Friday, February 1, 2013

'CANGGUNG' LEBIH MENYERONOKKAN




“CANGGUNG’ LEBIH MENYERONOKKAN

Pertama kali aku naik kapal terbang ialah pada tahun 1978. Dari Kuala Lumpur ke New York. Mengikuti kursus yang dibayar oleh kerajaan. Perbelanjaan lain juga ditanggung oleh kerajaan. Harapkan duit poket aku nak keluar, tak merasalah naik kapal terbang.

Sebelum tahun 1978, tak pernah merasa naik kapal terbang. Tengok dari jauh saja. Tak berani dekat. Aku masih ingat pada satu ketika dimana aku mengikuti rombongan sekolah ke Ipoh. Antara acara yang termasuk dalam lawatan itu ialah melawat lapangan terbang Ipoh disamping melawat Tanah Tinggi Cameron Highlands. Bukan main seronok rasanya apabila Cikgu mengatakan yang kami akan berpeluang melawat lapangan terbang Ipoh. Pada ketika itu dapat melihat kapal terbang sudah cukup seronok dan membanggakan. Tiga minggu akan bercerita dengan rakan-rakan lain tentang pengalaman ‘ melihat ‘ kapal terbang.

Dalam kampung aku tak ramai yang pernah menaiki kapal terbang. Emak kata, Pak Haji Kassim pernah naik kapal terbang. Dari Ipoh ke Pulau Pinang. Lamanya masa yang diambil penerbangan dari Ipoh ke Pulau Pinang hanya ‘ sebatang rokok’ kata Pak Haji Kassim. Di kampung kami Pak Haji Kassim dikira sebagai orang kaya le. Ada bendang, ada kebun durian, ada kebun getah. Itu sudah dkira kaya. Dia sudah pergi ke Makkah. Naik kapal. Bukan naik kapal terbang. Jadi untuk menunjukkan pada orang kampung yang dia lebih hebat dari orang lain di kampung aku, maka dia merupakan orang yang mula-mula naik kapal terbang dari kampung aku. Mungkin!.....

Di kampung, masa aku kecil-kecil dulu tiap-tiap hari melihat kapal terbang lalu yang melalui kampung kami. Tiap-tiap pukul 10.00 pagi. Agaknya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Aku dan kawan-kawan aku akan melambai-lambai kapal terbang yang terbang di udara. Puas rasanya berbuat begitu.

Satu lagi cara bagi kami untuk ‘ merasai ‘ menaiki kapal terbang ialah dengan menaiki ‘CANGGUNG’. Ini merupakan aktiviti yang kami cipta sendiri. ‘CANGGUNG’ ialah batang pokok kayu yang tumbang yang melintang sebuah sungai. Untuk mendapatkan keadaan dimana sebatang pokok yang tumbuh ditebing sungai dan kemudian rebah melintangi sungai adalah satu keadaan yang jarang-jarang dapat dijumpai. Namun begitu sekiranya terdapat keadaan sedemikian boleh dianggap sebagai ‘ sebuah kapal terbang’.

Kami akan berpaut kepada dahan-dahan pokok yang tumbang itu sambil menghenjut-henjutkannya. Semacam naik papan jongkang-jongkit. Sedang kami berbuai-buai, berpaut pada dahan pokok yang tumbang itu, kami akan melaungkan perkataan seperti, “ London, Paris dan New York’. Menggambarkan yang kami sedang ‘ terbang ‘ menujuk ke tempat-tempat ini. Seronok betul. Dan yang peliknya ketika kami berbuai-buai berpaut pada dahan itu dalam keadaan telanjang bulat. Sebab. Setelah penat berbuai-buai, kami akan menjatuhkan badan kami ke dalam sungai yang mengalir di bawah.

Aku tidak pernah terfikir yang aku akan betul-betul menaiki kapal terbang ke New York. Semasa berada dalam pesawat, aku sentiasa ‘ bertanya ‘ pada diriku dengan mencubit lengan aku. “ Betulkah aku yang menaiki pesawat ke New York ini” Aku masih tak percaya. Itulah perasaan budak kampung yang sentiasa dibelenggu oleh perasaan rendah diri. Tidak yakin yang diri sudah sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain juga. Budak kampung akan sentiasa merendah diri.

Aku baru merasa menaiki kapal terbang setelah umurku 30 tahun. Berbanding dengan anak-anakku yang sudah berjinak dengan kapal terbang ketika berumur tiga tahun. Sudah biasa dengan lapangan terbang antarabangsa di seluruh dunia. Tidak hairan dan ‘jakun’ seperti aku apabila mula-mula menaiki kapal terbang.

Kapal terbang yang aku naiki itu singgah berhenti di Hong Kong. Transit. Aku dan penumpang-penumpang lain di tempatkan di sebuah hotel mewah. Tak tahu aku berapa bintangnya. Aku sentiasa dalam ‘ ketakutan’, serba tak kena. Kekok dalam apa tindakan yang aku lakukan. Maklumlah bagi aku semuanya ‘ pertama kali’. Naik kapal terbang ‘ pertama kali’. Turun dari pesawat dan menuju ke immigration check point juga ‘pertama kali’. Menjejakkan kaki di Hong Kong juga ‘ pertama kali. Pendek kata semuanya pengalaman baru.

Sampai di JF Kennedy Airport waktu pagi. Sejuk. Tak pernah aku rasa sejuk begitu. Air sungai disebelah rumah aku biasanya sejuk pada waktu pagi. Ini sejuk lagi. Nasib baik aku bawa baju panas. Tak le serupa baju panas orang lain. Berjenama. Baju panas aku jauh lebih murah beranding dengan baju panas yang dipakai oleh orang di sini. Baju panas aku dibeli di kedai Jalan Tuanku Abdul Rahman saja.

Sementara menunggu di Airport, menunggu dijemput oleh seseorang yang berjanji akan menjemput aku, sempat juga aku berbual dengan seorang mem di situ. Orang kampung kalau tak bertegur sapa, tak beradab namanya, kata Opah aku. Jadi aku memberanikan diri aku dengan melemparkan senyuman pada dia. Mungkin bukan itu cara mereka. Taka pa le. Cara aku apabila berjumpa seseorang senyum dulu. Senyum itu sedekah….

“ Where are you from?’ Dia bertanya
‘Malaysia’ kataku pendek. Mujurlah aku boleh juga berbahasa orang putih
“ Vietnam?” katanya lagi. Mengapa pula ke Vietnam perginya.
“ Kuala Lumpur”  kata ku
“ Oh Singapore…..” Jawabnya mengangguk-anggukkan kepalanya.

Barulah aku sedar bahawa pada tahun 1978, tidak ramai lagi warga dunia yang tahu dimana letaknya negara Malaysia. Mereka lebih mengenali Vietnam ( disebabkan berlakunya Vietnam War agaknya) atau lebih mengenali Singapore.

Dengan izin Allah, kini menaiki pesawat adalah merupakan kegiatan yang biasa bagi aku. Bukan untuk bermegah-megah apabila aku menceritakan hal yang sebgini tetapi  hanya untuk menyedarkan diri bahawa apa saja yang dilakukan selalu kenikmatannya akan hilang. Dulu amat menyeronokkan apabila berpeluang menaiki pesawat buat pertama kali dalam sejarah hidup ku.

Tetapi apabila dilakukan secara berulang-ulang, keseronokan itu akan hilang dan telah hilang. Kadang-kadang aku terfikir berbanding dengan keadaan aku menaiki pesawat ke London misalnya lebih menyeronokkan aku bermain ‘CANGGUNG’ bersama dengan Hamid, Isa, Ngah , Bahari di Sungai Sauk berhampiran dengan rumah  ku waktu kecil-kecil dulu.

Namun begitu aku tetap bersyukur kepada Allah kerana memberikan kebahagiaan yang tidak dapat dirasai oleh rakan-rakan ku yang sama-sama bermain ‘CANGGUNG’ seperti Hamid, Isa, Bahari dan Ngah.





Abuhassanadam

I Februari 2013











1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.

    Contact person : Amsyahril
    Mobile : +6285263007445
    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.

    ReplyDelete