Wednesday, January 22, 2014

KEMELUT DI SWEDEN: SERAHKAN SAJA KEPADA DUTA KITA DI STOCKHOLM

Membaca kisah yang berlaku di Sweden menyebabkan fikiran aku ‘berkecamuk’. Menyebabkan fikiran aku agak kacau memikirkannya. Tentulah aku simpati dengan keadaan yang menimpa keluarga Encik Azizul Raheem Awalludindan dan isterinya, Shalwati Norshal, yang malang itu. Namun yang menyebabkan aku agak hairan ialah terlalu banyak golongan ‘yang menyibuk’ atau pun pura-pura sibuk untuk ‘menyelesaikan’ kemelut yang berlaku itu
Yang menghairankan aku ialah ‘kesibukan’ luar biasa yang ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. Pemuda UMNO sibuk mahu ‘menolong’. Wanita UMNO juga ghairah untuk ‘menolong’. Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM)  dan Malaysia Muslim Chamber of Economic and Social Affairs (DESMMA) juga telah menghantar memo protes kepada Embassy Sweden di Kuala Lumpur. Ramai lagi pihak-pihak yang ‘bersungguh-sungguh’ benar untuk membantu keluarga yang malang ini. Memanglah merupakan sesuatu yang menjadi kebanggan kita apabila rakyat begitu perihatin menghadapi golongan yang mengalami kesusahan.

Melihatkan ‘kesibukan’ yang luar biasa yang ditunjukkan oleh pihak tertentu di Malaysia membuat aku tertanya-tanya tentang mengapa mereka tidak menyerahkan kes sedemikian kepada  Embassy Malaysia di Stockholm sahaja, khususnya Datuk Badruddin Ab Rahman. Dengan ‘kesibukan’ yang ditunjukkan seolah-olah duta kita sudah tidak berfungsi lagi sehinggakan memerlukan pertolongan dari Malaysia untuk menyelesaikan isu sebegitu. Bukankah antara tugas yang sepatutnya dilakukan oleh embassy kita di luar negara untuk mengendalikan kes-kes yang sebegini. Dan pastinya pegawai kita di sana tahu dan mahir dalam menyelesaikan yang sedemikian.

Dan aku yakin bahawa pegawai kita di Stockholm adalah lebih arif dan lebih bijak lagi menyelesaikan isu ini berbanding dengan para ‘pakar’ yang akan dihantar ke sana. Isu yang berlaku kini adalah isu yang berkaitan dengan isu ‘ when you are in Rome do what the Romans do’. Peribahasa Melayu juga ada menyatakan bahawa ‘ masuk ke kandang kambing hendaklah mengembik dan masuk kandang kerbau hendaklah menguak…’ Dan aku merasakan bahawa duta kita di Stockholm lebih arif ‘mengembik’ berbanding dengan pegawai yang akan dihantar.

Rakyat terbanyak pasti tidak nampak keperluan negara menghantar para ‘pakar’ undang-undang kita ke sana selain dari ‘menghabiskan beras’.Apakah pihak kerajaan sudah tidak ada  ikhtiar atau jalan lain yang boleh menjimatkan wang rakyat selain daripada mengantar ‘pakar’ dari negara kita. Apakah sudah tidak ada pegawai kita yang berkelayakan untuk menyelesaikan isu ini yang terdapat di Stockholm. Dan sekiranya tidak terdapat walau seorang pun pegawai yang berkelayakan di Stockholm, apakah kita tidak boleh meminta bantuan daripada Emabassy kita di Paris atau di London atau di mana-mana saja di Eropah. Apakah merupakan satu kemestian yang pegawai yang akan menyelesaikan isu ini mesti didatangkan dari Malaysia. Seolah-olah orang dari Malaysia saja yang dapat menyelesaikan isu ini.

Satu persoalan lain yang menerpa kepala aku. Apakah ada jaminan bahawa pegawai yang dihantar ke Sweden nanti dapat menyelesaikan kes berkenaan dan dapat menyelamatkan semua keadaan. Ini berbalik kepada persoalan,’ bila masuk kandang kambing mengembik dan masuk kandang kerbau ( atau LEMBU) menguak. Ini ada kaitan dengan undang-undang dalam negara Sweden. Mereka yang menetapkan undang-undang berkenaan dan mesti dipatuhi. Samalah seperti kita menetapkan undang-undang di negara kita yang berkaitan dengan pemilikan dadah yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Negara luar merasakan hukuman yang kita kenakan kepada pengedar dadah adalah terlalu berat, tetapi bagi kita di Malaysia itulah merupakan hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada pelaku yang melakukan kesalahan sedemikian. Begitu jugalah undang-undang yang telah ditetapkan di Sweden dan di negara-negara lain juga yang mempunyai undang-undang yang tersendiri.

Aku lebih yakin sekirannya kita memilih saluran diplomatik untuk menyelesaikan isu yang sebegini dan bukan dengan cara menghantar ‘pakar’ undang-undang dari negara kita. Sekiranya penyelesaian melalui saluran undang-undang, maka undang-undang jugalah yang digunakan oleh pemerintah Sweden untuk menyelesaikan isu berkenaan. Dan apabila undang-undang dijadikan sandaran maka undang-undang jugalah jalan penyelesaiannya.

Berbeza dengan tindakan melalui saluran diplomatik yang mana duta kita amat faham dengan selok belok dan cara yang diamalkan di Sweden. Pastinya Pak Duta di Sweden tahu dan kenal dengan rakan-rakan diplomat di Sweden yang boleh membantu menyelesaikan kes-kes yang sebegini. Bersandarkan perasaan hormat-menghrmati antara kawan dan rakan, dan berasaskan pula kepada pertimbangan kemanusiaan, maka isu ini pati dapat diselesaikan dengan cara ‘ menarik benang dalam tepung’. Benang dapat ditarik dan tepung tidak berselerak.

Berbanding dengan menghantar para ‘pakar’ undang-undang ke sana yang memungkinkan tepung akan berselerak dan benang masih tidak dapat ditarik keluar.

abuhassanadam

22 Januari 2014

No comments:

Post a Comment