Saturday, February 23, 2013

TAK GILA KE NAMANYA TU......


TAK GILA KE NAMANYA TU.......

“ Aku hairan betul budak-budak sekarang ni….gila yang bukan tempat” kata kawan lama.

“ Maksud kamu ?” tanyaku

“ Yalah…yang dema ( mereka)  tergila-gila sangat kat Psy (Gangnam ) itu, apasal?”

“ Ai …bukan ke dulu kita juga pernah jadi orang gila…” kataku menyindir.

Aku tak mahu sebut nama kawanku ini. Bukan aku takutkan dia. Jauh sekali. Aku tak mahu anak cucu dia tahu tentang kisah hidupnya menjadi ‘orang gila’. Gila macam budak-budak sekarang gilakan penari Psy tu. Aku takut dia malu sekiranya anak dan cucunya tahu. Nanti tentu ada diantara cucunya yang ‘berani’ buka cerita dia menjadi ‘orang gila’.

Aku mengaku yang aku juga pernah menjadi ‘orang gila’ ketika berumur dalam lingkungan belasan dan awal dua puluhan. Mungkin ada sedikit perbezaan antara ‘gila’ tahun 60an dengan ‘gila’ Kurun ke 21.

Aku tak pandai untuk menganalisis ‘gila Kurun ke 21” tetapi aku agak mahir menceritakan ‘ gila tahun 60an’. Itu zaman aku. Zaman pop yeh yeh. Sampai sekarang ada diantara muda-mudi  yang  nak tahu dengan sejelas-jelasnya tentang kisah artist 60an. Apa yang mereka dengar tu mungkin hanya ‘lapisan atas’ kisah-kisah 60an. Tak dapat mereka menyelami secara mendalam.

Menceritakan tentang pakaian sahaja sudah mengambil masa berhari-hari untuk menceritakannya. Baru tentang pakaian. Belum lagi tentang kisah artist, lagu-lagu 60an, pasar minggu, anak gadis 60an, motor scooter, reaksi ibu bapa 60an. Dan banyak lagi. Itu le aku kata, tiga hari tiga malam tak cukup untuk menceritakan kisah 60an. Aku merasa bertuah kerana aku jadi orang muda tahun 60an. Dapat menikmati suasana 60an sebenarnya. Zaman keemasan, kata kawan-kawanku. Sebenarnya Syok sendiri……

Baju, seluar, kasut muda-mudi 60an mempunyai identity tersendiri. Aku kadang-kadang tersenyum sendirian apabila melihat gambar aku dan kawan-kawan ku dengan pakaian tahun 60an. Apa tidaknya. Seluar ketat sampai ke kaki. Macam balut buah nangka. Nak pakai pun seksa. Kena duduk atas kerusi dulu dan kemudian baru boleh pakai. Seksa. Tetapi kena pakai sebab itu fesyen 60an. Nanti kita dikatakan kolot. Tak ikut zaman. Tambahan pula orang muda kena pakai. Nanti orang perempuan tak pandang sebelah mata. Tentang kasut pula. Kasut ‘Clarke’ berkulit terbalik. Maknanya kasut suede. Zaman sekarang jarang sangat orang memakai kasut berjenama Clarke. Mahal. Tahun 60an harganya cuma RM 24.00. Boleh dibeli di Penang ( bagi orang sebelah utara ).
Apabila mengenangkan tahun 60an ada suatu peristiwa sejarah yang perlu aku katakan yang tidak pernah diperkatakan apabila membicarakan tentang kisah P.Ramlee. Mungkin ada dibicarakan, tetapi aku yang tidak sedar perkara itu dibicarakan. Yang aku maksudkan ialah kemunculan penyanyi 60an lah yang telah ‘ membunuh’ lagu-lagu P.Ramlee. Kemunculan Jeffry Din, A.Ramlee dan beberapa orang penyanyi lain telah ‘mengenepikan ‘ lagu-lagu P.Ramlee.

Lagu-lagu yang dibawa oleh M.Osman, A.Ramlee, Jeffry Din dalam bentuk yang lain dari yang lain telah dapat menawan muda-mudi tahun 60an. Betul-betul ‘viral’. Kemaraanya seperti merebaknya api yang membakar hutan pada musim kemarau. Dalam masa yang amat singkat, ‘Termenung’ dan ‘Oh Fatimah’ sudah dapat menengelamkan lagu-lagu P.Ramlee pada ketika itu seperti ‘ Jeritan batinku” “ Jangan tinggal daku’ dan lain-lain. Di kampung-kampung pula sudah muncul guitar-guitar ‘ papan sekeping’, meniru guitar yang digunakan oleh ‘ The Siglap Five’ atau ‘ The Rythem Boys” dari Singapura ketika mengiringi penyanyi pop yeh-yeh pada ketika itu. Anak muda dikampung sudah mula membuat guitar sendiri. Dan ada juga yang telah menubuhkan kumpulan guitar rancak ( Kugiran) di kampung-kampung. Di Padang Rengas sahaja ada tertubuh dua kumpulan Kugiran – ‘ The Swampers’ dan ‘ Rentak Teruna”. Sekali lagi aku tak mahu dedahkan siapa yang menganggotai kumpulan berkenaan, takut kalau-kalau mereka malu kepada anak cucu mereka. Salah seorang ahli kumpulan berkenaan kini bergelar Datuk gelaran yang dikurniakan oleh DYMM Sultan Perak!

Suasan pada tahun-tahun 60an betul-betul ‘gila’. Mungkin sama dengan ‘gila’ yang dialami oleh anak muda sekarang. Ataupun zaman ‘60an’ itu lebih ‘gila’ daripada keadaan sekarang. Bezanya pada zaman itu ialah siaran TV belum meluas seperti sekarang. Seingat aku le, di seluruh kawasan Padang Rengas tu, hanya terdapat kurang daripada lima buah rumah yang memiliki TV. Tak lebih dari lima buah. Yang aku ingat betul, yang ada peti TV ( itu pun hitam putih. Warna belum ada lagi) ialah rmah Cikgu Ibrahim Abdullah, Guru Besar SK Tun Dr. Ismail, padang Rengas. Aku tak ingat kalau-kalau ada orang lain juga yang memiliki. Aku tak ingat.

Bagi orang kampung aku ( kampung Keroh Hilir) yang ingin menonton TV terpaksa ke pekan Padang Rengas, menonton di sebuah kedai TV kepunyaan orang Cina. Penuh sesak,( termasuklah aku) terutama pada hari Jumaat malam Sabtu. Cerita Melayu. Cerita lama-lama. Dan ada satu lagi program yang aku ingat berjodol, Aslirama’ yang menampilkan penyanyi-penyanyi seperti Rahim Omar dll.

Oleh kerana tidak dapat melihat wajah penyanyi kesayangan 60an melalui kaca TV menyebabkan ramai anak muda yang gila bayang. Mereka hanya mendengar suara penyanyi pujaan mereka melalui radio. Dan jikalau ingin melihat gambar-gambar penyanyi berkenaan hanya melalui majalah-majalah. Dengan sebab itulah apabila ada pertunjukan pentas yang menampilkan penyanyi-penyanyi pujaan mereka dari Singapura seperti A.Ramlee dan Jeffry Din, mereka tidak melepaskan peluang untuk pergi menonton.

Aku tak dapat gambarkan sepenuhnya ‘lautan’ manusia yang membanjiri Padang Polo di Kuala Kangsar yang datang untuk menyaksikan persembahan A.Ramlee dan Jeffry Din. Aku tak tahu berapa puluh ribu yang datang. Dari seluruh ‘ antero’ Kuala kangsar. Dari Padang Rengas, Talang, Sauk, Lubuk Merbau, Kati, Liman, Cegar Galah, Sayung, Karai, Cheh, Manung, Kota Lama, Teroso dan banyak lagi le. Penuh Padang Polo.

Tak gila ke namanya tu………

Abuhassanadam
23 Februari 2013

No comments:

Post a Comment