Thursday, January 2, 2014

“MESTI BOLEH MELETAKKAN TANGAN KANAN MELINTANG KEPALA DAN MEMEGANG TELINGA KIRI”

“MESTI BOLEH MELETAKKAN TANGAN KANAN MELINTANG KEPALA DAN MEMEGANG TELINGA KIRI”

Aku tanya persiapan cucuku, Fasihah Syahira untuk ke sekolah apabila penggal persekolahan bermula. Macam-macam persiapan telah disediakan, seperti juga anak-anak dan cucu-cucu orang lain. Maklumlah zaman persekolahan Kurun ke 21 tentulah amat berbeza dengan keadaan persekolahan zaman yang aku lalui. Seperti langit dan bumi.

Seingat aku memang aku tak boleh tidur pada malam itu. Teringat macam mana aku menghadapi alam baru. Alam persekolahan. Darjah 1. Memang tidak pernah aku tempuh. Pada ketika itu bukannya ada Tadika. ‘Meracun’ ( tiada) kata orang Perak. Yang aku dengar hanyalah cakap-cakap mengenai sekolah yang aku akan belajar. Malay Boys School Padang Rengas. Di Peraklah tu…. Guru Besarnya Cikgu Mat Yassin. Sekolah Melayu, bukannya sekolah orang putih. Namanya saja nama orang putih. Maklumlah zaman penjajah. Tahun 1951.

Yang ‘sezaman’ dengan aku memasuki Darjah 1 dari kampung aku termasuklah sepupu aku arwah Ngah ( baru sahaja meninggal sebulan yang lepas ), Isa ( kami panggil dia Pak Ngah Kacang) dan Bahari. Yang berada satu kelas dengan aku kemudiannya termasuklah Mat Ha ( Dato Khairuddin Arshad), Busu Piah, Hadi, Rashidi ( Mr. Di) Dollah Zainun, Man Pak Sam ( arwah). Lebih kurang lima belas orang kesemuanya.

‘Syarat’ yang dikenakan untuk membolehkan seseorang kanak-kanak memasuki Darjah 1 pada ketika itu agak pelik juga. Semua kanak-kanak mesti memenuhi ‘syarat’ ini ia itu dengan meletakkan tangan kanan melintang kepala memegang telinga kiri. Aku tidak tahu samada ‘syarat’ itu ditetapkan oleh Penasihat British Mengenai Pelajaran di Malaya ataupun hanya ciptaan penduduk di Padang Rengas. Tetapi jelasnya kanak-kanak yang hendak memasuki Darjah 1 ketika itu pasti ‘diperlukan’ memenuhi ‘syarat’ itu. Orang kampung yang mensyaratkan……

Sebenarnya ‘syarat’ itu hanya ciptaan masyarakat di sini. Dan aku tidak tahu apakah rasionalnya orang kampung aku mempopularkan syarat demikian. Sampai kini aku tidak mendapat jawapannya.

Pagi-pagi lagi Opah telah mengejutkan aku. Melalui kokok ayam Opah tahu ‘pukul’ berapa. Dia tidak mengenali angka pada muka jam. Dan sememangnya tidak ada jam di rumah kami. Atuk aku juga bergantung pada kokok ayam untuk mengetahui waktu. Dan yang peliknya, aku tidak pernah lewat ke sekolah sepanjang persekolahan aku dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Hanya bergantung pada kokok ayam……

Bertemankan pelita minyak tanah aku dan Opah ke telaga yang tidak jauh dari rumah. Opah menunggu aku di tepi telaga sementara aku menggosok gigi dan mandi manda. ‘Berus gigi’ aku pada ketika itu hanyalah jari telunjuk aku yang ‘berubat gigi’kan arang yang ditumbuk oleh Opah. Tentulah amat jauh bezanya dengan keadaan anak-anak kini yang memiliki ubat gigi yang berbagai jenama. Pada ketika itu kami hanya menggunakan satu jenama sahaja ia itu ‘ARANG’.

Aku berasa amat bertuah mempunyai emak bapak dan datuk nenek yang amat mementingkan pelajaran. Walaupun aku tinggal bersama Opah, namun segala perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh bapak. Dan dalam kehidupan yang amat sederhana itu bapak mampu juga menyediakan peralatan persekolahan aku secukupnya. Papan batu, pakaian sekolah ( baju dan seluar ) yang bukan seragam dan kasut putih. Berbanding dengan kanak-kanak lain pada ketika itu  yang datang kesekolah dengan memakai pakaian ‘anekawarna’ dan ada juga yang datang ke sekolah hanya memakai kain sarung tanpa kasut. Dan bersongkok!!.....

Aku tidak dapat membayangkan debaran yang aku hadapi pada ketika itu. Aku kadang-kadang mempersoalkan juga tentang mengapa bapak menghantar aku ke sekolah sedangkan ramai kanak-kanak di kampung aku yang tidak bersekolah. Kadang-kadang aku ‘mengutuk’ juga dalam hati tindakan mengapa bapak berbuat demikian. Mengapa aku tidak ‘senasib’ dengan rakan-rakan aku yang lain yang dapat lepas bebas tanpa pergi sekolah dan boleh menjalankan berbagai aktiviti sepeti bermain dan ‘melastik’ burung di bendang. Mengapa aku tidak seperti Khalid yang boleh bangun lewat dan tidak perlu mandi pagi dan boleh berbuat sesuka hatinya tanpa pengawalan ketat dari keluargannya.

Aku perhatikan semua kanak-kanak ‘bergantung’ pada seluar bapak masing-masing ketika perhimpunan sekolah diadakan. Menunggu untuk masuk ke dalam kelas.  Aku sentiasa ‘memegang’ seluar bapak aku. Man Pak Sam ‘bergantung’ pada kain sarung atuknya Tokki Ketok. Suasana pada ketika itu ibarat seperti anak-anak yang dipimpin oleh pemain-pemain Manchester United untuk memasuki padang permainan. Maknanya sekiranya anak-anak tidak ditemani oleh bapak atau atuk tentu akan merasakan diri begitu ‘terhina’ pada ketika itu.

Jikalau aku tidak silap, guru Darjah 1 aku ialah Cikgu Yunus Shamsuddin. Sememangnya ‘pakar’ dalam mengajar Darjah 1. Dan sememangnya antara guru yang paling aku sayang. ( Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah ). Untuk membuktikan ‘kesayangan’ beliau terhadap aku, Cikgu Yunus juga menjadi ‘pengapit’ di majlis pernikahan aku. Begitulah hebatnya pertalian antara guru Darjah 1 aku dengan aku.

Hari ini ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka memmasuki alam persekolahan. Yang pastinya ibu bapa tentulah tidak begitu gembira memandangkan kos persekolahan yang begitu tinggi akibat kenaikan harga barang di Malaysia. Semoga kerajaan pertimbangkan keadaan ini.

Banyak lagi yang perlu aku ceritakan. Cukup setakat ini dulu…..

abuhassanadam
2 Januari 2014





1 comment:

  1. Salam ,terimakasih atas artikel tuan tentang masa lalu juga teguran membina yang tuan sampaikan cukup berarti kepada saya yang tidak cukup ilmu dalam berbagai bidang,cuma sedikit sebanyak boleh membezakan mana yang benar dan mana yang kurang benar.semoga tuan selalu dilimpahi kesejahteraan amin. wassalam

    ReplyDelete