Tuesday, January 21, 2014

13 MEI TAK AKAN BERLAKU LAGI, PERCAYALAH......

Sayup-sayup kedengaran suara sumbang yang ‘meramalkan’ akan berlaku semula peristiwa 13 Mei 1969 sekiranya isu kangkung tidak ditangani dengan berkesan. Dan yang ‘melaung-laungkan’ dan yang ‘terpekik terlolong’ meramalkan tentang kemungkinan berulangnya peristiwa pahit berkenaan ialah para ‘pemimpin’ (yang melantik dan menggelar dirinya sebagai pemimpin Melayu ) yang bagi aku amat tidak bertanggungjawab. Dan pastinya amat tidak layak digelar sebagai pemimpin yang kelihatan ‘kerja’nya hanya melaga-lagakan anggota masyarakat yang sudah sedia berpadu.

Alasan yang digunakan untuk mewajarkan akan berlaku semula peristiwa pahit 13 Mei ialah ‘isu kangkung’. Betapa cetek dan rendahnya cara berfikir seorang ‘pemimpin’ demikian, kecualilah ada agenda tersembunyi yang mewajarkan mengemukakan hujah sedemikian ataupun mungkin juga disebabkan oleh terbukanya peluang ‘cari makan’ yang lumayan bagi golongan begini.

Kita tidak harus meletakkan diri kita sertaraf masyarakat yang tinggal di dunia ketiga sedangkan kita telah pun mendabik dada dan telah ‘ke hulu dan ke hilir’ mengatakan bahawa Malaysia sudah tergolong dalam negara maju. Apakah begitu pemikiran masyarakat dari negara maju yang sentiasa memikirkan perkara remeh untuk dijadikan isu besar. Tentu tidak jawabnya.

Perdana Menteri kita faham tentang perkara ini kerana beliau juga dididik dan didewasakan oleh masyarakat dunia maju. Lantas beliau amat ‘cool’ menangai isu kangkung sedangkan yang hebuh dan riuh rendah adalah golongan yang dilihat seperti melebihi ‘sudu dari kuah’. Bagi aku tindakan ‘pemimpin’ yang sebegini amat tidak bertanggungjawab apabila sanggup mengaitkan isu kangkung dengan isu perkauman.

Mungkin golongan yang sentiasa bercakap mengenai peristiwa 13 Mei 1969 tidak tahu dan mengerti apa sebenarnya peristiwa pahit itu. Mungkin mereka juga belum lahir ketika peristiwa berkenaan berlaku. Dan apatah lagi bahawa mereka tidak dapat merasakan kesan-kesan buruk ekoran daripada peristiwa itu. Dan aku yakin bahawa peristiwa pahit itu tidak akan berlaku di Malaysia lagi memandangkan kesedaran yang begitu tinggi dalam masyarakat Malaysia yang sedar bahawa harga perpaduan kaum itu amatlah tinggi. Mungkin yang kurang sedar dan peka dengan hakikat ini adalah golongan yang sentiasa menyebut-nyebut dan mengapi-apikan peristiwa 13 Mei itu.

Sebagai rakyat Malaysia aku merasa bertuah kerana kesan daripada peristiwa 1969 itu dapat dipulihkan dengan agak segera. Demi kepentingan perpaduan dan semangat saling hormat-menghormati antara kaum di Malaysia, seolah-olah kaum-kaum di Malaysia dapat melupakan peristiwa itu. Sememangnya seolah-olah rakyat Malaysia boleh melupakan demi kepentingan dan kemajuan negara.

Tetapi mengapa ‘pemimpin-pemimpin” yang tidak bertanggungjawab ini sentiasa menyebut-nyebut dan melaungkan tentang persitiwa pahit ini. Apakah mereka merasakan bahawa tindakan mereka itu merupakan satu ‘’kebanggan’ bagi mereka yang sentiasa melaungkannya. Aku tidak faham.

Yang aku dapat perhatikan sebagai suatu perkembangan yang menarik ialah sikap yang ditunjukkan oleh anak-anak muda generasi kini yang amat sedar tentang pentingnya perpaduan kaum di negara ini berbeza sekali dengan tindakan anak muda yang semacam terkeluar dari ‘peradaban manusia moden’ yang sentiasa terpekik terlolong melaungkan sesuatu yang kadang-kadang kelihatan terkeluar dari batasan peradaban manusia.

Aku amat bangga apabila melihat sikap anak-anak muda Melayu, Cina dan India yang seolah-olah mereka telah melupakan bahawa mereka sebenarnya dari keturunan yang berlainan tetapi terus menghayati konsep bangsa Malaysia dengan begitu berkesan sekali. Golongan sebeginilah yang merwarnai bangsa Malaysia kini dan bukannya golongan yang ‘kurang beradab’ yang sentiasa ‘mendewakan’ peristiwa 13 Mei itu.

Mungkin golongan yang kurang beradab itu lupa bahawa mereka sedang berada dalam Kurun ke 21 dan bukannya wujud dalam Kurun ke 20. Sikap setengah mereka tidak ubah seperti ‘tentera upahan’ pembesar tempatan seperti yang digambarkan dalam filem-filem Melayu lama arahan P.Ramlee. Mereka masih mengagung dan mendewakan kekuatan fizikal sedangkan anak muda Kurun ke 21 mempamerkan kekuatan mental. Mungkin agaknya disebebkan kelemahan pemikiran (mental) telah menyebabkan mereka bertindak untuk menunjukkan kekuatan fizikal ( yang bukan merupakan trend dalam masyarakat Kurun ke 21 dan pemakaian masyarakat moden).

Oleh kerana masyarakat kini ( terutama anak mudanya) sudah boleh berfikir dengan waras bersesuaian dengan pemikiran masyarakat yang hdiup dalam zaman global, maka ‘laungan-laungan’ yang tidak bertanggungjawab seperti ‘ramalan’ berlakunya 13 Mei akan dipandang sepi oleh golongan ini. Dan berkemungkinan ditertawakan memandangkan zaman konflik sedemikian rupa sudah berlalu dan hanya dijadikan ‘sempadan’ dalam menegakkan satu bangsa Malaysa yang maju dan berjaya.

Aku yakin bahawa ‘laungan’ sedemikian hanya seperti salakan anjing menyalak bukit…….

abuhassanadam

21 Januari 2014

Sunday, January 19, 2014

GOLONGAN PENYEMAI BENIH PERKAUMAN MESTI DIKUTUK

Di Malaysia, dalam kurun ke 21 masih ada lagi rakyat Malaysia yang berfikiran sempit dan berunsur perkauman. Tiap-tiap kaum menampakkan wujudnya pemikiran sedemikian. Samada Melayu ke, Cina ke atau India ke ternampak wujudnya perasaan dan pemikiran sedemikian. Dan jurang pemisahan antara kaum ini semacam menampakkan mula meluas. Itu pemerhatian rambang. Tidak ada statistik untuk membuktikan andaian aku ini.

Aku sentiasa menyalahkan sistem pendidikan negara yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Itu dulu. Aku merasakan bahwa sekiranya unsur perpaduan itu tidak diterap dengan betul, maka kesalahan patut diletakkan dibahu para pendidik di negara ini kerana merekalah yang bertanggungjawab memberikan didikan sempurna kepada anak-anak kita yang bukan sahaja menyampaikan pelajaran untuk lulus peperiksaan tetapi juga untuk membentuk perangai dan syahsiah yang sempurna.

Tentulah ibu bapa juga yang patut dipersalahkan sekiranya wujud keadaan perpaduan kaum yang tidak sempurna di negara ini. Walaupun peranan pendidik itu penting namun sekiranya ibu bapa bersikap bertentangan dengan apa yang diasuh oleh guru maka tentulah akan menelurkan manusia yang dibentuk mengikut acuan pemikiran ibu bapa nya.

Kini aku merasakan bahawa kedua-dua faktor di atas ( pendidik dan ibu bapa) telah ‘ditewaskan’ oleh faktor politik. Maksud aku dalam bahasa yang senang difahami bahawa tindakan setengah parti politik atau ‘orang politik’ telah banyak mempengaruhi tindak tanduk masyarakat di negara ini. Seolah-olah pendidik dan ibu bapa sedang ‘bertarung’ dengan golongan politik dalam usaha untuk mempengaruhi anak-anak muda ke jalan perpaduan kaum yang sebenar-benarnya di Malaysia.

Maksud aku apa yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah dan apa juga pengajaran yang disampaikan oleh guru amat bertentangan dengan apa yang dilihat dan diperhatikan oleh mereka diluar. Dalam hal perpaduan kaum misalnya, aku amat yakin bahawa tidak akan ada para guru yang menyemaikan perasaan perkauman, benci membenci antara satu kaum dengan kaum lain disekolah. Namun apabila dilihat oleh mereka gelagat setengah orang poiltik diluar yang jelas-jelas bersifat perkauman, maka pastinya anak-anak akan keliru melihatkan keadaan sedemikian.

Dalam isu kangkung yang sedang hangat diperkatakan kini adalah merupakan isu yang agak kecil dan remeh sekiranya peristiwa begiini berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Great Britain yang betul-betul mengamalkan kebebsan bersuara tulin. Pemimpin-pemimpin di negara-negara berkenaan lebih terusk lagi dikertitik oleh rakyatnya berbanding dengan apa yang berlaku kepada Perdana Menteri kita.

Dalam ‘talk Show’ yang dikendalikan oleh TV di sana, berbagai gelaran diberikan kepada Presiden Amerika dan berbagai kutukan dilemparkan kepadanya, namun tidak pula ada tindakan balas seperti yang berlaku di negara kita Malaysia. Di England misalnya pernah juga Queen sendiri dipersendakan oleh rakyatnya. Dan tidak pula ada tindakan dikenakan kepada pihak yang melemparkan kutukan berkenaan.

Mengapa keadaan sebegitu berlaku di Malaysia? Nampaknya DS Najib faham dan tidak mengambil tindakan balas sepertimana yang dilakukan oleh ‘pejuang-pejuang’ UMNO yang merupakan ‘lebih sudu daripada kuah’. Nampaknya DS Mohd Najib telah mengambil sikap yang agak ‘cool’ dan terpuji menangani isu sebegitu.

Namun yang menghairankan ialah segelintir para ‘pejuang’ UMNO yang sudah bertindak agak diluar batasan. Telah menggunakan isu kangkung ini untuk menelurkan isu perkauman. Ini yang aku katakan bahawa ramai rakyat Malaysia, khususnya anak-anak (yang tidak bersalah) kurang faham melihatkan senario yang sebegini. Apakah ada hubungannya antara isu kangkung dengan isu perkauman?. Apakah golongan yang ‘lebih sudu daripada kuah’ ini merasakan bahawa Perdana Menteri Malaysia tidak boleh langsung dikritk. Apakah begitu sokongan ‘membabi buta’ mereka kepada pemimpin sehinggakan sudah tidak dapat membezakan antara satu isu dengan isu lain. Atau apakah sudah hilang pertimbangan mereka sehinggakan setiap isu yang dibangkitkan mesti dikaitkan dengan isu perkauman. Atau apakah golongan sebegini sudah kehilangan punca untuk mencari ‘sesuap nasi dan sesuap petang’ selain dari kerelaan diri diperalatkan oleh golongan tertentu. Apakah begitu pegangan hidup mereka?

Mungkin golongan sebegini bukan sahaja ‘buta perut’ tetapi juga ‘buta hati’ dan tidak langsung bertanggungjawab terhadap masyarakat di Malaysia khususnya anak-anak. Tindakan mereka itu diperhatkan bukan sahaja oleh rakyat Malaysia yang merasakan bahawa itu merupakan tindakan yang amat tidak cerdik, tetapi juga oleh anak-anak yang pasti ‘keliru’ dengan keadaan sedemikian.

Pastinya golongan yang memainkan isu perkauman ini merasakan dirinya ‘hebat’ tetapi mereka lupa bahawa mereka sebenarnya telah menyemaikan benih perkauman dikalangan anak-anak yang memerhatikan gelagat dan tindakan mereka.

Ini yang aku katakan bahawa para pendidik dan ibu bapa di rumah telah ‘tewas’ mendidik anak-anak kejalan perpaduan sebenar disebabkan oleh adanya anasair-anasir yang sentiasa menyemaikan benih-benih perkauman dikalangan rakyat Malaysia.

abuhassanadam

19 Januari 2014.

Saturday, January 18, 2014

DARI TONG-YA-NONG KE UNTA-TIKA

Alkisah maka tersebutlah kisah sebuah negeri yang terletek di sebelah timur. Tong-Ya-Nong namanya. Sehari perjalanan dari Pa-Hoang ke utara arahnya. Dan sehari perjalanan juga ke Ki-Lan-Tan dari Tong-Ya-Nong. Baginda Ah-Mad nama pembesarnya. Tersangatlah elok rupa parasnya seperti bulan gerhana.

Maka gemparlah segala orang di pekan sekiranya melihat baginda lalu. Segala anak bininya orang dan anak dara-dara orang yang taruhan sekaliannya berterpaan hendak melihat Baginda Ah-Mad. Ada yang menengok pada pintu, ada yang menengok pada kisi-kisi, ada yang menengok pada tingkap, ada yang menengok pada atap, ada yang memesok dinding, ada yang memanjat pagar.

Adapun terdengar khabar di seluruh negeri mengatakan yang pembesar negeri ini akan berangkat ke sebuah tempat bernama Unta-Tika. Negeri di bawah angin katanya. Sejuk. Penuh dengan ais dan burung Penguin. Entah apalah gerangan baginda untuk pergi ke sana. Memang pernah disebut berkali-kali oleh Mamak Mendeliar pada zaman dahulu kala bahawa Unta-Tika memang kaya dengan bahan mentah. Katanya macam-macam ada didalam perut bumi Unta-Tika. Emas, perak, besi, uranium dan macam-macam lagi.

Arakian maka disuruhlah oleh hulubalang-hulubalang Tong-Ya-Nong bekerja keras mengumpulkan duit untuk perbelanjaan dan tambang menambang Baginda Ah-Mad untuk ke Unta-Tika itu. Maka bertungkus lumuslah rakyat Tong-Ya-Nong bekerja keras bagi mengumpulkan wang yang diperlukan oleh Baginda Ah-Mad. Dan bukan Bendahara seorang saja yang pergi. Berbelas-belas orang pengikutnya akan ke Unta-Tika. Kesemua tambang menambang mereka akan ditanggung oleh rakyat Tong Ya-Nong.

Adapun Tong-Ya-Nong memang dalam keadaan kesusahan. Nelayan-nelayannya tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan kerana angin kencang di laut. Dan di setengah tempat di negeri itu baru saja terlepas dari banjir besar yang menenggelamkan beberapa kawasan di Tong-Ya-Nong. Tambahan pula pada ketika ini harga barang-barang makanan semuanya naik belaka.

Ramai rakyat Tong-Ya-Nong terpinga-pinga apabila diriwayatkan yang Baginda Ah-Mad akan berangkat ke Unta-Tika. Ramai yang tidak pernah dengar tentang negeri yang bernama Unta-Tika. Ramai juga yang bertanya apakah gerangan Baginda hendak berangkat ke Unta-Tika. Untuk berkahwin dengan anak raja Unta-Tika kah yang mendorong Baginda pergi ke sana. Ada yang bertanya begitu.

Dikhabarkan pada sekalian rakyat Tong-Ya-Nong bahawa baginda ke sana adalah untuk meninjau dan mempelajari sesuatu dari negeri yang penuh dengan ais itu dan burung Penguin. Moga-moga apabila baginda dan rombongannya kembali dari melawat Unta-Tika nanti baginda akan dapat membawa kemajuan yang besar kepada negeri Tong-Ya-Nong.

Telah dikhabarkan kepada sekalian rakyat bahawa Baginda amat bimbang sekiranya negeri Tong-Ya-Nong yang terletak berhampiran dengan laut itu akan bertukar menjadi ais sepertimana yang berlaku di Unta-Tika itu. Dengan demikian Baginda bersiap sedia menghadapi kemungkinan Tong-Ya-Nong menjadi negeri yang dipenuhi oleh ais. Baginda akan mempersiapkan rakyatnya bagaimana hendak menghadapi keadaan demikian. Bagaimana rakyat yang menjadi nelayan kini perlu menukarkan pekerjaan mereka kepada penternak penguin supaya pendapatan rakyat negeri itu terjamin.

Baginda Ah-Mad boleh dikira sebagai pemerintah yang ‘far-sighted’ ia itu boleh menduga apa yang akan terjadi kepada negerinya pada masa yang tidak ditentukan. Beliau tidak mahu lagi rakyatnya hanya pandai menjadi nelayan dan petani yang hanya pandai menanam kangkung saja. Beliau mahu rakyatnya berkebolehan dalam semua perkara.

Mungkin juga pada fikiran rakyat di Tong-Ya-Nong bahawa pemimpin mereka pergi ke Unta-Tika untuk menandatangani perjanjian supaya negeri Unta-Tika dapat membekalkan ais untuk keperluan para nelayan membekukan ikan yang ditangkap oleh mereka. Diriwayatkan bahawa ais yang diperolehi dari Unta Tika adalah lebih baik kualitinya daripada ais yang dihasilkan di Tong-Ya- Nong. Dengan demikian Baginda merasakan bahawa lawatannya ke Unta-Tika akan memberi banyak faedah kepada rakyat di negerinya. Oleh itu rakyat tidak perlu mempersoalkan kewajaran Baginda dan rombongannya membelanjakan jutaan ringgit semata-mata untuk membiayai perbelanjaan ‘lawatan’nya ke Unta-Tika itu.

Amin….

abuhassanadam
18 Januari 2014


Friday, January 17, 2014

ISU KANGKUNG: RAKYAT PERLUKAN SIMPATI BUKAN ‘BENANG BASAH….’

Isu kangkung telah menjadi isu besar yang bukan sahaja menjadi topik perbincangan dalam negara tetapi telah ‘melimpah-ruah’ ke luar negara sehinggakan BBC pun turut membincangkan isu berkenaan. Isu yang pada mulanya dianggap kecil dan remeh telah merebak dan tentunya amat sukar sekali untuk disekat dan ‘dipadamkan’. Bukan seperti api dalam sekam tetapi seperti api yang membakar hutan di California.

Di lihat sepintas lalu sememangnya isu kangkung tidak sepatutnya diperbesarkan. Dan tidak ada sebab juga mengapa ia perlu diperbesarkan.Dalam suasana negara yang aman dan stabil maka tentunya tidak ada ‘isu’ yang boleh mencetuskan satu keadaan yang sebegini. Tetapi mengapa timbul suasana yang tidak menyenangkan ini?

Inilah persoalan yang perlu dicari dan dijawab oleh semua orang khususnya para pemimpin negara. Tercetusnya keadaaan sedemikian adalah merupakan satu keadaan yang luar biasa. Seingat aku, tidak pernah lagi wujud keadaan sebegini di negara ini di mana rakyat, seolah-olah tidak lagi segan silu dan tidak ada lagi perasaan hormat terhadap seorang pemimpin negara.

Mungkin telah wujud ‘tunjuk perasaan’ anti kerajaan dikalangan rakyat pada masa-masa lampau. Namun disebabkan oleh ketiadaan sosial media ( Facebook, tweeter, SMS dll) berperanan membesar-besarkannya, maka tidak nampak dengan jelas penentangan oleh rakyat itu. Lagi pun pada ketika itu, apabila ternampak saja bibit-bibit penentangan terhadap kepimpinann negara, maka ‘dipadamkan’ dengan segera agar anasir-anasir sedemikian tidak merebak. Tetapi dengan peranan yang dimainkan oleh sosial media ini, keadaan sedemikian sudah tidak dapat dikawal lagi. Ibarat kata peribahasa Melayu,’ mulut manusia boleh ditutup tetapi mulut tempayan tidak boleh ditutup’. Rupanya sosial media adalah sama seperti mulut tempayan yanga amat sukar untuk ditutup.

Aku masih menyoal diri aku mengapa terjadi keadaan sedemikian. Apakah sebenarya punca yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian rupa. Apakah ‘sebab’ yang sebenarnya yang menyebabkan rakyat semacam betul-betul tidak puas hati dengan kerajaan yang ada? Dan sekiranya direnung dari segi adat dan adab ( orang Melayu khususnya) sememangnya tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa terhadap seorang pemimpin negara. Tetapi soalnya mengapa perkara itu berlaku?

Aku merasakan bahawa ‘dendam’ 52% rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU 13 yang lalu belum berakhir. Masih ‘membara’. Aku merasakan bahawa mereka masih tidak puas hati dengan keputusan PRU berkenaan dan lantas akan mencari sebab dan dalih untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah. Itu persepsi mereka. Walaupun sudah dijelaskan dengan berbagai-bagai hujah dan alasan oleh kerajaan, namun rakyat masih merasakan bahawa terdapat penipuan dalam PRU 13 yang lalu. Itu persepsi mereka. Tentulah amat sukar sekali untuk ‘memadamkan’ persepsi seseorang.

Dan yang menyedihkan pula bahawa pihak kerajaan yang memerintah seolah-olah tidak peka dan tidak begitu mengambil berat tentang perasaan yang membara dikalangan rakyat itu. Seolah-olah kerajaan tidak ambil pusing langsung tentang ‘derita’ yang dialami oleh rakyat. Ini dapat diperhatikan bahawa segala tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan seolah-olah semacam mencabar rakyat terbanyak. Solah-olah ada pemimpin yang semacam berkata, ‘ apa rakyat boleh buat sekarang……’ Pendek kata mungkin ada diantara pemimpin yang berani mengatakan, ‘ jikalau anjing menyalak gunung, takkan runtuh gunung itu…”. Ternampak semacam ada yang berkata sedemikian.

Rakyat begitu tertekan dengan kenaikan harga barang. Pihak kerajaan memberikan berbagai alasan tentang kenaikan harga barang makanan. Walaupun berbagai alasan dikemukakan yang menyebabkan kenaikan harga itu, namun rakyat pada umumnya tetap akan menyalahkan kerajaan juga tentang kenaikan harga itu. Hujah yang sentiasa mereka kemukakan ialah bahawa harga barang tidak akan naik sekiranya kerajaan tidak mengurangkan subsidi petrol dan gula dan menaikkan kadar bayaran letrik. Rakyat terus berpegang kepada ‘prinsip’ itu.

Penderitaan yang dialami oleh rakyat kini adalah suatu realiti. Sebenarnya majoriti rakyat amat terasa tentang keperitan hidup yang dilalui kini. Sudah terasa ‘gerun’nya untuk pergi ke pasar-pasar untuk membeli ikan dan sayur-sayuran. Sudah terasa benar ‘cubitan’ harga ikan dan sayuran yang dibeli. Mungkin yang tidak terasa ‘tekanan’ itu adalah golongan penyokong UMNO yang senttiasa mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga beberapa barangan itu. Mungkin.

Dalam keadaan rakyat yang sedang ‘berdukacita’ menagalami kenaikan harga barang, septutnya para pemimpin negara menghulurkan perasaan simpati terhadap penderitaan rakyat itu dan bukannya terus menerus mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga barang. Dan terus menerus pula menyalahkan pihak lain yang menyebabkan harga barang naik mendadak.

 Bagi aku bukan masanya untuk menjelaskan perkara sedemikian. ‘Academic exercise’ yang sebegitu tidak perlu dalam masa sekarang. Kata-kata tidak berguna lagi. Rakyat mahu melihat tindakan kerajaan. Simpati kerajaan terhadap rakyat dan bukan menyalahkan pihak lain. Yang penting dalam saat sebegini, para menteri dan pemimpin negara hendaklah bersimpati dengan apa yang dideritai oleh rakyat. Tunjukkan bahawa para pemimpin betul-betul serious menangani isu terbabit. Jangan dilihat oleh rakyat seperti melepaskan batuk ditangga sahaja.

Rakyat pastinya melihat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan itu sebagai kementerian yang ‘lembik’ dan ‘longlai’. Menteri yang bertanggungjawab seharusnya berada di medan hadapan ‘menjalankan tugas’ membela rakyat disamping menjaga nama baik Perdana Menteri dan negara. Rakyat sudah jemu dengan perkataan ‘amaran’. Sudah jelak dan meluat. Era sebegini adalah era bertindak.

Sekiranya para peniaga yang bersalah dalam menaikkan harga barang yang tidak berpatutan, maka pihak KPDNK perlu segera mengambil tindakan dengan menggunakan undang-undang yang membolehkan mereka dibawa ke muka pengadilan. Para pegawai penguatkuasa Kementerian yang berkaitan sepatutnya bertindak dengan berkesan bagi mengawal kenaikan harga ini sekiranya betul pihak peniaga yang bersalah. Gunakan cara dan tindakan yang berkesan agar rakyat yakin bahwa pihak kerajaan sedang menjalankan tindakan-tindakan yang boleh diyakini. Para pegawai KPDNK sepatutnya sudah ‘menanggalkan tali leher’ dan sudah mula ‘menyinsing lengan’ untuk ‘bertempur’ bagi memerangi kenaikan harga ini. Sepatutnya begitu…..

Bagi aku timbulnya isu kangkung adalah merupakan ‘catalyst’ atau pemangkin kepada perasaan ketidak puasan hati rakyat yang telah tersimpan dan ‘bersarang’ buat beberapa lama. Rakyat terbanyak tidak dapat menyuarakan ketidak puasan hati mereka melalui jalan raya kerana berbagai tekanan yang dilakukan oleh pihak polis dengan arahan pihak atasan juga. Rakyat sudah melakukan sebaik mungkin tindakan mereka melalui PRU 13, saluran yang dibenarkan oleh undang-undang.  Dan sudah terbukti bahawa majoriti rakyat Malaysia mahukan perubahan kepimpinan negara. Namun disebabkan oleh keputusan PRU berasaskan bilangan kerusi yang dimenangi, maka kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional.

Rakyat terpaksa menerima keputusan itu. Sepatutnya pemimpin Barisan Nasional harus sedar bahwa sebahagian besar rakyat di negara ini tidak memihak kepada mereka. Dan sepatutnya pihak kerajaan tidaklah begitu ghairah melaksanakan tindakan yang membuatkan rakyat tidak puas hati seperti memansuhkan subsidi petrol dan gula dengan tergesa-gesa. Aku yakin sekiranya para pemimpin negara peka dan sedar dan simpati dengan penderitaan rakyat, maka tentu seklai tidak timbul isu-isu seperti isu kangkung ini.

Orang Melayu juga pernah berkata, ‘ anak sungai lagi berubah inikan pula hati orang…” Rakyat Malaysia pada dasarnya adalah rakyat yang beradab. Dan tahu menghormati adat dan tatasusila. Terpulanglah kepada pemimpin untuk menunjukkan simpati kepada penderitaan yang sedang dialami mereka.

abuhassanadam
17 Januari 2014