SUNGAI SAUK DAN PAK HAJI YAAKUB
Dua bulan lepas aku mendapat undangan dari seorang kawan lama,
menjemput aku ke rumahnya. Sembang-sembang. Dan makan-makan. Memang sudah lama
kami tak berjumpa. Dia sibuk. Aku pun sibuk juga. Dia memangnlah sibuk. Orang
berniaga. Cari duit tak henti-henti. Tak cukup-cukup. Dah ada sepuluh buah
rumah, nak cari sepuluh buah rumah lagi. Dah ada enam buah kereta, beli
lagi. Tak puas-puas mencari harta.
Tapi bagus jugalah. Boleh juga aku ‘ menumpang’ sekali sekala.
Pukul 6.30 petang aku dah sampai di rumahnya. Maghrib di situ.
Berjumaah bersama-sama keluarganya.
Walaupun dia sudah kaya raya tetapi bab sembahayang dan yang berkaitan
dengan agama dia tak lupa. Sebab itulah agaknya duit yang diperolehinya penuh
barakah. Bersedekah jariah, dia tak kedekut.
Selepas solat Maghrib, kami duduk bersantai di tepi kolam mandi di
rumahnya. Sambil minum-minum ringan. Pada masa inilah aku tidak dapat lari dari
memikirkan keadaan kami semasa kecil, semasa zaman kanak-kanak. Zaman keadaan
penuh keriangan. Tak pernah susah hati. Sentiasa gembira, gelak ketawa.
Aku bandingkan kolam mandi di rumahnya dengan Sungai Sauk yang
juga merupakan ‘ kolam mandi’ kami, kepunyaan kanak-kanak di kampung itu. Di
Sungai Sauk itulah kami belajar berenang, terjun ‘ kepala dulu’, berenang ‘
Butterfly Strokes” dan lain-lain acara renang yang kami cipta sendiri.
Sungai Sauk adalah sungai yang biasa ada di kampung-kampung. Ia
mendapat nama Sungai Sauk disebabkan sungai ini diempang, disekat airnya untuk
membolehkan airnya mengalir ke sawah-sawah padi pada musim menanam padi.
Sekiranya tidak diempang dan disekat, maka air sungai itu tidak dapat
disalirkan ke bendang disebabkan sungai itu terlalu dalam dan airnya tidak
dapat mengalir ke sawah padi. Kegiatan mengempang dan menyekat air sungai
itulah menyebabkan sungai ini mendapat nama “ Sungai Sauk’
Dalamnya air Sungai Sauk ketika di empang adalah lebih kurang enam
kaki. Memang sesuai dijadikaln kolam mandi. Dan sememangnya sungai ini tempat
kami mandi-manda waktu musim menanam padi. Inilah ‘ Swimming Pool’ kami. Aku
belajar berenang di sini. Hampir semua anak-anak kelahiran kampung ku ini
belajar berenang di Sungai Sauk. Sekiranyalah tidak adalah Sungai Sauk, aku tak
tahulah dimana lagi tempat untuk kami belajar berenang. Mujurlah ada Sungai
Sauk…..
Hampir kesemua ibu bapa di kampung kami tidak membenarkan
anak-anak mereka mandi-manda di Sungai Sauk. Hampir kesemuanya. Takut lemas,
kata mereka. Tapi tak pernah pula kedengaran ada kanak-kanak yang mati lemas
ketika mandi di Sungai Sauk. Tak pernah aku dengar. Tapi itulah hujah yang
digunakan oleh ibu bapa kami untuk melarang anak-anak mereka supaya tidak mandi
di Sungai Sauk.
Bagaimana pula dengan air Sungai Sauk. Jernih dan bersih ke?
Itu tidak pernah langsung jadi pertimbangan kami. Bersih ke,
jernih ke, tidak pernah difikirkan oleh kami. Yang penting air Sungai Sauk
mesti ‘ hapus kepala’. Maknanya mesti cukup dalam untuk membolehkan kami
berenang ‘ kepala dulu’, apabila terjun dari atas jambatan yang menghubungkan
kampung kami ( Kampung Keroh Hilir
) dengan Kampung Lalang ( jiran ).
Untuk mengawasi kanak-kanak kampung ini daripada mandi-manda di
Sungai Sauk, emak bapak kami ( emak terutamanya ) telah memberikan ‘mandat’
yang cukup besar kepada Pak Haji Yaakub untuk menggunakan rotan untuk merotan
kami sekiranya didapati mandi-manda di Sungai Sauk. Pak Haji Yaakub pula dengan
senang hati menerima ‘mandat’ yang diberikan oleh ibu bapa kami, walaupun tanpa bayaran walau satu sen
pun.
Pak Haji Yaakub akan menjalankan tugas’ yang diberikan itu dengan penuh dedikasi. Pak Haji
Yaakub akan pergi ‘ melawat ‘ Sungai Sauk apabila difikirkannya perlu untuk
mengintai samada kanak-kanak yang mandi. Sekiranya nasib tidak begitu baik, dan
secara kebetulan bertembung dengan Pak Haji Yaakub ( yang tahu dimana ‘ lorong
‘ kami melepaskan diri ) maka kami akan mendapat ‘habuan’ ranting pokok
senduduk. Aku katakan ranting pokok
senduduk kerana pokok senduduk yang banyak tumbuh ditepi Sungai Sauk
Walaupun kami mendapat habuan dari Pak Haji Yaakub, kami tidak
akan ‘ melaporkan’ hal sedemikian kepada ibu bapa kami kerana sekiranya
dilaporkan, besar kemungkinan kami akan menerima habuan yang lain pula dari ibu
bapa kami. Namun begitu ‘ kehidupan’ kami sentiasa dalam cemas dan penuh ‘
suspense’ kerana Pak Haji Yaakub pasti akan melaporkan kepada ibu bapa kami apa
yang telah berlaku.
Untuk mengelakkan kami daripada dirotan oleh Pak Haji Yaakub, kami
telah sepakat membentuk sekumpulan
‘pemerhati’ untuk mengawasi perjalanan Pak Haji Yaakub. Kami telah melantik ‘pemerhati’
secara berglir-gilir untuk berdiri di tebing sungai dan memberikan isyarat
apabila kelihatan kelibat Pak Haji Yaakub. Dengan demikian ‘terpelihara’lah
kami dari tindakan Pak Haji Yaakub apabila mandi manda di Sungai Sauk.
Sebenarnya larangan yang dikenakan oleh ibu bapa kami untuk jangan
mandi di Sungai Sauk, bukanlah disebabkan takut lemas, tetapi sebenarnya air
Sungai Sauk itu sememangnya kotor. Apa tidaknya. Sungai Sauk adalah ‘toilet’
bagi penduduk kampung di hulu sungai. Pada ketika itu mana ada wujud toilet
yang dibina di dalam rumah ataupun jamban curah yang dibina ditempi rumah. Boleh dikatakan mereka
menggunakan sungai Sauk itulah sebagai toilet mereka.
Kini Sungai Sauk tinggal dalam kenangan. Akan ku ceritakan ‘
peranan’ Sungai Sauk apabila aku menceritakan kehidupan ku semasa kecil. Akan
ku ceritakan pada anak cucu aku tentang hebatnya Sungai Sauk sebagai Swimming
Pool di kampung ku. Aku pasti di temapta-tempat lain pun ada sungai yang
berfungsi sebagai Sungai Sauk di kampung ku itu.
Abuhassanadam
7 Februari 2013
No comments:
Post a Comment