KE MANA HILANGNYA MARWAH….
Seingat aku le, dalam masyarakat Melayu ( masyarakat
lain pun begitu juga) menjaga marwah diri amat penting. Emak aku sentiasa
mengingatkan aku supaya menjaga marwah. Pak Haji Sulaiman juga kata begitu.
Apabila di sekolah Cikgu Samad tak habis-habis menasihatkan kami supaya jaga
marwah. Dia tak sebutlah perkataan ‘marwah’ kepada kanak-kanak dalam Darjah
Tiga. Tetapi lebih kurang samalah maksud
nasihat yang disampaikannya itu.
Jadi semenjak kecil telinga aku ni sudah dipantak ( ditanam)
dengan kata-kata supaya menjaga marwah. Oleh itu perkataan marwah dan malu ini
sentiasa berada dalam kepalaku. Apabila aku dah berkeluarga, nilai yang
berkaitan dengan marwah aku pantakkan juga ke dalam kepala anak-anakku.
Nilai-nilai yang berkaitan dengan marwah aku semaikan.
·
Ketika
anak-anak di bangku sekolah selalu dinasihatkan agar belajar bersungguh-sungguh
supaya kita berjaya dalam hidup. Pelajaran dan pendidikan itu amat penting. Itu
adalah marwah kita.
·
Dengar cakap
Cikgu. Apa kata Cikgu jangan ingkar.
·
Jangan
melawan Cikgu. Bercakap dengan orang tua-tua mesti gunakan bahasa yang baik.
Jangan biadab.
·
Kepada
anak-anak yang sudah berkerja selalu dinasihatkan jangan ponteng, jalankan
tugas dengan betul dan ikhlas.
·
Dan banyak
lagi.
Aku rasa, kawan-kawan lain yang seangkatan dengan aku
juga akan berbuat begitu. Akan menasihati anak-anak supaya jaga marwah. Tetapi
mungkin anak-anak yang dinasihatkan supaya sentiasa jaga marwah itu akan keliru
apabila berada dalam kelompok masyarakat yang sudah tidak mempedulikan marwah.
‘Confused” kata orang Putih. Akupun hampir-hampir ‘confused’ dengan keadaan
dunia yang aku alami sekarang. Berbeza benar dengan keadaan dunia yang pernah
aku alami. Dunia ketika aku masih kecil-kecil dulu.
Dunia aku lihat kini penuh dengan konflik.
Bertentangan antara teori dan dinamik. Maknanya keadaan yang wujud disekeliling
kita semacam ‘ kata tak serupa bikin’. Cakap lain buat lain. Cuba perhatikan
gelagat setengah pemimpin kita samada peringkat negara atau diperingkat kampung.
Lebih kurang sama saja.
Pada peringkat kebangsaan misalnya, para pemimpin
kita menyarankan agar mesti mengamalkan sikap ‘ bersih.cekap dan amanah’ (
cogan kata yang disarankan oleh Tun Dr. Mahathir ketika mula-mula dia menjadi Perdana Meneteri ). Para pemimpin
‘memekik ‘ dan ‘ melolong’ ke hulu hilir menyarankan agar kita bersikap amanah,
cekap dan bersih. Elakkan dari melakukan perbuatan yang tidak sihat. Rasuah
misalnya. Tetapi ramai para pemimpin kita yang mengamalkan kegiatan sedemikian.
Tentulah sukar bagi badan pencegah rasuah menuduh
atau menahan mereka yang melakukan rasuah berkenaan. Ini disebabkan kelicikan
mereka menjalankan kegiatan sedemikian sehinggakan amat sukar untuk mencari
bukti yang boleh mensabitkan mereka melakukan perbuatan terkutuk itu. Namun
demikian, apabila melihatkan cara hidup yang dilalui oleh mereka, yang
menampakkan kemewahan hidup yang melampau-lampau, apakah kemewahan yang
dinikmati bukan dari wang rasuah. Lihat sahaja kehidupan yang dilalui oleh
setengah wakil rakyat kita ( bukan semua le) . Rakyat tahu berapa elaun yang
diterima oleh mereka sebagai ahli Parlimen atau sebagai ahli dewan undangan
negeri. Dan jikalau dikaji pendapatan yang diterima dengan kehidupan yang
dilaluinya, maka jelas menampakkan ada sumbangan wang haram yang dinikmaitinya.
Ini yang aku kata
‘cakap tak serupa bikin’. Lain yang cakap dan lain yang dibuat. Sudah
tidak ada marwah.
Satu contoh lain yang boleh diketengahkan dan yang
amat menyedihkan kita ialah adanya kumpulan yang dikatakan ahli agama ( Islam)
tetapi melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Setiap subuh
ataupun setiap Maghrib akan kedengaran kumpulan ini ( bukan semua ) terpekik
dan terlolong menyuruh manusia menjadi
baik dan jangan melakukan perkara munkar. Kena ikut Rasullullah. Tetapi
malangnya ada diantara mereka yang melakukan perkara yang lebih teruk lagi dari
kumpulan yang disampaikan ajaran itu.
Dan ramai juga yang mengamalkan amalan ‘ double
standard’. Inilah yang betul-betul memalukan. Misalnya amalan rasuah.
Sepatutnya mereka secara lantang menentang amalan yang terkutuk itu. Tetapi
disebabkan takut kepada pihak-pihak tertentu yang akan ‘terasa’ dengan kritikan
mereka, maka mereka hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Tidak berkata-kata
walau sepatah. Senyap.
Berbeza pula sekiranya kegiatan yang sama dilakukan
oleh pihak lain yang bukan sealiran dengan mereka, maka merekalah yang menjadi
jaguh mengutuk dan menghina perbuatan sedemikian. Dan merekalah akan berada di
barisan hadapan ‘memperjuangkan’ isu berkenaan.
Kita tidak harus lupa bahawa anak-anak kita sedang
memerhatikan apa yang kita buat. Jangan fikir bahawa mereka tidak tahu dan
tidak faham apa yang kita lakukan. Mereka tahu. Dan mereka sedang memerhati.
Inilah yang menyulitkan kerja kita untuk mengajar anak-anak. Apabila kita
nasihatkan mereka supaya berperangai baik, nanti anak-anak kita akan
menunjukkan kepada kita perangai pemimpin yang berperangai jahat, tak senonoh.
Kita nasihatkan anak-anak kita supaya jangan mencuri, maka anak-anak kita akan menunjukkan
kepada kita perangai pemimpin (bukan semua) yang mencuri, merompak.
Mengingati zaman kanak-kanak aku masih ingat bahawa
emak dan bapak kita, malah seluruh orang kampung melarang kita bercakap perkara-perkara
yang tidak sepatutnya diperkatakan oleh kanak-kanak (mencarut). Kanak-kanak
tidak berani menyebut perkataan-perkataan sedemikian, takut dicubit pipi oleh
emak. Sampai ke peringkat dewasa, pun kita tidak ‘berani’ menyebut perkataan (
yang tidak sepatutnya) dihadapan ibu dan bapak kita. Sampai tua bangka tak
berani sebut. Hormat kepada ibu bapa dan orang yang lebih tua. Jikalau terpaksa
disebut pun akan disebut cara ‘berlapik’.
Malangnya semenjak tahun 1998, TV dan akhbar kita
hampir setiap hari memperkatakan hal ‘ liwat’. Hampir setiap hari. Dan
anak-anak kita juga sudah pandai menyebut perkataan itu dan dengan tidak
silu-silu lagi. Dan TV dan akhbar kita kini sudah tidak segan dan silu lagi
menyebut perkataan-perkataan sedmikian. Aku perhatikan semua perkataan yang ‘dilarang’
disebut pada zaman aku kanak-kanak dulu, kini sudah boleh disebut dengan bebas
tanpa segan silu.
Amat menyedihkan apabila mengenangkan keadaan
sebegini.
Ke mana hilangnya marwah kita.
Abuhassanadam
11 Mac 2013
No comments:
Post a Comment