Saturday, February 16, 2013

ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR


ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR

Aku dah kata aku memang suka sangat menulis tentang dua orang tokoh ini Tun Dr. Mahathir ( selepas ini Dr. Mahathir ) dan DS Anwar Ibrahim ( Saudara Anwar ). Dah aku jelaskan beratus artikel sudah aku tulis tentang mereka semenjak tahun 1981. Dan apabila  Saudara Anwar menyertai kerajaan lagi rancak aku menulis dan amat terangsang dengan kepimpinan kedua-dua tokoh ini. Aku ingat ‘ panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Peristiwa 1998 mengubah segala-galanya. Bagi aku peristiwa itu amat pahit menimpa negara umumnya dan bangsa Melayu khususnya.

Cadangan Cikgu Nordin Mahmud agar kedua-dua pahlwan ini berdepan dalam satu pilihan raya adalah cadangan seorang pahlawan. Hanya yang berdarah pahlawan sahaja yang mengemukakan cadangan serupa itu. Cikgu Nordin adalah pahlawan dari kalangan guru Tanjung Malim ( SITC – kini dipanggil UPSI ) yang amat arif dengan erti perjuangan,dan  yang pernah merasakan perit getirnya menentang penjajahan British dan sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Dalam bahasa kasarnya beliau bukan seorang pejuang ‘pondan’ yang sentiasa menjadi ‘ Yes-man” dan ‘ kaki angguk’.

Mungkin bagi anak muda kini merasakan cadangan sedemikian tidak rasional. Mungkin. Dan mungkin juga yang berkepentingan merasakan cadangan sedemikian tidak lojik. Tetapi bagi seorang pejuang yang pernah berpencak di berbagai gelanggang, itulah cara bahasa yang dituturkan. Itu dinamakan bahasa pahlawan.

Walaupun pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat dalam sejarah Melayu tidak boleh disamakan seratus peratus dengan pertarungan Dr. Mahathir dengan Saudara Anwar, tetapi sedikit sebanyak pertarungan itu boleh dijadikan renungan oleh orang Melayu kini ditinjau dari beberapa sudut. Bagi aku ( dan pernah aku tulis pun ) antara Dr. Mahahthir dan Saudara Anwar adalah seperti abang dan adik. Lebih kurang sama dengan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat.

Semenjak dari bangku sekolah sehinggalah ke University Malaya dan menjangkau sehingga kini Saudara Anwar Ibrahim sentiasa memperjuangkan ‘ the conscience of the majority’. Itulah perjuangannya. Dengan sebab itulah pengikut tegar Anwar adalah terdiri daripada golongan yang memperjuangkan falsafah ‘ the conscience of the majority’ itu. Mereka bukan pengikut Anwar yang membabi buta. Mereka sebenarnya menyokong perjuangan Anwar disebabkan Anwar memperjuangkan sesuatu yang dekat dengan hati dan perasaan mereka. Mereka juga memperjuangkan perkara yang sama. Sekiranya Anwar tergelincir dari landasan perjuangan itu maka berkemungkinan besar pengkiut setianya akan berpindah mencari tempat lain untuk ‘ menyangkutkan dagu’.

Dr. Mahathir pun begitu juga pada awal perjuangannya. Dengan sebab itulah maka Anwar dengan rela hati sanggup bersamanya berjuang menggunakan wadah UMNO untuk membela bangsa. Anwar yang aku kenali tidak mudah untuk diperkotak-katikan. Tidak mudah untuk dibeli sebagaimana yang berlaku kepada setengah ‘ pejuang’ ( kononnya !!) pada hari ini yang sanggup melacurkan diri untuk sesuap pagi dan sesuap petang.

Anwar tidak begitu. Begitu juga dengan kebanyakan pejuang tulin pada zaman silam. Zaaba, Dato’ Onn Jaafar, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Yaakub, Dr. Burhanuddin,Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dr. Ismail adalah antara pejuang-pejuang yang harus ditelaah peribadi mereka oleh anak muda kini yang berminat untuk menjadi seorang pejuang tulin. Bukan pejuang tiruan !!

Dr. Mahahthir pada ketika itu ( 1981) yakin sekiranya Anwar tidak dipikat untuk menyertai UMNO dan berjuang bersamanya, maka pastinya Anwar akan bertembung dengannya juga dalam wadah perjuangan yang berlainan. Pada ku itu merupakan pertembungan pertama yang dapat dielakkan. Lantas mahu tidak mahu, Dr. Mahathir menggunakan kebijaksanaannya memikat Anwar dan berjaya. Walaupun pada awalnya para pengikut setia Anwar agak ‘ skeptical ‘ tentang langkah Anwar ( menyertai UMNO ) itu, namun dapat dibuktikan kemudianya oleh mereka ( Mahahthir dan Anwar ) bahawa gandingan abang adik itu dapat dimanfaatkan oleh negara. Bagi ku era ( 1982-1998) adalah zaman keemasan bagi negara Malaysia.

Malangnya bagi bangsa Malaysia, berlaku peristiwa hitam tahun 1998. Pemecatan Anwar Ibrahim. Ini merupakan pertembungan kedua antara Dr. Mahahthir dan Anwar  sehinggalah sekarang. Semenjak 1998 sehingga 2013, perbalahan berterusan. Aku tidak mahu menyentuh sebab dan punca perbalahan, tetapi aku hanya mahu menunjukkan yang perbalahan it terus menerus. Dan pastinya tidak akan berhenti kerana perbalahan antara abang dan adik adalah seperti ‘ carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’.

Lantaran kefahaman sedemikianlah Cikgu Nordin mencadangkan diadakan ‘pertembugan’ antara dua pahlawan ini dalam satu pilihan raya. Pertembungan ‘ kalah-mati’. Sebab itulah cara yang sebaik-baiknya agar rakyat dapat menilai siapa yang benar dan siapa yang salah. Dan bererti juga bahawa itulah yang sebenarnya lunas-lunas demokrasi yang diamalkan oleh manusia bertamadun. Kalah menang adalah mainan dalam negara yang berpasakan prinsip demokrasi. Pastinya juga kedua-dua pahlawan ini tidak gentar menghadapi antara satu sama lain kerana ‘berpencak’ dan’ bersepak terajang’ adalah mainan mereka ‘semenjak dari kecil’ lagi.

Hanya pejuang  lemah’yang takut dan bimbang untuk ‘ bersepak-terajang’

abuhassanadam

16 FEBRUARI 2013






1 comment:

  1. Hello Saudara Pakar, salam kepada saudara dan keluarga. Bagaimana pandangan saudara dengan projek IC di Sabah dan negeri-negeri yang lain? Pada pendapat saya ("bukan pakar tetapi yang ada pen parker") kedua pemimpin ini adalah dari zaman berlainan. MM dari abad yang telah berlepas dan DSAI untuk abad ke-21. Malaysia akan lebih maju dan mewah lagi tanpa UMNO baru-BN yang tidak lagi relevan.
    DI mana saudara sekarang? Saya dan Lian di Pulau Pinang sekarang. Harap boleh berjumpa minum teh tarik dan melanjutkan perbincangan lagi. (Leong Yong Pak)

    ReplyDelete