Thursday, February 28, 2013

WUJUDKAN BUDAYA MENUKAR KERAJAAN BILA PERLU


WUJUDKAN BUDAYA MEMBUAT PERUBAHAN BILA PERLU

Sudah berpuluh tahun kita dibawah kerajaan yang sama. Dulu Perikatan ( UMNO, MCA dan MIC ) dan kini Barisan Nasional. Lebih kurang sama saja. Tidak ada beza. Negara-negara lain di dunia entah berapa kali tukar kerajaan dan pemerintahan. Menukar kerajaan bukanlah untuk suka-suka. Mestilah ada sebab-sebab tertentu yang mewajarkan kita menukar kerajaan yang ada.

Ada orang kata apa perlunya ditukar kalau kerajaan yang ada tu baik dan lancar pemerintahannya. Jangan nak pandai-pandai buat eksperimen. Nanti kita yang rugi. Ada juga betulnya. Tetapi kebiasaanya ialah apabila sesebuah kerajaan itu terlalu lama memerintah, besar kemungkinannya ia akan lalai dan selesa. Khayal. Lupa dengan tanggungjawab yang semestinya dipikul  dan dilakukannya. Lantas lupa daratan. Lupa segala-galanya. Dan apabila sudah sampai ke peringkat itu, tampuk pemerintahan berkenaan mesti ditukar. Dicuba yang baru.

Aku tidak pula menyuruh menukar kerajaan kita yang ada. Melarang pun tidak. Cuma tugas aku memberikan pandangan dan buah fikiran. Sekiranya perlu diikut dan dihargai. Kalau tak mahu ‘pakai’ tak apa.

Mesti ada sebab mengapa dalam demokrasi digalakkan mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.  Tujuannya ialah untuk menilai samada wakil rakyat yang dipilih itu telah menjalankan tugasnya dengan baik atau sebaliknya. Kalau hanya ‘ makan gaji buta’ maka sudah sewajarnya ditukar kepada orang lain yang lebih efisien dalam menjalankan tugas dan peranannya.

Pada zaman dulu-dulu kebanyakan wakil rakyat, terutama yang berkhidmat di kawasan kampung memang makan gaji buta. Tak le semua. Tapi ramai yang begitu. Datang ke kawasan hanya apabila pilihan raya hampir tiba. Sepanjang lima tahun tidak sekali pun pergi meninjau keadaan di kawasannya. Bukan itu sahaja, untuk berjumpa dengannya merupakan satu masalah besar. Terpaksa pergi berkali-kali ke pejabatnya dan ke rumahnya untuk mendapatkan bantuan. Seperti peminta sedekah. Dan kebiasaanya dia buat layan tak layan. Lainlah kalau dia berjumpa dengan towkey Cina.

Tetapi apabila hampir tarikh pilihanraya, kebanyakan wakil rakyat akan pergi ke kawasan berjumpa dengan orang kampung. Berlakon. Pura-pura perihatin dan bertanggungjawab terhadap pengundi di kawasannya. Berpakaian baju yang sudah lusuh. Baju lama . Menunjukkan kepada pengundi yang dia dalam keadaan yang tidak berapa kaya. Memandu kereta yang jauh lebih murah dari kereta mewah yang dimilikinya. Menunjukkan kepada orang kampung bahawa inilah kereta yang dimilikinya.

Orang kampung yang baik hati akan percaya. Percaya kepada cakap wakil mereka, walaupun sudah berapa kali ditipu. Rakyat akan terus mencium tangan wakil mereka, walaupun tangan yang dicium adalah merupakan tangan yang penuh dengan ‘kekotoran’, tangan yang tidak segan-segan menerima wang rasuah. Orang kampung tidak tahu kerana mereka telah ditipu dengan bahasa-bahasa yang indah-indah dan ditambah pula dengan pemberian gula, beras, kopi, kain batik dan lain-lain. Bukan bermakna orang kampung terlalu miskin untuk membeli barangan itu, tetapi sebenarnya mereka tahu mengenang budi orang. Dah termakan budi.

Selama setengah abad wakil Rakyat di Malaysia menerima status VVIP sedangkan mereka adalah sebagai wakil rakyat disatu-satu kawasan menyampaikan masalah di kawasannya kepada pihak yang berwajib supaya diambil tindakan oleh pihak-pihak tertentu. Ini tidak begitu. Wakil rakyat sudah menjadi semacam boss yang mesti dihormati ( melampau-lampau ) sehinggakan mereka lupa tugas dan yang parahnya  ada diantara mereka lupa daratan.

Apakah kita perlu mengekalkan wakil rakyat kita ( BN atau Pakatan) sekiranya mereka tidak berfungisi sebagai wakil rakyat?
·      Tidak mempedulikan kebajikan rakyat dibawah seliaannya.
·      Tidak memberikan sebarang pertolongan atau bantuan ( yang termampu olehnya) kepada rakyat di kawasannya.
·      Tidak  terlibat dalam apa-apa perbahasan dan memberikan apa-apa sumbangan dalam DUN atau Parlimen demi untuk memajukan bangsa dan negara secara umumnya.

Itu dilihat dari segi peribadi seorang wakil rakyat. Persoalan yang lebih besar yang berada di hadapan kita kini ialah kemampuan parti yang memerintah untuk meneruskan usakanya menerajui kerajaan. Mampukah mereka melaksanakan tugas yang amat berat ini untuk kesekian kalinya. Bagi mereka tentulah jawapannya dalam bentuk yang positif. Tetapi terpulanglah pada diri kita pula untuk menilai samada mereka boleh atau tidak.

Banyak juga pertimbangan yang perlu dilakukan oleh kita.

·      Apakah dasar yang dijalankan oleh kerajaan kini sesuai bagi negara dan rakyat menggalas prinsip-prinsip Wawasan 2020 dan seterusnya meneroka Kurun ke 21 dengan jayanya.
·      Apakah pencapaian yang telah dicapai oleh negara dalam lapangan ekonomi – kemasukan pelabur-pelabur asing misalnya.
·      Pengiktirafan oleh negara asing tentang keupyaan pemimpin-pemimpin kita mentadbirkan negara.
·      Apakah tindakan yang dijalankan oleh pihak pemerintah untuk memerangi gejala rasuah, mengekalkan kredibiliti badan perundangan, pasukan polis dan tentera.

Setelah mengambil kira semua faktor-faktor ini dan faktor-faktor lain yang tidak sempat dan muat untuk dijelaskan, barulah rakyat dapat membuat penilaian yang terperinci dan  kritikal.
Dan sekiranya kita merasakan bahawa kerajaan yang ada sekarang sudah sampai masanya digantikan, maka rakyat sepatutunya tidak harus ragu-ragu untuk membuat kepputusan. Begitu juga sebaliknya, sekiranya kita merasakan kerajaan yang ada perlu dikekalkan. Dan rakyat tidak harus bimbang dengan keputusan yang dibuat sebab keputusan yang dibuat itu hanya ‘berumur’ lima tahun sahaja. Sekiranya sampai masanya perlu pula membuat satu lagi perubahan, maka rakyat perlu lakukan juga.

Pendek kata, jadikan pilihanraya itu sebagai tempat kita melakukan perubahan. Jadikan sebagai satu budaya kita untuk menukar pemerintahan. Itu sebenarnya elemen demokrasi tulin.


Abuhassanadam
1 Mac 2013


No comments:

Post a Comment