TAK TAHU MENGGUNAKAN SOSIAL MEDIA - JANGAN JADI CALON
‘Orang
politik’ yang nak bertanding dalam PRU13 tetapi tidak tahu apa dia ‘biji buah’
mengenai sosial media, lebih elok jangan bertanding. Buat ‘menghabiskan beras’
je. Tak guna . Jikalau hanya nak bergantung pada suratkhabar, TV dan radio dan
kempen kelompok untuk menyampaikan maklumat, lebih elok tak payah bertanding.
Ini bukan zamannya. Zaman yang sebegitu dah berlalu. Sudah lama berlalu. Zaman
sekarang ialah zaman YouTube, Facebook, Twitter dan lain-lain. Jikalau kita tidak mengetahui apa dia ‘
binatang’ itu, seolah-olah kita berada pada zaman Mesolitik, zaman batu yang
manusia tinggal di gua-gua!
Kasar
bunyinya. Tetapi itulah hakikatnya. Kita tidak boleh lari dari keadaan
sedemikian. Pernah aku dengar kawan-kawan yang seangkatan denganku, yang pada
suatu ketika dulu dapat menghafal lagu ‘Oh Fatimah’ ( nyanyian A. Ramlee )
dengan baik, berkata bahawa dia tak tahu langsung mengenai komputer. Tak tahu
mengenai internet. Tetapi kini dia sendiri mengakui terpaksa tahu dan belajar
menggunakan internet kerana itu adalah fenomena kurun ke 21. Sekiranya kita
mahu bersama-sama mengahrungi Kurun ke 21, maka mahu tak mahu kita terpaksa
bersama terjun dalam arus itu.
Itu
sebab aku katakan, kalau ada calon wakil rakyat yang nak bertanding dalam PRU
13 nanti tak tahu menggunakan internet, lebih baik lupakan sahaja hasrat itu.
Bagaimanakah suratkhabar nak menandingi kuasa sosial media sekiranya hampir setiap
orang muda yang berada di Malaysia kini memiliki sebuah ‘handphne’. Maknanya
segala maklumat sentiasa berada di tangannya. Tak payah nak tunggu pergi kedai
surat khabar untuk mendapatkan berita. Dan berita pula diterimanya dalam
sekelip mata. Tidak perlu nak buka radio atau TV ataupun tunggu berita
suratkhabar pada keesokan harinya.
Sekiranya
ada calon yang baru cuba-cuba nak belajar mengenai sosial media ni, aku rasa
sudah agak terlambat…….
Dunia
sudah berubah. Dulu apabila Franklin D. Roosevelt bertanding untuk memenangi
jawatan presiden USA, beliau menggunakan radio. Apabila sampai ke zaman John F.
Kennedy dia mengharapkan kepada siaran Telivision sebagai alat untuk dia
berkempen. Dan apabila Barack Obama bertanding jawatan berkenaan, dia sudah
hampir-hampir meninggalkan radio dan TV kerana dia merasakan sosial media lah
yang akan lebih berpengaruh dan meletakkan dia semula di Rumah Putih. Tepat
sekali jangkaannya. Sosial media jawabnya.
Di
Malaysia aku nampak masih ramai yang ‘menghina’ sosial media. Tidak menjadi
‘kudis’ bagi media ini. Berbagai celaan dilemaprkan. Kononya berita yang
disiarkan tidak boleh dipercayai, tidak bertanggungjawab, dan sebagainya.
Soalnya media sosial ini tetap berpengaruh. Anak muda menganggapnya sebagai
rakan karib yang mesti didekati selalu. Twitter, Facebook, You Tube adalah alat
yang memberikan nafas kepada anak muda dan orang tua juga ( yang mengikuti
perkembangan zaman ).
Masyarakat
dunia sudah mengakuinya tentang pengaruh yang boleh dilakukan oleh sosial
media. Obama telah mencuba menggunakan sosial media sepenuhnya dan berjaya.
‘Rukun’ yang pertama dalam ‘sosial media marketing’ ialah ‘memasarkan barangan’ yang kita ada dan yang
hendak dijual. Antara tindakan yang perlu dilakukan ialah dengan menjadi
blogger yang aktif dan melibatkan diri dalam twitter dan facebook. Obama
misalnya mempunyai 1.5 million pengikut di Facebooknya dan memiliki 45,000
pengikut di twitternya. Dengan demikian apa saja kempen yang dijalankannya akan
menjalar seperti ‘ hutan yang terbakar’ membakar hati dan perasaan pengikutnya.
Inilah
yang disebutkan media baru atau new media. Malaysia tidak terlambat dalam
mengikuti arus ini. Anak muda terutama yang sedang menuntut di pusat-pusat
pengajaian tinggi tidak ketinggalan. Malah anak-anak di bangku sekolah rendah
juga tidak ketinggalan zaman. Yang agak terlewat dan ‘ terlepas keretapi’
adalah ‘ orang tua’ yang masih mahu mempertahankan cara lama dan tidak sedar
bahawa dunia sedang bergerak dengan terlalu cepat. Dan yang agak malang ialah
setengah ahli politik yang tidak sedar kewujudan media seperti ini, sedangkan
media baru ini merupakan senjata yang sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh
golongan ini untuk mempengaruhi pengundi atau pengikutnya.
Memang
betul ada pengamal media baru yang
menyalahgunakan media berkenaan dengan melaporkan berita yang tidak tepat.
Dengan lain perkataan memalsukan berita. Ada juga pengamal media atau blogger
yang menjadi ‘spin-doctor’ memutarbelitkan sesuatu berita demi kepentingan
pihak-pihak tertentu yang diwakilinya. Dengan ringkasnya ada pengamal media
baru yang menjadi penulis upahan.
Itu
perkara biasa. Dan kebiasaannya ‘nyawa’ penulis-penulis yang sedemikian tidak
lama. Tidak boleh bertahan sebab pembaca kini adalah pembaca bijak. Educated.
Dan ramai yang sudah lulus universiti. Boleh berfikir. Dengan demikian sudah
boleh membezakan antara yang betul dengan yang salah. Justeru sekiranya apa
yang dilaporkan oleh akhbar atau radio atau TV sesuatu berita yang tidak tepat
akan cepat-cepat disangkal oleh saluran media baru. Dan yang anihnya belum pun
sempat seseorang pembaca berita TV menghabiskan ceritanya, isu yang
diperkatakan sudah menjalar ke seluruh dunia. Seluruh alam!
Begitulah
hebatnya media baru.
Peribahasa
Melayu ada mengatakan ‘ sekali air bah sekali pantai berubah’. Dan kini
perubahan ini sedang berlaku. Dan yang paling ketara perubahannya ialah apabila
berlaku PRU 13 nanti. Kita akan dapat melihat dengan mata kepala kita tentang
bagaimana sosial media berperanan
mengeledah suasana politik yang sememangnya tegang dan mencabar ini.
Aku
rasa walaupun pertembungan dalam PRU 13 adalah antara parti-parti politik yang
bertanding tetapi sebenarnya kali ini adalah pertembungan antara media
tradisional dan media baru. Kita akan sama-sama melihatnya yang mana satu lebih
berpengaruh dari yang lain. Tetapi satu hakikat yang tidak dapat dinafikan
ialah antara faktor yang memenangkan Obama dalam pilihanraya presiden Amerika
adalah disebabkan oleh keberkesanan penggunaan media baru.
Rakyat
terpaksa menerima hakikat bahawa, “ sekali air bah, pastinya pantai akan
berubah…”
Abuhassanadam
10
Mac 2013
No comments:
Post a Comment