Tuesday, March 12, 2013

PEN D.O.


PEN D.O

Semalam (11 Mac 2013) Pedana Menteri mengumukan kenaikan gaji pegawai-pegawai perkhidmatan awam disamping kenaikan gaji  pasukan tentera dan polis. Bagus. Aku setuju sebab merekalah yang bertungkus lumus mempertahankan negara. Dan bagi pasukan polis pula, selepas ini tentulah tidak kedengaran lagi agaknya desas desus yang kurang menyenangkan, mengatakan perkara-perkara ‘ sumbang’ yang dilakukan oleh polis. Harap-harap begitulah.

Apabila memperkatakan mengenai perkhidmatan awam, teringat aku dua peristiwa penting yang ada kait mengait dengan perkhidmatan awam. Kisah dua orang penting dalam hidup aku yang ada kait mengait dengan perkhidmatan awam. Kisah bapak dan Atuk aku. Kisah hubungan mereka dengan D.O ( District Officer ) Kuala Kangsar. Kini D.O. dipanggil Pegawai Daerah. Kisah ini berlaku disekitar tahun 1950an. Zaman penjajahan British.

Ketika itu aku masih kecil lagi. Belum masuk sekolah pun, tapi boleh ingat peristiwa yang berlaku. Namun begitu tidak ‘faham’ untuk menganalisis peristiwa yang berlaku pada ketika itu. Baru kini dapat aku menganalisisnya dan aku akan senyum dan senyum mengenangkan peristiwa berkenaan.

Nama Atuk aku ialah Putih Ibrahim. Memang aku tinggal bersama Atuk dan Opah. Cucu sulung. Jadi memang aku rapat betul dengan Atuk aku. Rumah Atuk dengan rumah bapak aku tak jauh mana pun. Seberang bendang je. Sepelaung. Jadi aku adalah cucu kesayangan. Ke mana saja dia pergi pasti aku akan mengikutinya. Nyendoi, kata orang Perak.

Suatu hari aku dan Atuk pergi ke Kuala Kangsar. Nak jumpa D.O kata Atuk. Nak menyelesaikan hal tanah. Itu saja yang aku tahu. Yang lain-lain aku tak faham. Sebaik saja cerah hari, kami dah ada di pekan Padang Rengas, menunggu bas nak pergi ke Kuale ( orang Perak memanggil Kuala Kangsar tu ‘ Kuale’ je ). Atuk pakai baju kot ( coat warna coklat muda) dan berkain sarong. Bersongkok. Tak pakai kasut. Memang Atuk tak pernah aku tengok pakai kasut. Ke mana dia pergi pun berkaki ayam.

Apabila sampai saja diperkarangan pejabat daerah Kuala Kangsar Atuk didatangi oleh beberapa orang ‘pegawai’ ( peon, kerani rendah ) menemuinya. Bertanya khabar dan bertanyakan apa hal datang ke sini. Aku perhatikan saja. Tak tahu apa yang mereka cakap. Cuma yang aku dengar Atuk kata, “ ada he ( hal ) sikit…”

Selepas itu, Atuk dan ‘pegawai-pegawai’ tadi terus ke Lembah ( kawasan di tepi Sungai Perak )  ke sebuah kedai mamak di situ. Makan-makan. Yang dijual pada ketika itu ialah Roti Canai, Kundas, Behun (meehoon). Itu saja.  Atuk yang belanja. Aku tengok banyak juga Atuk keluar duit ketika membayarnya. Hampir RM 5.00. Nilai RM 5 pada ketika itu lebih kurang sama dengan nilai RM 50.00 kini.

Selepas makan-makan, aku lihat Atuk aku dilayan sebagai VVIP oleh ‘pegawai-pegawai’ tadi. Atuk aku terus masuk ke pejabat, berkaki ayam ! Duduk di hadapan meja mereka. Dan tak lama kemudian urusan tanah Atuk aku selesai dan kami pulang. Efficient betul ‘pegawai-pegawai’yang bertugas pada ketika itu.

Sekarang baru aku faham bahawa kegiatan memberi rasuah sudah bermula pada zaman Atuk aku lagi. Yang menyebabkan Atuk aku dapat menyelesaikan masalahnya dengan segera adalah kerana ‘ budi bahasa’ yang ditunjukkan nya kepada  para ‘pegawai ‘ berkenaan.

Telah menjadi buah mulut dikalangan orang kampung pada ketika itu bahawa untuk menyelesaikan satu-satu maslaah berkaitan dengan tanah akan mengambil masa bertahun-tahun. Kadang-kadang samapi tiga tahun baru selesai. Dan orang kampung pada ketika itu akan sabar menunggu. Tidak ada complain. Berbeza dengan Atuk aku. Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah dengan segera! Aku tak tahu nak ‘menghukum’ tindakan Atuk aku tu . Bijak ke atau melanggar undang-undang ke.

Kisah Bapak aku pula. Dia baru beli sebatang pen Parker. Memang cantik. Aku tak tahu mengapa Bapak beli pen tu. Aku tak tahu untuk apa. Dia bukan pegawai. Guru pun bukan. Dia hanya pesawah, penoreh getah. Tidak ada langsung kaitan dengan penulisan. Tapi mengapa bapak beli pen berkenaan. Namun begitu bapak boleh menulis. Cantik tulisannya. Kalah tulisan aku. Tandatangannya pada ‘ Report Card” sekolah aku memang cantik. Macam tandatangan D.O juga le. Dia lulus Darjah Lima sekolah Melayu. Kata Atuk aku “ sikit lagi bapak kamu tu nak jadi cikgu sekolah…”

Ketika itu umur ku baru lima tahun. Belum bersekolah. Tapi suka menulis, sebab ibuku yang ajar aku menulis, mengira. Itulah ‘kindergarten’ aku. Jadi apabila aku nampak ada pen parker di atas meja terus aku mencubanya. Bapak aku datang. Dia tak marah aku. Cuma dia kata, “ tak boleh pakai pen itu…itu D.O punya. Bukan bapak punya”. Aku letakkan semula pen itu. Tak berani nak guna. ‘ D.O punya!! ‘.

Akibat tindakan bapak aku itu banyak pengajaran yang boleh aku pelajari:

·      Walaupun dia bukan seorang yang terpelajar, tetapi cara dia melarang aku supaya jangan menggunakan pen yang baru dibelinya itu dengan cara yang paling diplomatik. Dia tidak marah tetapi memberikan penjelasan yang boleh aku terima, walaupun dia terpaksa berbohong  ( mengatakan pen itu D.O yang punya)
·      D.O adalah pekerjaan yang paling terhormat di mata masyarakat Melayu pada ketika itu. Seolah-olah kedudukannya adalah rendah sedikit daripada Sultan atau Orang Besar-Besar. D.O sangat dihormati dan ditakuti sehinggakan kanak-kanak kecil seperti aku juga takut dan gentar apabila bapak aku menggunakan nama D.O.
·      Mungkin juga ada  hasrat dan cita-cita bapak aku pada ketika itu untuk menjadikan aku seorang D.O pada suatu masa nanti. Dengan sebab itulah perkataan D.O sentiasa bermain dibibir kami sekeluarga.

Keadaan sepertimana yang aku gambarkan di atas sememangnya tidak wujud lagi. Dengan sebab itulah aku pilih tajuk ini untuk memberikan satu gambaran tentang keadaan masyarakat Melayu tahun-tahun 1950an dulu ketika negara ini di bawah sistem penjajahan British.


Abuhassanadam
12 Mac 2013



No comments:

Post a Comment