TONY BLAIR DAN GARY HART
Bermacam perasaan menyerang aku. Kadang-kadang marah. Kadang-kadang
semacam kecil hati. Kadang-kadang berasa sayu apabila melihat keadaan
negara-negara maju seperti negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat. Bukanlah
tidak ada cacat celanya negara-negara berkenaan tetapi apabila diperhalusi
ternampak banyak perkara yang baik daripada perkara yang tak baiknya.
Katanya Malaysia sebuah negara demokrasi. Ke hulu ke hilir orang
mengatakan negara kita adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Betullah tu.
Ada Parlimen tersergam di kawasan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Ada wakil
rakyat yang kita pilih dalam pilihanraya yang diadakan lima tahun sekali. Dan pilihanraya
yang ke 13 sudah hampir benar. Sekali lagi kita akan pilih wakil rakyat untuk
menjadi ahli parlimen.
Itu negara demokrasi la tu.
Entah macam mana aku berpeluang juga berada di luar negara untuk
menyaksi dan menikmati perjalanan demokrasi di negara-negara barat. Pada tahun
1986 aku berada di Amerika Syarikat dan berpeluang jugalah aku melihat
perjalanan demokrasi di negara berkenaan. Selama empat tahun ( 1995-1998 ) aku
berada di London, dapat pula aku melihat perjalanan demokrasi di negara
berkenaan.
Ketika berada di London pada tahun-tahun berkenaan aku
bekesempatan melihat bagaimana parlimen British bersidang. Live. Aku dapat
melihat bagaimana Tony Blair ( Ketua pembangkang pada ketika itu ) ‘bergasak’
dengan John Major ( Perdana
Menteri Conservative pada ketika itu ).
Tidak ada sekatan untuk bercakap samada pihak pembangkang atau pihak
kerajaan. Bebas bercakap. Berdebat setiap hari. Mungkin berdebat itu budaya
mereka agaknya. Sebab itulah mereka sanggup berdebat setiap hari. Dan oleh
kerana ada yang berpendapat bahawa debat bukan budaya kita di Malaysia, maka
ada juga antara pemimpin kita yang takut berdebat.
Begitu juga di Amerika Syarikat. Berdebat adalah budaya mereka.
Nak jadi presiden mesti kena berdebat dulu. Mesti tunjukkan ‘ jantan’ calon
yang nak jadi presiden. Mereka tak mahu pilih presiden yang tak ‘smart’. Tak
‘aci’. Main tipu-tipu juga tak boleh. Mereka pandai mengesan siapa yang nak
tipu. Jikalau didapati menipu, mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Hakim mereka
tegas, tak berat sebelah, tak takut pada siapa pun dan tentulah tak ‘
makan-suap’ agaknya.
Secara kebetulan pada tahun 1986, adalah tahun apabila berlaku
kempen calon untuk Presiden. Gary
Hart telah bertekad yang beliau akan bertanding sebagai calon parti Demokrat
untuk jawatan President Amerika Syarikat. Entah macam mana selepas sahaja
beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan berkenaan, timbul
khabar-khabar yang mengatakan yang beliau ada membuat hubungan sulit dengan
Rice. Ada sekumpulan wartawan yang nampak Rice keluar dari rumah Gary Hart.
Gary Hart menafikan tentang hubungannya dengan Rice. Dia
mengatakan sememangnya betul Rice pergi ke rumahnya tetapi ‘ untuk meminjam
buku’ katanya. Setelah mendengarkan penafian Gary Hart itu, pada keesokan
harinya, akhbar ‘ The Herald’ menyiarkan gambar Rice yang berpakaian Bimini
duduk di atas riba Gary Hart, ketika berada disebuah Yacht bernama “ Monkey
Business’
Setelah tersiarnya gambar berkenaan, Gary Hart terus mengumumkan
penarikan dirinya dari bertanding jawatan presiden. Banyak yang boleh kita
pelajari dari peristiwa ini.
·
Adanya
kebebasan akhbar di negara-negara berkenaan dapat menyelamatkan negara mereka
daripada memilih calon presiden yang cuba berbohong dan berperangai buruk yang
sememangnya tidak sesuai menjadi pemimpin.
·
Akhbar
di US bebas menyiarkan apa berita sekalipun. Dan tidak pula ada sekatan dari
pihak pemerintah sekiranya menyiarkan berita yang tidak seiring dengan hasrat
pemerintah. Kebebasan akhbar dalam erti kata yang sebenarnya.
·
Apabila
Gary Hart sedar yang beliau telah bersalah, beliau tidak pula cuba mengelak dan
menafikan kesalahan yang dilakukannya. Dan tidak pula dia menggunakan penulis
upahan untuk membela dirinya.
Inilah suatu kenikmatan yang aku rasai ketika berada di sebuah
negara yang mengamalkan prinsip
demokrasi.
Samada berada di London atau di New York, membaca akhbar pada
waktu pagi adalah suatu kenikmatan yang tidak boleh dilupakan. Keadaan
sedemikian wujud juga di Malaysia, ia itu pada tahun-tahun 60an dan 70an dimana
membaca akhbar adalah suatu kenikmatan. Bukan sahaja kita tahu apa yang berlaku
di sekeliling kita, tetapi dapat juga mengasah fikiran dan menambah ilmu
melalui pembacaan akhbar. Majalah sisipan ‘ The Asiamagazine’ yang datang
bersama dengan The Straits Times ( 60an dan 70an) adalah majalah yang
ditunggu-tunggu untuk ‘dinikmati’. Dan pada ketika itu akhbar “ The Starits Times’ ataupun “
Utusan Melayu’ adalah akhbar yang bermarwah.
“ Nightline’ yang dihoskan oleh Ted Koppel dari ABC atau pun “
Breakfast Poppery’ dari BBC adalah rancangan-rancangan yang boleh menambahkan
ilmu pengetahuan kita mengenai kedaan dunia semasa. Walaupun kadang-kadang ada
ternampak yang mereka sedikit ‘condong’ ketika membicarakan sesuatu isu, namun
pada umumnya prinsip kebebasan bersuara masih diamal dan dipatuhi.
Rindu benar perasaan ku pada keadaan serupa itu berlaku di
Malaysia, negara ku yang tercinta ini.
Abuhassanadam
20 Februari 2013
No comments:
Post a Comment