PAK MAT-PENGGALI KUBUR
Pada 12 Februari 2013, hari Rabu ayahanda tersayang ADAM BIN
PANDAK MAT ARIP telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.45 malam
dalam usia tua 90 tahun. Arwah dilahirkan pada tahun 1923.
Amat panjang ‘perjalanan’ hidupnya. Melangkaui krurun. Mengalami
zaman Jepun , zaman penjajahan dan zaman kemerdekaan. Berpendidikan hanya
setakat Darjah 5 ‘ sekolah atap ‘ ( sekolah Melayu ) dan menyambung pelajaran
di sekolah Arab ( Agama). Berpendidikan sedemikian pada ketika itu dianggap
sudah cukup bagus kerana kebanyakan penduduk kampungku ( pada ketika itu )
masih lagi buta huruf. Tidak ramai yang bersekolah sepertimana juga orang
Melayu lain di seluruh Tanah Melayu.
Bukankah sememangnya tujuan British memberikan pendidikan kepada orang
Melayu pada ketika itu adalah ‘ supaya mereka menjadi petani yang lebih
berpelajaran daripada bapa mereka’. Itu R.O Winstedt ( orang putih) yang kata.
Walaupun mereka mendirikan sekolah-sekolah, tetapi penjajah tidak berhasrat
untuk memberikan pendidikan tinggi kepada anak Melayu. Hanya untuk menjadikan
petani yang lebih baik. Ataupu sekiranya mereka belajar di sekolah Ingeris
hanyalah untuk menjadi kerani atau peon sahaja. Membantu penjajah Inggeris
menjalankan pentadbiran.
Arwah bapa aku hanya orang kampung biasa. Petani yang bekerja kais
pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi bagiku dia adalah
segala-galanya. Dia merupakan orang pertama di kampung aku yang menghantar
anak-anaknya ( aku dan adikku ) ke sekolah Inggeris. Pada ketika itu sesiapa
yang menghantar anak belajar di sekolah Inggeris, boleh dikira sebagai usaha
untuk menukar agama menjadi Kristian. Tetapi bapaku tabah mengahadapi keadaan
itu. Dia tak peduli apa orang lain kata.
Dari segi politik pula, dia ada bersama-sama dengan ratusan pemuda
daerah Kuala Kangsar di Panggung Empire Kuala Kangsar mendengar ucapan Ahmad
Boestamam yang mengetuai API ( Angkatan Pemuda Insaf). Dia pernah menceritakan
kepada aku tentang keberanian Ahmad Boestamam menghadapi ancaman tentera
British ketika itu. Ketika negara menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957,
arwah bersama-sama aku mendengar ucapan Tunku Abdul Rahman pada malam
bersejarah itu di kedai Pak Alang Ibrahim melalui Radio Malaya. Kalau tak silap
aku juruhebah pada malam bersejarah itu ialah Abu Bakar Ahmad ataupun Ibrahim
Tahir.
Kini bapa aku dah tidak ada lagi. Arwah dikebumikan di perkuburan
Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas. Dia meninggal di rumah adik ku di Pualau
Pinang dan dikebumikan bersebelahan dengan pusara ibuku di kampung.
Mat Saad adalah penggali kubur untuk arwah bapak aku. Nama
sebenarnya Mat Saad bin Dahaman. Tetapi di kampung ada panggilan tertentu untuk
sesiapa yang bernama Mat atau Ahmad. Mat adalah rakan karibku sejak dari kecil.
Sejak dari awal lagi beliau telah memberitahu aku, “ sekiranya berlaku sesuatu
kepada Pak Adam, beritahu aku segera…”
Maknanya dalam bahasa yang senang difahami, sekiranya bapak aku
meninggal, beliaulah yang bertanggungjawab untuk menggali dan mengendalikan
mayatnya. Satu penghormatan yang diberikannya kepada aku dan arwah bapak aku.
Pada hari pengkebumian bapak aku, memang ramai orang kampung
datang mengiringi jenazah buat kali terakhir. 90 % dari orang kampung hadhir.
Aku masih kenal benar dengan orang kampung aku. Kebanyakan mereka adalah
saudara mara ku. Saudara terdekat atau bau bacang. Ada kaitan keluarga. Dengan
sebab itulah mereka ‘ terpaksa’ menghadhirkan diri untuk mengiringi jenazah
arwah bapak aku.
Pak Mat penggali kubur mendapat perhatian istemewa dari anak-anak
ku yang hadhir sama mengiriingi jenazah Atuk mereka. Anak-anak aku sentiasa
memberikan pujian yang tak habis-habis kepada Pak Mat penggali kubur. Semasa Pak
Mat dan rakan-rakan menggali liang lahat untuk arwah, mereka ada bersama
melihatkan gelagat orang kampung ku menggali kubur.
“ Kalau di London, terpaksa pakai tractor le untuk menggali kubur
begitu” kata anak aku yang bermastautin di United Kingdom dan secara kebetulan
bercuti di Malaysia. Amat bertuah dia berkesempatan bersama dengan jenazah
Atuknya.
Anak-anak ku yang lain juga amat jarang melihat suasana menggali
kubur oleh orang kampung. Dilakukan secara bergotong royong. Mereka bertanya
berapa upahnya aku bayar kepada Pak Mat dan rakan-rakannya. Aku kata, “ mereka
bekerja bukan untuk mendapatkan bayaran’. Namun begitu terpulanglah kepada
ikhlasan aku untuk membalas budi yang telah dicurahkan.
Aku bangga dan terus bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh
orang kampung aku. Walaupun di sini tempat lahir ku, namun amat jurang juga
berada dalam situasi begini. Di kubur. Ditengah-tengah masyarakat penggali
kubur. Aku bangga kerana tradisi menggali kubur yang dilakukan kini tidak ubah
seperti keadaan penggali kubur pada zaman tahun-tahun 50an dulu, ketika aku
masih kecil. Tak banyak bezanya. Ataupun hampir tak berbeza langsung.
Aku mengangkat tangan bersyukur kepada Allah kerana mengekalkan
keadaan sedemikian.
Ada 25 orang yang telah disenaraikan untuk menggali kubur arwah
bapa aku. Maknanya 25 orang telah dengan sukarela bersedia untuk berkhidmat
tanpa paksaan. Zaman dulu-dulu begitulah juga caranya. Tidak ada paksaan. Tidak
mengharapkan balasan atau upahan. Kini pun mereka tidak bersikap begitu.
Terpulanglah kepada keluarga jenazah untuk memberikan sedekah keapda mereka.
Orang kampung ku bersurai setelah Talqin di baca dan diakhiri
dengan doa tahlil.
Dalam perjalanan pulang berbagai-bagai kenangan dan ingatan
menerpa ingatan ku.
·
Aku
amat bangga dengan sikap orang kampung ku yang masih berpaut kepada tradisi
lama.
·
Walaupun
ramai anak kampung ku yang telah berjaya dalam lapangan masing-masing, namun
sifat ‘ kampung’ masih lagi dipegang dengan kuat.
·
Kemuliaan
orang kampung ku terletak dari sikap mereka yang tidak materialistic,
berbanding dengan sikap setengah orang kampung yang telah berhijrah ke
bandar-bandar.
Pak Mat penggali kubur mungkin merasa puas setelah dapat
menyempurnakan tugasnya menggali liang lahat untuk arwah bapak aku. Dia akan
‘berkhidmat’ semula sekiranya berlaku kematian di kampung ku. Esok atau lusa.
Abuhassanadam
19 Februari 2013
Al-fatihah arwah...
ReplyDeletebuat arwah...
ReplyDelete