ISU KANGKUNG:
RAKYAT PERLUKAN SIMPATI BUKAN ‘BENANG BASAH….’
Isu kangkung telah menjadi isu besar yang bukan
sahaja menjadi topik perbincangan dalam negara tetapi telah ‘melimpah-ruah’ ke
luar negara sehinggakan BBC pun turut membincangkan isu berkenaan. Isu yang
pada mulanya dianggap kecil dan remeh telah merebak dan tentunya amat sukar
sekali untuk disekat dan ‘dipadamkan’. Bukan seperti api dalam sekam tetapi
seperti api yang membakar hutan di California.
Di lihat sepintas lalu sememangnya isu kangkung
tidak sepatutnya diperbesarkan. Dan tidak ada sebab juga mengapa ia perlu
diperbesarkan.Dalam suasana negara yang aman dan stabil maka tentunya tidak ada
‘isu’ yang boleh mencetuskan satu keadaan yang sebegini. Tetapi mengapa timbul
suasana yang tidak menyenangkan ini?
Inilah persoalan yang perlu dicari dan dijawab
oleh semua orang khususnya para pemimpin negara. Tercetusnya keadaaan
sedemikian adalah merupakan satu keadaan yang luar biasa. Seingat aku, tidak
pernah lagi wujud keadaan sebegini di negara ini di mana rakyat, seolah-olah
tidak lagi segan silu dan tidak ada lagi perasaan hormat terhadap seorang
pemimpin negara.
Mungkin telah wujud ‘tunjuk perasaan’ anti
kerajaan dikalangan rakyat pada masa-masa lampau. Namun disebabkan oleh
ketiadaan sosial media ( Facebook, tweeter, SMS dll) berperanan
membesar-besarkannya, maka tidak nampak dengan jelas penentangan oleh rakyat
itu. Lagi pun pada ketika itu, apabila ternampak saja bibit-bibit penentangan
terhadap kepimpinann negara, maka ‘dipadamkan’ dengan segera agar anasir-anasir
sedemikian tidak merebak. Tetapi dengan peranan yang dimainkan oleh sosial
media ini, keadaan sedemikian sudah tidak dapat dikawal lagi. Ibarat kata
peribahasa Melayu,’ mulut manusia boleh ditutup tetapi mulut tempayan tidak
boleh ditutup’. Rupanya sosial media adalah sama seperti mulut tempayan yanga amat
sukar untuk ditutup.
Aku masih menyoal diri aku mengapa terjadi
keadaan sedemikian. Apakah sebenarya punca yang menyebabkan keadaan terjadi
sedemikian rupa. Apakah ‘sebab’ yang sebenarnya yang menyebabkan rakyat semacam
betul-betul tidak puas hati dengan kerajaan yang ada? Dan sekiranya direnung
dari segi adat dan adab ( orang Melayu khususnya) sememangnya tidak sepatutnya
diperlakukan sedemikian rupa terhadap seorang pemimpin negara. Tetapi soalnya
mengapa perkara itu berlaku?
Aku merasakan bahawa ‘dendam’ 52% rakyat Malaysia
yang mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU 13 yang lalu belum berakhir. Masih
‘membara’. Aku merasakan bahawa mereka masih tidak puas hati dengan keputusan
PRU berkenaan dan lantas akan mencari sebab dan dalih untuk menyatakan rasa
tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah. Itu persepsi mereka.
Walaupun sudah dijelaskan dengan berbagai-bagai hujah dan alasan oleh kerajaan,
namun rakyat masih merasakan bahawa terdapat penipuan dalam PRU 13 yang lalu.
Itu persepsi mereka. Tentulah amat sukar sekali untuk ‘memadamkan’ persepsi
seseorang.
Dan yang menyedihkan pula bahawa pihak kerajaan
yang memerintah seolah-olah tidak peka dan tidak begitu mengambil berat tentang
perasaan yang membara dikalangan rakyat itu. Seolah-olah kerajaan tidak ambil
pusing langsung tentang ‘derita’ yang dialami oleh rakyat. Ini dapat
diperhatikan bahawa segala tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan seolah-olah
semacam mencabar rakyat terbanyak. Solah-olah ada pemimpin yang semacam
berkata, ‘ apa rakyat boleh buat sekarang……’ Pendek kata mungkin ada diantara
pemimpin yang berani mengatakan, ‘ jikalau anjing menyalak gunung, takkan
runtuh gunung itu…”. Ternampak semacam ada yang berkata sedemikian.
Rakyat begitu tertekan dengan kenaikan harga
barang. Pihak kerajaan memberikan berbagai alasan tentang kenaikan harga barang
makanan. Walaupun berbagai alasan dikemukakan yang menyebabkan kenaikan harga
itu, namun rakyat pada umumnya tetap akan menyalahkan kerajaan juga tentang
kenaikan harga itu. Hujah yang sentiasa mereka kemukakan ialah bahawa harga
barang tidak akan naik sekiranya kerajaan tidak mengurangkan subsidi petrol dan
gula dan menaikkan kadar bayaran letrik. Rakyat terus berpegang kepada
‘prinsip’ itu.
Penderitaan yang dialami oleh rakyat kini adalah
suatu realiti. Sebenarnya majoriti rakyat amat terasa tentang keperitan hidup yang
dilalui kini. Sudah terasa ‘gerun’nya untuk pergi ke pasar-pasar untuk membeli
ikan dan sayur-sayuran. Sudah terasa benar ‘cubitan’ harga ikan dan sayuran
yang dibeli. Mungkin yang tidak terasa ‘tekanan’ itu adalah golongan penyokong
UMNO yang senttiasa mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga beberapa
barangan itu. Mungkin.
Dalam keadaan rakyat yang sedang ‘berdukacita’
menagalami kenaikan harga barang, septutnya para pemimpin negara menghulurkan
perasaan simpati terhadap penderitaan rakyat itu dan bukannya terus menerus
mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga barang. Dan terus menerus pula
menyalahkan pihak lain yang menyebabkan harga barang naik mendadak.
Bagi aku
bukan masanya untuk menjelaskan perkara sedemikian. ‘Academic exercise’ yang
sebegitu tidak perlu dalam masa sekarang. Kata-kata tidak berguna lagi. Rakyat
mahu melihat tindakan kerajaan. Simpati kerajaan terhadap rakyat dan bukan
menyalahkan pihak lain. Yang penting dalam saat sebegini, para menteri dan
pemimpin negara hendaklah bersimpati dengan apa yang dideritai oleh rakyat.
Tunjukkan bahawa para pemimpin betul-betul serious menangani isu terbabit.
Jangan dilihat oleh rakyat seperti melepaskan batuk ditangga sahaja.
Rakyat pastinya melihat Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Kepenggunaan itu sebagai kementerian yang ‘lembik’ dan
‘longlai’. Menteri yang bertanggungjawab seharusnya berada di medan hadapan
‘menjalankan tugas’ membela rakyat disamping menjaga nama baik Perdana Menteri
dan negara. Rakyat sudah jemu dengan perkataan ‘amaran’. Sudah jelak dan
meluat. Era sebegini adalah era bertindak.
Sekiranya para peniaga yang bersalah dalam
menaikkan harga barang yang tidak berpatutan, maka pihak KPDNK perlu segera
mengambil tindakan dengan menggunakan undang-undang yang membolehkan mereka
dibawa ke muka pengadilan. Para pegawai penguatkuasa Kementerian yang berkaitan
sepatutnya bertindak dengan berkesan bagi mengawal kenaikan harga ini sekiranya
betul pihak peniaga yang bersalah. Gunakan cara dan tindakan yang berkesan agar
rakyat yakin bahwa pihak kerajaan sedang menjalankan tindakan-tindakan yang
boleh diyakini. Para pegawai KPDNK sepatutnya sudah ‘menanggalkan tali leher’
dan sudah mula ‘menyinsing lengan’ untuk ‘bertempur’ bagi memerangi kenaikan
harga ini. Sepatutnya begitu…..
Bagi aku timbulnya isu kangkung adalah merupakan
‘catalyst’ atau pemangkin kepada perasaan ketidak puasan hati rakyat yang telah
tersimpan dan ‘bersarang’ buat beberapa lama. Rakyat terbanyak tidak dapat
menyuarakan ketidak puasan hati mereka melalui jalan raya kerana berbagai
tekanan yang dilakukan oleh pihak polis dengan arahan pihak atasan juga. Rakyat
sudah melakukan sebaik mungkin tindakan mereka melalui PRU 13, saluran yang
dibenarkan oleh undang-undang. Dan sudah
terbukti bahawa majoriti rakyat Malaysia mahukan perubahan kepimpinan negara.
Namun disebabkan oleh keputusan PRU berasaskan bilangan kerusi yang dimenangi,
maka kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional.
Rakyat terpaksa menerima keputusan itu.
Sepatutnya pemimpin Barisan Nasional harus sedar bahwa sebahagian besar rakyat di
negara ini tidak memihak kepada mereka. Dan sepatutnya pihak kerajaan tidaklah
begitu ghairah melaksanakan tindakan yang membuatkan rakyat tidak puas hati
seperti memansuhkan subsidi petrol dan gula dengan tergesa-gesa. Aku yakin
sekiranya para pemimpin negara peka dan sedar dan simpati dengan penderitaan
rakyat, maka tentu seklai tidak timbul isu-isu seperti isu kangkung ini.
Orang Melayu juga pernah berkata, ‘ anak sungai
lagi berubah inikan pula hati orang…” Rakyat Malaysia pada dasarnya adalah
rakyat yang beradab. Dan tahu menghormati adat dan tatasusila. Terpulanglah
kepada pemimpin untuk menunjukkan simpati kepada penderitaan yang sedang
dialami mereka.
abuhassanadam
17 Januari 2014
No comments:
Post a Comment