikian ‘ stress’ yang dihadapi oleh ibu bapa bandar tidaklah sebagaimana ‘stress’ yang dialami oleh ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Mengenangkan semula hari keputusan peperiksaan SPM  diumumkan amat seronok dan ‘menggelikan hati’. Pada tahun-tahun 50an dan 60an keputusan peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysia Cerificate of Education (MCE) dikeluarkan melalui surat akhbar orang putih. The Straits Times. Hebat. Nama-nama pelajar yang lulus akan dapat diketahui melalui akhbar berkenaan. Nama dan gred lulus sahaja yang disiarkan. Keputusan secara terperinci kena perolehi dari sekolah juga. Jadi pada hari keputusan peperiksaan diumumkan ramai ibu bapa Melayu ( dari kampung ) ‘baca’ suratkhabar Straits Times. Maksudnya mereka membeli suratkhabar berkenaan hanya untuk mengetahui keputusan anak mereka.

Zaman dulu sekiranya dapat Gred 2 sudah cukup hebat. Sudah boleh jadi Cikgu atau jadi kerani di pejabat-pejabat. Apatah lagi jika dapat Gred 1. Satu daerah Kuala kangsar akan bercakap. Gred 1 bukan bermakna semua A. Ada satu A dan beberapa B sudah boleh dapat Gred 1. Sudah boleh terjun di Sungai Perak ( dekat Kuala Kangsar ) dan menjerit sekuat hati berteriak mengatakan “ Aku dapat Gred 1”. Mengapa boleh terjadi demikian? Sebab pada ketika itu amat sukar untuk mendapat Gred 1. Kebanyakannya hanya sangkut Gred 3. Ataupun Gred 2.

Berbeza sungguh dengan keadaan sekarang. Orang tak pandang pun sekiranya mendapat 1 A. Setiap pelajar mengejar untuk mendapat sekuurang-kurangnya 8 A. Dan  yang menghairankan pula ialah begitu ramai calon yang mendapat 8 A, 9A, 10A . Dan ada juga yang pernah dapat 14 A. Orang tua-tua seperti aku hairan benar mengenangkan hal sedemikian jika dibandingkan dengan zaman kami dulu.

Nak dapat 1 A pun ‘ berair biji mata’. Maknanya terlalu sukar untuk mendapatkan  walaupun 1 A. Bagi anak-anak Melayu pula terlalu sukar untuk mendapatkan markah baik dalam matapelajaran Matematik ( Ilmu Hisab). Dengan sebab itulah ramai guru yang memberikan ‘ trade mark’ mengatakan orang Melayu sememangnya lemah dalam matapelajaran Matematik. Orang Melayu percaya. Dan ramai orang Melayu yang tidak bernani memasukki bidang sains. Maka bidang sains dan matematik terus menerus dimonopoli oleh kaum lain.

Yang peliknya kini sudah ramai pula anak Melayu yang cemerlang dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Setaraf dengan anak bangsa-bangsa lain di Malaysia. Mengapa pula agaknya boleh berubah keadaannya. Anak Melayu juga sudah boleh mendapat 14 A. Boleh melakukan apa saja yang boleh dilakukan oleh kaum lain di Malaysia dan di dunia. Inikah yang dinamakan anak Merdeka?

Abuhassanadam
21 Mac 2013




1 comment:

  1. ya saya setuju apa yang dikatakan oleh tuan. Saya ingin menambah bahawa memang dahulu susah untuk mendapat gred 1.Dahulu nak cari yang masuk universiti pun susah. Kalau berjaya masuk maktab perguruan pun akan dihantar oleh orang kampung ke stesen bas. Sepatutnya Sijil Rendah Pelajaran (SRP) diteruskan. Baharulah pelajar tingkatan 4 yang ada disekolah berkualiti. Ini tidak semua boleh ke tingkatan 4 walaupun tidak lulus. Jika dahulu pelajar yang gagal akan mengulang ditingkatan 3 semula atau ke sekolah swasta yang berbayar bulan-bulan. Ada juga peluang untuk bekerja di sekolah swasta sebagai guru. Pelajar ini juga akan belajar dengan tekun kerana yuran terpaksa dibayar tiap-tiap bulan. Satu lagi perkara yang tidak akan saya lupa ialah semasa DS Najib menjadi Menteri Pelajaran, pelajar yang mendapat gred 1 dalam SPM lebih ramai daripada pelajar yang mendapat gred 3. Bayangkanlah

    ReplyDelete