Saturday, March 2, 2013

PROJEK IC DAN LAHAD DATU


PROJEK IC DAN PERISTIWA  LAHAD DATU


Aku tak tahu sebenarnya ‘biji buah’ peristiwa yang berlaku di Lahad Datu semalam. Yang aku tahu dan mengikut fahaman aku, yang meninggal akibat daripada peristiwa itu adalah orang Melayu beragama Islam. Samada dari Sulu atau dari Malaysia, Mereka adalah dari rumpun Melayu beragama Islam, mengikut fahaman aku. Adik beradik aku. Dan mereka meninggal atas sebab-sebab yang tidak jelas perjuangan mereka. Dengan lain perkataan, mungkin mereka diperalatkan. Mungkin. Itu pun aku tak jelas.

Yang jelasnya bagi aku ada ibu yang menangis kehilangan anak kesayangan. Ada isteri yang akan menderita buat beberapa lama selepas ini kerana terpaksa membela dan menyara anak-anak kesayangan disebabkan ditinggalkan oleh suami yang tercinta akibat daripada peristiwa berdarah di Lahad Datu pada 1 Mac 2013. Yang paling aku sedih ialah yang dibunuh itu orang Melayu beragama Islam dan yang membunuh juga orang Melayu beragama Islam.

Bagi  ‘pejuang-pejuang ‘ dari Sulu apakah mereka betul-betul faham tentang perjuangan yang mereka  lakukan itu? Aku sangsi samada mereka betul-betul faham tentang matlamat perjuangan mereka itu. Mereka berjuang disebabkan mereka berpendapat bahawa Sabah adalah kepunyaan Sultan Sulu. Memang ada pembesar di Sulu yang masih berangan-angan bahawa Sabah itu adalah kepunyaannya. Dan ‘memperalatkan’ anak muda yang tidak berdosa  untuk berperang bagi memenuhi angan-angannya. Agak aku begitulah.

Mengikut  Ricardo S.Lazo JR dalam bukunya, “ Philippine Governance and the 1987 Constituition “ 2006, Sabah telah diserahkan kepada Sultan Sulu pada tahun 1674 oleh Sultan Brunei, Sultan Muhaiddin sebagai balasan atas pertolongan Sultan Sulu menolongnya dalam satu peperangan.Dan semenjak itulah Sultan Sulu bertanggungajwab mengawal dan memerintah Sabah. Keadaan sebegini memang sentiasa berlaku dalam sejarah di negeri-negeri Melayu pada zaman dahulu. Tergadainya negeri adalah disebabkan pertolongan dari kuasa-kuasa lain. Hilangnya Temasik ( Singapura ) dari tangan Kesultanan Melayu Johor ada lah sikit sebanyak berkaitan dengan keadaan yang serupa ini juga.

Pada 22 Januari 1878, dua orang Eropah yang bernama  Alfred Dent, saudagar British dan Baron Von Overbeck seorang Konsul-General Austria yang berpengkalan di Hong Kong telah mendapat kontrek dan hak ke atas Sabah dari Kesultanan Borneo dan Sulu dengan bayaran sebanyak RM 5000 setahun ( nilai wang ketika itu ). Dalam perjanjian berkenaan telah dicatatkan bahawa kedua-dua individu ini atau keturunannya tidak boleh menyerahkan Sabah kepada kuasa-kuasa lain atau syarikat-syarikat lain. Walaubagaimana pun Sabah akhirnya telah berpindah tangan kepada sebuah syarikat lain ia itu North Borneo Company. Bayaran sebanak RM 5000 setahun terus menerus dibayar kepada Sultan Sulu sehinggalah tahun 1950 apabila beginda meninggal  dunia dan tidak dapat dikesan pewaris yang sebenar.

Aku bukan nak mengajar matapelajaran sejarah. Hanya setakat nak meberikan gambaran. Dan terfikir juga di kepala aku, apakah ada hubungannya peristiwa di Lahad Datu ini dengan RCI  ( Projek IC ) yang sedang  hangat diperkatakan ini. Ini juga aku tak berapa pasti. Aku main agak-agak je.

Isu membawa masuk pendatang dan memberikan mereka kad pengenalan segera adalah juga merupakan isu yang ada sangkut pautnya dengan isu ‘ menuding jari dan menyalahkan orang lain’ Ada yang tidak segan silu menyalahkan orang lain sedangkan dia yang sebenar-benarnya bertanggungjawab melakukan dan merancang projek berkenaan tetapi masih menyalahkan orang lain.

Pengakuan Siti Aminah Mahmud yang mengaku terlibat secara langsung dalam Projek IC di Sabah ‘membuka mata’ kita.

  • ·      Beliau yang hanya sebagai pegawai rendah yang bertugas dalam mengendalikan projek berkenaan ditahan dibawah ISA pada 1995.Mengapa ditahan setelah menjalankan tugas dengan ‘cemerlang’. Mengapa? Ini yang rakyat biasa seperti aku tak faham.
  • ·  Tujuan Projek itu dijalankan adalah untuk ‘mengumnokan’ negeri Sabah. Maknanya supaya Sabah dapat ditadbirkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Ini juga aku tak faham. Berilah peluang kepada anak negeri itu untuk menentukan nasib mereka. Kerajaan mana yang mereka suka. Kalau mereka pilih BN takapalah. Kalau mereka pilih parti lain, itu hak mereka. Ini demokrasi. Aku fikir begitu le.
  • ·      Maknanya juga menafikan hak rakyat bumiputera Sabah yang lain yang tidak menyokong perjuangan UMNO (BN). Dan jikalau dibandingkan kumpulan pendatang dengan bumiputera asal Sabah, maka dengan jelas menampakkan yang bumiputera Sabah lebih berhak ke atas bumi Sabah.
  • ·      Menampakkan juga bahawa seolah-olah memasukkan Sabah ke dalam Malaysia itu adalah sebagai untuk mengaut keuntungan ke atas negeri Sabah dan bukan untuk mensejahterakan rakyat Sabah. Seolah-olah semacam itulah.


Apa akan jadi pada Sabah dan rakyat Sabah pada masa akan datang sekiranya pemberian kad pengenalan biru dilaksanakan secara meluas. Ini tentunya merupakan kesan jangka panjang yang amat parah. Peristiwa kemasukan golongan imigran ( dari China dan India ) pada Kurun ke 19 dan 20 sudah berulang lagi. Dulu mereka datang untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah kepunyaan British. Dan kemasukan mereka juga digalakkan oleh pihak British. Tentulah juga pihak British mempunyai perancangan yang terselindung mengapa  mereka membawa masuk golongan imigran itu.
Kini golongan imigran berkenaan telah diserap masuk menjadi rakyat Malaysia. Dan kita merasa bertuah juga kerana kemasukan mereka telah bersama-sama menjadikan negara kita makmur. Kini rakyat Malaysia ( dari berbilang kaum ) telah berjaya membuktikan bahawa kita boleh hidup bersama dan menjayakan cita-cita negara. Kita sedang menempa satu sejarah baru.

Tapi yang perlu difikirkan ialah apakah golongan imigran yang dibawa masuk secara segera itu dapat memenuhi hasrat dan matlamat Malaysia  yang sedang kita rangka ini.

Aku tak tahu nak jawab. Tolong le jawab.

Abuhassanadam
2 Mac 2013



No comments:

Post a Comment