Thursday, February 21, 2013

STADIUM TERENGGANU DAN ISKANDAR BRIDGE PERAK



STADIUM TERENGGANU DAN ISKANDAR BRIDGE DI PERAK


Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Terengganu runtuh lagi. Lima orang pekerja cedera. Mujurlah tiada berlaku kehilangan nyawa. Tentunya yang cedera atau sekiranya ada yang meninggal semestinya pekerja yang tergolong dalam kategori buruh kasar. Bukan ‘taukeh-taukeh’. Bukan orang kaya-kaya. Bukan orang yang bertanggungjawab  meluluskan projek berkenaan. Bukan golongan yang ketawa besar, terbahak-bahak apabila memperolehi projek berkenaan beberapa tahun yang lampau.

Kini golongan yang dikira bersalah itu hanya perlu ‘memasang’ muka P.Ramlee. Mesti pandai berlakun terutama di depan camera TV. Mesti tunjukkan muka perihatin dan bertanggungjawab ke atas segala apa yang berlaku, walaupun dalam hati dan perasaan tidak sedikitpun mengusik hati dan perasaan mereka. Yang perlu mereka lakukan ialah menunjukkan muka simpati kepada pekerja malang. Dan mungkin ini satu ‘blessing’ juga kerana dengan kejadian ini akan dapatlah mereka menunjukkan muka di hadapan TV, terutama dalam keadaan pucuk pimpinan sedang memilih calon untuk pilihanraya yang ke 13.

Stadium ini runtuh adalah takdir. Betul. Tapi mengapa Stadium Merdeka, Stadium Negara yang dibina puluhan tahun yang lampau tidak runtuh. Ini persoalan yang sedang difikirkan oleh rakyat. Salah siapa. Proses menuding jari tentunya akan bermula. ‘Puak’ itu akan menuduh ‘ puak’ ini. ‘Kumpulan’ itu akan menyalahkan ‘kumpulan’ ini. Masing-masing menyalahkan. Namun begitu kumpulan yang bersalah sudahpun mengakui kesalahannya, apabila mendapati dirinya terlalu resah dan susah untuk tidur, tidak berselera untuk makan, selalu diserangi perasaan resah gelisah.

Ada juga aku dengar yang siasatan terperinci mengenai keruntuhan stadium ini telah dijalankan. Apa dah jadi dengan siasatan itu?. Tak lengkap lagi kah siasatan yang dijalankan. Sepatutnya apabila dah berlaku sesuatu kemalangan ( yang terdahulu ) tentulah ia tidak berulang lagi. Ini tidak. Berulang lagi. Dan berapa kali lagi agaknya dia akan berulang.

Keadaan ini mengingatkan aku pada Jambatan Iskandar ( Iskandar Bridge kata orang Kuala Kangsar) yang merentangi Sungai Perak, menghubungkan Kota Lama dengan Karai. Kalau tak silap aku jambatan ini dibina tahun 1924. Ada tertulis di situ. Tak pernah roboh. Pada tahun 1966, berlaku banjir besar di Sungai Perak. Seluruh bandar Kuala Kangsar tenggelam. Paras air sampai ke permukaan jam besar Kuala Kangsar.Dan yang menghairankan aku walaupun banjir sebesar mana sekalipun, jambatan ini tidak pernah tenggelam. Roboh jauh sekali. Berdiri tegak dengan megahnya. Nordin Bridge yang dibina di Parit ( selepas Merdeka) pernah runtuh. Sekarang tak tahu pulak aku, ada lagi ke atau dah tak ada.

Aku terpaksa menyoal diri aku. Mengapakah Iskandar Bridge, sekolah-sekolah orang putih yang dibina pada zaman Brtish dulu begitu kukuh dan kemas buatan dan pembinaanya. Sampai sekarang masih kuat dan utuh. Dan mengapa pula bangunan yang dibina pada zaman kemerdekaan mudah benar runtuh dan roboh.

Aku bukan jurutera untuk memberikan jawapan teknikal.

Aku letakkan segala kesalahan ini kepada faktor nilai atau pegangan manusia yang pada fikiran aku sudah agak rosak teruk. Manusia yang dimakudkan itu adalah manusia yang tinggal di Malaysia. Orang Melayu, Cina dan India. Sudah agak rosak. Bukanlah semuanya. Seolah-olah nilai kemanusiaan sudah tiada dalam hati dan perasaan setengah manusia. Yang dipentingkan dan yang menjadi priority mereka adalah wang dan wang.

·      Bagi kontrektor yang mendapat projek berkenaan, seolah-olah mereka sudah tidak peduli kepada keselamatan nyawa. Mereka lupa bahawa stadium adalah tempat orang berkumpul. Tentunya ramai. Jika berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini, tentulah ramai nyawa yang melayang. Seolah-olah para kontrektor tidak peka kepada semua itu.
·      Tentu ada pihak yang bertanggungjawab meluluskan projek berkenaan sebelum dimulakan pembinaan. Apakah pihak yang bertanggungjawab itu tidak terlihat akan kelemahan-kelemahan yang terdapat pada projek berkenaan sekiranya dilaksanakan. Apakah mereka sanggup ‘ memejamkan sebelah mata’ sahaja.

Tentulah banyak lagi persoalan yang mungkin ditimbulkan sekiranya ‘dikorek’ satu persatu. Cukup sekadar kita membandingkan dengan keadaan pembinaan zaman dahulu ( zaman British misalnya ) yang masih tegap dan tegak dengan megahnya. Banyak sangat kita dengar tentang keruntuhan bangunan, keruntuhan lebuharaya dan berbagai keruntuhan lagi. Kita amat bimbang kalau-kalau bangunan-bangunan pencakar langit yang ada di negara ini juga mengalami nasib yang sama seperti stadium di Terengganu itu. Tidak boleh dibayangkan seramai mana pula nyawa yang akan melayang.


Abuhassanadam
22 Februari 2013


No comments:

Post a Comment