Monday, January 6, 2014

ORANG MELAYU MERASA DIHINA DAN TERHINA

Semenjak dulu-dulu lagi orang Melayu sentiasa merasakan dihina dan terhina. Maksud aku orang Melayu tulin seperti aku. Orang Melayu keturunan orang asli di tanah Melayu dan kepulauan Melayu bukan orang Melayu yang mendapat status ‘Melayu’ melalui perlembagaan Malaysia. Bukan. Itu pun Melayu juga tetapi bukan Melayu asli. Bukan orang asal Tanah Melayu.

Orang Melayu akan melenting marah sekiranya mereka dihina. Maksud aku sekiranya ada orang lain yang mengatakan sesuatu yang negatif terhadap orang Melayu, pasti mereka akan marah. Tetapi hakikat sebenarnya ialah apa yang dikatakan oleh ‘orang lain’ itu mengenai orang Melayu itu kadang perkara yang benar. Walaupun tidak semuanya benar apa yang dikatakan.

Aku ulang semula apa yang pernah aku katakan dalam blog-blog yang lepas ia itu mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh pegawai British (penjajah British) mengenai orang Melayu. R.O.Winstedt misalnya pernah mengatakan yang orang Melayu adalah satu bangsa yang malas, suka berpoya-poya, minat kepada hiburan dan lain-lain. Cukup untuk membuatkan orang Melayu melenting marah. Tetapi hakikatnya ada betul juga apa yang diperhatikan oleh pegawai British itu walaupun tidak semua apa yang diperkatakannya itu betul dan tepat. Tetapi sekurang-kurangnya beliau telah ‘menyedarkan’ kita bahawa pada pandangannya itulah sikap orang Melayu pada ketika itu (pada zaman penjajahan British ) yang diperhatikannya.

Aku merasakan sudah sampai masa dan ketikanya agar orang Melayu tidak marah dan melenting apabila ada pihak yang sanggup menyatakan bahawa orang Melayu masih ketinggalan dalam banyak bidang dalam negaranya sendiri. Patut diulangi juga kata-kata Allahyarham Aminuddin Baki yang mengatakan ‘ayam mati di kepuk padi’ dan ‘ itik kehausan di air tenang’. Patut diulang selalu bagi menyedarkan orang Melayu yang sudah agak terlupa dengan kata-kata itu.

Kini, kononnya orang Melayu telah maju. Aku setuju. Jikalau ditinjau kemajuan yang dicapai oleh oarng Melayu kini dengan pencapaian orang Melayu dalam zaman kerajaan Melayu Melaka ataupun keadaan orang Melayu zaman penjajahan British, memang aku akui bahawa orang Melayu telah begitu maju. Namun sekiranya dibandingkan pula dengan bangsa-bangsa lain atau dengan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa orang Melayu tidak banyak berubah dari ‘takuk lama’.

Seingat aku, Tun Mahathir pernah melahirkan kekecewaannya kerana tidak dapat memajukan orang Melayu sebagaimana yang dihajatinya. Berbagai usaha telah dilakukan, namun orang Melayu masih ‘berpaut’ kepada cara lamanya, masih tidak mahu berubah. Orang Melayu akan berusaha untuk ‘memujuk’ hati dan perasaannya dengan ‘mengagung-agungkan’ ‘kehebatan’ orang Melayu. Kata-kata Hang Tuah yang mengatakan bahawa ‘ tidak akan Melayu hilang didunia’ sentiasa didendangkan untuk membuktikan bahwa orang Melayu akan tetap berada di persada antarabangsa. Kisah Panglima Awang yang dikatakan pernah mengelilingi dunia juga sentiasa ‘didendangkan’ untuk ‘mengubati hati yang duka lara. Tidak pula terdapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa sebenarnya Panglima Awang telah mengelilingi dunia itu.

Zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi ‘mendendangkan’ tentang ‘the towering Malays’, orang Melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dan muncullah ‘the towering Malaysian’ yang berjaya jadi ‘penumpang’ sebuah roket Russia ke bulan dan terus diwar-warkan untuk menunjukkan ‘kehebatan’ orang Melayu (Malaysia) yang telah sampai ke bulan. Apakah ‘the towering Malaysian’ itu hanya mampu untuk melahirkan anak Malaysia yang berjaya memanjat Gunung Everest atau pun berenang menyeberangi English Channel sahaja?

Aku setuju mengatakan bahwa itu merupakan satu kejayaan tetapi apakah kejayaan yang sedemikian yang akan terus kita banggakan berbanding dengan kebanggaan bangsa lain yang telah jauh lebih maju daripada kita dalam lapangan-lapangan yang berlainan.

Menguasai bidang pendidikan adalah kunci yang amat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Kejayaan dan kehebatan bangsa-bangsa Arab, Cina, India, Yunani dan Rom adalah berpasak kepada kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Bagitu juga dengan kemunculan pemikir-pemikir agung seperti Confucius, Ibn Khaldun, Plato, Aristotle dll telah menyemarakkan kehebatan kemajuan bangsa itu sendiri.

Kemajuan negara-negara di dunia kini juga berpunca dan bertolak daripada kemajuan dalam bidang pendidikan juga. Kejayaan negara-negara Eropah dan Amerika dalam berbagai bidang bertolak daripada kejayaan mereka dalam lapangan pendidikan juga. Bangsa Malaysia sentiasa ‘mendongak’ dan memandang tinggi pencapaian yang telah diperolehi oleh negara-negara seperti USA dan United Kingdom sehinggakan negara kita menghantar ribuan pelajar untuk menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi di sana.

Soalnya mengapa kita masih belum maju juga, terutamanya orang Melayu di Malaysia. Mungkin ada yang memberikan jawapan bahawa proses kemajuan ini mengambil masa yang begitu lama dan tidak mudah diperolehi dalam masa yang singkat. Betul. Tetapi jika dilihat disekeliling kita, merenung negara-negara seperti Singapura, Korea Selatan, Jepun, kita ( orang Melayu khususnya ) merasakan amat ketinggalan. Jika dibandingkan dengan Thailand and Vietnam pun kita masih ketinggalan di belakang.

Bagi aku hal sebegini bukan merupakan persolan yang remeh. Ini merupakan persoalan maruah bangsa. Bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu seharusnya sedar bahawa bangsa Melayu masih merasa dihina dan terhina di negara sendiri. Jangan disembunyikan kelemahan bangsa Melayu dalam segenap segi. Para pemimpin sepatutnya menonjolkan ‘fear paradigm’ kepada anak-anak supaya mereka sedar bahawa bangsa Melayu amat ketinggalan dan lantas sentiasa merasa dihina dan terhina.

Menyedarkan bangsa Melayu tentang kelemahan mereka tidak bererti kita terpaksa memusuhi kaum Cina dan India di negara Malaysia. Bukan begitu. Memajukan orang Melayu bukan bererti kita terpaksa menindas kaum lain. Seelok-eloknya orang Melayu belajar dan mencontohi kejayaan kaum lain dan bukannya dengan cara memushi mereka.

Diharapkan dengan mengamalkan sikap ‘lengkap-melengkapi’, ‘contoh-mencontohi’ ‘tolong-menolong’ akan menghindarkan  orang Melayu dari terus menerus merasa dihina dan terhina dan akhirnya akan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang betul-betul maju dan dapat dibanggakan oleh semua.

abuhassanadam

6 Januari 2014

No comments:

Post a Comment