Wednesday, January 29, 2014

ANWAR MENERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA RAKYAT

Aku tidak terkejut dengan perkembangan politik yang berlaku di Selangor kini berkaitan dengan kesediaan DS Anwar untuk bertanding di DUN Kajang, walaupun ramai yang merasa terkejut dengan perkembangan sedemikian. Seeingat aku sememangnya ‘amalan’ DS Anwar untuk ‘mengejutkan’ rakyat dengan beberapa tindakannya sebelum ini.

Ekoran dari perkembangan ini ramai juga yang merasakan bahawa TS Khalid Ibrahim tidak sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Sememangnya rakyat Selangor sudah ‘jatuh hati’ dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh TS Khalid yang pada penglihatann rakyat Selangor sudah melakukan yang terbaik bagi rakyat berbanding dengan pemerintahan Barisan Nasional sebelum ini. Ini telah diakui bukan sahaja oleh penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga penyokong Barisan Nasional sendiri.

Ramai juga yang merasakan bahawa ‘ If it's not broken, why fix it’. Maknanya sekiranya TS Khalid sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat, mengapa pula perlunya beliau diganti?

Aku pun berpendapat sedemikian selari dengan pemikiran kebanyakan rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Namun setelah aku renung dan fikirkan beberapa kali bertemulah aku dengan beberpa jawapan. Mungkinlah apa yang dilakukan oleh TS Khalid itu amat sesuai dengan sebuah badan korporat dan (mungkin) kurang sesuai untuk pengendalian sebuah kerajaan negeri. Mungkin. Pihak pengurusan tertinggi Parti Keadilan rakyat mungkin merasakan bahawa perlu ada sesuatu langkah yang lebih berkesan lagi yang perlu dilaksanakan demi untuk memajukan negeri Selangor. Dan tidak pula pihak pengurusan tertinggi menafikan tentang kemajuan yang telah dilakukan oleh TS Khalid Ibrahim.

Itu hanya merupakan satu andaian sebab-musabab sekiranya jawatan TS Khalid diganti. Namun sehingga saat rencana ini ditulis belum ada lagi kenyataan tegas yang mengatakan bahawa perkhidmatan TS Khalid akan ditamatkan. Maknanya apa yang diramalkan oleh masyarakat kini belum tentu lagi akan berlaku.

Inilah yang dinamakan ‘kejutan’ DS Anwar Ibrahim. Ini merupakan kehebatan beliau sebagai ‘political animal’ yang sentiasa melakukan ‘paradigm shift’ mengikut keadaan. Namun begitu yang jelas bagi aku ialah bahawa tokoh ini sentiasa memikirkan kepentingan rakyat. Sememangnya rakyat diutamakannya dalam apa keadaan sekalipun. Boleh aku katakan telah dibuktikan dalam banyak keadaan bahawa rakyat lebih utama daripada dirinya.

Dan kesediaan beliau untuk ‘mencemar duli’ bertanding untuk DUN Kajang ini juga merupakan satu tindakan yang diluar dugaan sesiapa sekalipun. Dalam suasana ‘perkiraan’ yang biasa DS Anwar tentu sekali tidak akan melakukan tindakan sedemikian. Namun disebabkan pertimbangan ‘untuk kepentingan rakyat’ maka beliau sanggup bertindak sedemikian rupa. Rakyat Malaysia pastinya agak ‘pening’ melihatkan ‘pilitical manoeuvring’ yang sedemikian rupa, terutamanya bagi golongan politikus yang hanya terlibat dalam kancah politik Kurun ke 20. Mungkin mereka agak bingung melihatkan percaturan yang sedemikian rupa.

DS Anwar Ibrahim pastinya tidak bimbang walau sedikitpun tentang kekaburan yang dialami oleh rakyat tentang tindakan yang luar biasa ini kerana ‘senjata’ yang dikurniakan oleh Allah kepadanya ialah kebolehan dan kemampuan luar biasa untuk menjelaskan sesuatu. Tentunya beliau amat yakin bahawa rakyat pasti akan menerima saranan beliau tentang mengapa beliau perlu bertindak sedemikian rupa.

Matlamat akhirnya ialah untuk terus membela dan memajukan rakyat Selangor khususnya.

Sebagai seorang pejuang yang matang, aku tidak pernah bimbang dengan tindakan yang dilakukan oleh beliau. Seeingat aku perjuangan dan ‘sepak terajangnya’ sudah menjangkaui setengah abad. Bermula dari zaman persekolahan sehinggalah kini, perjuangannya dan idealisme yang diperjuangkannnya tidak pernah padam. Slogan, ‘the conscience of the majority’ merupakan pedoman penunjuk  jalan yang hendak dituju.

Membela rakyat.

abuhassanadam
29 Januari 2014



No comments:

Post a Comment