Tuesday, February 5, 2013

APAKAH ORANG MELAYU MASIH BANGANG?


APAKAH ORANG MELAYU MASIH BANGANG

Aku tak tahu siapa yang bodoh, bangang. Aku ke yang bangang ataupun rakyat yang bangang ( sebahagian le, bukan semua). Aku kata begitu sebab sudah lama sangat aku perhatikan, masih ramai lagi rakyat yang aku lihat seperti pandir, bodoh, bangang. Terutamanya orang Melayu le. Aku le tu. Bangsa aku. Keturunan aku. Kulit aku dengan kulit mereka yang aku kata bodoh ni sama saja warnanya. Jadi kalau aku kata mereka seolah-olah aku mengutuk aku juga. Meludah ke langit. Mengutuk keturunan aku,. Apa boleh buat. Terpaksalah. Jikalau dah begitu kehendaknya. Aku berani kata begitu kerana ‘ cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Negara sudah merdeka. Sudah 55 tahun pun umurnya. Tapi rakyatnya tidak merdeka. Masih takuk lama. Boleh ‘dibeli’. Boleh diperkudakan. Boleh diperbodohkan. Boleh dihina. Boleh dimaki hamun. Boleh diporkatekkan. Kata setengah orang. Entah betul entah tidak.

“ Taka pa” itulah kebanyakan responsenya.

Dulu beberapa orang penulis orang putih  Maxwell, Wilkinson, Winstedt sepakat mengatakan orang Melayu malas. Dan apabila orang putih kata begitu, maka orang lain pun ikut sama la. Diikuti dengan gelak ketwa menyindir ‘ mengiakan’ kata-kata orang putih itu. Sampai sekarang orang Melayu dicap begitu. Malas. Ramai juga orang Melayu sekarang yang bersetuju dengan pendapat itu. Aku pun kadang-kadang terbawa-bawa untuk bersama-sama mendukung pandangan itu.

Cuma, bila aku fikir dan aku kenangkan balik semula tentang kata-kata orang putih ni dan aku lihat dan aku kenangkan bagaimana bapa aku bekerja untuk menyara hidup keluarganya, aku berasa ‘ panas’. Bukanlah bapak aku seorang yang rajin begitu, malah hampir 90 % penduduk di kampung aku rajin-rajin belaka, tetapi mereka masih miskin. Mereka jadi miskin bukan kerana mereka malas, tetapi disebabkan faktor-faktor lain.

Malas ke namanya kalau mereka turun ke sawah selepas Subuh dan kembali ke rumah pada waktu hampir Maghrib. Malas ke namanya tu. Yang turun ke laut pulak serupa itu juga. Kadang-kadang berhari bermalam di laut. Malas ke namanya tu.Oleh kerana Orang putih melihat orang Melayu miskin, jadi tuduhannya kerana mereka malas. Orang putih melihat orang Melayu bersantai pada waktu petang di bawah pohon kelapa disamping melimparkan pandangannya ke laut luas, dikatakan orang Melayu “ easy going’.

Isu yang aku perkatakan ini sebenarnya isu lama. Dah basi. Tetapi sengaja aku ‘ hidupkan’ semula disebabkan faktor semasa yang memaksa aku ‘ menghidupkan. Maknanya ada pandangan umum mengenai sesuatu  yang pada pandangan aku tidak boleh aku terima. Misalnya ada aku dengar ramai yang berkata bahawa, “orang kampunglah yang akan menentukan keputusan pilihan raya yang akan  datang. Tak boleh buat apa-apa dah”

Maknanya

·      Apabila disebut orang kampung tu, maknanya orang Melayu la. Orang macam aku ni
·      Orang Melayu di kampung tu bodoh-bodoh, tak ikut perkembangan zaman.
·      Orang Melayu di kampung mudah dibeli, diperbodoh-bodohkan, boleh disogok dengan hadiah dll.

Pandangan ini atau ‘ falsafah karut ‘ ini sama juga seperti orang putih mengatakan orang Melayu malas. Hina sangat  ke orang kampung ( Melayu ) sehinggakan tidak dapat berfikir secara waras. Bodoh benar ke orang kampung sehingga boleh diperkotak-katikkan. Tertutup rapat ke mata mereka sehingga tidak langsung nampak reality yang berlaku disekeliling mereka. Jikalau ada pun orang kampung yang masih ‘ buta perut’, maka bilangannya tidak begitu ramai.

Sudah 55 tahun kerajaan memerintah dan berusaha untuk mencelikkan orang kampung. Bermula dengan Kelas Pelajaran Dewasanya, penubuhan berbagai ajensi yang bertujuan semata-mata untuk memajukan penduduk luar bandar. Orang Melayu. Apakah kini orang Melayu masih mundur. Masih tidak dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk. Apakah mereka masih menjadi pak turut, menjadi pengikut yang membuta tuli. Pandir?. Bodoh?

Baru-baru ini aku pulang ke kampung. Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas. Ini nama kampung aku. Tak tipu punya. Kalau pergi ke kampung itu tanyalah orang kampung  mengenai aku.  Jangan tanya kanak-kanak. Mereka tak kenal. Tanya orang tua-tua. Lama aku tinggal di kampung. Bercuti. Kebetulan pula musim buah-buahan. Musim durian. Orang kampung ceria. Bahagia. Begitulah biasanya di kampung ini semenjak dari zaman dulu lagi. Kalau musim buah-buahan hidup mewah. “ Boleh nampar orang le….”

Banyak masa aku habiskan bersembang dengan kenalan lama aku. Kawan-kawan sepermainan masih ada lagi. Sihat. Cuma gigi mereka yang hampir semuanya ‘ kompang’. Tak kisahlah. Yang aku nak ceritakan ialah kami boleh bersembang seperti biasa. Aku tahu aku mesti menyesuaikan diri aku dengan mereka. Aku mesti letakkan diri aku seperti aku yang mereka kenal 40 atau 50 tahun dahulu. Itu yang merancakkan perbualan yang diikuti dengan derai gelak ketawa.

Mereka juga boleh ‘ faham’ apa yang aku bualkan apabila mereka bertanya aku tentang perkara yang ‘ berat-berat’. Aku terangkan. Mereka faham. Mereka mengangguk. Dan apabila aku tanya mereka bagaimana mereka boleh faham. Mereka jawab ringkas, “ Anak aku yang bekerja di Kuala Lumpur yang cakap…..”


Abuhassanadam

5 Januari 2013

No comments:

Post a Comment