Saturday, February 9, 2013

MENGAPA PULA TAKUT BERDEBAT


DEBAT - MENGAPA PULA DILARANG

Salah satu faktor yang menyebabkan Tun Dr. Mahadhir Mohammed berjaya membuat negara Malaysia dikenali diseluruh dunia pada zaman pentadbiranya adalah berpunca daripada kehebatannya berdebat dan mengemukakan pandangannya. Samada di Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu atau dimana sahaja persidangan dunia, beliau tidak takut dan gentar untuk berdebat dan mengemukakan pandangan. Lantas dunia mengiktirafnya sebagai negarawan ulung pada zamannya.

Ds Anwar Ibrahim terkenal di seluruh dunia bukan kerana pernah memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia tetapi kerana kepetahannya berhujjah mengenai sesuatu isu. Debat adalah sebahagian dari darah dagingnya semenjak dibangku sekolah sehinggalah di persada dunia antarabangsa. Tidak perlu dicatatkan tentang kejayaan-kejayaan yang telah diperolehinya. Malah sehingga hari ini, walaupun tidak memegang jawatan dalam kerajaan, namun sumbangannya tetap diperlukan oleh dunia.

Debat adalah merupakan pra syarat bagi seseorang dalam negara demokrasi untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin. Mark Anthony dengan “ lend me your ears’nya ketika mengemukakan hujah membela kematian Julius Caesar merupakan antara pendebat-pendebat awal dalam sejarah dunia  yang  hujah-hujahnya amat memberangsangkan. Kemampuannya berhujah menyebabkan rakyat terpengaruh untuk membela Caesar.

Dalam sejarah Islam pula, Nabi Muhammad s.a.w adalah pendebat yang hebat yang berjaya mempengaruhi ahli masyarakatnya untuk  memeluk Islam. Sekiranya Nabi Muhammad bukan seorang pemimpin yang pandai berdebat, tidak mngkin agama Islam dapat disebarkan dengan meluas dan berjaya.Banyak lagi contoh-contoh yang boleh dikemukakan bagi menunjukkan seseorang pemimpin harus mampu berdebat sekiranya ingin menjadi seorang pemimpin yang berjaya.

Justeru mengapa pula ada pendapat yang mengatakan bahawa berdebat bukan budaya kita di Malaysia.

Ini merupakan suatu pandangan yang membingungkan.

Ada pula pandangan yang megatakan bahawa

·      Apa perlunya kita berdebat?
·      Pilihanraya boleh  menentukan  siapa yang betul-betul berkhidmat kepada masyarakat.

Pada pendapat saya antara berdebat dengan pilihanraya adalah dua perkara yang berbeza. Dengan berdebat boleh menentukan keputusan sesuatu pilihanraya. Melalui perdebatanlah para pemilih boleh mengadilkan siapakah calon mereka yang betul-betul berkeliber dan yang boleh jadikan pemimpin mereka. Banyak perkara yang boleh dijadikan ukuran sekiranya diadakan perdebatan.

Debat adalah pertarungan  zaman modern untuk menentukan kehebatan seseorang sebagaimana  pesilat menunjukkan kejaguhannya di gelanggang silat pada zaman silam. Pemain pedang akan berpedang di medan pertempuran menentukan kehebatannya bermain pedang. Begitu jugalah Robin Hood akan menunjukkan kehebatannya memanah di gelanggang memanah.

Kini dalam dunia modern, debat merupakan satu cara memilih pemimpin. Seorang pemimpin dan ahli politik semestinya berdebat untuk membuktikan kehebatannya sebagai pemimpin. Setiap kali ada pemilihan calon presiden, Amerika akan mengadakan ‘ Presidential Debate’ antara dua calon presiden. Dalam perdebatan itulah rakyat akan membuat pemerhatian dan perhitungan calon mana yang layak untuk menjadi presiden dan pemimpin mereka.

Di Great Britain, persidangan parlimen dijalankan secara ‘ live’ dan dipancarkan melalui BBC. RTM ada juga memancarkan secara ‘live’ persidangan parlimen. Tetapi hanya 30 minit sahaja. Tak apalah. Buat permulaan begitulah. Mungkin satu hari nanti RTM juga akan memancarkan secara ‘live’ perbahasan yang dijalankan di Dewan parlimen kita, apabila ramai wakil parlimen kita sudah pandai berbahas.

Oleh itu latihan untuk menjadi pembahas perlu dimulakan dari sekarang. Budaya debat mesti dihidupkan. Suasana yang ada sekarang amat sesuai untuk menghidupkan budaya debat, terutama menjelangnya pilihanraya umum yang ke 13 ini. Amat sesuai calon-calon dalam pilihanraya disediakan pentas khas untuk mereka berdebat pada satu-satu hari tertentu supaya rakyat di suatu kawasan pilihanraya itu dapat menilai calon mereka.

Dan kemuncak segalanya perlu diadakan satu malam Debat Perdana antara calon-calon yang bakal menjadi Perdana Menteri negara Malaysia. Perlu  diadaka satu malam khas untuk rakyat umum melihat dengan mata kepala mereka sendiri bakal Perdana Menteri mereka yang akan memimpin negara dalam masa lima tahun seterusnya. RTM atau setesen penyiar lain perlu mengambil daya usaha ini supaya negara kita Malaysia betul-betul menepati istilah sebagai negara ‘ with a firs class mentality”.

Debat adalah budaya negara Malaysia. Saya berkata demikian kerana pelbagai perdebatan di adakan samada peringkat sekolah menengah ataupun di peringkat university. Bukan sahaja diantara university-university di Malaysia tetapi antara university-university seluruh dunia. Memang hebat. Dan sepatutnya para pemimpin kita juga mesti menunjukkan kehebatan berdebat dalam apa juga tajuk dan isu.

Di setiap pusat pengajian tinggi perlu dihidupkan semula aktiviti perbahasan. Sekurang-kurangnya diadakan semula Speakers Corner agar para pelajar dapat berlatih untuk mengasah bakat menjadi seorang pembahas yang baik. Disamping itu persatuan pelajar perlu menjemput penceramah luar untuk menyampaikan pandangan mereka dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh universiti. University Malaya pernah mengadakan ‘ Great Economic Debate’ misalnya pada tahun-tahun 1970an dulu. Ramai pemimpin negara dari pihak kerajaan atau pembangkang dijemput untuk menyampaikan buah fikiran mereka. Lantas memberikan santapan minda kepada pelajar pada ketika itu. Mungkin acara serupa itu dapat dihidupkan semula.

Saya angkat topi kepada YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang nampak semacam bergerak kearah itu.

Abuhassanadam
10 Februari 2013




No comments:

Post a Comment