Thursday, March 7, 2013

TANGKAP JE TIEN CHUA


TANGKAP JE TIEN CHUA

Kawan sepermainan aku dari kampung ku di Padang Rengas menelipon aku bertanyakan kes Tien Chua.

“ Apa hal dengan Tien Chua ni?” dia bertanya aku ( tentunya ) menggunakan loghat Perak.
“ Aku tak berapa  tahu sangat.  Macam kamu juga …” jawab aku
“ Kalau dia salah benar, tangkap je……” katanya pendek.

Aku sependapat benar dengan kawan ku itu. Bukan kerana dia kawan seperamianan aku sejak dari kecil, tetapi ‘pengadilan’ yang dibuatnya itu adil. Maknanya kalau betul-betul dia salah tangkap saja lah. Dibawa ke muka pengadilan. Kalau salah masukkan dia ke dalam penjara. Bukankah negara kita mempunyai undang-undang.

Setiap malam, hampir separuh masa yang dikhaskan untuk berita dalam TV menceritakan tentang Tien Chua. Kononnya ‘ menderhaka’, ‘ tidak mengenang budi’ ‘ tidak layak menjadi rakyat Malaysia’ ‘ tidak menghormati perasaan orang lain” ‘ tidak simpati dengan perasaan ibu dan ayah yang anaknya terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu” “ Tidak menghormati jasa pasukan polis dan tentera’. Banyak lagilah ‘tuduhan-tuduhan’ yang dilemperkan kepada Tien Chua. Jikalau nak aku senaraikan kesemuanya  tentulah tidak cukup ruangan yang terhad ini.

Dan ekoran daripada peristiwa itu ditunjukkanlah pula gambar kumpulan-kumupulan tertentu yang menunjukkan perasaan, menunjuk ketidak keselesaan mereka terhadap Tien Chua. Dengan memegang sepanduk yang ditulis dengan berbagai cogan kata, mereka  ‘menjerit-jerit’ dihadapan kamera TV yang ‘bersimpati’ dengan ‘ perjuangan’ mereka mengutuk Tien Chua . Aku dah lupa berapa malam TV kita menyiarkan keadaan sedemikian. Dari utara ke selatan tanah air dan dari timur ke barat, ‘pejuang-pejuang’ melakukan berbagai tindakan mengutuk Tien Chua.

“ Tien Chua kata apa?......” tanya kawan aku lagi.  Soalan ini membuat aku tersentak ( terkejut ) kerana Hamid ( nama kawanku itu)  bukan berpelajaran tinggi. Dia belajar sampai Darjah Lima sekolah Melayu. Soalan Hamid adalah soalan yang sentiasa bermain di kepala aku juga. “Apakah kenyataan ‘biadap’ Tien Chua yang menyebabkan ramai orang yang terpekik, terlolong ke sana kemari memarahi dia?” ‘Apakah kenyataannya betul-betul menghina pasukan keselamatan yang menjalankan tugas di Lahad Datu itu?” “ Apakah Tien Chua sudah tidak berhati perut langsung yang sanggup menghina dan tidak bertimbang rasa kepada si ibu yang kematian anak di medan perang atau si isteri yang sudah menjadi janda akibat  si suami gugur di Lahad datu, atau si anak kehilangan ayah disebabkan ayah meninggal di medan perang?”

Sekiranya begitulah sikap Tien Chua aku juga akan bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan lain mengutuk sikap yang tidak bertanggung jawab itu.

Sekali lagi aku bertanya diriku. “ Apa kata Tien Chua?”

Aku tak dapat jawapan. Mungkin aku tidak mendengar dan melihat Tien Chua berkata disebabkan aku jarang sangat melihat berita di TV. Itu salah akulah. Tetapi takkanlah TV tak mahu siarkan jikalau betul dan sah Tien Chua memperkatakan sesuatu yang kurang  menyenangkan rakyat Malaysia. Apatah lagi apabila memikirkan Saudara Tien Chua adalah wakil parlimen pihak pembangkang. Tentu TV amat suka menyiarkan kata-katanya yang ‘menghina’ itu. Lihat sajalah peristiwa-peritiwa lampau apabila ada sesuatu peristiwa yang memburuk-burukkan pihak pembangkang, pastinya TV akan membuat ulangan beberapa kali. Berpuluh-puluh kali.

Aku rasa untuk berlaku adil kepada YB Tien Chua dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya, eloklah pihak TV menyiarkan kata-kata YB Tien Chua yang dikatakan  kurang menyenangkan sebahagian besar rakyat Malaysia itu. Biarkanlah rakyat terbanyak akan menilai kata-katanya itu. Lagi pun rakyat di Malaysia kini bukanlah daif sangat sehingga tidak pandai menilai yang mana yang betul dan yang mana yang tidak.

Aku menyarankan demikian kerana aku merasa amat sedih melihatkan ada pihak-pihak tertentu yang menunjuk perasaan itu, sebagaimana yang tersiar dalam tV itu seolah-olah tidak tahu apakah sebenarnya tujuan mereka menunjuk perasaan. Nama Tien Chua ada disebut dan ‘dihiasi’ dengan maki-hamun sekali. Tetapi kadang-kadang aku perhatikan seolah-olah mereka bercakap dihadapan TV berpandukan skrip yang disediakan. Aku harap aku salah membuat anggapan sedemikian.

Kebanyakan yang menunjukk perasaan itu adalah terdiri dari orang Melayu. Kaum lain pun ada. Tapi tak ramai. Yang aku runsing ialah sudah ada orang yang mengatakan bahawa kita masih mengamalkan ‘herd mentality’ lagi. Aku tak tahan mendengar tuduhan sedemikian. Cubit peha kiri paha kanan pun sakit. Apabila ramai yang menunjuk perasaan sepertimana yang ditayangkan di TV itu terdiri dari kalangan orang Melayu aku merasa malu. Sebab aku juga orang Melayu.

Dengan sebab itulah aku sarankan TV tunjukkan sebenar-benarnya kenyataan ‘ menghina “ Yb Tien Chua itu supaya dapat kita ramai-ramai saksikan dan ramai-ramai mengadilkan. Selepas itu sekiranya kita fikirkan ‘ penghinaan’ YB Tien Chua itu memerlukan kita membuat laporan polis beramai-ramai, jangan lupakan aku. Aku akan bersama.

Tetapi sekiranya  TV tidak menyiarkan kenyataan ‘ menghina’ YB Tien Chua itu, sudah sampailah masanya kita berhenti daripada membuat tomahan dan tuduhan. Malu. Ditertawakan oleh orang lain. Kadang-kadang pelancung asing yang menginap di hotel kita juga senyum sinis melihatkan gelagat kita. Kononnya kita sudah melangkah ke alaf baru – Kurun ke 21. Kononnya…..

Abuhassanadam
7 Mac 2013
















No comments:

Post a Comment