KE MANA TERBANGNYA TEMPUA KU SAYANG
Sebenarnya aku sudah rindu sangat pada kampungku.
Kampung Keroh Hilir Padang Rengas, Perak. Sudah terlalu bosan tinggal di luar.
Di bandar. Orang kampung walau sejauh mana pun merantau pasti teringatkan
kampung. Bak kata pepatah Melayu, “ Tak sudah seluang melaut akhirnya balik ke
tepi juga’. Tepat sekali. Aku rindu sangat kat kampung. Bukan lah pulak aku tak
pernah balik ke kampung. Selalu. Tetapi sekejap. Sehari. Kadang-kadang dua
hari. Tak pernah sampai seminggu pun tinggal di kampung. Kali ini aku berhasrat
nak tinggal sekurang-kurangnya dua minggu. Seorang. Anak isteri tak perlu ikut.
Memang aku merindui kesunyian kampung pada waktu
malam yang hening. Aku nak dengar semula bunyi keredik (jengkerik) ‘
menyanyikan’ lagu malam untuk menemani tidurku, sepertimana aku pernah
‘didendangkan’ sewaktu aku masih kecil-kecil dulu. Aku nak merasakan suasana kesejukan pagi ketika tidur tanpa
berhawa dingin. Aku mahukan kesejukan pagi di kampung bukan kesejukan yang
diselubungi salji. Aku tak mahu sejuk salji. Aku merindui dingin di kampung.
Aku mahu tidur hanya berpakaian kain sarung tanpa
baju dan seluar dalam. Bolin ( kata orang Perak ). Aku tidak memerlukan tilam
empuk. Tak perlu. Hanya tikar mengkuang yang masih ada peninggalan arwah ibuku.
Cukup untuk melapik tubuhku. Selimut pun kadang-kadang tak perlu kerana kain
sarong boleh berperanan ‘ dua dalam satu’.
Boleh dijadikan sarong dan boleh juga dijadikan selimut sekiranya perlu.
Aku sudah lama benar tidak pernah melihat kabus pagi
membalut kampung ku. Terus terang aku katakan entah macam mana akhir-akhir ini
aku lebih kerap melihat salji daripada melihat kabus pagi di kampung ku. Aku
agak bertuah dari satu segi tetapi agak merasa bersalah dari segi yang lain.
Aku sudah bertekad benar ia itu sesampai sahaja aku
di kampung nanti aku akan terus pergi ke tengah sawah berdekatan dengan rumah
aku. Aku akan pergi ‘melawat’ brurung tempua yang bersarang bergantungan di
pohon buluh seperti mana yang pernah aku lihat dan lakukan semasa aku
kecil-kecil dulu.
Dijangka aku akan sampai pada waktu petang. Aku
jangkakan aku akan sampai di kampungku pada pukul lima petang. Sedang elok dan
sesuai. Sedang elok untuk aku menikmati angin petang semlihat keindahan alam
disamping menunggu matahari terbenam. “ Tak perlu sampai ke Pantai Kute di Bali
semata-mata untuk melihat matahari terbenam pada waktu senja’ kata hati
kecilku. Di kampung aku lebih cantik dan indah suasana matahari terbenam pada
waktu senja.
Tidak kurang tarikan yang membakar hasratku untuk
pulang ke kampung kali ini ialah untuk melihat burung tempua yang bersarang di
pohon buluh di tengah bendang, sepertimana yang aku jelaskan itu. Perdu buluh
tempat tempua bersarang itu ialah di Kampung Pulau ( kami panggil Pulau Hawaii
kerana kecantikannya, dengan phon nyiornya yang melambai..). Di bawah pohon
buluh inilah aku dan adik ku pernah bermain-main sementara menunggu emak dan
bapak menuai padi di situ. Dan di pohon buluh inilah burung tempua bersarang.
Bergayutan sarang-sarang temupa itu. Tetapi tempua-tempua itu tidak bersarang
rendah. Pepatah Melayu kata, “ Jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang
rendah..”. Memang dipucuk pohon buluh lah tempat tempua bersarang.
Benakku sering bertanya,
Masih
ada lagikah pohon buluh di tepi sawah itu?
Masih ada lagikah sarang-sarang burung
tempua bergayutan dipohon-poho buluh itu?
Jikalau sudah tiada, ke mana perginya
tempua-tempua itu.
Merajukkah dia?
Ke mana berkelananya dia?
Masih adakah lagi pohon-pohon buluh
tempat tempua bersarang?
Apa yang aku sangkakan tepat sekali. Pohon buluh
ditepai sawah sudah tiada lagi. Dan tentulah sudah tiada juga tempua yanng
bersarang. Aku pergi ke sungai tempat aku dan adikku dulu bermain. Di bawah
pohon buluh berkenaan. Sudah tiada semuanya. Aku dongakkan kepalaku membayangkan
yang aku sedang memerhatikan sarang burung tempua yang bergayutan. Telingaku
seolah-olah mendengar bunyi burung
tempua ‘ bercengkerama’ dalam sarang-sarang yang mereka anyam sendiri dengan
menggunakan paruh mereka.
Sudah tiada rupanya tempuaku sayang.
Sawah yang dahulunya dihiasi padi menguning kini
sudah tidak kelihatan lagi. Tanaman padi sudah digantikan dengan tanaman
jagung, petola, timun, terung. Orang kampungku sudah berubah ‘selera’. Mereka
sudah tidak berminat lagi untuk bersawah padi. Anak-anak muda sudah tidak
berminat lagi bertani. Mereka sudah ramai yang berhijrah ke bandar ( seperti
aku ) untuk bekerja ekoran dari kelulusan yang mereka perolehi yang membolehkan
mereka menjawat jawatan-jawatan dalam kerajaan atau swasta.
Keindahan alam di kampung sebagaimana yang pernah aku
alami dulu sudah tidak seindah dulu. Kampung Pulau yang kami panggil Pulau Hawaii sudah tidak ada serinya. Tidak
ada lagi pokok-pokok kelapa yang melambai-lambai waktu ditiup angin. Tidak
nampak lagi cahaya bulan mencelah menyinari melalui daun-daun kelapa diwaktu
bulan mengambang. Semuanya sudah tidak ada lagi.
Kesunyian malam tidak seperti suasana hening
sepertimana yang aku alami ketika aku masih kanak-kanak dulu. Kesunyian malam
sentiasa diganggu oleh bunyi-bunyi enjin kereta dan motosikal penduduk
kampungku yang sudah mampu memiliki motosikal atau kereta. Aku amat rindu pada
kesunyian seperti zaman dulu supaya dalam suasana kesunyian itu dapatlah aku
mendengar melalui corong-corong radio lagu ‘ Selamat Tinggal Bungaku’ nyanyian
SM Salim atau lagu ‘ Indahnya Alam’ nyanyian Taufik Haji Ali ataupun apabila
menjelang Hari Raya dapatlah aku menikmati suara P.Ramlee mendendangkan lagu “
Dendang Perantau”.
Sayang, kesemua itu sudah hilang seperti hilangnya
juga burung tempuaku sayang.
Abuhassanadam
14 Mac 2013
No comments:
Post a Comment