Tuesday, March 5, 2013

DILEMMA DI LAHAD DATU


DILEMMA DI LAHAD DATU

Aku betul-betul dalam dilemma apabila membincangkan mengenai konflik di Sabah ini. Aku anggap isu ini sungguh kompleks. Tak tahu aku nak ‘ masuk’ sebelah mana. Maknanya aku tak dapat membuat keputusan dalam diri aku siapa yang betul siapa yang salah. Namun begitu isu ini tidaklah pula  merupakan persoalan salah atau tidak salah.

Namun begitu sudah berbelas-belas nyawa melayang. Tentulah menyedihkan. Tak kiralah pihak mana. Pihak yang menyerang ke atau pihak yang mempertahankan. Bagi aku kesedihan itu sama sahaja dirasakan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Ramai yang menjadi janda. Dan ramai juga yang menjadi anak yatim kehilangan ayah. Masing-masing merasakan mereka adalah pada pihak yang betul. Masing-masing merasakan mereka memperjuangkan hak dan memperjuangkan kedaulatan negara masing-masing.

Kematian mereka dianggap sebagai pejuang dan pahlawan. Kedua-dua pihak mengatakan kematian mereka sebagai pahlawan. Dan RTM khususnya akan memainkan lagu-lagu ‘Perwiraku’ hampir setiap waktu membayangkan kesedihan pemergian perwira-perwira bangsa. Aku tak tahu pulak Radio di Minadanao atau di kepulauan Sulu juga akan memainkan lagu-lagu sedemikian.

Dengan ringkas aku katakan aku sedih dengan peristiwa ini.

Berasaskan pengetahuan sejarah yang amat sedikit, aku sedih dengan peristiwa ini kerana terjadinya peristiwa ini adalah disebabkan percaturan orang luar. Maksud aku orang luar itu ialah kuasa Eropah yang sentiasa memperdaya, mempermain-main dan memperkotak-katikan bangsa kita khususnya  bangsa dari rumpun Melayu yang mendiami kawasan Nusantara ini yang  juga disebut sebagai kepulauan Melayu.

Berlakunya peristiwa di Lahad Datu adalah sedikit cebisan daripada lakaran sejarah yang diukir oleh pihak luar sebagaimana yang aku sebutkan. Sejarah memang menunjukkan bahawa sebahagian daripada Sabah itu pada asalnya adalah kepunyaan Sultan Sulu, walaupun berlaku selepas itu persoalan pajak memajak, ( mungkin juga kegiatan tipu menipu)  yang melibatkan tokoh-tokoh seperti Baron Von Overbeck, Alfred Den dan lain-lain. Segala perjanjian dan kontrek itu dilakukan oleh datuk nenek sultan yang ada sekarang. Oleh itu Sultan yang ada sekarang pastinya tidak menyetujui apa yang telah dipersetujui oleh datuk nenenk mereka. Namun segala perjanjian yang bersaksikan “ Bulan dan Bintang’ ( biasanya) tidak dapat dirungkai semula.

Kini anak cucu itulah yang menentang dan menyataka ketidakpuasan hati mereka. Pada anggapan mereka ialah mereka mahu menebus kembali ‘tanah pusaka’  yang telah hilang. Malangnya mereka lupa bahawa ‘tanah pusaka’ itu telah berpindah tangan kepada orang lain. Mereka tetap tidak mengiktiraf tentang perpindahan itu kerana mereka tidak terlibat mengesahkan perpindahan itu. Mereka tidak dilibatkan apabila proses pemindahan dilakukan.

Ketika penubuhan Malaysia dulu memang Filipina menentang  penubuhan itu. ‘Kerajaan Filipina dibawah pimpinan Presiden Macapagal telah membuat pengumuman rasmi menuntut hak terhadap Sabah pada bulan Jun 1962. Kerajaan Filipina dengan tegas mendakwa Sabah masih merupakan  sebahagian daripada milik Kesultanan Sulu. Tuntutan ini berdasarkan perjanjian yang  ditandatanagni pada 22 Januari 1878 antara Sultan Jamalul Alam dengan Baron Von Overbeck. Baron Von Overbeck kemudiannya telah menjualkan  haknya kepada Alfred Den ( kemudiannya  Syarikat British Utara Borneo – SBUB ). Pada tahun 1946, SBUB menyerahkan Sabah kepada British dan diiystiharkan tamat oleh waris Sultan Sulu yang terakhir ia itu Sultan Esmail Kiram pada 22 Januari 1958. Menjelang bulan Jun 1966 Filipina telah mengiktiraf penubuhan Malaysia.” Buku teks Sejarah Malaysia.

Kesimpulannya Sabah sah berada dalam Malaysia. Itu kata kita ( rakyat Malaysia) dan kata orang lain juga. Dari segi undang-undangnya Sabah adalah hak Malaysia yang diputuskan oleh Kerajaan British dan Bangsa-Bangsa Bersatu. Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan oleh British untuk meninjau pendapat orang Sabah tentang kesediaan mereka menyertai Malaysia. Dapatan Suruhanjaya Cobbold mengatakan bahawa orang Sabah bersetuju. Begitu juga dapatan yang diperolehi oleh wakil Bangsa-Bangsa Bersatu yang meninjau pandangan orang Sabah. Mereka juga kata orang Sabah setuju menyertai Malaysia.

Persoalannya ada juga rakyat yang tak setuju. Mungkinlah Yang ‘ tak setuju’ itulah yang sampai sekarang masih memendam rasa, yang ingin membalas dendam dan bersedia untuk menuntut kembali hak mereka.

Justeru aku ragu-ragu dengan tindakan yang dilakukan sekarang bagi menyelesaikan masalah dan kerumitan yang berlaku. Persoalan di Lahad Datu itu adalah persoalan ‘ Cari-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”. Aku harap aku tersilap dalam membuat kesimpulan sedemikian. Menyelesaikan masalah perbalahan antara ‘saudara serumpun memang susah dan rumit. Apatah lagi sekiranya jalan penyelesaiannya secara kekerasan.

Banyak contoh-contoh yang boleh dikemukakan.

·      Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia mungkin tidak dapat diselesaikan sekiranya jalan penyelesaian itu dirangka oleh golongan yang tidak memahami budaya rumpun Melayu. Mesti diselesaikan oleh orang Melayu yang amat faham tentang nilai budi manusia yang bernama Melayu. Manusia yang separuh Melayu pun tak boleh. Mesti orang Melayu tulin. Konfrontasi Indonesia-Malaysia dulu diselesaikan oleh dua tokoh ikhlas, Tun Abdul Razak dan Tuan Adam Malik yang betul-betul ingin mendamaikan antara kedua negara. Kesannya amat ‘ cantik’ dan sangat mengembirakan. Sebabnya ialah dirundingkan oleh dua tokoh yang betul memahami hasrat dan cita-cita kedua-dua bangsa yang serumpun.
·      Magsasay ( Presiden Filipina ) dapat berdamai dengan Kumpulan Hukbalahap ( Komunis ) di Filipina dengan cara berunding. Beliau merendah diri berjumpa dengan Lui Taruc (pemimpin Hukbalahap)  di tempat persembunyiannya. Beliau dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat oleh Lui Taruc dalam pinggan yang bersalut emas. Magsaysay menolak dengan berkata, ‘ pinggan yang aku gunakan sama dengan peinggan yang kamu gunakan.” Akhirnya rundingan Magsaysay –Lui Tarus berjaya.

Oleh itu aku rasa kemelut yang berlaku di Lahad Datu ini juga harus diselesaikan dengan cara ‘ Melayu’. Berunding. Senjata bertemu senjata bukan penyelesaiannya. Ia memerlukan pertembungan persaan diantara dua jiwa yang halus.

Abuhassanadam
5 March 2013





1 comment:

  1. Tak terkomen Cikgu Abu, semuanya tepat belaka....well said n sgt2 patriotik !!!

    ReplyDelete