Saturday, February 23, 2013

TAK TAHU MALU....


TAK  TAHU MALU…..

Apakah orang  sekarang dah tak tahu malu?……inilah soalan-soalan yang selalu menerpa benak aku. Tak kira masa. Kadang-kadang ketika memandu, aku terserampak dengan keadaan yang menunjukkan manusia sekarang dah tak tahu malu. Sedang menonton TV di rumah , tiba-tiba ditayangkan satu peristiwa menunjukkan yang manusia sekarang dah tak tahu malu. Di majlis-majlis khenduri diketemukan juga dengan manusia yang tak tahu malu.

Semasa kecil-kecil dulu terlalu kerap diucapkan perkataan ‘ malu ‘ oleh orang sekeliling kita. Entah berapa kali dalam seminggu diucapkan perkataan ‘ malu’ oleh ibu, bapak,  opah dll.

“ Jangan bercakap begitu….malu”
“ Jangan buruk laku di rumah khenduri….malu”
“Jangan mencuri. Ditangkap orang malu…..”
“ Jangan bercakap bohong. Nanti orang tak percaya pada kita….malu”

Dengan demikian, kita akan sentiasa berwaspada  dan berhati-hati melakukan sesuatu. Takut malu. Atau dimalukan. Tetapi malangnya pada hari ini nilai malu seolah-olah sudah diketepikan. Dibuang jauh-jauh. Seolah-olah perkataan malu sudah tidak terdapat lagi dalam perbendaharaan kata. Manusia sudah tidak mempunyai sifat malu.

Apa tidaknya.

Sebagai contoh, keluar berita mengatakan seorang yang bertaraf pemimpin melakukan perbuatan sumbang di mata masyarakat. Melakukan hubungan sulit. Ada bukti kukuh. Tetapi tidak dihebuhkan oleh akhbar disebabkan orang tertentu ada cara-cara tertentu untuk ‘menutup’ berita di akhbar berkenaan. Namun begitu dalam zaman internet, berita telah tersebar luas.

Persoalannya pemimpin berkenaan tak merasa malu ke?

Itu persoalan yang berkait dengan hubungan sulit. Ada terdapapt juga pemimpin bertaraf menteri atau timbalan menteri atau wakil Parlimen yang melakukan rasuah melibatkan wang negara bermilion ringgit. Meluluskan sesuatu projek tanpa melalui proses yang biasa dijalankan. Ada terdapat bukti jelas misalnya. Tetapi disebabkan kuasa dipegang oleh mereka maka kegiatan sedemikian hanya ditenggelamkan. Ada juga yang menggunakan kuasa untuk memberikan projek pada anak isteri. Takpa. Kalau anak isteri sememangnya ahli perniagaan dan tahu hal ehwal pengurusan. Ini tidak. Anak isteri jahil dalam perniagaan. Dan tentunya projek yang berbillion ringgit di ali babakan.

Soalnya, tak malu ke ?

Seorang wakil rakyat misalnya yang tugasnya untuk berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya, tetapi mengabaikan tugasnya sebagai wakil rakyat. Datang menemui rakyat setahun sekali. Dan terlalu susah bagi rakyat menemuinya. Apabila rakyat memerlukan pertolongan akan cuba menjauhkan diri. Dan apabila sampai masa untuknya bertanding dalam pilihanraya, barulah datang semula berjumpa dan menemui rakyat.

·      Yang hairanya wakil rakyat sedemikian tak malu ke?
·      Yang menambahkan lagi hairan kita ialah rakyat ‘termakan’ dengan janji-janji kosongnya sedangkan sudah berapa kali rakyat ditipu dan tertipu. Apakah rakyat tak tahu malu dan masih bangang.

Aku pernah melakukan kesalahan jalan raya dan ditahan oleh polis. Aku mengaku aku melakukan kesalahan itu. Bukan sengaja. Aku katakan aku tak perasan langsung tanda yang menunjukkan ‘ tak boleh buat U- turn.Aku bersedia untuk disaman. Dan di mahkamah akan ku minta pengadilan. Tetapi polis berkenaan minta agar kes ini diselesaikan. Aku kata itulah penyelesaiannya. Dia masih mengulangngi ayat ‘ boleh selesai’. Aku faham apa yang dimaksudkannya. Akhirnya aku bertanya dia, ‘ berapa?’. Jawabnya ’ berapa yang encik adalah…” Aku tetap tidak melayan ‘permintaan’nya. Akhirnya dia menasihati aku supaya jangan melakukan lagi.

·      Tak malu ke……
·      Tak terfikir kah dia ajaran emak bapaknya . Aku rasa semua emak bapak tak suruh anaknya berkelakuan demikian.
·      Tak terfikirkah dia bahawa wang sedemikian adalah wang haram. Apakah rasanya menggunakan wang haram untuk menyara hidup anak isteri.
·      Tapi bukanlah semua polis bersikap demikian.

Yang menghairankan aku lagi ialah sudah ada terdapat kaum pendidik ( guru-guru) yang sanggup melakukan perkara yang sepatutnya tidak tergamak dilakukan oleh kaum guru. Ada terdapat Pengetua atau Guru Besar sekolah yang menyelewengkan wang yang diberikan oleh kerajaan untuk tujuan yang lain dari tujuan yang sepatutnya. Misalnya  ada pengetua / Guru Besar sekolah disebelah utara ( Penang dan Selatan Kedah ) yang sanggup datang ke Kuala Kangsar untuk membeli barang keperluan untuk sekolahnya. Walaupun bilangannya tidak ramai, tetapi cukup untuk mengahirankan. Apakah barang-barang keperluan yang diperlukan disekolahnya tidak terdapat di Pulau Pinang misalnya. Kata orang tua-tua, “ jikalau tidak ada-ada takkanlah tempua bersarang rendah.”

Tak malu ke…

Apakah perasaan seorang pegawai kastam pencen/ ataupun seorang pegawai polis pencen/ ataupun pegawai kerajaan ( PTD ) pencen misalnya, yang semua orang tahu  berapa pendapatannya ketika memegang jawatan kerajaan, mampu membina beberapa buah banglo yang bernilai bermilion ringgit, memiliki beberapa buah  kereta mewah, dan sanggup pula makan angin keluar negara hampir setiap tiga bulan. Apakah dia selesa dan lena ketika tidur dalam banglo mewahnya. Apakah selesa dan bahagia ketika menaiki kereta mewahnya. Apakah senang hati dan dapat menikmati sepenuhnya percutiannya ketika berada di luar negara, sedangkan dia sedar bahawa wang yang digunakannya adalah wang haram yang bukan sepatutnya dimilikinya.

Tak malu ke……..

Abuhassanadam
24 Februari 2013




No comments:

Post a Comment