AYUH ANAK MUDA..........
Tidak ada siapa yang berani menafikan tentang pentingnya orang
muda dalam pembangunan negara.
Maknanya dalam aspek apa sekalipun orang muda berada di barisan hadapan.
Semenjak zaman dulu lagi begitu caranya. Menuntut kemerdekaan negara, orang
muda berada di barisan hadapan. Dalam lapangan pendidikan, orang muda memainkan
peranan.
Tahun-tahun 1920an, ketika tidak begitu ramai golongan terpelajar
dari kalangan orang muda, maka guru-guru mudalah yang memainkan peranan penting
dalam membangunkan masyarakat. Cikgu adalah segala-galanya. Dialah guru
sekolah. Dialah pemimpin belia. Dialah tempat orang meminta nasihat. Cikgulah
juga sebagai pengarah drama dan guru tari dalam satu-satu persembahan. Pendek
kata guru dianggap manusia serba boleh.
Orang muda terpelajar dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an adalah
terdiri dari guru-guru pelatih yang menuntut samada di Sultan Idris Trainning
College ( SITC ) Tanjung Malim (
bagi lelaki ) ataupun dari Malay Womans Training College ( MWTC ) Melaka bagi
wanita. Itulah saja golongan muda yang boleh dianggap terpelajar disamping
guru-guru lepasan normal yang
tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di SITC atau MWTC.
Sumbangan guru-guru muda ini amat besar kepada negara. Merekalah
yang menjadi tonggak dan pasak dalam perjuangan orang Melayu menuntut
kemerdekaan. Merekalah yang menggembelingkan tenaga anak muda lain untuk
bersama-sama memperjuangkan
kemerdekaan tanah air. Pengorbanan yang mereka berikan melampaui batas waktu,
wang ringgit dan tenaga keringat. Begitu juga perjuangan mereka mendidik anak
bangsa tidak langsung mengenal penat lelah. Dengan sebab itulah jasa mereka
sentiasa dikenang sehingga kini.
Sehingga tahun-tahun 1970an, kaum gurulah yang menjadi tenaga
penggerak dalam pertubuhan UMNO. Dan pernah diakui oleh ramai orang bahawa
berlakunya ‘ keadaan huru-hara ‘ dalam UMNO adalah selepas parti UMNO tidak
lagi didokong oleh kaum guru. Berlakunya politik wang yang berleluasa dalam
pemilihan parti adalah berpunca daripada kurangnya penglibatan kaum guru dalam
parti berkenaan.
Kini masyarakat di Malaysia menuntut agar anak muda tampil
memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Amat tepat dan sesuai seruan ini disuarakan oleh
pemimpin-pemimpin samada dari pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang. Dan
orang muda harus tahu dan faham tentang peranan yang sepatutnya mereka mainkan.
Mereka tidak harus menjadi pak turut yang boleh dicucuk hidung.
Orang muda sekarang adalah anak muda yang terpelajar. Anak muda
yang boleh berfikir tentang buruk baik sesuatu tindakan. Anak muda sekarang kebanyakannya lahir dari
pusat-pusat pengajian tinggi dan bukan lagi seperti pemuda zaman-zaman lampau
yang hanya berkelulusan ‘ sekolah atap’. Lantas tuntutan masyarakat terhadap
mereka juga adalah melebihi daripada tuntutan yang dituntut kepada agolongan ‘
sekolah atap’. Namun begitu jangan pula harus diperkecilkan peranan anak muda ‘
lepasa sekolah atap ‘ itu. Mungkin dar segi konteks zamannya mereka lebih
hebat.
Anak muda kini harus berkebolehan menganalisis sesuatu keadaan
samada dari segi politik, sosial , ekonomi, pelajaran dan lain-lain. Anak muda
harus berani mengemukakan pendapat dan pandangan yang bernas dari sudut
pemikiran orang muda untuk dikemukakan pada masyarakat. Untuk meyakinkan
pendapat dan pandangan orang muda
itu, orang muda harus bijak mengemukakan idea berkenaan supaya idea itu dapat
diyakini.
Banyak isu yang boleh diperbahaskan oleh orang muda sekarang yang
berkaitan dengan isu nasional. Sebagai contoh ada dua isu daripada beberapa isu
yang boleh didebatkan oleh orang muda. Misalnya isu air di Selangor dan Saham
FGV ( Felda). Itu sebagai contoh. Ramai yang keliru dan tidak faham tentang ‘
biji-buahnya”. Satu golongan mengatakan yang mereka betul dan satu lagi
kumpulan pula mengatakan mereka yang betul. Jadi masyarakat sudah keliru. Yang
mana satu yang betul. Masyarakat dahagakan ‘ keputusan ‘. Masyarakat memerlukan
seorang ‘ pengadil’ yang adil untuk memberikan pendapat yang mana betul dan
yang mana tidak.
Disinilah saya rasa orang muda harus mengambil daya utama untuk
memperjelaskan keadaan ini. Menjadi ‘ pengadil’ yang adil. Memberikan satu
jawapan yang boleh diyakini semua. Didebatkan secara ilmiah. Secara terbuka.
Jangan selindung-selindung. Tentunya pihak kerajaan akan memberikan peluang
seluas-luasnya kepada para belia atau orang muda untuk mengupas idea ini secara
terperinci. Sekiranya dapat diadakan sebelum berlangsungnya pilihanraya yang ke
13, adalah amat sesuai sekali. Keadaan sebegini akan memberikan arah tuju yang
amat jelas tentang kearah mana
negara akan di bawa. Akan memberikan kesempatan kepada pengundi pula untuk
betul-betul memahami sesuatu isu sebelum membuat sesuatu keputusan.
Orang muda harus berfikiran terbuka. Kritikal dan waras dalam
membuat sesuatu keputusan. Gunakan ilmu yang ada yang telah anda timba di
universiti untuk menyedarkan masyarakat terbanyak. Jadikan pilihanraya yang
akan kita hadapi satu pilihanraya yang betul-betul hebat, lain dari yang lain.
Jikalau sebelum ini orang muda tidak begitu diberikan peranan, maka kali ini
dilihat bahawa masyarakat sudah mengharapkan kepada orang muda untuk berada di
barisan hadapan. Inila peluang terbaik bagi anak muda membuktikan kemampuan
mereka sebagi satu kelompok yang boleh menetukan jatuh bangunya bangsa dan
negara kita.
Gunakan kebijaksanaan saudara. Jangan dikecewakan harapan orang
tua yang mahu melihat negara ini bergerak maju setanding dengan negara-negara
maju lain yang sentiasa didukung oleh anak muda.
Abuhassanadam
4 januari 2013
No comments:
Post a Comment