Tuesday, February 26, 2013

TAKKAN MELAYU HILANG.....




TAKKAN MELAYU HILANG………

Seorang kawan aku mengatakan sekiranya kerajaan yang ada sekarang kalah dalam PRU 13 nanti, “ Melayu akan habis…hilang”. Maknanya mengikut pandangan dia Melayu akan terus jadi mundur. Jadi pengemis di tanah air sendiri. Jadi papa kedana, meminta-minta, macam minta sedekah yang ada di pasar-pasar minggu sekarang.

Aku katakan yang aku kurang setuju dengan pendapatnya.Dia pula menuduh aku menentang kerajaan. Menentang BN. Menentang UMNO. Aku jelaskan aku tidak menentang dan tidak pula menyokong membabi buta. Jikalau nak dikaji sejarah perjuangan keluargaku menyokong UMNO boleh dilihat semenjak zaman Atuk ( nenek ) aku menyokong perjuangan Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan lagi. Sampailah ke arwah bapaku sememangnya ‘orang kuat ‘ UMNO.

Tapi persoalan yang nak aku utarakan ialah kenyataan yang mengatakan “ Habislah Melayu sekiranya BN tewas dalam PRU 13 nanti”. Aku tafsirkan kenyataan ini dalam konteks yang berbagai-bagai.

·      Seolah-olah orang Melayu cukup lemah, tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan kepada UMNO untuk membolehkan orang Melayu bertenaga, kuat, bersemangat dan lain-lain. Dan sekiranya UMNO hilang, orang Melayu akan hilang. Dan menyebabkan aku berfikir pula. Ramai lagikah orang Melayu yang berfikiran sedemikian dalam Kurun ke 21 ini?
·      Seolah-olah orang Melayu itu memerlukan ‘ tongkat’ selama-nya untuk hidup sepanjang zaman. Selalu mengharapkan pertolongan orang lain untuk ‘survival’nya. Sekiranya ‘tongkat’ ditiadakan atau dibuang maka seolah-olah orang Melayu akan ‘mati’, lemah, tidak berdaya dan tidak akan dapat hidup lagi di tanah air sendiri.
·      Seolah-olah orang Melayu cukup lemah. Membayangkan seolah-olah orang Melayulah bangsa yang paling lemah dalam dunia ini. Apa tidaknya. Setelah mencapai kemerdekaan selama setengah abad, masih ada lagi yang berpendapat bahawa orang Melayu akan berfikiran jumud. Dan pendapat sedemikian disuarakan oleh seorang yang diistilahkan sebagai seorang intelek. Lulus university dari luar negara pulak.
·      Seolah-olah orang Melayu itu cukup takut dan bimbang apabila bersaing dengan orang Cina dan India dalam lapangan yang berbagai-bagai. Orang Melayu seolah-olah telah menyerah kalah sebelum masuk bertanding. Seolah-olah begitulah, menurut pendapat kawan ku itu.
·      Seolah-olah segala kejayaan yang dicapai oleh orang Melayu dalam berbagai lapangan bukan kejayaan yang dicapai oleh individu itu sendiri. Seolah-olah semua kejayaan yang dicapai  adalah hasil daripada pertolongan dan bantuan pihak kerajaan. Dengan lain perkataan seolah-olah menidakkan kehebatan dan pencapaian seseorang itu.

Aku hairan setelah empat puluh dua tahun terlaksananya Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) dan setelah beratus ribu anak Melayu yang mendapat pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara, masih ada lagi anak Melayu yang terpelajar yang berfikiran sedemikian rupa. Takut benar untuk berhadapan dengan kenyataan. Tak percaya kepada diri sendiri bahawa sebenarnya orang Melayu sudah kuat, sudah lebih kurang sama dengan kaum-kaum lain di negara ini, dari segi pencapaian akademiknya, diukur dari bilangan orang Melayu yang menerima pendidikan tinggi.

Aku tak nafikan orang Cina sememnagnya mahir dalam lapangan perniagaan, dalam lapangan ekonomi. Kemahiran ini diwarisi oleh mereka dari datuk nenenk mereka semenjak beribu tahun yang lampau. Kajilah sejarah peradaban Cina ( Hwang HO civilization misalnya). Mereka mendahului sejarah peradaban Melayu. Itu hakikat sejarah. Begitu jugalah dengan sejarah peradaban orang India ( Indus Civilization). Beribu-ribu tahun mendahului peradaban orang Melayu.

Namun bagitu takkanlah orang Melayu tidak boleh belajar dari pengalaman dan kemahiran yang orang Cina dan India ada. Dan mereka juga akan bersedia untuk berkongsi pengalaman dalam hal ini. Sudah terbukti yang kaum-kaum di Malaysia sanggup bekerjasama dalam lapangan yang orang Melayu kurang mahir.

Persoalannya ialah kesediaan orang Melayu untuk bekerja keras ( kuat) seperti orang lain. Aku tak kata orang Melayu malas, suka berpoya, suka pada hiburan. Aku tak kata. Tapi R.O. Winstedt ( orang Putih yang pernah mentadbir Tanah Melayu dulu ) pernah kata begitu. Kadang-kadang semacam aku nak setuju. Sikit-sikit le. Tetapi apa salahnya kalau kita jadikan kenyataan orang putih itu sebagai satu cabaran bagi orang Melayu untuk berubah, untuk memperbaiki diri. Apa salahnya kalau kita berusaha untuk menafikan kenyataan itu dengan membuktikan kebolehan kita.

Orang Melayu mudah lupa kata Tun Dr. Mahahthir. Tapi bagi aku orang Melayu juga mudah percaya kepada perkara-perkara yang ‘merosakkan’ dirinya sendiri.

·      Dikatakan orang Melayu lemah dalam pelajaran Matematik dan Sains. Orang Melayu ( dulu-dulu dan mungkin tidak sekarang ) setuju. Dia setuju disebabkan untuk ‘memujuk’ hatinya kerana anaknya gagal dalam lapangan sains dan matematik.
·      Orang Melayu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana latarbelakang kampung yang dimilikinya. Orang Melayu juga setuju !
·      Orang Melayu sememangnya lemah dalam lapangan ekonomi. Lapangan ekonomi di Malaysia adalah milik orang Cina. Orang Melayu juga setuju.

Tidak pula mereka ( segelintir orang Melayu ) meninjau bahawa sudah ramai anak Melayu yang hebat, sudah ‘bersepak-terajang’ di lapangan antarabangsa. Mereka tidak tahu bahawa sudah ramai anak Melayu yang berjaya dalam berbagai lapangan di negara luar. Di United Kingdom misalnya dan di negara-negara lain. Mungkin mereka tidak mahu keluar dari ‘tempurung’nya.

Orang Melayu sudah setanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Tetapi mengapa orang Melayu masih memerlukan ‘sokongan’ pelindung’ ‘penyelamat’ dan ‘ tongkat’. Mengapa?. Selagi kita memerlukan ‘tongkat’ selagi itulah orang Melayu tidak maju. Pasif. Penakut untuk menempuh cabaran. Orang Melayu kadang-kadang macam gajah ( bukan gajah). Tidak tahu tentang kekuatannya disebabkan telinga yang besar melindungnya daripada melihat badannya yang besar dan gagah.

Aku yakin orang Melayu akan bangun tanpa ‘tongkat’. Takkan Melayu hilang di dunia. Entah ya atau tidak Hang Tuah yang kata…..

Abuhassanadam
26 Februari 2013

No comments:

Post a Comment