Saturday, February 9, 2013

RAYA CINA


RAYA CINA

 Besok Tahun Baru Cina. Zaman dulu-dulu orang kampung aku panggil ‘ Raya Cina. Memang pun orang Cina merayakan hari itu seperti mana orang Melayu merayakan Hari Raya Aidilfitri. Dengan sebab itulah  dipanggil ‘ Raya Cina’. Baru kini dipanggil Tahun Baru Cina. Terjemahan dari “ Chinese New Year’ agaknya, sebab dah ramai orang Melayu yang terpelajar dan pandai cakap orang putih.

Ada banyak perbezaan orang Melayu menyambut ( menghadapi ) Raya Cina dulu dan sekarang. Walaupun orang Melayu tidak merayakan hari berkenaan sepertimana yang disambut oleh kaum Tionghua, namun di Malaysia setiap perayaan disambut oleh semua kaum. Baik Hari Raya Aidilfitri ke, Tahun Baru Cina ke, Deepavali ke akan disambut oleh semua orang.  Di negara lain, tak pulak begitu. Maksudnya tidak nampak penglibatan kerajaan dalam menggalakkan semua kaum merayakan perayaan sesuatu kaum. Tak semacam Malaysia. Unik.

Aku masih ingat,  ‘ kesusahan ‘ dan ‘ kebimbangan’ orang kampung aku ketika orang Tionghua nak menyambut Tahun Baru Cina ( Raya Cina). Dua minggu sebelum berlangsungnya Raya Cina, orang kampung aku dah tahu, Raya Cina dah dekat. Mereka amat bimbang disebabkan pada musim Raya Cina kedai di Padang Rengas akan tutup buat beberapa lama. Mungkin seminggu. Mungkin dua minggu. Dan jikalau perniagaan mereka makmur sepanjang tahun, mungkin akan tutup selama tiga minggu.

Ini yang menyebabkan orang kampung aku runsing dan bimbang. Nak beli barang dapur kat mana. Nak beli ikan, pasar tutup. Kalau basikal pecah tayar pun kena tunggu lepas Raya Cina. Nak baiki di mana. Kedai basikal yang ada ialah kedai ‘Gemuk’ dan kedai ‘ Kecik ‘ ( nama panggilan orang kampung aku pada pemilik kedai membaiki basikal di situ. Nama sebenarnya aku tak tahu. Oleh kerana badannya gemuk dan gempal, dipanggil mereka ‘ Gemuk’. Dan oleh kerana tubuh badannya kecil, maka dipanggil mereka ‘ kecik’. Yang anihnya kedua-dua mereka ini ‘ akur ‘ dengan panggilan itu. Tak marah pun. ‘Mereka pun nak hidup’) 

Semua peniaga kedai runcit di pekan Padang Rengas dipunyai kaum Tionghua. Hanya ada seorang pekedai Melayu. Pak Mail ( Ismail ). Orang kampung panggil “ Mail Kedai’. Tak besar pun kedainya. Kecil. Tak banyak barang runcit dijual. Dan tak ramai orang kampung pergi membeli belah di kedai Pak Mail. Aku tak tahu apa sebabnya. Sebab orang kampung aku sudah lebih awal mengamalkan konsep  1 Malaysia agaknya!.

Kedai Pak Mail pun tutup juga pada hari Raya Cina. Sebab kalau dia buka kedai dan stoknya kehabisan, dari mana pula dia nak mendapatkan stok baru. Oleh itu dia tutup juga. Pendek kata pada hari Raya Cina, kedai Kim Cheng tutup, kedai Moh Kau tutup, kedai Ah Soon tutup, Kedai Ah Yu tutup, kedai Ah Su tutup, kedai Mah Hing ( kedai ubat ) tutup, kedai Asia Tailor juga tutup ( tempat buat seluar baju). Pendek kata semua kedai di Padang Rengas tutup kecuali Barakath Stor. Satu kedai sahaja buka pada hari Raya Cina. Takkanlah boleh Barakth Store nak menampung keperluan penduduk seluruh Padang Rengas.

Sebab itulah apabila menjelang hari Raya Cina, orang kampung aku bimbang. Susah hati. Jadi terpaksalah mereka bersiap sedia dengan barang keperluan untuk ‘ menyambut’ hari Raya Cina. Gula, kopi, minyak gas ( minyak tanah untuk pelita. Masa itu mana ada letrik ) dan lain-lain keperluan asas terpaksa dibeli. Kelapa, sayur-sayur pucuk paku, keladi, salang bolehlah dipetik secara percuma. Mujur jugalah keperluan orang kampung pada ketika itu sangat terhad.

Orang kampung pada ketika tidak ‘ kenal ‘ apa itu jam, butter, susu segar. Tahu sebut saja. Tak pernah menikmatinya. Itu makanan orang bandar. Orang kaya-kaya. Kami makan ‘Roti Menggali’ saja. Cicah dalam air kopi ‘ O ‘. Kami tak minum susu. Yang minum susu tin, pada ketika itu adalah bayi-bayi saja. Orang dewasa tidak minum susu. Muntah!!!... kalau minum susu. Oleh itu walaupun keperluan tidak seberapa, namun jikalau semua kedai Cina di Padang Rengas itu tutup pada Hari Raya Cina, tentunya menyulitkan juga orang persekitaran pekan Padang Rengas.

Kini, apabila menjelang Tahun Baru Cina lain pula ‘ kesusahan’ dan kesulitan yang dihadapi terutama pengguna jalan raya. Jalan jam. Itulah perkataan yang dilafazkan di mana-mana kita pergi, kecuali bagi penduduk di Lembah Kelang yang amat suka apabila menjelang Tahun Baru Cina atau Hari Raya Aidilfitri. Hanya pada waktu beginilah penduduk Lembah Kelang yang tidak ke mana-mana akan  menikmati suasana aman dan tenteram apabila memandu kereta dipersekitaran Lembah Kelang – di bandaraya Kuala Lumpur terutamanya.

Bagi yang nak balik kampung memangnya ‘ menyumpah’. Terpaksa balik juga kerana inilah masa cuti panjang bagi warga Lembah Kelang. Nak rehat. ( Seolah-olah bagi warga Lembah Kelang, tinggal di sini hanya untuk bekerja. Berehat di kampung). Begitulah agaknya. Lega agaknya apabila dapat bercuti di kampung, dapat berjumpa dengan emak ayah ( bagi yang masih berib dan berayah le ), dapat bergurau senda dengan sanak keluarga dan sahabat handai.

Jadi seolah-olah dua perayaan terbesar ini dirayakan oleh semua kaum. Itulah hebatnya negara kita.  Negara lain di dunia ini tidak terdapat sebagaimana yang kita dapat di Malaysia. Kita kadang-kadang lupa bahawa suasana harmoni yang terdapat di Malaysia ini tidak kita syukuri kerana bagi kita adalah satu perkara biasa. Bukan pelik apabila di tempat-tempat rehat  ( R & R ) disepanjang lebuhraya, kita dapati semua kaum bergaul dengan bebas, tanpa ada perasaan syak wasangka antara satu sama lain. Tidak perlu bimbang kalau-kalau timbul pergaduhan kaum kerana semua kaum yakin yang perkara itu tidak akan berlaku.

Sememangnya bangsa Malaysia adalah bangsa yang cintakan perdamaian. Semacam tidak pernah terlintas di hati setiap warga Malaysia ada perasaan curiga mencurigai antara satu dengan yang lain.Ada perbezaan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Namun tetap menghormati akan perbezaan-perbezaan itu. Ini yang unik. Kekalkanlah  situasi yang sebegini sehingga bila-bila.

Setiap orang bertanggungjawab memelihara keadaan ini.


Abuhassanadam
9 Februari 2013

No comments:

Post a Comment