MEREKA BUKAN PENULIS UPAHAN
Seperti biasa bila aku balik bercuti di kampung, pagi-pagi lagi
selepas solat Subuh aku akan ke
Padang Rengas. Pekan kecil tak berapa jauh dari kampung ku. Untuk beli nasi
lemak, roti canai dan kuih muih untuk sarapan pagi. Teringat pula aku nak beli
surat khabar. Capaian internet tak boleh di kampung aku. Tak ada talian. Dah
lama benar tak baca surat khabar.
Apabila aku sampai sahaja di kedai yang menjual surat khabar, aku
tengok ‘ bertimbun ‘ surat khabar yang tak terjual. Kebiasaannya ( kalau
zaman-zaman dulu le ) penjualan surat khabar ini amat laris di tempat aku ni.
Bukan nak kata le, orang tempat aku ni ‘ educated ‘ le juga. Ada dua sekolah
Arab ( agama) tertua di sini. Ada sekolah ‘orang putih’ yang telah dibangunkan
semenjak zaman British lagi. Di kuala Kangsar ( 10 kilometer dari Padang Rengas
) ada Clifford School, Malay College, Sekolah Perempuan Raja Yang Kalsom ( dulu
dipanggil GEGS – Governement English Girls School ).
Yang aku nak cerita bukan fasal orang Padang Rengas, tapi kisah
surat khabar yang tidak terjual. Bertimbun. Tak laku. Orang tak mahu beli. Dan
baru-baru ini juga aku tengok surat khabar bertimbun juga di pintu masuk
pesawat MAS ketika aku dalam penerbangan ke Penang. Kebiasaannya ( waktu dulu-dulu
) berebut-rebut penumpang mengambil surat khabar. Jikalau kita lambat, tak
dapatlah naskah surat khabar untuk dibaca.
Mengapa terjadi begini? ‘ orang sudah ada internet untuk mendapatkan berita” kata seorang
kawan aku.
Jikalau itu jawapannya, maka aku persoalkan pula tentang orang
kampung ku yang tidak ramai memiliki talian internet. Orang tua-tua tidak tahu
pun menggunakan internet, tetapi mengapa mereka tidak membeli surat khabar. Dan
tak lama dulu ketika berada di London, aku tengok orang masih membaca “ Times’,
‘ Guardian” dan akhbar-akhbar lain sedangkan internet berleluasa. Di Los
Angeles mereka masih membaca “ USA Today”, ‘ Los Angeles Times “. Mengapa di Malaysia, kebanyakan orang
sudah meninggalkan tabiaat membaca akhbar.
Semenjak zaman British sehinggalah menjelang Kurun ke 21, surat
khabarlah yang memainkan peranan begitu penting dalam kehidupan masyarakat di
Tanah melayu. Surat khabarlah berperanan dalam melahirkan semangat kebangsaan
di Tanah Melayu, seperti ‘Warta Malaya’ ‘Lembaga Malaya’’ ‘Majlis’ ‘Utusan
Melayu’ ‘ Warta Negara’. Dan surat khabar juga yang meniupkan semangat
kebangsaan menentang penjajah British sehingga mencapai kemerdekaan.
Orang Melayu terhutang budi kepada pejuang-pejuang lampau yang
berjuang dalam bidang persuratkhabaran seperti Zainal Abidin bin Ahmad ( Zaaba
), Dato’ Onn bin Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Pak Sako, Abdul Samad Ismail, Keris
Mas, Usman Awang dll. Nama mereka masih harum di persada bangsa dan dipuji dan
dipuja oleh anak bangsa, dari desa ke kota.
Mengapa mereka dipuji dan dipuja?
Aku rasa mereka betul-betul ikhlas dalam perjuangan mereka untuk
memperjuangkan bangsa. Mereka menulis berdasarkan apa yang mereka fikir yang
sesuatu itu betul. Mereka bukan penulis upahan. Isu-isu yang mereka kemukakan pada
ketika itu termasuklah memajukan pendidikan orang Melayu, menggalakkan
pendidikan untuk anak perempuan, menyeru orang Melayu supaya meninggalkan sikap
negatif seperti tidak mahu berusaha, mementingkan pendidikan bahasa Inggeris
untuk kemajuan orang Melayu, memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
dalam pentadbiran.
Dalam bidang ekonomi para penulis dan wartawan zaman dahulu
menyeru orang Melayu supaya terlibat dalam perniagaan, meminta British
mengurangkan kemasukan orang dagang kerana hal ini mengancam ekonomi tempatan.
Mereka adalah mata dan telinga masyarakat pada ketika itu. Tugas yang mereka pikul pada ketika
itu amatlah berat.
Mereka sedar bahawa mereka menulis di bawah pengawasan penjajah.
British. Mereka sentiasa di awasi. Namun mereka tidak menggadaikan marwah
mereka sebagai penulis upahan. Mereka tidak menggadaikan nilai hidup mereka
sebagai anjing-anjing penjajah. Mereka sentiasa menjaga nilai diri sebagai
seorang wartawan yang berwibawa. Sekiranya mereka tidak menulis secara berterus
terang, mereka akan menggunakan pena mereka untuk menulis secara berselindung.
Pak Sako misalnya terpaksa menyampaikan idea perjuangannya melalui novel-novel
yang dikarangnya seperti “ Putera Gunung Tahan’ dan ‘ Mat Lela Gila”. Jalan
ceritanya melucukan dan kadang-kadang mengandungi unsur seks, namun sarat
dengan mesej perjuangan. Itulah identity yang ditonjolkan oleh wartawan dan
penulis yang tahu tentang jati dirinya.
Melihatkan kepada senario yang dipaparkan apakah kehilangan
kredibiliti wartawan atau penulis kini yang menyebabkan banyak suratkhabar
sudah tidak terjual? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak. Namun apa salahnya para wartawan atau
penulis kini memikirkan apakah mereka ‘ sudah tergadai’ atau ‘ sudah
digadaikan’ atau ‘ sedang tergadai’.
Penulis harus berani mempertahankan sesuatu idealisme yang
diperjuangkan. Kita menjadi wartawan atau penulis untuk mencari sesuap pagi dan
sesuap petang. Itu betul. Tetapi
apakah dengan mencari sesuap pagi dan sesuap petang itu kita harus menggadaikan
marwah diri dan membelakangkan
etika kewartawanan kita. Mungkin wartawan kini tidak dapat ( atau jauh sekali )
mebandingkan perjuangan wartawan dahulu seperti Zaaba, Dato Onn Jaafar, Pak
Sako, Samad Ismail dll. Tetapi sekurang-kurangnya penulis kini harus mencuba ‘
rapat’ sedekat-dekatnya dengan kejayaan wartawan-wartawan agung milik orang
Melayu.
Setidak-tidaknya para wartawan harus menghindarkan diri dari
menjadi penulis upahan. Terlalu hina sekiranya terjadi demikian.
Abuhassanadam
3 Januari 2013
Assalamualaikum saudra,
ReplyDeleteKisah-kisah silam yang saudara paparkan (mungkin sebagai seorang guru) agak menarik untuk memenuhkan waktu santai. Sekiranya saudara berkelapangan lawati laman : www.cahayamenerangikegelapan.blogspot.com
Mungkin di sana saudara mendapat ilham baru untuk menghasilkan idea-idea kreatif saudara selanjutnya. Wassalam