Wednesday, February 20, 2013

ANTARA PAK LAH DAN ANWAR


ANTARA PAK LAH DAN ANWAR IBRAHIM


Aku merasa bertuah kerana dapat bertugas sebagai Pegawai Khas kepada dua orang tokoh pemimpin negara. Pak lah dan Saudara Anwar Ibrahim. Aku berpeluang berkhidmat dengan mereka ketika mereka menjadi Menteri Pelajaran ( Pendidikan). Mulanya sebagai Pegawai Khas kepada Pak Lah ( 1984-1986) . Lepas itu sebagai Pegawai Khas kepada Saudara Anwar Ibrahim ( 1986- 1990). Dan setelah aku tilik dan aku kaji, memang tidak ada orang lain yang senasib dengan aku. Bertugas sebagai Pegawai Khas kepada  kedua-dua tokoh ini.

Dengan demikian aku berasa cukup bertuah dapat berkhidmat di bawah kedua-duanya. Tentulah banyak yang nak aku tulis mengenai kedua-dua tokoh ini. Satu buku tak cukup. Dan pastinya ramai pula yang ingin tahu tentang hal-hal yang berkaitan dengan diri mereka. Dan yang aku nak tulis tentunya bukan mengenai dasar pelajaran dibawah pimpinan mereka, tetapi tentunya hal-hal peribadi kedua-dua tokoh ini yang ada hubung-kaitnya dengan aku. Tentunya tidaklah perkara-perkara yang buruk mengenai mereka ( kalau pun ada).

Dan dapat aku katakan sepanjang pergaulan aku dengan kedua-dua tokoh ini tidak ternampak aku mereka melakukan perkara-perkara aib dan buruk di mata masyarakat. Tak pernah. Ini aku jamin. Namun begitu takkanlah mereka tidak pernah melakukan kesalahan dan kesilapan kecil yang boleh dimaafkan. Selagi namanya manusia pasti melakukan kesilapan. Itu tentulah tidak dapat dielakkan.

Tentulah banyak peristiwa yang sukar aku lupakan ketika bersama dengan kedua-dua tokoh ini. Yang aku nampak satu perbezaan besar antara kedua-dua tokoh ini ialah dari segi menikmati makanan. Bagi Pak Lah sememangnya bersemangat apabila menghadapi juadah. Pak Lah bukan kuat makan ( pelahap). Bukan. Aku tak setuju kalau kata begitu. Pak Lah sanggup ‘ mengorbankan’ dirinya dengan menunaikan hajat orang lain.  Pak Lah adalah manusia yang tak sampai hati mengecilkan hati orang. Seboleh-bolehnya dia akan layan. Siapa saja.

Aku teringat suatu hari ketika kami melawat negeri Kedah. Aku dah lupa tahun berapa. Tempatnya aku ingat. Di Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar. Malam. Ketika makan malam. Aku tengok Pak Lah begitu bersemangat menikmati juadah yang dihidangkan. Lepas makan nasi, makan laksa. Lepas makan laksa makan kuih muih pulak. Bukan satu jenis kuih, berjenis-jenis. Pak Lah tidak sampai hati menolak pelawaan makan terutama apabila ada yang berkata, “ cuba try kuih ni Pak Lah, sedap…saya yang buat…”. Dia akan makan sampai aku ‘ takut’ melihat Pak Lah menikmati juadah berkenaan. Kerana nak ambil hati le tu…

Dan ketika mahu pulang ke hotel, apabila Pak Lah hendak menaiki keretanya, tiba-tiba datang pula seorang Cikgu muda bermotorsikal menghampiri kami. “ Pak Lah boleh tunggu tak sekejap…kami nak bawa nira untuk Pak Lah rasa…..” kata Cikgu muda itu. Pak Lah turun dari kereta dan memberitahu kami supaya menunggu ‘ kedatangan nira’. “ Tak pa, Pak Lah tunggu ni….” Katanya. Penamat cerita, kami sampai di hotel pada malam itu jam sudah menunjukkan angka satu. Itulah kisah Pak lah …..

Saudara Anwar memang ‘tak kuat’ makan. Mungkin dia jaga tentang pemakanannya. Takut gemuk agaknya. Olehkerana dia tak kuat makan, memang banyak kali dia menyebabkan kami ( pembantu-pembantu) ‘ marah’ berkaitan dengan hal makan. Sampai hari ini aku tak boleh melupakan peristiwa yang amat ‘menyedihkan’ berkaitan dengan makan.

Peristiwa ini berlaku di Seremban, Negeri Sembilan. Aku lupa  tahun berapa peristiwa ini berlaku. Yang aku ingat, Saudara Anwar merasmikan sebuah sekolah Cina di situ. Kebiasaanya selepas perasmian akan adalah jamuan-jamuan yang disajikan. Biasalah. Untuk menjamu YB Menteri. Dan tentunya hidangan yang disediakan tentunya sedap-sedap belaka. Dan yang kenyang  tentulah pembantu-pembantunya.

Tak pernah aku rasa seumur hidupku hidangan lemang dan rendang daging sesedap itu yang dihidangkan kepada kami pada hari itu. Memang orang Negeri Sembilan pandai buat lemang dan handal memasak rendang daging. Memang sedap sungguh. Untuk mengesahkan kenyataan aku boleh dirujuk Saudara Mokhtar ( Pengawal peribadi hingga sekarang). Yang menyebabkan kami ‘marah’ hingga kini ialah sedang kami baru nak mencuba ketul lemang yang kedua, tiba-tiba Saudara Anwar sudah bangun untuk beredar. Apa lagi le, kami pun terpaksalah beredar sama.  Tinggalah lemang dan rending yang sedap itu. Kami agak ‘terkilan’…

Sampai ke hari ini, aku dan Mokhtar tidak dapat ‘ memaafkan’ Saudara Anwar Ibrahim dalam hal ini. Mungkin dia tahu hal ini mungkin tidak!. Tapi aku Nampak dia tersenyum sinis apabila menjemput kami beredar. Seolah-olah berkata, ‘ padan muka hangpa….” Banyak lagi peristiwa-peristiwa sebegini yang akan aku ceritakan dalam siri-siri yang akan datang. Terlalu banyak peristiwa-peristiwa berkenaan.

Jikakalau ada orang yang bertanya aku mengenai kedua-dua tokoh ini, Pak Lah dan Anwar, aku hanya dapat simpulkan bahawa kedua-dua mereka adalah orang ‘ BAIK’. Itu saja yang dapat aku ucapkan. Jikalau ada orang yang dapat menafikan kenyataan aku itu, maknanya orang berkenaan lebih rapat dari aku. Itu aku tak tahu. Yang aku tahu mereka berdua adalah tokoh dan diberikan oleh Allah bakat pimpinan yang luar biasa.

Sebab itulah apabila ramai orang bertanya aku mengenai Saudara Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan kisah liwat, dengan tegas aku katakan, “ itu hanya fitnah. Aku tak fikir yang Anwar sanggup melakukan perkara terkutuk itu. Dan berasaskan kepada pergaulan aku dengan Saudara Anwar tidak aku Nampak walau sedikitpun bibit-bibit yang berkemungkinan Anwar melakukan perkara terkutuk itu. Begitu jugalah dengan fitnah-fitnah lain yang cuba memburukkan peribadi Saudara Anwar. Aku tak akan yakin Anwar sanggup melakukan.

Aku tak yakin……

Aku mendoakan ke hadrat Allah supaya orang yang sentiasa membuat fitnah segera bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dan momohon  maaf kepadanya.

Abuhassanadam
21 Februari 2013

No comments:

Post a Comment